Batalkan Arahan Kutip GST Ke Atas 60 Barang Makanan

Nota:

Kenyataan media ini disiarkan beberapa jam sebelum Kerajaan Persekutuan membatalkan hasrat untuk mengutip GST atas barang-barang makanan ini.


Saya merujuk kepada laporan The Star di capaian http://www.thestar.com.my/news/nation/2017/06/19/gst-on-more-than-60-food-items-from-july-1/#0cb5Y2WUA661Vr7Y.99 yang mengulas perkara-perkara berikut:

1) Ketua Pengarah Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Datuk Subromaniam mengesahkan bajawa GST akan mula dikutip ke atas lebih 60 jenis bahan makanan yang sebelum ini berkadar sifar

2) Walaupun sebahagian dari bahan makanan itu adalah buah-buahan dan sayur-sayuran import, banyak juga bahan makanan adalah bahan makanan asas yang digunakan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia

Mengikut laporan itu, antara bahan-bahan makanan ruji yang kini akan dikenakan GST adalah ubi kentang, kacang panjang, kacang pis, bayam, jagung, bihun, kuey teow, laksa dan minyak kelapa.

Tindakan pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak terus mengenakan GST ke atas bahan-bahan makanan asas adalah bertentangan dengan janji awal Barisan Nasional kononnya GST tidak membebankan kerana bahan makanan tidak dikenakan GST.

Tindakan mengenakan GST secara diam-diam ke atas bahan makanan dalam keadaan rakyat menumpukan perhatian kepada skandal besar negara adalah tidak jujur; seolah-olah mengambil ksempatan atas tumpuan rakyat yang folus kepada skandal besar 1MDB.

Saya bertegas mendesak Dato’ Seri Najib membatalkan hasrat mengutip GST ke atas bahan makanan asas rakyat seperti sayuran dan mee ini berdasarkan dua perkara berikut:

1) mengutip GST dari bahan makanan asas akan melonjakkan inflasi dan membebankan rakyat dari golongan berpendapatan rendah. Ini memburukkan lagi masalah kenaikan harga barang yang sudah pun teruk.

2) mengutip GST dari sayuran dan bahan makanan yang diimport atas dasar bahan makanan import dikira bersifat mewah akan menyebabkan sebahagian besar bahan makanan akan dikenakan GST. Ini adalah kerana sebahagian besar sayuran dan bahan makanan mentah adalah diimport kerana kekurangan bekalan domestik.

Saya memberi amaran kepada Dato’ Seri Najib bahawa mengenakan GST ke atas bahan makanan hanya akan menyemarakkan kemarahan rakyat ke atas beliau.

Saya telah pun turun ke kawasan luar bandar dan kerusi marginal untuk berkempen khusus mengenai langkah memansuhkan GST, menambahkan peluang pekerjaan, menaikkan gaji dan mengurangkan pekerja asing.

Tindakan mengutip GST ke atas bahan makanan akan menarik minat lebih ramai rakyat biasa datang ke sessi penerangan Pakatan Harapan berkenaan isu-isu ini.

Rafizi Ramli
Ahli Parlimen Pandan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.