Wang Rakyat Digunakan Oleh Dato’ Seri Najib Untuk Membayar Pengamal Media Dan Biaya Kempen Media Sosial

Saya telah menyenaraikan penerima-penerima dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak yang dananya berasal dari SRC International Sdn Bhd, seperti yang terkandung di dalam dokumen yang dipegang oleh Tan Sri Apandi Ali dalam satu sidang media, serta diperkuatkan lagi dengan perincian di dalam dokumen-dokumen yang menunjukkan aliran tunai yang dibocorkan di satu laman SPRMInsider yang disekat capaiannya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Setakat ini, tidak ada sebarang penafian kukuh yang menunjukkan bahawa dokumen-dokumen yang dibocorkan itu adalah palsu. Juga tidak ada sebarang tindakan undang-undang atau saman yang dibuat terhadap saya oleh mana-mana individu yang saya telah namakan. Malah, Dato’ Seri Najib dan pegawai kanannya, Dato’ Amhari Effendi Nazaruddin sehingga sekarang tidak bersuara mengenai pendedahan-pendedahan ini.

Penerima-penerima yang didedahkan setakat ini adalah dari kumpulan tokoh politik Barisan Nasional dan pembangkang, parti politik Barisan Nasional dan pembelian barang kemas.

Satu lagi kumpulan penerima ialah dari kalangan pengamal media dan syarikat media sosial.

Saya sertakan nama-nama pengamal media dan syarikat media sosial yang disenaraikan di dalam dokumen penerima dana dari Dato’ Seri Najib seperti petikan skrin di bawah:

Saya telah tunjukkan 3 orang penerima yang saya yakin adalah pengamal media atau syarikat yang bertanggungjawab menguruskan kempen media sosial atau kempen media Umno/Barisan Nasional, atau pun kempen Dato’ Seri Najib sendiri, seperti berikut:

1. Pada 22 Julai 2014, maklumat dari dokumen yang dibocorkan menunjukkan Dato’ Seri Najib membayar dari akaun peribadinya sejumlah RM1 juta kepada satu firma bernama Warisan Research PLT

2. Pada 19 Ogos 2014, maklumat dari dokumen yang dibocorkan menunjukkan Dato’ Seri Najib membayar dari akaun peribadinya sejumlah RM655,000 kepada seorang rakyat Singapura bernama Romen Bose yang juga merupakan wakil media antarabangsa di negara ini

3. Pada 27 Ogos 2014, maklumat dari dokumen yang dibocorkan menunjukkan Dato’ Seri Najib membayar dari akaun peribadinya sejumlah RM2 juta kepada satu firma bernama Orb Solutions Sdn Bhd

Saya telah jelaskan sebelum ini bahawa Orb Solutions Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang dimiliki bersama oleh penasihat kanan Dato’ Seri Najib di Jabatan Perdana Menteri bernama Dato’ Amhari Effendi Nazaruddin. Semakan menunjukkan syarikat ini bertanggungjawab membangunkan aplikasi “Najib Razak” yang pernah menjadi kontroversi sebelum ini. Setakat ini, Dato’ Amhari atau syarikat ini tidak menafikan sebarang maklumat ini berhubung penerimaan wang atau penglibatannya di dalam aplikasi “Najib Razak”.

Maklumat lanjut mengenai Romen Bose didedahkan oleh Sarawak Report dua hari lalu. Dalam laporan bertajuk “Najib Paid RM655,000 of 1MDB’s Stolen Cash To ‘Media Warfare’ and ‘Monitoring’ Expert!”, portal itu mendedahkan bahawa:

i. Romen Bose adalah seorang rakyat Singapura yang bertugas sebagai wartawan dengan AFP, sebuah agensi berita antarabangsa

ii. Dalam bulan Mac 2012, Romen Bose bertanggungjawab menubuhkan Foreign Correspondets Club (FCC) iaitu kelab wartawan asing di negara ini dan menjemput Dato’ Seri Najib melancarkannya

iii. Semakan Sarawak Report juga menunjukkan sekitar April 2015, syarikat milik Romen Bose iaitu Nevis Associates Limited, mengiklankan jawatan kosong di pejabatnya di Kuala Lumpur. Jawatan yang diiklankan ialah “political and media warfare strategist” atau pakar propaganda media dan politik

Syarikat yang ketiga mendapat bayaran dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib ialah Warisan Research PLT sebanyak RM1 juta.

Semakan saya mendapati ia sebuah firma yang menjalankan kempen media sosial bagi pihak pelanggannya, seperti yang ditunjukkan dari profail LinkedIn seorang yang bernama Noryusmiza Nasir yang berkhidmat sebagai penyelidik kanan di Warisan Research PLT.

Saya sertakan maklumat lanjut mengenai Noryusmiza Nasir dan Warisan Research PLT seperti berikut:

 

i. Noryusmiza Nasir adalah anggota Umno Titiwangsa, malah mengiklankan dirinya sebagai “social media analyst” atau penganalisa media sosial Umno Titiwangsa. Gambar-gambar beliau di dalam aktiviti Umno bersama-sama YB Dato’ Seri Johari Ghani juga ada dipaparkan di Facebook beliau

ii. Beliau bertugas sebagai penyelidik kanan di Warisan Research PLT di antara November 2013 hingga Februari 2015 seperti berikut:

iii. Tugas utama beliau ialah menghasilkan kandungan untuk media sosial, selain membangunkan sistem untuk melakukan analisa ke atas kandungan media sosial

Download (PDF, 545KB)

Saya percaya individu-individu yang dinamakan ini tidak akan menafikan pendedahan-pendedahan ini atau mengemukakan bukti bahawa pendedahan ini tidak benar.

Yang saya paling tertarik ialah bagaimana Dato’ Seri Najib membayar firma-firma dan pengamal media untuk menulis dan memantau kandungan media sosial. Ini bukanlah mengejutkan kerana rakyat Malaysia telah menerima kewujudan “cyber trooper” Umno yang banyak mewujudkan akaun-akaun palsu (termasuklah menggunakan identiti orang yang sudah mati) untuk membodek Dato’ Seri Najib dan menyerang pembangkang.

Fenomena media sosial seperti #supportMyPM yang banyak ada di laman Dato’ Seri Najib sendiri mengesahkan kewujudan tentera maya palsu ini.

Namun, pendedahan saya pada hari ini adalah yang pertama yang menunjukkan bukti bagaimana wang rakyat digunakan untuk membayar syarikat-syarikat untuk menjalankan kerja-kerja propaganda media sosial.

Persoalan saya:

Saya yakin ini bukan yang pertama dan terakhir. Kita mahu tahu berapa banyak wang dan peruntukan yang telah digunakan oleh Dato’ Seri Najib, baik dari akaun beliau sendiri atau dari peruntukan kerajaan untuk membayar cyber trooper upahan atau syarikat-syarikat yang menggaji cyber trooper upahan, dengan menggunakan wang rakyat?

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.