SPRM Perlu Sahkan Senarai Penerima Dana SRC Yang Masuk Dari Akaun Peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak

Walaupun tumpuan kepada kes yang melibatkan wang dari akaun SRC International Sdn Bhd (“SRC”) masuk ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak semakin pudar, saya secara berterusan mengumpul maklumat untuk memastikan kes ini akan tetap dibawa ke muka keadilan satu hari nanti.

Saya tahu selagi Dato’ Seri Najib berkuasa, kes ini tidak akan diambil tindakan. Tetapi ia tidak wajar dibenarkan mati begitu sahaja kerana ia melibatkan RM4 bilion dana pencen rakyat yang kesannya pasti akan dirasai oleh warga emas dan keluarga mereka kelak.

Saya secara berterusan mengumpul maklumat dan menyemak maklumat-maklumat yang ada untuk membawanya kepada rakyat. Saya tahu jika rakyat dilalikan dengan isu-isu lain (baik politik, kesusahan hidup atau hiburan), rakyat akan lupa dan kes ini boleh berkubur begitu sahaja.

Sebab itu saya menamakan Dato’ Dr Nasharuddin Mat Isa sebagai salah seorang penerima dana SRC yang masuk melalui akaun peribadi Dato’ Seri Najib kerana saya mahu melihat reaksi pimpinan kanan SPRM. Saya yakin bahawa maklumat itu benar dan telah membuat Akuan Berkanun mengenainya, jika saya membuat cerita SPRM sudah tentu menafikannya dengan sekeras-kerasnya dan terus menahan saya untuk didakwa.

Sehingga sekarang, tidak ada penafian atau sebarang reaksi dari pimpinan kanan SPRM kecuali kemaskini kes melalui sistem atas taliannya yang memaklumkan bahawa SPRM sedang mengambil tindakan ke atas maklumat mengenai aliran dana yang saya telah berikan kepada SPRM baru-baru ini.

Pada pandangan saya, ini bermakna bahawa dokumen-dokumen lain mengenai kes-kes melibatkan Dato’ Seri Najib dan dana 1MDB/SRC yang sebelum ini pernah cuba disiarkan tetapi dihalang dari disebarkan; wajar dibawa kembali untuk diketengahkan kepada rakyat supaya SPRM membuka kembali kes dan membuat siasatan lanjut.

Salah satu dari dokumen yang paling lengkap mengenai aliran dana yang mengalir dari akaun SRC ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib pernah disiarkan oleh satu laman SPRM Insider di capaian sprminsider.blogspot.co.uk

Laman ini telah lama dihalang capaiannya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Jika orang ramai cuba melayari laman tersebut sekarang, anda akan mendapat notis berikut:

Walau bagaimana pun, laman tersebut masih boleh dicapai dengan cara tertentu dan saya telah mengambil petikan skrin untuk menunjukkan ia masih lagi beroperasi dan belum ditutup:

Dokumen yang dimuatnaik pada 1 Oktober 2016 itu mempunyai 10 mukasurat itu diedarkan kepada pihak media dan orang ramai pada hari ini. Dokumen itu memperincikan transaksi wang keluar masuk dari pelbagai syarikat dan individu yang membabitkan Dato’ Seri Najib dan dana SRC (yang diambil dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan).

Saya telah menyemak perkara-perkara berikut untuk memastikan maklumat di dalam dokumen itu bukan rekaan:

1. Segala transaksi telah disemak satu persatu kepada kertas yang dipegang oleh Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali yang memperincikan aliran dana dari SRC melalui beberapa syarikat sebelum sampai ke akaun Dato’ Seri Najib. Semua maklumat di dalam dokumen yang dimuatnaik di SPRM Insider ini tepat seperti yang terkandung di dalam kertas yang dipegang Tan Sri Apandi Ali

2. Nama-nama syarikat dan individu yang dinamakan telah dikenalpasti dan disemak dengan maklumat umum (baik dengan Suruhanjaya Syarikat atau keratan berita atau carian lain). Semua individu yang dinamakan wujud dan sebahagian besarnya ada kaitan dengan Umno; atau Dato’ Seri Najib; atau merupakan syarikat-syarikat pembekal

Oleh yang demikian, berdasarkan pengalaman profesional saya, maklumat-maklumat yang terkandung di dalam dokumen yang didedahkan oleh laman SPRM Insider itu berkemungkinan besar adalah benar berdasarkan perkara-perkara berikut:

i. Jika ia tidak benar, tiada sebab kenapa SKMM mengambil keputusan untuk menghalang capaian ke laman tersebut

ii. Semua maklumat yang terkandung setakat ini konsisten dan sepadan dengan maklumat-maklumat sulit yang telah diketahui umum termasuk nama-nama syarikat yang digunakan untuk “melapiskan” pindahan wang ke akaun Dato’ Seri Najib iaitu Gandingan Mentari SB, Ihsan Perdana SB dan anak-anak syarikat kumpulan Putra Perdana Berhad

iii. Maklumat yang terkandung di dalam dokumen ini merupakan maklumat rumit yang begitu sulit seperti nombor akaun, nama syarikat yang khusus, individu yang khusus dan pemindahan wang pada tarikh-tarikh yang khusus. Maklumat seperti ini adalah begitu rumit dan tidak mudah untuk direka-reka kerana angka dan maklumatnya perlu konsisten dan sepadan di dalam semua dokumen. Setakat ini semua angka ini adalah sepadan

Sebagai tindakan nekad saya untuk membina kembali momentum agar SPRM membuka kembali siasatan terhadap Dato’ Seri Najib mengenai kes SRC, berdasarkan maklumat di dalam dokumen SPRM Insider itu, saya ingin menarik perhatian orang ramai dan pihak media kepada beberapa nama/pembekal yang menerima bayaran dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib (seperti yang terkandung di dalam dokumen tersebut).

Saya menyeru nama-nama berikut terlebih dahulu tampil ke hadapan untuk menjelaskan sama ada mereka ada menerima wang dari akaun Dato’ Seri Najib seperti yang didakwa di dalam dokumen SPRM Insider tersebut:

i. Dato’ Amhari Effendi Nazaruddin, pengarah dan pemegang 50% saham di dalam Orb Solutions Sdn Bhd – mengikut dokumen, pada 27 Ogos 2014, Orb Solutions Sdn Bhd menerima RM2 juta dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib di AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022011906.

Download (PDF, 221KB)

Untuk rekod, Dato’ Amhari adalah penasihat kanan Dato’ Seri Najib dan namanya disebut-sebut sebagai pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri yang terlibat di dalam rundingan dengan IPIC yang menyebabkan Kerajaan Malaysia terpaksa membayar sehingga RM15 bilion kepada IPIC.

Carian dan semakan juga menunjukkan bahawa Orb Solutions Sdn Bhd adalah syarikat yang membangunkan aplikasi Najib Razak yang dilancarkan tahun lepas.

ii. Dato’ Seri Najib – mengikut dokumen, pada 8 Ogos 2014, ada bayaran berjumlah RM449,586.95 dari kredit kad bernombor 4585 8180 0000 5496 yang dibayar dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib di AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022011880. Pada hari yang sama, ada satu lagi bayaran berjumlah RM2,833,147.21 yang dibayar dari kad kredit bernombor 5289 4380 0003 8961 yang dibayar dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib di AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022011880.

Kedua-dua perbelanjaan mencecah RM3.28 juta dalam tempoh satu hari ini dibuat di sebuah kedai barang kemas mewah bernama De Grisogono di Itali (seperti carian internet di bawah).

Dato’ Seri Najib perlu tampil ke hadapan menjelaskan sama ada perbelanjaan sebanyak RM3.28 juta yang dibayar dari akaun peribadi beliau menggunakan wang pencen rakyat adalah untuk membeli barang kemas mewah kepada isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor?

iii. Yayasan Al Abrar – mengikut dokumen, pada 21 Ogos 2014, Yayasan Al Abrar menerima RM5 juta dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib di AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022011906. Semakan menunjukkan Yayasan Al Abrar juga bertanggungjawab menganjurkan majlis “Malaysia Bersalawat” pada 7 Disember 2013 seperti keratan akhbar di bawah:

Saya akan terus mendedahkan nama-nama mereka yang disenaraikan di dalam dokumen itu dan mendesak supaya SPRM tidak terus berdiam diri. Dengan kemungkinan besar bahawa dokumen ini dibocorkan dari siasatan SPRM sendiri, SPRM perlu berdepan dengan rakyat jika tiada tindakan diambil ke atas Dato’ Seri Najib walaupun maklumat-maklumat ini secara jelas menunjukkan ada asas yang cukup kukuh untuk membuka kembali siasatan ke atas Dato’ Seri Najib.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

2 thoughts on “SPRM Perlu Sahkan Senarai Penerima Dana SRC Yang Masuk Dari Akaun Peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak”

  1. Bagusla sekiranya benar, didedahkan yg duit Tabung pencen rakyat di ambil secara bathil dan di guna untuk majlis selawat Rosulullah S.A.W.
    SPRM mungkin tidak akan ambil tindakkan sekiranya maklumat2 ini memang ada dlm pengetahuan mereka.

    Semoga Rafizi terus berjuang dgn ikhlas dan sentiasa dipelihara Allah S.W.T. Aamiiin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.