Dana Kutipan GST Boleh Ditampung Kerajaan Pakatan Harapan Melalui Tiga Kaedah

Saya ingin menyekolahkan Dato’ Seri Najib Razak yang baru-baru ini memomok janji Pakatan Harapan untuk memansuhkan GST dengan alasan tanpa GST Perbendaharaan akan hilang RM42 bilion setahun.

Sebenarnya saya telah ulas dengan mendalam dan disokong dengan angka-angka mengenai perkara ini di dalam buku “Panduan Bina Semula Negara” yang saya tulis dan dilancarkan baru-baru ini. Cara untuk menguruskan Perbendaharaan tanpa mengenakan GST ada dihuraikan di dalam Bab 4 bertajuk “Mengurus Perbendaharaan Negara”.

Punca yang menyebabkan Kerajaan Perseketuan kesempitan sumber kewangan ialah kerana kerajaan terus berbelanja melebihi pendapatan sepanjang dekad lalu dan dekad ini sehingga mewujudkan hutang yang besar (yang digunakan untuk menampung defisit apabila perbelanjaan melebihi pendapatan setiap tahun).

Sebab itu pengurusan perbendaharaan negara tidak hanya berkisar kepada menambah pendapatan, tetapi yang sama penting ialah mengawal perbelanjaan untuk mengurangkan keperluan pendapatan bagi membiayai perbelanjaan tersebut.

Apabila perbelanjaan yang membazir dihentikan dan ketirisan dikawal, penjimatan dari perbelanjaan itu adalah lebih dari mencukupi untuk menampung kekurangan hasil kutipan GST yang dihapuskan.

Oleh itu, untuk pengetahuan Dato’ Seri Najib, tiga kaedah yang akan digunakan oleh Pakatan Harapan untuk menampung perbelanjaan negara setelah GST dihapuskan dihuraikan seperti berikut:

Kaedah 1: Membanteras Rasuah, Mengurangkan Ketirisan

Saya sedar akan ada orang yang memperlekehkan hujah ini dengan alasan pembangkang hanya tahu menyebut kes-kes rasuah sebagai bukti ketirisan, tetapi tidak tentu wang dari kes-kes rasuah itu boleh dikembalikan. Akhirnya, jika GST dihapuskan (kata mereka), kerajaan tetap akan kekurangan dana yang akan menjejaskan operasi kerajaan.

Sebenarnya saya dan rakan-rakan di National Oversight and Whistleblowers (NOW) telah membuat satu kajian akademik yang menggunakan kaedah statistik dan matematik untuk menganggarkan berapa penjimatan yang realistik setiap tahun sekiranya pembaziran dan ketirisan dapat dikawal.

Untuk mengetahui berapa kuantum penjimatan yang realistik, kami perlu menganggarkan terlebih dahulu tahap pembaziran dan ketirisan kerajaan.

Kaedah yang kami bangunkan diterbitkan di dalam satu buku terbitan NOW yang bertajuk “Indeks Pembaziran Kerajaan” yang diterbitkan tahun lalu.

Indeks Pembaziran Kerajaan (IPK) adalah satu peratusan yang memberi anggaran peratusan perbelanjaan kerajaan yang sebenarnya adalah ketirisan dan pembaziran, berdasarkan data-data rasmi kerajaan.

IPK dibangunkan dengan kaedah berikut:

i. Segala maklumat pembaziran, ketirisan dan kerugian yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 dikatalogkan mengikut jenis dan jumlah

ii. Setiap kes pembaziran itu disemak dengan membandingkan jumlah kerugian yang dikenalpasti dengan jumlah peruntukan yang dikendalikan oleh jabatan/kementerian tersebut

iii. Kaedah statistik digunakan untuk menganggarkan saiz peruntukan yang terdedah kepada ketirisan dan penyelewengan mengikut jabatan/kementerian

iv. Kaedah statistik digunakan untuk menganggarkan peratusan ketirisan dan kerugian mengikut kementerian dan dijumlahkan bagi keseluruhan kerajaan

Berdasarkan data-data yang terkandung di dalam Laporan Ketua Audit, keputusan IPK menunjukkan anggaran pembaziran purata bagi tahun 2014 ialah 15.5% dari perbelanjaan kerajaan yang tidak melibatkan gaji atau kenaan tetap yang seumpama dengannya.

Bila IPK pada paras 15.5% ini dipadankan dengan anggaran jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan (yang tidak melibatkan gaji atau kenaan tetap) bagi 2017 yang dianggarkan berjumlah RM136 bilion, ada potensi jumlah penjimatan sebanyak RM21 bilion.

Kaedah 2: Pentadbiran Kewangan Yang Telus Mengurangkan Bayaran Faedah Tahunan

Satu lagi potensi penjimatan perbelanjaan yang boleh dicapai dengan mudah ialah belanja tahunan membayar faedah di atas hutang-hutang yang dipinjam oleh Kerajaan Persekutuan.

Setakat April 2017, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan seperti yang disiarkan oleh Perbendaharaan adalah sebanyak RM649 bilion. Dari jumlah itu, bentuk hutang terbesar ialah kertas hutang Kerajaan Malaysia (“Malaysian Government Securities” atau MGS) pada jumlah RM357 bilion, diikuti dengan kertas hutang Terbitan Pelaburan Kerajaan (“Government Investment Issues” atau GIIs) sebanyak RM235 bilion.

Hutang-hutang dalam bentuk kertas hutang yang diterbitkan ini perlu ditebus oleh Kerajaan Malaysia bila sampai tarikh matangnya. Sementara menunggu matang, Kerajaan Malaysia perlu membayar faedah tahunan (selalu disebut sebagai “coupon rate”) mengikut kadar yang diurusniagakan di pasaran hutang.

Seperti juga saham yang dijual beli, kertas-kertas hutang yang diterbitkan kerajaan juga boleh dijual beli. Bagi jual beli saham, lebih baik saham itu, maka lebih tinggi harga yang ditawarkan untuk membeli saham tersebut.

Keadaannya terbalik bagi kertas hutang.

Lebih stabil sesebuah kerajaan dan lebih tinggi reputasi kewangannya, maka pelabur sanggup untuk mendapat bayaran bunga yang lebih rendah demi memegang kertas hutang tersebut. Jika kerajaan itu tidak dihormati dan dicurigai, pelabur tidak ada keyakinan dan kadar faedahnya pun didagangkan tinggi.

Oleh sebab itulah, reputasi antarabangsa Kerajaan Malaysia di mata pelabur adalah sangat penting kerana ia menentukan jumlah bayaran faedah yang perlu dibayar dan ditanggung oleh rakyat Malaysia.

Skandal 1MDB yang merosakkan nama baik Malaysia telah menyebabkan pelabur-pelabur mahukan pulangan yang lebih tinggi bagi setiap ringgit kertas hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia.

Sebab itulah belanja membayar faedah hutang bagi tahun 2017 dianggarkan berjumlah RM29 billion, iaitu lebih dari separuh wang hasil GST yang dikutip terpaksa digunakan untuk membayar faedah.

Saya yakin jika reputasi kewangan Kerajaan Malaysia dipulihkan, pentadbiran baru boleh meyakinkan pasaran dan pelabur. Keyakinan pelabur itu akan diterjemahkan ke dalam kadar faedah ke atas kertas-kerta hutang yang diterbitkan yang lebih rendah. Saya tidak terkejut kadar faedah itu boleh turun sehingga 1% berbanding kadar sedia ada yang diterjemahkan kepada penjimatan sebanyak RM6.5 bilion setahun.

Hasil dari dua langkah segera yang boleh diambil ini dijangka akan menterjemahkan penjimatan segera sebanyak RM27.5 bilion seperti yang ditunjukkan di dalam jadual berikut.

Kaedah 3: Rasionalisasi Cukai melalui Pengenalan Cukai Ke Atas Keuntungan Jual Beli Saham dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan

Ada beberapa inisiatif percukaian lain yang walaupun hasilnya tidak sebesar kaedah 1 dan 2, ia tetap akan menambah hasil kepada kerajaan untuk menampung pengurangan hasil akibat pemansuhan GST.

Saya pernah menyuarakan bahawa kerangka sistem percukaian yang ada didasarkan kepada keadaan ekonomi 1970an yang kini tidak lagi sesuai dengan bentuk ekonomi negara mutakhir. Contohnya, orang kaya yang berjual beli saham sehingga untung beratus juta ringgit dalam tempoh yang singkat tidak dikenakan cukai, sedangkan negara-negara lain mengenakan Cukai Keuntungan Modal (“Capital Gains Tax”) ke atas pendapatan sebegini.

Pakatan Harapan telah menyatakan sebelum ini bahawa Cukai Keuntungan Modal akan diperkenalkan untuk menggantikan GST agar orang kaya yang membuat untung dari jual beli saham membayar cukai (dan bukannya orang miskin tidak berpendapatan yang dicukai GST).

Pemansuhan GST juga bermakna konsep cukai tidak langsung (“indirect tax”) akan kembali ke konsep asal iaitu dicukai di kilang sahaja bagi barang-barang tertentu atau perkhidmatan tertentu di tempat-tempat tertentu. Rasionalisasi percukaian yang akan dilaksanakan oleh Pakatan Harapan boleh menilai kembali pelaksanaan cukai tidak langsung melalui kaedah cukai jualan dan perkhidmatan yang dihadkan kepada barang tertentu di tempat pengilangan dan perkhidmatan profesional dan perkhidmatan mewah yang tertentu sahaja.

Sebelum pengenalan GST, kutipan cukai jualan dan perkhidmatan memang pun sudah mencecah sekitar RM12 bilion setahun. Dengan rasionalisasi yang lebih baik (maknanya jenis barang dan perkhidmatan yang dikenakan cukai adalah lebih sedikit tetapi kutipan lebih cekap agar tidak tiris akibat rasuah), saya yakin kerajaan Pakatan Harapan boleh menjana RM12 bilion dari kutipan cukai tidak langsung, seperti sebelum pengenalan GST.

Cukup Sumber Kewangan Bila GST Dimansuhkan

Dengan inisiatif lain seperti rundingan semula kontrak-kontrak yang berat sebelah dan rampasan harta dari rasuah yang terlibat dalam skandal-skandal besar, saya tidak nampak ada masalah yang meruncing untuk menggantikan sumber pendapatan dari GST yang dihapuskan.
Pokoknya, secara moralnya GST perlu dihapuskan dan kita ada potensi penjimatan yang cukup untuk menampung kekurangan hasil apabila GST dihapuskan kelak.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

3 thoughts on “Dana Kutipan GST Boleh Ditampung Kerajaan Pakatan Harapan Melalui Tiga Kaedah”

  1. Malaysia negara yang kaya dengan pelbagai sumber hasil anugerah Allah. Jika diurus tadbir dengan baik oleh mereka yang beramanah dan berintegriti, pasti rakyat tidak akan dibeban dengan pelbagai cukai yang memeras dan negara dibeban dengan hutang yang jumlahnya amat menggerunkan rakyat.

    Moga Pakatan Harapan akan menang PRU-14 dan Anwar Ibrahim menjadi PM ke-7 inshaAllah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.