Tabung Haji Perlu Jelaskan Kenapa Syarikat Bersekutunya Terima RM140 Juta Dana SRC International Sdn Bhd

Saya telah menerangkan bagaimana sejumlah RM140 juta wang dari SRC International Sdn Bhd telah dipindahkan melalui beberapa buah syarikat dalam bulan Julai dan Ogos 2014 sebelum sampai kepada sebuah syarikat bernama Putra Perdana Development Sdn Bhd (“PPD”).

Putra Perdana Development Sdn Bhd adalah anak syarikat milik penuh Putrajaya Perdana Berhad (“PPB”) seperti carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang saya sertakan bersama.

Dalam bulan Disember 2014, Lembaga Urusan Tabung Haji telah membeli 30% pegangan di dalam PPB. Ini disahkan oleh paparan di laman web PPB yang disertakan bersama.

Walaupun senarai pemegang saham PPB tidak diberikan secara terperinci di dalam dokumen carian SSM yang saya sertakan bersama, perlantikan kepimpinan Tabung Haji ke jawatan-jawatan utama PPB mengesahkan bahawa Tabung Haji adalah pemegang saham utama di dalam PPB. Kepimpinan Tabung Haji yang dilantik ke Lembaga Pengarah PBB adalah:

1) Datuk Seri Azeez Rahim, Pengerusi Tabung Haji telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah PPB yang baru

2) Datuk Rozaida Omar, Ketua Pegawai Kewangan (“CFO”) Tabung Haji telah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah PBB yang baru


Sejurus selepas Tabung Haji membeli 30% pegangan di dalam PPB, dalam bulan Disember 2014 PPD memulangkan kembali RM140 juta yang dipindahkan ke akaunnya empat bulan sebelum itu (seperti yang saya terangkan di atas).
Apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir mengesahkan bahawa Tabung Haju telah menyuntik RM193.5 juta ke dalam PPB ekoran pembelian 30% pegangan di dalam PPB (rujuk jawapan menteri di Parlimen yang saya sertakan), ia menimbulkan tanda tanya sama ada dana Tabung Haji diheret sama dalam siri pemindahan wang yang keluar masuk dari akaun SRC International Sdn Bhd.


Sebagai Ahli Parlimen yang paling rapat memantau hal ehwal kewangan Tabung Haji, saya wajar menanyakan soalan-soalan berikut kepada Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim:

1) Apa asas-asas pelaburan yang mendorong Tabung Haji menyuntik sehingga RM193.5 juta dana pendeposit Tabung Haji ke dalam PPB? Kenapa Tabung Haji memilih syarikat ini untuk melabur secara terus sedangkan syarikat ini tidak disenaraikan?

2) Adakah pelaburan sebesar RM193.5 juta oleh Tabung Haji ini telah dibentangkan dan diluluskan oleh Panel Pelaburannya? Apa keputusan Laporan Risiko Pelaburan yang dibentangkan kepada Panel Pelaburan yang menilai risiko pelaburan ini?

3) Firma mana yang dilantik untuk melakukan “due diligence” (penilaian kewangan terperinci) sebelum Tabung Haji membuat keputusan untuk menyuntik dana RM193.5 juta ke dalam PPB?

Soalan (3) adalah sangat penting kerana jika satu “due diligence” telah dibuat oleh Tabung Haji, “due diligence” itu sudah tentu dapat mengesan satu aliran tunai sebanyak RM140 juta ke dalam PPD, iaitu anak syarikat milik penuh PPB.

Maka, rakyat berhak mengetahui sama ada kepimpinan Tabung Haji membeli saham dalam PPB (yang melibatkan jumlah yang besar) dengan mempunyai pengetahuan bahawa sejumlah RM140 juta telah pun masuk ke akaun yang disatukan (“consolidated”) PPB dari SRC International Sdn Bhd?

Mana-mana firma yang mengendalikan “due diligence” dalam tahun 2014 ke atas sudah tentu sedia maklum bahawa apa-apa pelaburan yang bersabit dengan 1MDB atau SRC International Sdn Bhd adalah satu pelaburan yang sangat berisiko.

Saya menanyakan soalan-soalan ini kerana Pengarah Urusan Tabung Haji ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail juga adalah Ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd sejak hari pertama syarikat itu ditubuhkan, seperti yang dibuktikan di dalam laporan kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2012.


Semasa Tabung Haji membeli 30% pegangan di dalam PPB pada harga RM193.5 juta, Tan Sri Ismee Ismail mesti menjawab sama ada beliau ada pengetahuan mengenai RM140 juta yang dipindahkan dari akaun SRC International Sdn Bhd.

Rafizi Ramli
Ahli Parlimen Pandan
Naib Presiden KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.