Cacamerba Pentadbiran Ekonomi Najib Akibatkan Kenaikan Harga Barang Paling Mendadak Di Luar Kegawatan Ekonomi Sejak 1998

Berita kadar inflasi (atau kadar kenaikan harga barang) bagi Februari 2017 berbanding setahun sebelum itu yang mencecah 4.5% berlalu begitu sahaja. Ada wakil rakyat yang lebih gemar menawarkan hadiah wang ringgit berpuluh ribu untuk menggalakkan rakyat memperlekehkan musuh politik mereka, tetapi tidak pula mempedulikan mengenai kadar inflasi yang naik melonjak ini.

Oleh kerana ahli politik beranggapan sebahagian besar dari rakyat Malaysia tidak faham angka-angka ekonomi (atau mereka juga tidak faham angka tersebut), perkara ini tidak dihiraukan dan tiada reaksi pun.

Saya sertakan laporan penuh pengumuman Indeks Harga Pengguna (atau nama mudahnya kadar inflasi) bagi Februari 2017 yang dibuat oleh Dr Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia. Ringkasan laporanya menyebut bahawa kadar inflasi telah mencecah 4.5% bagi Februari 2017 dan didorong oleh kenaikan mendadak terutamanya dalam 3 kumpulan perbelanjaan iaitu pengangkutan, makanan dan minuman bukan alkohol dan perumahan (air, api, elektrik, gas dan lain-lain).

Download (PDF, 1.76MB)

Saya akan tunjukkan bagaimana petunjuk ekonomi ini membuktikan rakyat terbawah yang paling terbeban dan bagaimana ia berpunca dari cacamerba pentadbiran ekonomi Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sebelum itu, kita perlu menghargai kenapa kadar inflasi 4.5% ini sangat membimbangkan (walaupun saya pasti mereka yang jahil ekonomi akan terpinga-pinga apa yang dibisingkan kerana 4.5% itu bagi mereka sangat rendah).

Sebenarnya, jika dilihat kadar inflasi tahunan sejak tahun 1998, tidak pernah sekalipun kadar inflasi di luar kegawatan yang mencecah 4.5%. Maksudnya, hanya dalam keadaan kegawatan ekonomi yang selalunya banyak didorongi faktor luar Negara juga yang menyaksikan kenaikan harga mendadak (kerana ada ketidaktentuan ekonomi sedunia yang mempengaruhi ekonomi negara).

Saya sertakan jadual inflasi tahunan Malaysia sejak 1998 hingga kini. Perhatikan bahawa hanya ada 2 tahun yang kadar inflasi tahunan melebihi 4.5% iaitu tahun 1998 dan tahun 2008.

Tahun 1998 ialah akibat kegawatan ekonomi Asia Timur yang menyaksikan banyak syarikat Malaysia jatuh muflis apabila nilai matawang ringgit jatuh mendadak. Sejak dari tahun itulah, matawang ringgit ditambat pada nilai yang lebih rendah iaitu RM3.80 bagi setiap USD1 dan nilai matawang ringgit tidak pernah pulih sehingga sekarang.

Tahun 2008 pula menyaksikan kegawatan ekonomi sedunia akibat ranapnya pasaran kredit di Amerika Syarikat yang berjangkit ke pasaran kewangan lain sehingga menyaksikan bank pelaburan besar seperti Lehman Brothers muflis. Ia bertembung pula dengan ketidaktentuan pasaran minyak mentah sehingga menyaksikan pada kemuncaknya, satu tong minyak mentah Brent dijual pada harga USD133. Harga purata tahun bagi setong minyak mentah dalam tahun 1998 adalah USD97.60.

Oleh sebab itulah, angka 4.5% inflasi bagi Februari 2017 adalah satu angka yang sepatutnya sangat membimbangkan pimpinan dan perancang ekonomi negara kerana ia adalah kenaikan harga barang tertinggi di luar kegawatan ekonomi. Malaysia selalunya hanya mencecah kadar inflasi sebegini dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja dan telah dibuktikan ia hanya berlaku dalam keadaan kegawatan ekonomi.

Berbalik kepada laporan rasmi Jabatan Perangkaan yang memuktamadkan laporan inflasi ini, ia secara jelas menunjukkan kenaikan mendadak ini adalah disebabkan tiga kumpulan perbelanjaan utama iaitu pengangkutan, makanan dan minuman tidak beralkohol dan perumahan (sewa, elektrik, air, gas dan lain-lain). Rujuk jadual dari laporan tersebut untuk pecahan penuh.

Ketiga-tiga kumpulan perbelanjaan adalah perbelanjaan utama yang ditanggung oleh rakyat kebanyakan berpendapatan rendah dan merupakan majoriti perbelanjaan mereka. Semakin rendah pendapatan sesuatu keluarga, semakin tinggi peratusan dari tiga kumpulan perbelanjaan ini berbanding perbelanjaan keseluruhan kerana mereka tiada wang untuk berbelanja untuk perkara bukan keperluan.

Oleh yang demikian, kenaikan harga barang yang telah mencecah kadar seolah-olah ekonomi negara sedang gawat membawa kesan yang paling buruk kepada golongan berpendapatan rendah.

Apatah lagi apabila kenaikan ini di dalam kumpulan perbelanjaan rakyat terbanyak ini disebabkan oleh dasar kerajaan sendiri yang menghapuskan subsidi. Ketiga-tiga perbelanjaan ini berkait rapat dengan penghapusan subsidi:

1. Pengangkutan – didorong oleh kenaikan harga minyak mendadak kebelakangan ini diakibatkan oleh keputusan mengapungkan harga petrol dan diesel tanpa subsidi

2. Makanan dan minuman tidak beralkohol – didorongi oleh penghapusan subsidi minyak masak sehinggakan harga minyak masak melonjak sehingga 38% (rujuk jadual dari laporan yang disertakan di bawah)

3. Perumahan (sewa, elektrik, air, gas dan lain-lain) – juga didorongi oleh bil elektrik yang lebih tinggi sekarang berbanding sebelum ini

Oleh yang demikian, saya akan berbincang dengan sahabat-sahabat politik dan bukan politik untuk menumpukan usaha menangani kenaikan harga barang yang nampaknya tidak dipedulikan oleh pimpinan Barisan Nasional ini.

Usaha kami akan berkisar kepada:

1. Membangunkan kaedah yang boleh memberi anggaran realiti kenaikan harga barang yang sebenar yang dialami rakyat sebagai timbang tara (“check and balance”) kepada angka inflasi rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan

2. Mengenalpasti beberapa bidang yang memerlukan subsidi dan membentangkan penambahbaikan kepada kaedah pemberian subsidi

3. Mengenalpasti dasar dan peraturan yang perlu diubah untuk menurunkan harga barang apabila Pakatan Harapan berkuasa kelak

Saya sudah pun memulakan kerja-kerja kajian bagi (2) dan dijangka hasil kajian akan dapat dibentangkan pada 15 April 2017 bersempena pelancaran beberapa kertas dasar “Rebuilding Our Nation” yang diusahakan bersama dengan I-CPI (INVOKE Centre for Policy Initiatives). Perkembangan (1) dan (3) akan saya maklumkan dari semasa ke semasa.

Saya akan berkempen untuk mengembalikan subsidi dalam bentuk yang tidak ada ketirisan dan menepati sasaran sebagai langkah yang lebih berkesan menangani kenaikan harga barang yang kini telah mencapai tahap gawat walaupun petanda ekonomi lain sering diwar-warkan kononnya ekonomi berkembang baik.


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.