Dato’ Seri Najib Anugerah Kontrak RM740 Juta Kepada TH Heavy Engineering (THHE) Untuk Bina Kapal Peronda Walaupun THHE Tidak Ada Pengalaman

Saya telah nyatakan dalam satu kenyataan media semalam bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak menggunakan dana rakyat sebanyak RM740 juta untuk disuntik ke dalam TH Heavy Engineering Berhad (THHE) melalui satu anugerah kontrak besar kerajaan secara rundingan terus. Suntikan ini diperlukan memandangkan keadaan kewangan THHE yang terlalu terdesak terutamanya selepas ia disaman oleh kontraktornya untuk mengutip hutang tertunggak.

Saya sertakan satu salinan surat dari Kementerian Kewangan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menyenaraikan segala maklumat terperinci mengenai anugerah kontrak secara rundingan terus ini:

FullSizeRender_2

FullSizeRender_1

FullSizeRender

Saya rumuskan butiran anugerah kontrak tersebut seperti berikut:

Jumlah kontrak RM740 juta
Kerja Membekal, membina, menguji dan mentauliah tiga (3) unit “offshore patrol vessel” (OPV) secara rundingan terus bagi kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)
Syarat THHE perlu bekerjasama dengan syarikat tempatan lain yang mempunyai kemudahan, keupayaan dan pengalaman membina kapal

Saya perlu tegaskan bahawa syarat khusus bahawa “THHE perlu bekerjasama dengan syarikat tempatan lain yang mempunyai kemudahan, keupayaan dan pengalaman membina kapal” dimasukkan kerana semakan menunjukkan bahawa THHE TIDAK PERNAH mempunyai pengalaman membina kapal OPV seperti yang dikehendaki.

THHE adalah sebuah syarikat yang membina kemudahan pelantar di luar pesisir pantai. Kalau dalam perniagaan sekarang pun ia bermasalah untuk menyiapkan kerja-kerja sehingga mengalami kelewatan dan turut digantung oleh PETRONAS Carigali dari turut serta di dalam kontrak perolehan PETRONAS Carigali, sudah tentu THHE akan bermasalah dalam menyediakan kapal-kapal OPV yang diperlukan sekarang.

Tindakan Dato’ Seri Najib menggunakan kontrak membekal OPV untuk menutup kelemahan Tabung Haji melabur di dalam THHE yang sudah terdedah kepada kerugian RM554 juta adalah terdesak dan sangat tidak bertanggungjawab. Dalam keadaan keselamatan yang runcing di luar pesisir pantai Malaysia terutamanya di Timur Sabah (ekoran peristiwa penculikan yang berulang), tindakan menganugerahkan kontrak pembinaan OPV ini kepada sebuah syarikat yang langsung tidak berpengalaman samalah seperti menempah masalah kerana kemungkinan besar kapal-kapal OPV itu tidak dapat disiapkan mengikut jadual. Ini akan merencatkan usaha menambahbaik kawalan keselamatan perairan negara yang akan menyebabkan ancaman lanun dan penculikan akan berterusan.

Walaupun saya tahu ahli-ahli politik lain dan seluruh negara seolah-olah tidak lagi berminat dengan isu rasuah kerana tepu ekoran skandal terkini 1MDB, rakyat mesti terus diberi maklumat mengenai salahlaku dan salahtadbir yang merugikan berbilion wang rakyat. Dalam kes THHE ini, tindakan terbaru Dato’ Seri Najib ini menyebabkan sebanyak RM1.315 bilion wang rakyat disalurkan kepada syarikat ini walaupun ia terus menemui kegagalan.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

3 thoughts on “Dato’ Seri Najib Anugerah Kontrak RM740 Juta Kepada TH Heavy Engineering (THHE) Untuk Bina Kapal Peronda Walaupun THHE Tidak Ada Pengalaman”

  1. Walaupun syarikat ini tidak mempunyai pengalaman untuk membina OPV tapi ianya dijangka dapat disiapkan mengikut jadual kerana ia akan outsource kpd syarikat yg mempunyai kebolehan tersebut. Cuma mungkin kos 700 juta ++ tu dah termasuk keuntungan nya. Buat untung atas angin lah ni.

  2. Terima Kasih ..banyak maklumat yang rakyat dapat daripada pendedahan anda.Kita perlu beri pendedahan pada rakyat Tentang perkara yang seharusnya rakyat ketahui ,demi kesejahteraan Negara kita.teruskan Usaha anda …

  3. Dari apa yang saya tahu..memang ada seperti kelihatan urusan rasuah terancang dalam pelaburan tabung haji. Jika anda teliti, orang orang yang terlibat adalah orang yang sama dalam urusan pelaburan keatas Theta Edge Bhd (Dahulu dikenali sbg Lityan Holdings). Selepas melabur… setahun kemudian semua cabut dan company jatuh…dan sertai THHE pula. Percayalah… jika anda lihat siapa CEO ketika pelaburan dibuat ..ianya adalah orang yang sama yang melompat dari Theta Edge ke THHE. Kerja nya hanya senaraikan semula… beli jual shares… cabut.. kakitangan dibiarkan bersusah payah dibawah. Harap Tuan Rafizi siasat sejarah individu yg menjadi CEO dalam Theta Edge Bhd dan THHE (badly kalau tak silap namanya). Dia ni lah yang melompat sana sini kumpul duit dan tinggalkan company bila bankrupt dengan bantuan individu di tabung haji. Tak caya cuba tanya Tuan Haji Adi Azuan …(tak berapa ingat full nama orang tabung haji ni..maaf jika salah) dan saya rasa dia juga harus disiasat dari mana kemewahan hidupnya diperolehi. Perkara ini diketahui oleh kebanyakan kakitangan Theta Edge yang telah ditinggalkan terkontang kanting selepas CEO jual semua share.. beli kereta mewah dan cabut…. sebelum tu bagi harapan menggunung pada staff lepas disenaraikan semula di bursa hasil dari pelaburan TH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.