Jika Kerajaan Belanja RM86 Juta (Anggaran) Sewa Jet Peribadi Untuk VVIP Dan Tugas Rasmi, Kenapa Anak Perempuan Datin Seri Rosmah Turut Sama Guna ACJ319?

Alasan-alasan yang diberikan oleh Datuk Rizal Mansor, Pegawai Khas kepada Datin Seri Rosmah Mansor bahawa jet peribadi ACJ319 A6-CJE disewa oleh Kerajaan Malaysia bagi tempoh 2 bulan untuk kegunaan pembesar negara (VVIP) bukanlah perkara baru. Setiap kali saya mendedahkan pembaziran akibat dari kos menggunakan jet peribadi, alasan-alasan inilah yang akan digunakan dengan mengheret nama DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Kalau pun jet-jet peribadi ini adalah satu keperluan kepada pembesar-pembesar, siapa yang secara rasminya diiktiraf sebagai pembesar VVIP yang boleh menggunakan jet peribadi ini? Urusan bagaimana yang membolehkan mereka menggunakan jet peribadi ini? Tidakkah ada panduan dan had penggunaan supaya wang rakyat tidak dibazirkan?

Jika itu alasan kenapa Datin Seri Rosmah Mansor menggunakan jet peribadi ACJ319 A6-CJE, atas alasan apa anak kepada Datin Seri Rosmah Mansor iaitu Nooryana Najwa Najib turut sama di dalam penerbangan itu? Adakah anak kepada menteri-menteri juga dikira sebagai VVIP?

Saya boleh sahkan bahawa anak Datin Seri Rosmah Mansor turut sama menaiki pesawat tersebut dan saya sertakan gambar-gambar berikut sebagai bukti:

anakrosmah1

anakrosmah2

Malah, alasan yang diberikan bahawa jadual Datin Seri Rosmah Mansor adalah ketat dan tidak sesuai untuk menggunakan penerbangan komersil adalah dangkal dan menghina rakyat. Rakyat masih belum lupa bahawa semasa Kelantan dilanda banjir teruk di akhir 2014, Dato’ Seri Najib lewat pulang dan menggunakan penerbangan lain untuk pulang ke Malaysia dari Hawaii. Sebaliknya, jet peribadi rasmi kerajaan yang digunakan Perdana Menteri melencong ke arah yang bertentangan iaitu singgah di Los Angeles dan kemudiannya di Indianapolis. Sehingga sekarang Datin Seri Rosmah Mansor tidak menjawab soalan saya sama ada jet itu singgah untuk memantau kerja-kerja naiktaraf jet peribadi yang baru dibeli ketika itu.

Untuk menguji calon-calon BN dan PAS sama ada mereka akan berani menegur Dato’ Seri Najib Tun Razak apabila berlaku pembaziran yang besar seperti ini, saya cabar calon-calon BN dan PAS serta pimpinan teratas parti-parti mereka mendesak supaya Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menyiarkan secara terbuka senarai penuh perjalanan dan kos terlibat bagi semua jet-jet peribadi yang ditanggung oleh rakyat bagi tahun 2015 dan 2016.

Kegagalan mereka berbuat demikian memberi makna mereka juga bakal gagal menegur pembaziran kerajaan jika dipilih ke Parlimen kelak.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.