Dewan Malaysia Perth Dibeli Oleh Kerajaan Malaysia Pada Harga 58% Lebih Mahal Dari Harga Pasaran

Pada 24 November 2015, saya telah bertanyakan kepada Menteri Luar Negeri mengenai pembelian semua bangunan oleh Kerajaan Malaysia di luar negara sejak tahun 2010 dan maklumat mengenai setiap pembelian tersebut.

Jawapan menteri (yang disertakan bersama) mengesahkan bahawa Kerajaan Malaysia telah membeli satu bangunan di Perth, Australia untuk dijadikan Dewan Malaysia bagi tujuan penginapan pelajar Malaysia. Pembelian oleh Kementerian Pendidikan Tinggi itu membabitkan perbelanjaan sebanyak AUD10.271 juta (kadar tukaran RM2.8933 kepada AUS1 pada tarikh pindah milik iaitu 16 Disember 2013, menjadikan jumlah bersamaan RM30 juta) dari sebuah syarikat bernama Mil-tech International Pty Ltd.

ministeranswer1

ministeranswer2

ministeranswer3

Setelah mendapatkan pengesahan menteri, saya telah menyemak urusniaga jual beli bangunan itu yang beralamat 268, Newcastle Street, Perth. Carian senarai urusniaga melibatkan bangunan yang dibeli itu dari laporan hartanah CoreLogic RP Data ada disertakan bersama.

propsearch1

propsearch2

propsearch3

Carian jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Malaysia telah membayar AUD10.271 juta pada 16 Disember 2013 iaitu 58% lebih mahal dari harga asal yang dibeli oleh syarikat yang menjual (Miltech International Pty Ltd) iaitu AUD6.5 juta pada 25 Mac 2013. Maknanya, syarikat ini membuat keuntungan sehingga 58% dalam tempoh 9 bulan selepas ia membeli bangunan ini.

Walaupun jumlah terlebih bayar boleh dikira kecil (iaitu RM11 juta sahaja), dalam keadaan rakyat terdesak dan segala peruntukan dipotong, penyelewengan sebegini menunjukkan bagaimana berleluasanya amalan rasuah di dalam urusan perolehan kerajaan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya mempunyai maklumat yang lengkap siapa yang mendapat untung dan pemilik syarikat yang menjual bangunan ini. Oleh itu, saya memohon supaya Kementerian Pendidikan memberikan jawapan secepat mungkin bagaimana penyelewengan ini telah berlaku dan menamakan siapa yang bertanggungjawab dalam perkara ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.