Penyelewengan RM63 Juta Dana MARA Dalam Pembelian Hartanah Keempat, Jumlah Penyelewengan RM129 Juta Dana MARA

Hartanah keempat yang dimiliki oleh MARA Inc di Australia ialah sebanyak 281 unit kediaman untuk pelajar-pelajar di sebuah bangunan yang beralamat 746 Swanston Street, Melbourne. Kediaman ini diuruskan di bawah jenama Unilodge iaitu sebuah syarikat penyediaan kediaman pelajar yang ternama di Australia.

swanstonst

Mengikut dokumen dalaman MARA yang dibentangkan kepada Tan Sri Annuar Musa pada 20 Mei 2014, unit-unit kediaman ini dibeli pada harga RM138.6 juta (atau AUD$41.8 juta) pada 28 Ogos 2012.

IMG_2337 (1)

Di Australia, setiap jual beli sesebuah hartanah selalunya dilaporkan dan harga jual beli akan dimuatkan di laporan-laporan hartanah yang boleh diperolehi secara percuma kerana ketelusan sektor hartanah di negara itu. Malah, harga pasaran sesebuah hartanah juga boleh disemak dengan mudah.

NOW telah membuat semakan ringkas dengan sebuah perunding hartanah OnTheHouse di lamannya www.onthehouse.com.au untuk mendapatkan sejarah urusniaga jual beli yang melibatkan unit-unit di 746 Swanston Street serta nilaian terkini hartanah tersebut.

Carian NOW di www.onthehouse.com.au pada 1 Julai 2015 jam 537 petang (seperti tertera di mukasurat atas laporan yang disertakan bersama) mengesahkan bahawa sepanjang tahun 2012 (tahun MARA membeli unit-unit hartanah ini), hanya ada 6 urusniaga jual beli melibatkan unit-unit di alamat itu. Daripada 6 urusniaga jual beli tersebut, hanya ada satu jual beli yang melebihi dari satu unit dan dilabelkan sebagai unit S5, 746 Swanston Street (S5 mewakili 281 unit yang dibeli).

Download (PDF, 1.21MB)

Urusniaga itu dilaporkan berlaku dalam bulan November 2012 pada harga AUD$23.5 juta (atau RM75.7 juta pada kadar tukaran AUD$1 bersamaan RM3.22 pada tarikh jual beli 28 Ogos 2012) mengikut laporan www.onthehouse.com.au

Ini bermakna, terdapat perbezaan harga jual beli sebanyak RM63 juta diantara jumlah yang dilulus dan dilaporkan oleh MARA (iaitu RM138.6 juta seperti di dalam laporan dalaman MARA) dan jumlah harga jual beli yang dilaporkan perunding hartanah bebas (iaitu RM75.7 juta).

Jumlah ini berkemungkinan adalah jumlah yang diselewengkan kerana jumlah yang diluluskan oleh MARA tidak semuanya digunakan untuk membeli unit-unit hartanah di 746, Swanston Street yang dilaporkan bernilai lebih kurang separuh dari peruntukan yang dibelanjakan dan dilaporkan oleh MARA Inc.

Persoalannya: jika dana MARA sebanyak RM63 juta ini tidak digunakan untuk membeli unit-unit hartanah di 746 Swanston Street, ke manakah dana RM63 juta ini diselewengkan dan siapakah yang mendapat laba dari skim pembelian hartanah ini?

Semakan nilaian semasa unit-unit hartanah milik MARA ini juga menunjukkan nilaian semasanya adalah sekitar AUD$23.6 juta ke AUD$26.6 juta, iaitu hampir separuh dari jumlah yang dibelanjakan oleh MARA Inc untuk membelinya dalam tahun 2012. Ini juga bermakna pada kadar tukaran matawang terkini, nilaian maksima unit-unit hartanah ini hanyalah RM77 juta yang menyebabkan MARA Inc akan kerugian RM62 juta jika MARA Inc menjual unit-unit hartanah ini sekarang.

Download (PDF, 782KB)

Oleh yang demikian, rumusan penyelewengan pembelian keempat-empat hartanah MARA di Australia adalah seperti berikut:

HARTANAH JUMLAH DIBAYAR MARA JUMLAH DILAPORKAN PASARAN DANA DISELEWENG
Dudley House AUD$22.6 juta

RM67.2 juta

AUD$17.85 juta AUD$4.75 juta

RM15.2 juta

333 Exhibition Street AUD$31 juta

RM99.2 juta

AUD$22 juta

RM66.2 juta

AUD$9 juta

RM33 juta

51 Queen Street AUD$22 juta

RM70.4 juta

AUD$16.65 juta

RM52.4 juta

AUD$5.35 juta

RM18 juta

746 Swanston Street AUD$41.8 juta

RM138.6 juta

AUD$23.5 juta

RM75.7 juta

AUD$18.3 juta

RM62.9 juta

    Jumlah RM129 juta

Walaupun pihak berkuasa di Malaysia akan memberikan pelbagai alasan bahawa urusniaga-urusniaga ini tidak menyalahi undang-undang dan besar kemungkinan tiada tindakan lanjut akan diambil, sebarang urusniaga di Australia yang dilihat cuba menyembunyikan harga sebenar boleh disiasat bagi kesalahan mengelak cukai (tax evasion) dan mengubah wang haram (money laundering).

Oleh itu, Saudara Akmal Nasir akan berada di Melbourne, Australia minggu depan dari 10 hingga 14 Julai 2015 untuk membuat laporan dengan pihak-pihak berkuasa Australia agar keempat-empat urusniaga melibatkan MARA ini disiasat bagi kesalahan mengelak cukai dan mengubah wang haram.

Hanya dengan cara ini individu dan pihak yang terlibat boleh dibawa ke muka pengadilan bila mana kes-kes penyelewengan yang nyata seperti ini tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Isnin ini (6 Julai 2015), NOW akan mendedahkan individu-individu di belakang urusniaga ini dan bagaimana urusniaga ini dilaksanakan di Australia.

RAFIZI RAMLI
AKMAL NASIR
Pengarah Eksekutif NOW
2 Julai 2015

2 thoughts on “Penyelewengan RM63 Juta Dana MARA Dalam Pembelian Hartanah Keempat, Jumlah Penyelewengan RM129 Juta Dana MARA”

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.