Siasatan Ke Atas Pembelian Hotel Di London: Bukankah Pelaburan Di Luar Negara Mesti Diluluskan Majlis Ekonomi Yang Dipengerusikan Perdana Menteri?

Saya adalah ahli parlimen pertama yang menyatakan bahawa Tan Sri Isa Samad akan dijadikan “kambing hitam” untuk dikorbankan bagi menyelamatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak, seawal 17 Februari 2017 seperti yang dilaporkan Malaysiakini https://www.malaysiakini.com/news/372808#8S8OqMvHCWxQPA2l.97

Oleh itu, sementara saya lega kerana akhirnya ada siasatan ke atas penyelewengan wang Felda yang akan membebankan rakyat Malaysia untuk berpuluh tahun akan datang, saya juga tidak mudah terpedaya bahawa siasatan ini adalah ikhlas dan menyeluruh. Saya sudah dapat menghidu seawal Februari 2017 lagi bahawa ini akan berlaku kerana memang perkiraan itu telah dibuat lebih awal.

Sebab itu, saya menyeru rakyat Malaysia dan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan agar tidak ghairah bertepuk tangan dengan penahanan Tan Sri Isa Samad kerana itu belum tentu akan dapat merungkai kesemuanya sekiranya penyelewengan ini tidak disiasat secara menyeluruh.

Satu perkara yang membimbangkan saya ialah bagaimana budaya pertanggungjawaban di Malaysia ini (baik dalam politik, di tempat kerja, di jabatan kerajaan dan lain-lain) hanya memberi tumpuan kepada “kambing hitam” yang menjadi korban. Jika ada sesuatu penyelewengan atau pelaburan yang merugikan, hanya “kambing hitam” itu yang disiasat dan dihukum. Ketua atau badan yang bertanggungjawab mengawal selia dan meluluskan tindakan-tindakan “kambing hitam” itu yang akhirnya menyebabkan kerugian tidak disentuh langsung dan mereka kekal di jawatan mereka.

Sebab itu apabila sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) rugi besar, yang dihukum hanyalah Ketua Pegawai Eksekutifnya sedangkan Lembaga Pengarah yang turut bertanggungjawab membuat kesemua keputusan besar yang dilaksanakan oleh CEO tidak dikenakan tindakan.

Dalam kes pembelian hotel-hotel mewah di Kuching dan London oleh Felda yang menjadi tumpuan siasatan SPRM dan punca Tan Sri Isa Samad ditahan, beliau bukanlah individu yang tertinggi yang membuat keputusan pembelian. Ada lagi badan yang lebih tinggi yang sepatutnya telah lebih awal menolak dan membatalkan hasrat Felda untuk membeli hotel-hotel ini.

Saya merujuk pengalaman saya mengendalikan skandal pembelian tiga unit hartanah di Australia oleh MARA yang harganya dinaikkan hampir dua kali ganda. Kes itu sekarang sudah menjadi siasatan pihak berkuasa (walaupun belum ada seorang pun yang didapati bertanggungjawab) dan saya sudah pun menang saman dengan Timbalan Ketua Pemuda Umno yang menuduh saya memfitnah dalam kes itu.

Dalam kes tersebut, menteri yang bertanggungjawab ketika itu (Dato’ Seri Shafie Afdal) dan pengerusi MARA ketika itu (Tan Sri Anuar Musa) dengan secara jelas mengesahkan bahawa cadangan pembelian hartanah luar negara oleh MARA itu telah dibentangkan dan diluluskan oleh Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Berita-berita yang melaporkan perkara ini boleh dibaca di capaian berikut:

Harian Metro: https://www.hmetro.com.my/node/60550
Astro Awani: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pembelian-hartanah-di-australia-patuhi-tatacara-perolehan-kementerian-kewangan-pengerusi-mara-63518
Malaysiakini: https://www.malaysiakini.com/news/303181#pgsM5TCP9Vo3us8x.97

Malah, laporan Astro Awani dengan secara jelas juga memetik Tan Sri Anuar Musa sebagai mengesahkan bahawa “kelulusan dari Perdana Menteri (melalui Majlis Ekonomi) adalah sebahagian dari prosedurnya”.

Saya telah menyemak laman web Majlis Ekonomi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai keanggotaannya, fungsinya dan terma rujukannya di capaian http://www.epu.gov.my/ms/seksyen/urus-setia-majlis-ekonomi

Dato’ Seri Najib telah menetapkan bahawa Majlis Ekonomi mengambil alih tugas Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal pelaburan negara. Ini disahkan juga oleh laporan Malaysiakini https://www.malaysiakini.com/news/303195#hwqo8VG5ys2PCYEG.97
yang memetik penerangan Tan Sri Anuar Musa bagaimana pembelian di luar negara (atau) yang melibatkan pinjaman luar negara perlu dibawa ke Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Oleh yang demikian, pembelian hotel di London oleh Felda sudah tentu perlu melalui proses kelulusan yang sama iaitu perlu dibawa dan diluluskan oleh Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri di samping menteri kanan yang lain.

Jika Tan Sri Isa Samad direman dan disiasat atas dakwaan menerima suapan dari pembelian hotel tersebut yang menyeleweng duit Felda, maka Dato’ Seri Najib Razak dan anggota Majlis Ekonomi yang lain juga perlu disiasat untuk menentukan sama ada mereka juga menerima habuan/suapan kerana merekalah (Perdana Menteri dan anggota Majlis Ekonomi) yang turut meluluskan pembelian hotel di London (yang perlu dibawa ke Majlis Ekonomi kerana ia melibatkan pelaburan luar negara).

Jika ada bukti mereka tahu bahawa pembelian itu ada unsur penyelewengan kerana harganya lebih mahal tetapi mereka tetap meluluskannya, mereka perlu disiasat pula sama ada mereka mendapat habuan. Jika ada bukti mereka mendapat habuan, mereka juga perlu ditahan seperti Tan Sri Isa Samad.

Jika mereka tidak tahu ada unsur penyelewengan dalam pembelian itu tetapi gagal mengenal pasti risiko pelaburan dan gagal menyemak bahawa harga yang perlu dibayar Felda adalah terlalu tinggi, maknanya mereka tunggul yang makan gaji buta kerana gagal/cuai menjalankan amanah sebagai anggota Majlis Ekonomi. Mereka perlu dipecat atau jika mereka bermaruah, mereka perlu meletakkan jawatan.

Budaya rasuah menjadi begitu mendalam dan parah di negara kita bukan disebabkan dua tiga orang yang ditangkap terlibat di dalam penyelewengan. Mereka sebenarnya hanyalah sebahagian kecil dari satu ekosistem pentadbiran negara yang mendokong dan membenarkan rasuah berleluasa. Jika kita benar-benar mahu membanteras rasuah, kita perlu memerangi keseluruhan ekosistem rasuah ini termasuklah dengan menuntut satu teladan pertanggungjawaban yang tertinggi di kalangan menteri dan pegawai kanan kerajaan yang menduduki kerusi-kerusi penting seperti Majlis Ekonomi.

Oleh itu, walaupun Tan Sri Isa Samad telah dikambing hitamkan, itu tidak bermakna Dato’ Seri Najib boleh mencuci tangan. Beliau perlu dipanggil SPRM untuk disiasat untuk menentukan sama ada sebagai Pengerusi Majlis Ekonomi, beliau telah meluluskan pembelian ini (jika dibawa) dan sebab musabab beliau berbuat demikian sedangkan jelas harga yang dibayar Felda adalah jauh lebih tinggi dari yang sepatutnya.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.