Harga Minyak RON95, Diesel Dan RON97 Bagi Ogos 2015

Oleh kerana kejatuhan harga minyak mentah dunia kebelakangan ini nampaknya tidak diterjemahkan kepada harga RON95, diesel dan RON97 yang lebih murah, saya telah mengambil keputusan untuk memantau kembali harga RON95, diesel dan RON97 yang ditetapkan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sebelum ini di antara Oktober 2014 hingga Mac 2015, saya mengikuti dengan dekat perubahan harga pasaran dunia bagi minyak mentah dan minyak yang telah diproses mengikut gred (iaitu RON95, diesel dan RON97) seperti yang dilaporkan oleh Platts di Singapura.

Harga minyak mentah dunia mengikut harga rujukan Brent telah jatuh sehingga 15% dalam bulan Julai sahaja (iaitu dari USD62 setong di awal Julai 2015 kepada USD53 setong di akhir Julai 2015) seperti berikut:

crudejuly15

Walaupun secara umumnya pola kejatuhan harga ini turut dicatatkan oleh pasaran minyak siap diproses (RON95, diesel dan RON97) Singapura yang dijadikan harga rujukan, kejatuhan harga itu tidak dirasai oleh rakyat Malaysia kerana kejatuhan nilai ringgit. Oleh kerana harga rujukan untuk mengira harga RON95, diesel dan RON97 adalah di dalam Dollar Amerika Syarikat, harga rujukan itu perlu ditukar kepada harga di dalam Ringgit Malaysia terlebih dahulu. Semakin lemah nilai Ringgit Malaysia berbanding Dollar Amerika Syarikat, semakin tinggilah harga RON95, diesel dan RON97 yang dibayar oleh rakyat Malaysia.

Malangnya, nilai Ringgit Malaysia terus menjunam sepanjang bulan Julai 2015 seperti berikut (jatuh dari RM3.735 di awal hingga mencecah RM3.815 di akhir):

ringgit1month

Malah ini meneruskan kejatuhan nilai ringgit sejak setahun lepas seperti berikut (dari sekitar RM3.10 setahun lepas hingga jatuh kepada RM3.80):

ringgit1y

Senarai harga setiap hari mengikut formula yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri berdasarkan harga pasaran RON95, diesel dan RON97 sepanjang Julai 2015 seperti yang dilaporkan di Singapura diperincikan di dalam Lampiran.

Download (PDF, 43KB)

Berdasarkan senarai harga harian sepanjang Julai 2015 itu, maka harga bagi RON95, diesel dan RON97 bagi Ogos 2015 adalah seperti berikut:

RON95 – kekal pada harga RM2.15 seliter

Diesel – turun 20 sen dari RM2.05 seliter kepada RM1.85 seliter

RON97 – turun 20 sen dari RM2.55 seliter (termasuk GST) kepada RM2.35 seliter (termasuk GST)

Harga Minyak Ogos-01

Sekiranya harga yang ditetapkan oleh kerajaan berkuatkuasa 1 Ogos 2015 lebih mahal dari harga-harga ini, bermakna kerajaan mengutip cukai tersembunyi dari rakyat kerana harga ditetapkan lebih mahal dari formula yang digunapakai. Sekiranya harga yang ditetapkan adalah lebih murah, bermakna kerajaan memperkenalkan kembali subsidi untuk menurunkan harga minyak.

Untuk mengenalpasti kesan kejatuhan nilai ringgit ke atas harga minyak yang ditanggung rakyat, saya telah membuat satu simulasi mudah untuk menentukan apakah harga RON95 bagi Ogos 2015 sekiranya kadar matawang ringgit berbanding dollar kekal pada paras di bulan-bulan yang lepas. Keputusannya seperti berikut:

Bulan Kadar Matawang Harga RON95
1-Aug-14 3.212 1.86
1-Jan-15 3.495 2.00
1-Feb-15 3.634 2.07
1-Mar-15 3.612 2.06
1-Apr-15 3.699 2.10
1-May-15 3.594 2.05
1-Jun-15 3.693 2.10
1-Jul-15 3.766 2.13

Ini bermakna, sekiranya kadar matawang kekal seperti 1 Ogos 2014, harga RON95 mengikut formula kerajaan sepatutnya hanyalah RM1.86 seliter (berbanding RM2.15 seliter sekarang) pada harga minyak mentah yang sama di pasaran. Tanpa perubahan harga minyak mentah, kejatuhan nilai ringgit dari RM3.212 pada 1 Ogos 2014 kepada RM3.766 pada 1 Julai 2015 telah menyebabkan rakyat terpaksa membayar RON95 pada harga RM2.15 seliter sedangkan harga sebenar hanyalah RM1.86 seliter.

Saya dengan ini menyeru Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang baru untuk melaksanakan perkara berikut dengan segera:

1. Menyiarkan jadual pengiraan harga setiap hari yang digunakan untuk menetapkan harga setiap awal bulan seperti yang saya lakukan ini untuk memastikan tiada cukai tersembunyi yang dikutip dari rakyat

2. Memperkenalkan kembali subsidi sebanyak 30 sen setiap liter yang perlu ditanggung oleh kerajaan untuk mengembalikan harga minyak RON95, diesel dan RON97 kepada harga sebenar mengikut harga pasaran iaitu RM1.85 seliter (bagi RON95). Ini penting untuk mengimbangi kesan kejatuhan nilai ringgit yang kini menjadi bebanan utama kepada rakyat

Saya akan terus memantau harga minyak dan pasaran minyak mentah dan mengumumkan harga mengikut formula pada setiap akhir bulan untuk memastikan ketelusan penetapan harga RON95, diesel dan RON97.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

4 thoughts on “Harga Minyak RON95, Diesel Dan RON97 Bagi Ogos 2015”

  1. Kerajaan sepatutnya menurunkan harga minyak untuk menjaga kebajikan rakyat yang berada di tahap paling bawah.

  2. Assalam Tuan.
    Terima kasih atas makluman pengiraan ini. Saya percaya ia lebih memudahkan pembaca untuk memahami mengapa harga minyak Ron 95 Malaysia tidak jatuh sejajar dengan kejatuhan harga Ron 95 dunia.

  3. KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel turun 10 sen seliter bagi Ogos 2015 berkuat kuasa tengah malam ini (1 Ogos).

    Harga baharu RON95 ialah RM2.05 seliter, RON97 pula RM2.45 seliter selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dan diesel RM1.95 seliter.

    “Harga tersebut berkuat kuasa mulai 12.01 pagi, 1 Ogos ini,” kata Timbalan Presiden Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia Datuk Zulkifli Mokti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.