Sejak beberapa hari yang lepas, ada cubaan yang tersusun oleh pimpinan Umno untuk membawa isu baru iaitu pembiayaan parti-parti politik. Perkara ini mula-mula disebut oleh Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan disambut sendiri oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Dalam ucapannya di Seremban, Dato’ Seri Najib mengumumkan kesediaan beliau untuk menyatakan punca kewangan Umno dan penyumbang-penyumbang kepada dana Umno lalu mencabar parti-parti pembangkang untuk turut menyatakan punca kewangan kami.
Operasi harian KEADILAN termasuk membayar gaji kakitangan di ibupejabat, sewa pejabat-pejabat KEADILAN negeri dan perbelanjaan ibupejabat ditampung oleh potongan gaji oleh wakil rakyat KEADILAN. KEADILAN mempunyai 29 ahli parlimen dan 40 ADUN di seluruh negara. Ahli Parlimen dan ADUN di Selangor dan Pulau Pinang (negeri yang diperintah pakatan pembangkang) menyumbang 20% dari gaji bulanan kepada KEADILAN. Ahli Parlimen dan ADUN dari negeri lain menyumbang 10% dari gaji bulanan kepada KEADILAN.
Bagi perbelanjaan lain, KEADILAN mengadakan majlis mengutip derma dari semasa ke semasa terutamanya menjelang pilihanraya. Kutipan dana dari majlis mengutip derma ini bergantung kepada kehadiran – ada yang berjaya mengutip dari RM50,000 sehingga RM500,000 bergantung berapa banyak tiket dijual.
Walau bagaimana pun, isu pembiayaan parti-parti politik ini hanyalah helah yang dimainkan oleh Umno dan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Saya berpandangan bahawa isu ini ditimbulkan untuk menutup dua persoalan besar yang tidak boleh dijawab oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak:
1. Ke manakah wang RM42 bilion yang dipinjam oleh 1MDB dan benarkah wang itu telah diambil oleh individu-individu yang rapat dengan Perdana Menteri seperti Jho Low?
2. Kenapakah RM2.6 bilion yang sebahagiannya dituduh turut berasal dari dana 1MDB dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri?
Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Azalina Othman setakat ini memberi gambaran seolah-olah dana RM2.6 bilion itu kononnya adalah sumbangan dermawan antarabangsa kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak dan bukannya dana 1MDB.
Saya tidak terkejut sekiranya Dato’ Seri Najib Tun Razak melalui jurucakapnya seperti Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam masa beberapa minggu ini akan menjual cerita-cerita berikut:
1. Dana RM2.6 bilion itu adalah derma dari orang kaya dari Timur Tengah secara peribadi kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak. Derma itu digunakan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk membiayai kempen pilihanraya Umno dan Barisan Nasional dalam PRU13 yang lalu
2. Ada bukti dalam bentuk dokumen bahawa kononnya dana RM2.6 bilion itu adalah derma kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak
3. Oleh kerana dokumen itu, maka pemindahan RM2.6 bilion itu bukanlah berunsur rasuah dan hanyalah sumbangan politik seperti mana kes RM40 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Dato’ Seri Musa Aman, Ketua Menteri Sabah satu ketika dahulu
4. Berdasarkan perkara ini, siasatan ke atas 1MDB dan dana RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi Perdana Menteri akan menyimpulkan bahawa tidak ada unsur rasuah dan kes ditutup begitu sahaja
Isu-isu yang dibawa kebelakangan ini berkaitan pembiayaan parti-parti politik hanyalah untuk mempersiapkan orang ramai dengan skrip yang telah disediakan iaitu siasatan berkenaan 1MDB dan dana di dalam akaun peribadi 1MDB mendapati tiada unsur rasuah dan kes ditutup begitu sahaja.
Saya yakin rakyat Malaysia yang celik tidak akan termakan dengan putar alam begini. Saya juga berharap pimpinan Umno yang masih ada sedikit maruah seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin terus mengkritik Dato’ Seri Najib Tun Razak supaya rakyat tidak diperbodohkan dengan cerita dongeng kononnya dana RM2.6 bilion ini adalah sumbangan derma orang kaya Timur Tengah kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN