Pelaburan SRC Alami Susutnilai RM204 Juta Sedangkan Kakitangan Kerajaan Dari Badan Berkanun Dinafikan Hak Pencen

21 APRIL 2015

Dalam satu sidang media di Parlimen pada 1 April 2015, saya telah mendedahkan bagaimana pelaburan SRC International Sdn Bhd (sebuah anak syarikat 1MDB sebelum dipindahmilik kepada Kerajaan Malaysia) telah mengalami susutnilai (impairment) berdasarkan penyata kewangan terkini bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014 yang telah diaudit.

Penyata kewangan terkini itu telah menunjukkan sebanyak RM115 juta telah dicatatkan sebagai susutnilai pelaburan SRC.

Selain dari pelaburannya sendiri, SRC juga telah menubuhkan sebuah syarikat usahasama (joint venture) dengan sebuah syarikat dari Timur Tengah iaitu Aabar untuk melabur di dalam aset perlombongan. SRC memegang 50% kepentingan di dalam syarikat usahasama ini yang melibatkan pelaburan sebanyak RM184 juta. Ini terkandung di dalam nota kewangan 11 seperti yang dilampirkan.

jv1

Bagi tahun kewangan yang sama, SRC berpandangan bahawa pelaburan di dalam syarikat usahasama itu tidak akan membawa pulangan yang memberangsangkan. Oleh yang demikian, SRC telah mencatatkan susutnilai (impairment) bagi pelaburan dalam usahasama ini sebanyak RM89 juta seperti yang dinyatakan di dalam sambungan nota kewangan 11.

jv2

Ini bermakna, bagi tahun kewangan 2014 sahaja, kerugian melalui susutnilai yang dicatatkan oleh SRC dari pelaburan dalam perlombongan arang batu di Mongolia telah mencecah RM204 juta (iaitu RM115 juta dari pelaburan sendiri dan RM89 juta melalui syarikat usahasama).

Oleh kerana dana yang digunakan oleh SRC untuk melabur adalah dari pinjaman sebanyak RM4 bilion yang diberikan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), kerugian RM204 juta setahun bukanlah jumlah yang kecil apatah lagi jika diambil kira sebanyak RM3.1 bilion dari pelaburan SRC dikategorikan sebagai pelaburan yang tidak mempunyai maklumat dan tidak dapat diaudit oleh juru audit.

Sejak saya membawa isu SRC, ramai pesara kerajaan yang tampil meluahkan rasa marah terutamanya pesara-pesara dari badan-badan berkanun yang dinafikan hak mereka untuk mendapat pencen apabila badan berkanun itu diswastakan. Mereka ini terdiri dari kakitangan kerajaan yang menyertai sektor kerajaan dan diserapkan ke badan-badan berkanun seperti Bank Simpanan Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ada beribu-ribu pesara dari kalangan mereka yang telah dinafikan hak untuk mendapatkan pencen pada kala dana pencen dilaburkan oleh SRC/1MDB dalam pelaburan yang tidak diketahui seperti ini.

Saya akan mula membawa kes pesara-pesara ini untuk menuntut pampasan sewajarnya dari kerajaan setelah dana pencen dilaburkan sewenang-wenangnya oleh 1MDB.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

One thought on “Pelaburan SRC Alami Susutnilai RM204 Juta Sedangkan Kakitangan Kerajaan Dari Badan Berkanun Dinafikan Hak Pencen”

  1. Kalau rugi besar kenapa kwsp menbanyar dividen nya.
    Bukan kah dasar dap nak kurangkan kaki tangan kerajaan kenapa kerajaan selangor dan penang tak kurang kakitangan kerajaan.
    mana datang RM204juta aku faham apa maksud kau itu kalau akaun ini setengah ini baik payah ia bukan kos 184,juta ke . Cuba keseluruhan 1muka surat muka surat ia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.