Sistem Subsidi Baru Petrol & Diesel: Risiko Penyelewengan Dan Kesan Berganda Kenaikan Harga Barang

Laporan-laporan berita yang mengesahkan bahawa Barisan Nasional sedang memuktamadkan satu sistem subsidi baru petrol dan diesel sudah tentu menimbulkan kegelisahan dan kebimbangan di kalangan rakyat.

Setakat ini, laporan-laporan berita memberi gambaran bahawa sistem subsidi baru petrol dan diesel itu akan beroperasi seperti berikut:

1. Subsidi petrol dan diesel hanya akan diberikan kepada golongan tertentu mengikut kadar pendapatan. Setakat ini, laporan menyebut jumlah pendapatan yang dipertimbangkan ialah RM5,000 ke bawah (bermakna bagi mereka yang berpendapatan RM5,000 ke bawah, mereka masih boleh membeli petrol dan diesel pada harga subsidi);

2. Bagi mereka yang berpendapatan di antara RM5,000 hingga RM10,000, pengguna hanya diberikan kuota bulanan tertentu untuk membeli petrol dan diesel bersubsidi. Sekiranya jumlah penggunaan melebihi kuota bulanan, pengguna perlu membayar harga pasaran;

3. Bagi mereka yang berpendapatan lebih RM10,000 sebulan, pengguna perlu membeli pada harga pasaran.

Saya kerap kali memberi amaran kepada Barisan Nasional supaya sebarang keputusan yang melibatkan kebajikan rakyat perlulah dibincangkan dan mengambil pandangan umum supaya keputusan itu tidak membelakangkan hasrat rakyat.

Rombakan sistem subsidi petrol dan diesel adalah satu keputusan besar yang akan mempunyai kesan mendalam kepada rakyat. Dalam keadaan harga barang terus meningkat dan tangga gaji masih belum berjaya dilonjakkan, sebarang perubahan yang drastik terhadap harga petrol dan diesel sudah tentu akan mempunyai kesan berganda kepada harga barang.

Oleh sebab itu, Barisan Nasional wajar membentangkan cadangan rombakan sistem subsidi petrol dan diesel ini ke Parlimen terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Rakyat perlu diberikan masa yang secukupnya, sekurang-kurangnya satu tahun untuk memberi pandangan sebelum sistem baru subsidi petrol dan diesel ini berkuatkuasa, mengambil kira kesusahan yang telah pun dialami rakyat akibat kenaikan harga petrol, elektrik, gula dan barang-barang keperluan lain.

Berdasarkan maklumat yang dilaporkan setakat ini, saya khuatir sistem subsidi baru petrol dan diesel ini akan mewujudkan pasaran gelap yang menjual petrol dan diesel seperti berikut:

1. Kumpulan yang dibenarkan membeli petrol dan diesel pada harga subsidi boleh membeli secara kerap dan menyimpan petrol dan diesel ini;

2. Mereka kemudian menjual kepada ejen pasaran gelap yang membeli petrol dan diesel ini pada harga yang lebih tinggi;

3. Ejen pasaran gelap kemudian menjual petrol dan diesel ini pada harga yang lebih rendah dari harga pasaran kepada syarikat, pengusaha atau pun orang persendirian yang mahu mendapatkan harga petrol dan diesel pada harga yang lebih rendah.

Misalnya, jika harga subsidi satu liter petrol adalah RM2.10 dan harga pasaran adalah RM2.80 satu liter, pasaran gelap berikut boleh berlaku:

1. Kumpulan yang dibenarkan membeli petrol dan diesel pada harga subsidi menjualnya pada harga RM2.30 satu liter kepada ejen pasaran gelap;

2. Ejen pasaran gelap menjualnya pada harga RM2.50 satu liter kepada syarikat, pengusaha dan orang persendirian yang membeli dari pasaran gelap.

Jelas bahawa sistem subsidi baru yang dilaporkan mempunyai risiko ketirisan subsidi yang tersendiri, seperti mana sistem sekarang yang sering dipersalahkan oleh Barisan Nasional sebagai punca berlakunya penyeludupan.

Saya khuatir sekiranya sistem baru subsidi ini tidak diperhalusi dan dibincangkan secara terbuka, apabila dilaksanakan kelak ia mewujudkan pasaran gelap petrol dan diesel yang menimbulkan masalah baru yang lebih besar dari masalah penyeludupan sedia ada kerana ia melibatkan lebih ramai orang dan rakyat biasa.

Ini sudah tentu tidak berbaloi apabila dibandingkan dengan kepayahan yang dihadapi oleh rakyat akibat kenaikan harga petrol dan diesel serta kesan kenaikan berganda kepada harga barang, sedangkan ketirisan subsidi petrol dan diesel yang dijadikan alasan untuk menukar sistem makin berleluasa.

Oleh yang demikian, saya menggesa supaya Barisan Nasional membentangkan secepat mungkin segala butiran sistem baru subsidi petrol dan diesel ini serta dibahaskan di Parlimen dalam sidang yang bermula minggu depan, sebelum sebarang keputusan diambil.

Saya akan terus mengeluarkan kenyataan media dan menyemak keputusan Barisan Nasional mengenai rombakan sistem subsidi petrol dan diesel ini bermula hari ini.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

3 Jun 2014

11 thoughts on “Sistem Subsidi Baru Petrol & Diesel: Risiko Penyelewengan Dan Kesan Berganda Kenaikan Harga Barang”

  1. Tahniah Tuan Rafizi atas penjelasan dan hujah yang padat. dalam keadaan ekonomi yg meresahkan dan tidak menentu sekarang sudah pasti kenaikan harga petrol bukan satu perkara yang logik. Untung 1, rugi 10. itu yg berlaku. impak kepada kos sara hidup. belanja harian rakyat dah makin senak. makin jimat pun masih xcukup. jenayah skyrocketing. jgn sampai nanti kita dengar student merompak utk tanggung keluarga.

  2. Belum GST barang di pasaran sudah mula hilang minyak dan tepung selepas itu gula dan kain baju pun hilang dan jadi mahal dan melayu menang sorak kampung tergadai macam pak pandir betul punya polisi. Bagus Rafizi teruskan perjuangan dan PM sememangnya tidak layak jadi menteri kewangan tambah diapit penasihat yang paling teruk. – APTB

  3. bkn cadangan mcm ni yg tuan yb rafizi cadangkan semasa menjawap kenyataan timbalan menteri kewangan di parlimen.betulkan saya jika saya silap.

  4. dah kalu terer sangat apa cadangan terbaik utk elakkan penyeludupan subsidi ni?.. Komplen je reti.. Penggunaan kad utk elakkan penjualan kpd warga asing adalah bagus..ia juga boleh diguna utk pantau kadar guna petrol oleh setiap individu.. Kawalan boleh diguna utk mengelakkan salah guna lbh dr keperluan pribadi.. Quota keatas individu juga bagus.. Tp perlu dibincang kadar yg sesuai dan mengikut produktiviti dan keperluan.. Begitu juga syarat mengikut pendapatan perlu dikaji…. Jika kadar quota berbeza ikut pendapatan tdk bagus maka cadang supaya sama rata.. Jd x jadi manipulasi spt yg dibimbangkan tu.. Tp objektif asal tetap tercapai..

  5. Pencadangan sistem subsidi minyak ni sememangnya meragukan. Terima kasih saudara Rafizi kerana telah memperjelaskan lagi bagaimana sistem ini boleh membebankan daripada meringankan. Tapi sila bersedia untuk menerima cemuhan dan kritikan drpd mereka yg cetek pengetahuan serta yg telah dibutakan ‘bantuan2’ alakadar pihak BN. Hakikatnya yg lemah minda tetap akan dipermainkan dan mereka ni lah golongan majoriti yg harus kita sedarkan. Dah lah sengal otak, degil lagi tu. Hahahaha. Namun, jokes aside, inilah yg seharusnya difikirkan. Masalah rakyat bukannya masalah BN kerana mereka hanya tahu mencadang tanpa membuat tinjauan yg lebih lanjut dan terperinci. Syabas YB !!!!

  6. Berdasarkan artikel ini, sepertinya Saudara Rafizi berhati-hati dalam membuat spekulasi awal. Apa yang saya faham, ada baik buruknya sistem subsidi baru ini. Risikonya, manipulasi pihak2 tertentu yang mengambil kesempatan.

    Persoalannya, jika sistem subsidi ini bagus, bagaimanakah perlaksanaannya?

    Apakah mungkin, jika pemilik kereta keluaran nasional di berikan subsidi berbanding pemilik kereta keluaran asing?

    Ini persoalan yang menarik.

  7. Dulu nak seludup kena pi sempadan negara.. Pasni nak seludup kat sempadan rumah pun boleh.. Only in malaysia…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.