Konsesi UiTM Pasir Gudang Kepada Adun Umno DUN Bertam & Rakan Kongsi

Jawapan Perdana Menteri kepada soalan Parlimen saya bertarikh 10 April 2014 mengesahkan bahawa satu perjanjian konsesi telah ditandatangani di antara Kerajaan Malaysia dan Cosmic Dimension Sdn Bhd bagi pembinaan UiTM Kampus Cawangan Pasir Gudang yang akan dibina oleh Cosmic Dimension Sdn Bhd dan disewakan kembali kepada UiTM.

Dalam jawapan yang sama, Perdana Menteri mengakui bahawa kos kampus adalah di antara RM280 juta ke RM315 juta tetapi UiTM terikat dengan satu perjanjian konsesi selama 23 tahun dengan bayaran sewa tahunan di antara RM56 juta hingga RM69 juta.

Semakan menunjukkan bahawa Cosmic Dimension Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang mana salah seorang pemilik saham utamanya adalah YB Shariful Azhar Othman, ADUN Bertam (Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang) dari Umno.

Download (PDF, 199KB)

Beliau memegang sebanyak 1 juta saham Cosmic Dimension Sdn Bhd iaitu 20% saham pemegang konsesi tersebut. Bersama-sama seorang lagi pengarah dan pemegang saham utama iaitu Mohamed Rafik Mohd Idris (pemegang 45% saham), YB Shariful Azhar Othman mengawal secara majoriti Cosmic Dimension Sdn Bhd.

Kedua-dua YB Shariful Azhar Othman dan Mohamed Rafik Mohd Idris mempunyai hubungan rapat melalui satu yayasan iaitu Yayasan Abadi yang ditubuhkan secara bersama oleh mereka. YB Shariful Azhar Othman adalah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah sementara Mohamed Rafik Mohd Idris adalah pengarah urusan Yayasan Abadi.

Semakan terkini pada 14 April 2014 dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan bahawa penyata kewangan terakhir yang difailkan oleh Cosmic Dimension Sdn Bhd dengan SSM adalah bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2008.

Penyata kewangan itu menunjukkan kedudukan aset sebanyak hampir RM6 juta dan perolehan tahunan sebanyak RM150,000 sahaja.

Sebab itu, bukan sahaja saya mempersoalkan kaedah penswastaan kampus cawangan UiTM yang digunapakai oleh Barisan Nasional, malah saya berpendapat latar belakang syarikat pemegang konsesi tidak menunjukkan kedudukan kewangan yang kukuh dan pengalaman yang panjang dalam sektor pembinaan.

Apabila dibandingkan dengan konsesi kampus-kampus cawangan lain yang menunjukkan setiap konsesi berkait dengan seorang yang rapat dengan Umno, saya menggesa Perdana Menteri menjawab sama ada perjanjian konsesi ini diberi kepada Cosmic Dimension Sdn Bhd kerana syarikat itu berkait rapat dengan seorang ADUN Umno?

Perjanjian konsesi 23 tahun yang membebankan UiTM ini sudah tentu akan membawa kesan kepada yuran dan perbelanjaan-perbelanjaan lain satu hari nanti seperti mana perjanjian tol dan IPP telah mengekang kemampuan kewangan Kerajaan Persekutuan.


RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

16 Jun 2014

2 thoughts on “Konsesi UiTM Pasir Gudang Kepada Adun Umno DUN Bertam & Rakan Kongsi”

  1. rafazi terlalu bodoh, siapa menipu ssm itu ya, kalau dapat tendar uitm mesitlah ada sijil KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA akan berikan akuan pendaftaran kontraktor ,itu pun rafizi tak tahu, barulah ia boleh luluskan tendar ya, sila bagi sila bagi akuan pendaftaran kontraktor disah KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA baru orang boleh percaya ya, , nanti cakap salah kan najib sebab KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA itu najib punya itu jawapanya bodoh rafizi..
    rafizi dah lama kerja petronas masih tak tahu pasal cara2 tendar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.