Kertas Laporan Kepada Bank Negara Malaysia: Asas Siasatan Terhadap RM40 Juta Wang UMNO Di Bawah AMLA2001

PENDAHULUAN

1. Kepimpinan Bank Negara Malaysia (“BNM”) yang berjaya mengurus dan mengawalselia sektor perbankan dan kewangan di Malaysia memang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

2. Pelan strategik BNM untuk membangunkan lagi sektor perbankan dan kewangan negara, termasuk menjadikan Malaysia pusat kewangan Islam antarabangsa yang tersohor akan bergantung kepada persepsi komuniti pelabur antarabangsa terhadap kebebasan, integriti dan ketelusan sektor perbankan dan kewangan negara.

3. Oleh yang demikian, salahguna dan penyelewengan yang bersabit dengan sektor perbankan dan kewangan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang mudah. Tuduhan-tuduhan yang melibatkan aktiviti pengubahan wang (“money laundering”), jika tidak disiasat secara bebas dan telus, akan memberikan kesan besar kepada reputasi BNM dan cita-cita negara mahu menjadi pusat kewangan antarabangsa yang tersohor.

4. Rentetan pendedahan demi pendedahan berhubung kes pemindahan wang RM40 juta yang disabitkan dengan Umno Sabah dan Ketua Menteri Sabah Dato’ Seri Musa Aman, timbul keraguan yang nyata bahawa satu perlakuan pengubahan wang yang menyalahi undang-undang telah berlaku.

5. Merujuk kepada peruntukan-peruntukan yang ada di dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (Anti Money Laundering Act 2001), kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Dato’ Seri Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Dato’ Seri Wilfred Bumburing (Ahli Parlimen Tuaran) dan Dato’ Seri Lajim Ukin (Ahli Parlimen Beaufort) sudah memberikan bukti yang kukuh untuk memulakan siasatan berhubung kes pemindahan wang RM40 juta tersebut.

KES BERPROFAIL TINGGI MELIBATKAN KEPENTINGAN NASIONAL

1. Transaksi pemindahan wang berjumlah RM40 juta yang menjadi kontroversi kebelakangan ini adalah sebahagian daripada tuduhan-tuduhan lain yang berkepentingan nasional.

2. Transaksi tersebut hanyalah salah satu daripada transaksi kewangan yang melibatkan institusi kewangan di beberapa buah negara seperti Hong Kong, Singapura, Switzerland dan Malaysia berhubung tuduhan hasil rasuah dan penyelewengan harta awam yang disalurkan melalui sektor perbankan.

3. Transaksi-transaksi ini memberi gambaran bahawa kerangka penguatkuasaan dan kawal selia sektor perbankan yang diterajui oleh BNM seolah-olah tidak berfungsi sehingga membolehkan hasil yang dipercayai dari aktiviti rasuah dan penyelewengan harta awam disimpan bagi pihak individu-individu berkepentingan.

4. Oleh yang demikian, transaksi pemindahan wang berjumlah RM40 juta ini menjadi kes ujian (“test case”) sejauh manakah BNM boleh bertindak secara bebas dan telus dalam menyiasat kes-kes yang dipercayai melibatkan rasuah dan pelanggaran undang-undang sektor perbankan, apabila kes itu dikaitkan dengan pimpinan politik tertinggi kerajaan sedia ada.

5. Adalah menjadi amanah BNM untuk mempertahankan kebebasan dan ketelusannya dengan memulakan siasatan terhadap pemindahan wang berjumlah RM40 juta itu untuk menentukan sama ada individu-individu berikut telah bersalah melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001:

i. Dato’ Seri Musa Aman, Ketua Menteri Sabah
ii. Dato’ Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri
iii. Pemimpin Umno “X” yang disebut oleh Ahli Parlimen Tuaran sebagai penerima wang RM40 juta ke akaun peribadinya
iv. Mana-mana pemimpin Umno lain yang turut tahu mengenai pemindahan wang ini tetapi tidak melaporkan kepada BNM
v. Michael Chia, ahli perniagaan dari Sabah yang dikaitkan dengan tuduhan mengaut keuntungan dari hasil balak yang diperolehi secara rasuah

ASAS MEMULAKAN SIASATAN
SEKSYEN 3(1), AKTA PENCEGAHAN PENGUBAHAN WANG HARAM 2001

1. Petikan Seksyen 3(1) Akta menyebut:

Tafsiran

3. (1) Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“pengubahan wang haram” ertinya perbuatan seseorang yang—

(a) melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung, dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada apa-apa aktiviti haram;

jika—

(bb) berkenaan dengan kelakuan orang sebenar, orang itu tanpa alasan yang munasabah tidak mengambil langkah yang munasabah untuk menentukan sama ada atau tidak harta itu ialah hasil daripada apa-apa aktiviti haram;

2. Seksyen 3(1) Akta secara jelas menetapkan bahawa seseorang akan disabitkan dengan kesalahan mengubah wang haram walaupun dia tidak terlibat secara langsung di dalam aktiviti haram, sekiranya dia terlibat di dalam transaksi yang akhirnya disabitkan dengan aktiviti haram kerana tanpa alasan yang munasabah, dia tidak mengambil langkah yang munasabah untuk menentukan terlebih dahulu sama ada harta itu hasil dari apa-apa aktiviti haram.

3. Asas sebarang undang-undang mencegah pengubahan wang haram di seluruh dunia secara jelas meletakkan tanggungjawab itu kepada setiap orang yang terlibat di dalam sebarang transaksi untuk memastikan bahawa wang yang dihantar atau diterima bukanlah dari hasil aktiviti haram.

4. Oleh yang demikian, adalah tidak memadai bagi BNM untuk berpuas hati dengan penerangan pendek yang dibuat oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri) dan Dato’ Seri Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) bahawa wang itu adalah derma politik kepada Umno.

5. Tugas BNM, seperti yang diperuntukkan melalui Seksyen 3(1) Akta adalah menentukan sama ada sumber wang itu bersabit dengan aktiviti haram kerana menjadi kesalahan di bawah Akta ini menerima atau mengendalikan sebarang transaksi yang sumbernya dari aktiviti haram, walaupun seseorang itu tidak tahu menahu bahawa sumbernya haram.

6. Di bawah Seksyen 3(1) Akta, BNM bertanggungjawab menyiasat sumber wang RM40 juta untuk menentukan sama ada berlaku pelanggaran Akta.

 

ASAS MEMULAKAN SIASATAN
SEKSYEN 14(b), AKTA PENCEGAHAN PENGUBAHAN WANG HARAM 2001

1. Petikan Seksyen 14(b) Akta menyebut:

Laporan oleh institusi pelapor

14. Sesuatu institusi pelapor hendaklah dengan segera melaporkan kepada pihak berkuasa berwibawa apa-apa transaksi—

(a) yang melebihi apa-apa amaun yang ditentukan oleh pihak berkuasa berwibawa; dan

*(b) jika identiti orang yang terlibat, transaksi itu sendiri atau mana-mana hal keadaan lain berkenaan dengan transaksi itu memberi mana-mana pegawai atau pekerj institusi pelapor itu sebab untuk mengesyaki bahawa transaksi itu melibatkan hasil suatu aktiviti haram.

2. Seksyen 14(b) Akta secara jelas menyebut bahawa menjadi tanggungjawab kakitangan bank dan bank untuk melaporkan segera kepada BNM sesuatu transaksi sekiranya identiti orang yang terlibat, transaksi itu sendiri atau mana-mana hal menimbulkan syak wasangka.

3. Seperti kenyataan Dato’ Seri Nazri Aziz, wang RM40 juta ini akhirnya dipindahkan melalui pemindahan wang elektronik dari akaun yang telah dibekukan oleh Suruhanjaya Bebas Pencegah Rasuah Hong Kong (ICAC) setelah disiasat. Maklumat ini sudah tentu disampaikan kepada bank Malaysia yang menerima pemindahan wang ini kerana ia sudah menjadi prosedur biasa bank mengikut amalan terbaik (best practices) untuk mengetahui segala pelanggaran undang-undang melibatkan sesuatu transaksi.

4. Oleh kerana sumber wangnya dari satu akaun yang telah dibekukan kerana disiasat, serta merta peruntukan Seksyen 14(b) digunapakai yang mewajibkan bank dan pegawainya melaporkan kepada BNM agar transaksi itu disiasat.

5. Di bawah Seksyen 14(b) Akta, BNM bertanggungjawab menyiasat transaksi tersebut kerana sumbernya dari akaun yang dibekukan dan menimbulkan keraguan bahawa ia bersabit dengan aktiviti haram.

 

ASAS MEMULAKAN SIASATAN
SEKSYEN 16(3), AKTA PENCEGAHAN PENGUBAHAN WANG HARAM 2001

1. Petikan Seksyen 16(3) Akta menyebut:

Pengenalpastian pemegang akaun

16. (3) Sesuatu institusi pelapor hendaklah mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk mendapatkan dan merekodkan maklumat mengenai identiti sebenar orang yang bagi pihaknya suatu akaun dibuka atau suatu transaksi dijalankan jika terdapat apa-apa keraguan bahawa mana-mana orang tidak bertindak bagi pihak dirinya sendiri, terutamanya dalam hal seseorang yang tidak menjalankan apa-apa operasi komersial, kewangan, atau perindustrian di dalam Negara asing tempat terletaknya ibu pejabat atau domisilnya.

2. Kenyataan Dato’ Seri Wilfred Bumburing bahawa wang RM40 juta itu dimasukkan terus ke akaun seorang pemimpin Umno, bukannya ke akaun Umno membayangkan bahawa pemimpin Umno itu mungkin bertindak sebagai wakil kepada Umno, penerima asal derma politik itu seperti yang dinyatakan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Dato’ Seri Nazri Aziz.

3. Dalam situasi ini, Seksyen 16(3) mengkehendaki bank mengambil langkah-langkah munasabah untuk mendapatkan maklumat tentang individu-individu yang terbabit di dalam transaksi tersebut. Apatah lagi apabila pemimpin Umno “X” itu sudah tentu telah menimbulkan keraguan di pihak bank dan pegawainya apabila seorang ahli politik menerima wang dalam jumlah sebesar RM40 juta.

4. Di bawah Seksyen 16(3) Akta, BNM bertanggungjawab menyiasat individu-individu di sebalik transaksi ini termasuklah si pemegang akaun (pemimpin “X”), Umno sendiri dan penderma untuk menentukan sama ada kesalahan pengubahan wang haram telah dilakukan.

 

ASAS MEMULAKAN SIASATAN
PERATURAN MATAWANG ASING OLEH BNM MELALUI “ECM4 – GENERAL PAYMENTS”

1. Laporan-laporan berita menyebut bahawa Michael Chia ditahan pada 14 Ogos 2008 dan disiasat oleh ICAC kerana dituduh terlibat di dalam pengendalian wang sebanyak RM40 juta yang sumbernya diragui.

2. Sekitar tempoh Ogos 2008 hinggalah 2010, sebarang transaksi melibatkan mata wang asing atau ringgit di antara pemastautin (resident) dan bukan pemastautin (non-resident) atau transaksi di antara akaun di Malaysia dan luar negara adalah tertakluk kepada peraturan mata wang yang ditetapkan oleh BNM melalui pekeliling ECM4.

3. Mengikut ECM4, sebarang transaksi melibatkan pemindahan wang melibatkan pemastautin dan bukan pemastautin (atau transaksi di Malaysia dan luar Malaysia) yang melebihi RM200,001 perlulah dilaporkan melalui borang khas kepada BNM.

4. Oleh yang demikian, BNM perlu menyemak kembali sama ada pengisytiharan tersebut mengikut ECM4 telah dibuat pada ketika wang RM40 juta dipindahkan. Jika tidak, ia dikira melanggar peruntukan Akta dan perlulah disiasat dengan sewajarnya.

 

PENUTUP

1. Asas-asas yang dikemukakan di dalam laporan ini adalah mencukupi untuk BNM memulakan siasatan.

Yang melaporkan

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

25 OKTOBER 2012

 

Laporan Kepada BNM – Siasat RM40j Bawah AMLA2001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.