Tanggungan Hutang 1MDB Boleh Mansuhkan Hutang PTPTN Bagi 1.7 Juta Peminjam

Cukai Lebih Tinggi_1

Saya merujuk kepada laporan mengenai dialog Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan pelajar-pelajar Malaysia di Amerika Syarikat yang antara lainnya memetik kenyataan beliau bahawa pendidikan percuma dan pemansuhan hutang PTPTN hanya dapat dibuat sekiranya rakyat sanggup membayar cukai pendapatan yang lebih tinggi.

Visi pendidikan percuma yang merangkumi pemansuhan hutang PTPTN dan rombakan semula pembiayaan pendidikan tinggi negara adalah salah satu lontaran idea oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menjadi isu hangat menjelang Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Sebagai seorang aktivis pendidikan percuma dan pemansuhan hutang PTPTN, saya telah mengutarakan beberapa kaedah dan kos bagaimana dasar ini boleh dilaksanakan, iaitu:

1. Hutang yang diambil oleh PTPTN boleh dibayar secara ansuran sebanyak RM2 bilion setiap tahun

2. Pemansuhan yuran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi kesemua pelajar IPTA (dianggarkan 470,000 bagi tahun 2013) dianggarkan RM791 juta setiap tahun

3. Kos menyediakan elaun sara hidup bagi 400,000 pelajar IPTA dan 150,000 pelajar IPTS dianggarkan RM2.75 bilion setahun

4. Kos menyediakan satu tabung pinjaman pendidikan IPTS tanpa faedah sebanyak RM450 juta setahun

Oleh yang demikian, saya yakin dasar pendidikan percuma dan pemansuhan hutang PTPTN dapat dilaksanakan dengan peruntukan RM6 bilion setahun oleh kerajaan bagi tujuan ini.

Selepas 2 tahun Barisan Nasional meneruskan pentadbiran di Putrajaya sejak PRU13, rakyat telah menyaksikan pelbagai skandal besar yang melibatkan dana rakyat terutamanya 1MDB. Mengambil kira kadar tukaran matawang yang merudum dan faedah, saya menganggarkan hutang terkini 1MDB sudah mencecah RM50 bilion.

Hutang RM50 bilion ini besar kemungkinan akan ditanggung oleh kerajaan memandangkan 1MDB terus terperangkap dengan kemelut kewangannya yang tidak berkesudahan. Sekiranya sumber kewangan negara tidak dialihkan kepada 1MDB, jumlah yang diberikan kepada 1MDB lebih dari cukup untuk membiayai dasar pendidikan percuma dan memansuhkan hutang PTPTN seperti berikut:

1. Jumlah hutang tertunggak oleh peminjam PTPTN setakat 31 Mac 2015 adalah RM13.3 bilion melibatkan 1,716,475 peminjam seperti jawapan Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan kepada Parlimen baru-baru ini. Jumlah RM13.3 bilion hanyalah sebahagian kecil dari sumber kewangan berjumlah RM50 bilion yang telah dialihkan kepada 1MDB;

2. Belanja kewangan 1MDB yang mencecah RM5.8 bilion dalam tempoh 3 tahun (seperti dilaporkan oleh 1MDB dalam jawapannya mengenai ke mana wang telah dibelanjakan) adalah hampir kepada jumlah RM2 bilion setiap tahun; iaitu jumlah yang diperlukan untuk memansuhkan terus hutang PTPTN

Oleh sebab itu, skandal 1MDB yang terbongkar setakat ini memberi gambaran jelas bahawa kerajaan sebenarnya mampu untuk memansuhkan hutang PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma sekiranya kekayaan negara disalurkan bagi membina sistem pendidikan yang terbaik, bukannya dibazirkan di dalam projek-projek yang berakhir menjadi skandal seperti 1MDB.

Malah, saya yakin sekiranya tanah-tanah kerajaan di Jalan Tun Razak dan Sungai Besi yang dianugerahkan kepada 1MDB diserahkan kepada satu tabung pendidikan untuk dimajukan, hasil pelaburan itu akan dapat membangunkan jutaan rakyat Malaysia menjadi modal insan kepada negara di masa hadapan.

Saya berharap rakyat Malaysia semakin membuka mata dan menyedari bahawa dasar pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN dapat dilaksanakan tanpa menaikkan cukai seperti yang diwar-warkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Selesai Masalah 1MDB Dalam 6 Bulan: Apa Yang Dijual, Digadai, Dilelong?

Saya merujuk kepada kenyataan Dato’ Seri Najib Tun Razak semalam bahawa masalah kewangan 1MDB akan diselesaikan dalam tempoh 5 bulan dari sekarang. Kenyataan beliau itu adalah konsisten dengan pengumuman kononnya proses rasionalisasi kewangan 1MDB akan mengambil masa 6 bulan sejak bulan lepas.

Sejak membawa isu 1MDB bersama-sama dengan YB Tony Pua dan Ahli Parlimen yang lain, saya tidak pernah mempersoalkan mengenai kemungkinan hutang-hutang 1MDB (yang setakat 31 Disember 2014 berjumlah RM42 bilion) itu boleh dibayar. Ada banyak cara bagaimana hutang korporat boleh dibayar dan bukanlah sukar untuk mencari jalan menyelesaikan hutang RM42 bilion itu.

Kebimbangan utama saya dan sebahagian besar rakyat yang lain ialah apakah harga yang perlu dibayar oleh rakyat demi menyelamatkan 1MDB yang bermasalah itu?

Rekod pentadbiran Barisan Nasional dalam menyelamatkan syarikat-syarikat yang berkait dengan kepentingan elit pemerintah (“ruling elite”) sejak tahun 1980an lagi telah menunjukkan bagaimana mudahnya Barisan Nasional menggunakan dana awam untuk menyelamatkan kepentingan mereka. Dahulunya, dana PETRONAS sering menjadi mangsa setiap kali ada syarikat lain yang bermasalah.

Setakat ini, rakyat telah mengetahui bahawa badan-badan pelaburan awam seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT, melalui anak syarikat) semuanya telah terdedah kepada risiko kewangan 1MDB apabila mereka ada urusniaga kewangan dengan 1MDB (sama ada dalam bentuk pinjaman yang diberikan, bon yang dipegang dan lain-lain).

Jika sebelum ini pun pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan mudahnya mengheret tabung-tabung awam ini membantu 1MDB, apakah jaminan Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa tabung-tabung ini tidak digunakan secara senyap-senyap untuk menyelamatkan 1MDB?

Saya juga sedia maklum bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak sedang berusaha untuk merundingkan urusniaga kewangan dengan bank-bank dan pihak berkuasa Negara-negara Teluk bagi tujuan membantu 1MDB. Ini mungkin sebahagian kecil dari pelbagai jalan yang diusahakan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menyuntik dana ke dalam 1MDB.

Tidak ada negara, bank atau institusi kewangan di dalam dunia ini yang akan memberikan bantuan kewangan secara percuma kepada 1MDB dalam keadaan kewangannya yang tenat seperti sekarang. Sebarang bantuan atau suntikan kewangan sudah tentu akan diberikan dengan syarat-syarat yang begitu ketat dan menguntungkan mereka sebagai timbal balik kepada risiko kewangan besar yang mereka tanggung.

Oleh yang demikian, saya bimbang apabila Dato’ Seri Najib Tun Razak menyatakan masalah kewangan 1MDB akan diselesaikan dalam tempoh 5 bulan, ini bermakna sudah ada persetujuan-persetujuan mengenai urusniaga kewangan dengan pihak ketiga yang besar kemungkinan akan merugikan rakyat.

Saya menyeru supaya sebelum sebarang urusniaga kewangan yang melibatkan suntikan dana kepada 1MDB dipersetujui, butiran setiap urusniaga kewangan itu (baik yang melibatkan Kerajaan Persekutuan, badan pelaburan milik rakyat, agensi kerajaan atau pun pihak swasta/pihak ketiga) perlulah dibentangkan secara terperinci di Parlimen dan dibahaskan terlebih dahulu.

Soalan-soalan berikut perlu dijawab secara terperinci oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak bagi setiap urusniaga kewangan itu:

1. Apa terma terperinci yang melibatkan tanggungan kerajaan dan rakyat?

2. Berapa jumlah kos keseluruhan yang melibatkan dana awam?

3. Adakah urusniaga itu melibatkan apa-apa harta atau tanah milik awam?

4. Adakah pihak yang menyuntik dana akan mendapat apa-apa kontrak atau balasan kewangan lain yang tidak berkaitan dengan 1MDB tetapi ditanggung/dianugerahkan oleh Kerajaan Malaysia atau mana-mana agensi milik Kerajaan Malaysia?

5. Adakah Kerajaan Malaysia memberikan sebarang jaminan untuk menanggung hutang/suntikan dana baru ini?

6. Siapakah individu-individu terbabit (di depan dan di belakang) yang merundingkan dan akan mendapat keuntungan dari urusniaga itu?

Proses membentangkan secara terperinci sebarang urusniaga kewangan baru melibatkan 1MDB adalah penting untuk mengelakkan berulangnya skandal-skandal yang mana harta-harta kerajaan dan jaminan kerajaan diberikan kepada 1MDB sehingga merugikan rakyat. Kita juga tidak mahu walau satu sen pun lagi dana awam diberikan kepada 1MDB selepas ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Siasatan Polis Kerana Ucapan “Tangkap Najib, Tangkap Rosmah” Dan Memakai Baju BERSIH4

Saya baru selesai memberikan kenyataan kepada pegawai penyiasat dari IPD Dang Wangi yang mengambil keterangan saya dalam dua kertas siasatan berikut:

1. Kes di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkenaan ucapan yang dibuat semasa Perhimpunan BERSIH4

2. Kes di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan kerana dituduh memakai baju BERSIH4 yang diharamkan

Saya berasa lucu kerana soalan-soalan yang ditanya berhubung siasatan di bawah Seksyen 505(b) adalah bersabit laungan “Tangkap Najib, Tangkap Rosmah”. Saya ditanya sama ada saya ada memimpin laungan itu dan berapa kali saya melaungkan “Tangkap Najib, Tangkap Rosmah”. Saya tidak ditanya langsung mengenai kandungan lain ucapan saya kecuali laungan “Tangkap Najib, Tangkap Rosmah”.

Jika Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansur mengambil sedikit masa meneliti komen-komen yang dibuat oleh rakyat biasa terhadap mereka, kritikan dari rakyat adalah lebih teruk dari “Tangkap Najib, Tangkap Rosmah”. Jika Perdana Menteri benar-benar mengambil kira kebajikan rakyat, beliau sudah tentu tahu beliau telah sampai tahap dibenci oleh rakyat.

Oleh itu, adalah menjadi pembaziran masa polis yang ketara apabila polis diarahkan menyiasat perkara-perkara yang telah menjadi sentiment rakyat seperti laungan “Tangkap Najib, Tangkap Rosmah”. Jika saya disiasat kerana laungan itu, maknanya pihak polis terpaksa menyiasat berjuta-juta rakyat Malaysia yang memberikan komen lebih kasar dari itu.

Saya menyeru supaya kepimpinan polis berhenti dari mengarahkan pegawai-pegawai bawahan yang sepatutnya diberikan ruang memerangi jenayah, bukannya menyiasat kata-kata orang ramai yang menyinggung Perdana Menteri dan isteri beliau.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Hentikan Perbincangan Undang-Undang Pembiayaan Politik Selagi Perdana Menteri & Kabinet Tidak Isytihar Harta

Saya merujuk kepada kenyataan-kenyataan mengenai usaha pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang kononnya ingin menggubal undang-undang mengawal pembiayaan politik selepas skandal dana RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi beliau didedahkan kepada rakyat.

Saya juga telah menerima jemputan sebelum ini dari Institut Integriti Malaysia yang ingin mengadakan rundingan meja bulat mengenai perkara ini.

Pendirian saya adalah jelas bahawa:

1. Isu penggubalan undang-undang mengawal pembiayaan politik ini hanya timbul ekoran dari keterdesakan Dato’ Seri Najib Tun Razak berdepan dengan kemarahan rakyat akibat skandal 1MDB dan dana RM2.6 bilion;

2. Isu penggubalan undang-undang ini adalah satu cubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenarnya dan cuba berdalih dengan rakyat mengenai bagaimana dana RM2.6 bilion boleh dimasukkan ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak;

3. Isu sebenar ialah kekayaan peribadi pimpinan politik yang tidak sepadan dengan gaji mereka yang disahkan dengan pengakuan Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri bahawa dana RM2.6 bilion itu masuk ke akaun peribadi beliau sebagai derma kepada beliau.

Dakwaan oleh Sarawak Report pada hari ini bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak telah membelanjakan sekitar USD1 juta (bersamaan RM3.5 juta) perbelanjaan melalui kad kredit CIMB dan Maybank ketika bercuti di Eropah dalam Ogos 2014 mendedahkan lagi berleluasanya gejala pimpinan politik yang hidup mewah melebihi pendapatan.

Oleh itu, saya menyeru semua pihak yang terbabit supaya memboikot sebarang usaha untuk menggubal undang-undang yang mengawal pembiayaan politik selagi Perdana Menteri dan keseluruhan anggota Jemaah Menteri tidak mengisytiharkan perincian harta, pendapatan dan perbelanjaan seperti yang pernah saya buat.

Hanya selepas pengisytiharan perincian harta, pendapatan dan perbelanjaan dibuat oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dan anggota Jemaah Menteri, barulah rakyat boleh membincangkan satu kerangka pembiayaan politik yang telus dengan harapan mana-mana menteri yang terbukti mempunyai harta dan berbelanja melebihi pendapatan didakwa dan dihukum terlebih dahulu.

Saya juga berpendapat pembiayaan politik yang telus boleh dicapai dengan menggunakan kaedah kerajaan memperuntukkan geran kepada parti-parti politik mengikut jumlah sokongan undi majoriti yang diperolehi di dalam pilihanraya yang lepas. Apabila kerajaan memperuntukkan geran sebegini, barulah undang-undang boleh diketatkan dengan mensyaratkan sebarang derma atau sumbangan politik kepada mana-mana ahli politik atau parti politik diisytiharkan secara telus – seperti mana yang diamalkan di negara-negara yang matang amalan demokrasinya.

Oleh itu, saya menasihatkan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low supaya cuba mendapatkan pengisytiharan harta dari Dato’ Seri Najib Tun Razak dan anggota Jemaah Menteri sebelum beliau sibuk memukul canang mengenai undang-undang pembiayaan politik.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Penggantungan Hanif Mahpa & Afiqah Zulkifli: Gerakan Mahasiswa Wajar Bangkit

Jemput_Ahmad_Maslan

Saya tidak terkejut dengan tindakan bacul pimpinan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang menggantung Saudara Hanif Mahpa, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) UIA dan Saudari Afiqah Zulkifli, EXCO MPP UIA selama dua semester (iaitu setahun) hanya kerana mereka menjemput saya menyertai satu forum mengenai GST.

Yang saya terkejut ialah bagaimana pimpinan mahasiswa seperti Saudara Hanif Mahpa, Saudari Afiqah Zulkifli dan rakan-rakan mereka di dalam MPP UIA yang jauh lebih berani dari orang-orang tua berjawatan tinggi yang mengepalai UIA. Semasa saya dijemput untuk hadir, saya pada mulanya menolak kerana saya tahu mereka (pimpinan mahasiswa ini) akan berdepan dengan risiko kerana pimpinan UIA mempunyai rekod paling buruk berbanding universiti-universiti lain.

Walau bagaimana pun, mereka meyakinkan saya bahawa prinsip kebebasan akademik lebih penting dari tunduk kepada ugutan beberapa orang profesor yang selesa dengan pangkat. Lalu saya tetap hadir, apatah lagi program itu forum yang adil kerana ada wakil Umno yang akan turut berucap.

Setelah mereka diberi notis dipanggil membela diri kerana dituduh melanggar peraturan universiti, sekali lagi saya duduk berbincang dengan Saudara Hanif, Saudari Afiqah dan rakan-rakan pimpinan MPP UIA. Malah, saya menasihatkan mereka supaya mereka cari jalan untuk berkompromi supaya mereka tidak digantung dari universiti. Mereka meyakinkan saya bahawa mereka tidak akan berganjak kerana memperjuangkan kebebasan akademik itu penting demi kematangan mahasiswa dan mereka sanggup berdepan dengan sekeras-keras hukuman.

Oleh kerana saya sendiri tidak mampu memujuk mereka supaya tidak terlalu berani, kami ada membincangkan beberapa pilihan sekiranya kedua-dua mereka digantung oleh universiti. Saya memberi komitmen bahawa saya mengambil tanggungjawab kepada kebajikan mereka sepanjang mereka digantung.

Oleh yang demikian, saya telah memberikan beberapa pilihan termasuklah bertugas dengan saya sepanjang setahun sebagai pegawai saya untuk menimba pengalaman pentadbiran atau menjalani kursus pendek yang boleh meningkatkan kemahiran dan daya saing mereka sebagai mahasiswa. Saya akan mengusahakan pembiayaan yang sewajarnya untuk mempastikan kebajikan mereka terjaga sepanjang tempoh penggantungan ini.

Saya juga menyeru supaya pimpinan mahasiswa seluruh Malaysia mengambil iktibar bahawa kebebasan akademik tidak akan diberikan kepada kampus kecuali ia dituntut habis-habisan. Dalam suasana kemelut politik sekarang, profesor-profesor selesa di universiti akan lebih keras untuk mempertahankan pemerintahan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Saya menjangkakan universiti-universiti akan mengetatkan lagi ruang kebebasan berfikir yang sudah sedia sempit di kampus untuk melindungi Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Oleh yang demikian, saya menggesa kesemua pertubuhan mahasiswa dan pimpinan mahasiswa untuk bersatu dan memperhebatkan lagi tuntutan kebebasan akademik di kampus. Saya juga mencabar pertubuhan mahasiswa dan pimpinan mahasiswa supaya lebih agresif dalam mendepani usaha membawa perubahan di negara ini dengan terus memberi tekanan agar Dato’ Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan serta-merta.

Saya akan terus memberi sokongan dan dokongan kepada pimpinan mahasiswa memandangkan latar belakang saya sendiri sebagai aktivis mahasiswa semasa menjadi Pengerusi United Kingdom Executive Council for Malaysian Students (UKEC) di UK dahulu.

Untuk itu, saya telah memberikan komitmen-komitmen berikut kepada gerakan mahasiswa:

1. Bersama-sama menjelajah ke seberapa banyak kampus di seluruh negara untuk memberikan penerangan dan berdebat mengenai GST untuk mempertahankan hak mahasiswa bersuara dan berfikir; dan

2. Menubuhkan satu tabung untuk mengumpul dana bagi membela pimpinan dan aktivis siswa yang berhadapan dengan tindakan digantung akibat keberanian mereka mempertahankan kebebasan akademik seperti Saudara Hanif Mahpa dan Saudari Afiqah Zulkifli. Satu majlis mengumpul dana akan dianjurkan oleh Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) bagi tujuan ini dalam masa terdekat.

Saya percaya adik-adik mahasiswa akan terus bangkit menjadi tonggak kepada gerakan perubahan seperti mana kami, generasi pimpinan siswa dahulu kini menjadi pimpinan politik yang berdepan terus dengan gelojoh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

%d bloggers like this: