Keputusan Mahkamah Rayuan Benarkan Kerajaan Saman Rakyat: Ketua Menteri Sarawak Perlu Tarik Balik Tindakan Undang-Undang Terhadap YB Chong Chien Jien, Pertimbang Pindaan Undang-Undang Sekat Kerajaan Saman Rakyat

Saman Rakyat-01

Saya merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan minggu lalu di dalam kes yang dibawa oleh Kerajaan Negeri Sarawak terhadap Ahli Parlimen Bandar Kuching/ADUN Kota Sentosa YB Chong Chien Jien.

Keputusan majoriti dua orang hakim Mahkamah Rayuan iaitu Dato’ Abdul Rahman Sebli dan Dato’ Zamani Abdul Rahim (seorang lagi hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk David Wong Dak Wah tidak bersetuju dengan keputusan itu) telah membenarkan Kerajaan Negeri Sarawak mengambil tindakan saman malu (iaitu tindakan undang-undang sivil) terhadap YB Chong Chien Jien walaupun secara umumnya di seluruh dunia, prinsip undang-undang yang diamalkan tidak membenarkan kerajaan menyaman seorang rakyat.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu mengundang risiko besar kepada setiap rakyat Malaysia kerana ia memberi kuasa kepada kerajaan (sama ada kementerian, jabatan, agensi, menteri dalam kapasiti rasmi malah majlis-majlis daerah atau pihak berkuasa tempatan) untuk menggunakan wang rakyat yang dikutip melalui cukai untuk menyaman rakyat sendiri apabila ada perkara yang ditimbulkan oleh rakyat mengenai kerajaan yang tidak dipersetujui oleh kerajaan.

Secara umumnya, prinsip bahawa kerajaan tidak dibenarkan menyaman rakyat sendiri telah diputuskan melalui undang-undang “common law” yang diamalkan di United Kingdom. Ia bertepatan dengan prinsip keadilan sejagat (“universal justice values”) seperti berikut:

1. Rakyat memilih kerajaan dan membayar cukai untuk membolehkan kerajaan berfungsi. Rakyat adalah majikan kepada kerajaan;

2. Kerajaan menyediakan perkhidmatan kepada rakyat menggunakan cukai yang dikutip daripada rakyat. Maka sebagai majikan dan juga pelanggan kepada perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan, rakyat berhak untuk memberi maklumbalas (baik dalam bentuk pujian, kritikan, aduan, komen dan lain-lain) mengenai perkhidmatan yang disediakan kerajaan kerana perkhidmatan itu dibiayai oleh duit rakyat;

3. Jika rakyat tidak berpuas hati dan memberi kritikan atau aduan yang tidak disukai oleh kerajaan, adalah tidak adil untuk kerajaan menggunakan wang rakyat (apabila mengambil tindakan saman dalam kapasiti rasmi bukan kapasiti peribadi) untuk menyaman rakyat yang memberi kritikan.

Prinsip di atas ditegaskan di dalam keputusan House of Lords di United Kingdom di dalam kes ternama iaitu tindakan saman oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) Derbyshire County Council yang mengambil tindakan saman terhadap akhbar Times Newspapers. Dalam menegaskan bahawa kerajaan pusat atau mana-mana kerajaan tempatan tidak boleh menyaman rakyat yang mengkritik, House of Lords mengulangi kepentingan melindungi hak rakyat mengkritik kerajaan seperti berikut:

“It was of the highest public importance that a democratically-elected government body should be open to uninhibited public criticism, and since the threat of civil actions for defamation would place an undesirable fetter on the freedom to express such criticism, it would be contrary to the public for institutions of central or local government to have any right at common law to maintain an action for damages for defamation.”

“Adalah menjadi keutamaan terpenting bahawa sebuah kerajaan yang dipilih secara demokratik perlulah terbuka kepada kritikan awam yang tidak dihadkan; dan oleh kerana tindakan saman malu oleh kerajaan akan menyekat kebebasan mengkritik kerajaan, adalah bertentangan dengan kepentingan awam sekiranya badan-badan kerajaan pusat atau kerajaan tempatan diberikan hak di sisi undang-undang untuk mengambil tindakan saman malu terhadap orang awam.”

Jika keputusan Mahkamah Rayuan ini kekal dan tidak dicabar di Mahkamah Persekutuan, ia akan membawa kesan buruk kepada rakyat dan negara. Selain dari ahli-ahli parlimen, tokoh NGO dan akademik yang akan disaman menggunakan duit rakyat bila mana pendapat mereka tidak disenangi Umno/Barisan Nasional, rakyat biasa pun sebenarnya akan menjadi mangsa. Contohnya, jika seorang penduduk mengadu di media televisyen, internet atau mana-mana media bahawa khidmat kutipan sampah di kawasan perumahan beliau tidak memuaskan, majlis perbandaran di kawasan itu boleh menyaman penduduk tersebut.

Saya sangat-sangat bimbang jika perkara ini tidak diperbetulkan ia akan menjadi senjata menutup mulut rakyat keseluruhannya.

Oleh yang demikian, saya akan memantau kes ini dengan dekat untuk memastikan ia tidak kekal menjadi undang-undang yang akan disalahgunakan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak. Saya akan mengambil tindakan-tindakan berikut:

i. Saya berharap YB Chong Chien Jien yang disaman dan menjadi defendan kes ini akan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan minggu lepas

ii. Apabila kes ini sudah sampai ke peringkat Mahkamah Persekutuan, saya menyeru Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak membuktikan bahawa beliau berbeza dari pimpinan Umno/Barisan Nasional yang lain dengan mengarahkan supaya Kerajaan Sarawak menghentikan tindakan asal yang menyaman YB Chong Chien Jien. Ini membolehkan supaya Mahkamah Persekutuan membuat keputusan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan

iii. Saya akan membawa perkara ini kepada panel ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan yang merupakan pengamal undang-undang seperti YB Sivarasa Rasiah (Subang), YB Hanipa Maidin (Sepang), YB Gobind Singh Deo (Puchong), YB Gooi Hsiao Leoung (Alor Setar), YB Manivannan Gowin (Kapar), YB Wong Chen (Kelana Jaya), YB Darell Leiking (Penampang) dan lain-lain untuk menyemak undang-undang sedia ada dan mempertimbangkan satu Rang Undang-undang Persendirian difailkan dalam sidang Mei 2016 khusus untuk menyekat kerajaan dari mendapat hak menyaman rakyat.

Saya menyeru semua rakyat Malaysia agar tidak mengambil mudah sebarang perubahan undang-undang, keputusan atau tindakan yang boleh disalahgunakan untuk menyekat hak kita mengkritik kerajaan terutamanya dalam keadaan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak terdesak menutup skandal 1MDB dengan apa cara sekalipun.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Aduan Pembiayaan Pendidikan Tinggi

Aduan-Pendidikan Tinggi-01

Saya merujuk kepada kenyataan Dato’ Seri Najib Tun Razak mengenai MARA dan jawapan Dato’ Jazlan Yaakub janji beliau untuk menambah biasiswa dan pembiayaan pendidikan.

Kenyataan itu adalah tidak bertanggungjawab dan mempolitikkan pembiayaan pendidikan pada ketika banyak keluarga dan pelajar-pelajar di semua peringkat sekarang terpaksa berdepan dengan kesukaran kewangan akibat pemotongan pelbagai peruntukan pembiayaan pendidikan di semua peringkat oleh semua agensi di bawah pentadbiran beliau.

Salah satu beban kewangan terbesar sekarang ini ialah perubahan dasar melibatkan PTPTN yang menghadkan jumlah pembiayaan PTPTN. Peraturan bahawa hanya pemohon dari keluarga yang menerima BR1M boleh dipertimbangkan untuk pembiayaan penuh telah menyebabkan ribuan keluarga terperangkap dengan beban kewangan yang mereka tidak jangka. Begitu juga dengan perubahan dasar mendadak melibatkan skim-skim di bawah MARA, myBrain, penajaan PhD dan lain-lai. Malah saya terus mendapat aduan bahawa ramai pemohon pembiayaan MARA masih belum mendapat pembiayaan berbeza dengan kenyataan menteri dan Pengerusi MARA.

Oleh itu, saya akan terus membawa isu pembiayaan pendidikan tinggi yang banyak menekan keluarga. Saya menyeru seberapa ramai rakyat Malaysia yang terkesan dengan pembiayaan pendidikan tinggi untuk mengisi borang aduan di bit.ly/pendidikantinggi agar saya boleh perjuangkan secara berkesan bermula minggu ini.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

LTAT Secara Tidak Langsung Sahkan Berlaku Kelewatan

Saya sedia maklum kenyataan media Pengerusi LTAT, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor bertarikh 4 April 2016 mengenai senarai 110 pesara tentera yang saya kemukakan kepada LTAT minggu lepas.

Kenyataan beliau memperincikan perkara berikut:

1. 69 dari pesara yang saya kemukakan dibayar di antara 16 Mac 2016 dan 4 April 2016
2. Dokumen bagi 23 pesara tentera baru diperolehi dari Urusan Gaji Angkatan Tentera (UGAT) dan pembayaran sedang diproses
3. Dokumen bagi 16 pesara belum diterima dari UGAT

Kenyataan beliau mengesahkan bahawa semasa saya mula-mula membawa isu ini iaitu 21 Mac 2016, sebahagian besar (jika tidak kesemuanya) dari pesara tentera ini belum menerima bayaran gratuiti caruman LTAT. Saya kesal kerana beliau terus berkeras mahu menafikan bahawa ada masalah kelewatan pembayaran kepada pesara sehingga berbulan lamanya tidak kiralah di mana masalah itu (sama ada di peringkat UGAT atau LTAT).

Saya juga berminat untuk mengetahui bagi 69 pesara yang baru menerima bayaran caruman LTAT, bilakah sebenarnya bayaran itu dibuat? Jika LTAT tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan, saya cabar LTAT menyenaraikan secara terperinci tarikh sebenar pembayaran dibuat bagi setiap dari 69 pesara itu kerana saya khuatir sekiranya sebahagian besar dari mereka (jika tidak kesemuanya) hanya dibayar pada 4 April 2016 iaitu beberapa hari selepas saya mengemukakan senarai kepada LTAT.

Saya terus menerima aduan kelewatan pembayaran dari pesara tentera. Hari ini saya akan menghantar senarai kedua terdiri dari 81 pesara tentera yang belum mendapat bayaran dan ganjaran pencen sepenuhnya termasuk caruman LTAT. Dari jumlah 81 pesara tentera ini, 75 orang masih belum menerima caruman LTAT sejak mereka tamat perkhidmatan.

Saya desak supaya pengurusan LTAT dan Unit Gaji Angkatan Tentera (UGAT) mengambil tanggungjawab untuk menyemak semula proses dan prosedur kelulusan pembayaran supaya pesara-pesara tentera tidak berdepan dengan masalah birokrasi atas alasan dokumen tidak dikemukakan oleh UGAT sehingga mereka tidak menerima bayaran caruman sehingga berbulan-bulan lamanya. Individu seperti Pengerusi LTAT ini dibayar gaji yang lumayan setiap bulan untuk menjaga kebajikan pesara tentera dan adalah menjadi tanggunjawab beliau untuk menyelesaikan sebarang masalah pentadbiran di antara LTAT dan UGAT yang melambatkan pembayaran.

Mengenai tindakan undang-undang yang diambil oleh LTAT, saya mencabar Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor sebagai Pengerusi LTAT dan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif LTAT menyaman saya atas kapasiti peribadi dan menggunakan wang mereka sendiri untuk membayar kos guaman. Saya kesal jika mereka menggunakan wang caruman pesara tentera untuk menyaman saya sedangkan setakat ini mereka gagal menafikan fakta-fakta yang saya kemukakan.

Saya akan berdepan dengan mereka berdua ini dan akan memanggil saksi-saksi dari kalangan pesara tentera yang lewat dibayar caruman untuk memberi keterangan. Saya juga akan mengambil peluang ini untuk menanyakan soalan-soalan berhubung penglibatan LTAT dengan 1MDB terutamanya yang melibatkan peranan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin. Saya yakin ia akan menjadi satu perbicaraan yang mendapat perhatian dunia.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Serah Senarai Nama Pesara Kepada LTAT Dan LTAT Perlu Menjawab Soalan-Soalan Yang Ditimbulkan

31 MAC 2016

Saya kesal membaca kenyataan Tan Sri Laksamana (B) Mohd Anwar Mohd Nor, Pengerusi LTAT yang akhirnya memberi maklumbalas setelah hampir seminggu saya mendedahkan bagaimana 1MDB mempunyai hutang tertunggak berjumlah RM396.41 juta kepada PPHM (anak syarikat LTAT) serta sejumlah RM288 juta yang sepatutnya dibayar kepada PPHM telah digunakan oleh 1MDB bagi tujuan kewangannya sendiri.

Kenyataan beliau langsung tidak menjawab kedua-dua perkara penting yang saya dedahkan tersebut. LTAT juga tidak menjawab gesaan saya supaya disenaraikan nama-nama dan jumlah pesara tentera yang bayaran caruman mereka tertunggak.

Sebaliknya kerja itu kini dipulangkan kepada saya untuk menghantar senarai nama pesara yang bayaran caruman mereka tertunggak menjelang jam 5 petang hari ini dan disertakan dengan ugutan saman jika saya gagal menghantar senarai nama tersebut. Ini bukan kali pertama LTAT mengugut untuk mengambil tindakan saman terhadap saya malah minggu lepas pun LTAT telah membuat ugutan yang sama.

Pejabat saya akan menghantar secara rasmi senarai nama pesara-pesara yang telah membuat aduan rasmi kepada saya dan YB Laksamana (B) Imran Abdul Hamid menjelang jam 5 petang ini melalui faks ke ibu pejabat LTAT. Senarai ini mengandungi maklumat 110 pesara.

Saya dan YB Laksamana (B) Imran Abdul Hamid juga dengan ini mempelawa mana-mana pesara tentera yang masih belum menerima sepenuhnya bayaran persaraan (dalam apa-apa bentuk) untuk mendaftar dengan kami supaya kami boleh mengambil tindakan terus dengan LTAT dan pihak-pihak berwajib yang lain. Pesara-pesara tentera boleh memberi maklumat dengan mengisi borang di capaian bit.ly/pesaratentera

Walaupun saya benar-benar kesal dengan sikap Pengerusi LTAT itu yang nampaknya lebih berminat bermain politik, beliau juga tidak boleh lari dari menjawab perkara-perkara penting mengenai keterlibatan LTAT (melalui PPHM) dengan 1MDB seperti berikut:

i. Menurut LTAT, ia tidak terkesan dengan bayaran yang diterima PPHM dari 1MDB dalam memenuhi tanggungjawab kewangannya membayar caruman. Namun begitu, kedudukan tunai LTAT berdasarkan Laporan Kewangan LTAT 2014 menunjukkan baki tunai LTAT pada 31 Disember 2014 adalah RM561 juta. Jumlah ini jauh lebih rendah dari baki pada 31 Disember 2013 iaitu RM1.117 bilion (berkurangan hampir separuh).

Jumlah tunai yang diperlukan untuk membayar pengeluaran caruman pesara tentera bagi tahun 2014 adalah RM1 bilion. Sudah tentu jumlah tunai RM561 juta bukanlah jumlah yang selesa memandangkan jumlah yang diperlukan untuk membayar pengeluaran caruman adalah RM1 bilion. Maka, sebarang kelewatan dalam bayaran kepada LTAT (atau anak syarikatnya) pada jumlah yang besar seperti RM396.42 juta mempunyai kesan kepada aliran tunai LTAT.

ii. Dalam tahun 2014, LTAT memberi pendahuluan kepada PPHM sebanyak RM48 juta bagi tujuan membiayai keperluan modal projek PUKL. Dalam tahun 2015, LTAT menambah lagi pendahuluan kepada PPHM sebanyak RM150 juta menjadikan jumlah pendahuluan kepada PPHM adalah RM198 juta menjelang akhir 2015. Pendahuluan dari LTAT kepada PPHM ini mengesahkan kesan kelewatan pembayaran 1MDB kepada LTAT sehinggakan LTAT terpaksa mendahulukan dana yang memberi lebih tekanan kepada kedudukan tunainya yang sudah pun berkurangan dalam 2014 berbanding 2013.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Arulkanda Kandasamy Tidak Menafikan Dakwaan Bayaran RM288 Juta Dibuat Tanpa Kelulusan Lembaga Pengarah

31 MAC 2016

Saya ambil maklum bahawa kenyataan 1MDB yang dikeluarkan semalam selepas saya membuat satu laporan polis terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Arulkanda Kandasamy dan pengurusan kanan 1MDB.

Yang menariknya, kenyataan 1MDB itu langsung tidak menafikan dakwaan saya bahawa 1MDB telah membuat satu bayaran berjumlah RM288 juta yang tidak dimaklumkan dan tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengarah. Ini adalah satu kesalahan jenayah yang perlu dijawab oleh Arulkanda Kandasamy sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.

Kenyataan 1MDB semalam itu cukup berbeza dengan kenyataan-kenyataan sebelum ini yang kebiasaannya menafikan terus sebarang isu yang ditimbulkan. Saya mengambil pendirian bahawa kenyataan 1MDB yang tidak menafikan dakwaan saya itu (seperti kebiasaan amalan 1MDB) secara tidak langsung mengiyakan bahawa dakwaan saya itu ada asas.

Oleh yang demikian, 1MDB tidak boleh bermain politik dengan menuduh saya kononnya cuba mensensasikan siasatan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Negara. Keseluruhan kenyataan balas 1MDB semalam adalah kenyataan politik apabila menuduh saya campur tangan di dalam siasatan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Negara.

Hakikatnya ialah ada asas yang kukuh untuk menyiasat satu perlakuan jenayah yang mungkin telah dilakukan oleh pengurusan kanan 1MDB yang diketuai oleh Arulkanda Kandasamy. Bila perlakuan jenayah berlaku, ia tidak tertakluk kepada siasatan-siasatan lain yang sedang berjalan di Parlimen atau di peringkat Ketua Audit Negara.

Siasatan segera oleh pihak berkuasa yang berkenaan mengikut akta yang berkenaan perlu dijalankan dan boleh berjalan selari dengan siasatan dan semakan lain yang telah pun bermula.

Saya telah menerima panggilan dari Pengawai Penyiasat IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan dan saya berharap siasatan terhadap Arulkanda Kandasamy ini boleh berjalan mengikut kaedah undang-undang yang sewajarnya.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

%d bloggers like this: