Campur Tangan Perdana Menteri Dalam Urusan Pentadbiran Malaysia Building Society Berhad

Saya telah mendapat satu salinan surat dari Tan Sri Haji Shukry Mohd Salleh, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri kepada Dato’ Ahmad Zaini Othman, CEO Malaysia Building Society Berhad (MBSB) bertarikh 20 Oktober 2015 yang disertakan bersama.

mbsbkumnokepong

Surat tersebut mengarahkan supaya MBSB mengenepikan notis kebankrapan terhadap Datuk Rizuan Abdul Hamid, Ketua Umno Kepong berhubung pembangunan 10 unit banglo di Bukit Tunku. Selain itu, surat itu secara jelas menyatakan arahan agar MBSB menyelesaikan tuntutan pinjamannya terhadap Datuk Rizuan Abdul Hamid di luar mahkamah.

Datuk Rizuan Abdul Hamid adalah salah seorang Ketua Bahagian Umno yang paling lantang membela Dato’ Seri Najib Tun Razak. Beliau menjadi popular apabila mengikrarkan beliau berani mati untuk Dato’ Seri Najib Tun Razak semasa Mesyuarat UMNO Bahagian Kepong tahun lalu seperti dilaporkan Awani http://www.astroawani.com/berita-politik/saya-berani-mati-untuk-najib-ketua-umno-kepong-70947

MBSB pula adalah sebuah anak syarikat Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) yang memiliki 65% saham di dalam MBSB. Oleh itu, MBSB adalah pembiaya rumah milik rakyat yang perlu dilindungi dari campur tangan politik.

Saya telah membuat semakan awal dan berpendapat surat ini adalah benar dan tulen berdasarkan maklumat yang saya perolehi setakat ini.

Oleh yang demikian, saya mengingatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak supaya berhenti campur tangan di dalam urusan mana-mana badan atau syarikat berkepentingan awam sama ada campur tangan itu secara langsung atau tidak langsung. Beliau juga perlulah mengeluarkan arahan kepada semua anggota Jemaah Menteri supaya tidak mengeluarkan surat-surat arahan seperti ini dan menghentikan segala campur tangan di dalam mana-mana badan atau syarikat berkepentingan awam.

Saya kesal kerana seolah-olah Perdana Menteri masih belum belajar dari skandal 1MDB yang telah menjejaskan nama baik dan kedudukan kewangan negara kerana suburnya budaya ahli politik campur tangan di dalam pengurusan syarikat atau badan berkepentingan awam.

Paling dikesali adalah apabila Perdana Menteri boleh mengarahkan sebuah bank mengenepikan tindakan kebankrapan ke atas seorang Ketua Bahagian Umno pada ketika beribu-ribu rumah rakyat miskin disita dan dilelong setiap minggu sementara pemiliknya jatuh muflis hanya kerana gagal membayar beberapa ribu.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Skandal Pembelian Hartanah MARA: Apa Tindakan Pemuda UMNO Untuk Dapatkan Balik Dana MARA Yang Diselewengkan?

050316 Ulangkaji MARA-01

Kes saman Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun terhadap saya mengenai satu kenyataan media berhubung skandal pembelian hartanah MARA di Australia bermula hari ini. Peguam saya, YB William Leong (Ahli Parlimen Selayang) mendapat pelepasan dari Yang Arif S Nantha Balan untuk menangguhkan perbicaraan bagi membolehkan saya memfailkan satu affidavit memasukkan transkrip perbicaraan di Mahkamah Melbourne sebagai bahan bukti pihak saya.

Perbicaraan penuh akan bermula pada 6 dan 7 Jun 2016 ini.

Sementara kes ini melalui proses undang-undang di mahkamah, fakta-fakta berhubung urusniaga yang melibatkan MARA dan beberapa individu yang dikaitkan dengan pemimpin dari kalangan Pemuda UMNO itu terus mendapat liputan.

Sehingga kini, tidak ada sebarang tindakan atau pengumuman yang mengesahkan bahawa dana MARA yang diselewengkan oleh individu-individu tertentu ini telah dipulangkan kepada MARA. Dalam keadaan peruntukan untuk membiayai program pendidikan MARA dipotong mendadak sehingga biasiswa MARA dihapuskan dan jumlah penerima pinjaman pendidikan dikurangkan, kegagalan mendapatkan kembali dana MARA yang diselewengkan ini adalah satu pengabaian tanggungjawab di pihak kerajaan dan UMNO.

Sebab itu saya berhak bertanyakan kepada Khairul Azwan Harun – sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO, apakah langkah-langkah yang telah beliau ambil untuk membantu MARA mendapatkan kembali dana yang diselewengkan ini kerana jumlahnya besar dan dapat membantu ramai pelajar Bumiputra? Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Pergerakan Pemuda UMNO untuk membantu MARA mendapatkan kembali dana ini? Sudahkan sebarang tindakan diambil terhadap mana-mana anggota Pemuda UMNO yang dinamakan secara khusus di dalam dokumen-dokumen rasmi dan transkrip perbicaraan di Australia?

Jumlah yang diselewengkan bukanlah sedikit. Fakta-fakta berikut adalah hasil dari pengumuman MARA sendiri, jawapan menteri di Parlimen atau dokumen urusniaga yang dilaporkan secara meluas:

1. Sebuah syarikat bernama Thrushcross Land Holdings Ltd telah dibeli oleh MARA Inc dalam tahun 2014. Jumlah yang dibayar oleh MARA untuk membeli Thrushcross Land Holdings Ltd adalah A$86.9 juta (bersamaan RM260.7 juta) iaitu A$64.4 juta (bersamaan RM193.2 juta) bagi pembelian syarikat dan A$22.5 juta (RM67.5 juta) untuk membayar hutang syarikat itu. Jawapan ini diberikan oleh Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar di Parlimen.

2. Thrushcross Land Holdings Ltd dimiliki oleh individu-individu yang berkait dengan pimpinan Umno dan pemimpin dari kalangan Pemuda Umno. Perkara ini saya huraikan dalam kenyataan media saya http://rafiziramli.com/2015/07/individu-terbabit-di-dalam-urusniaga-mara-perlu-tampil-memberi-penjelasan/

3. Thrushcross Land Holdings Ltd membeli dua bangunan asrama pelajar pada harga yang jauh lebih rendah iaitu Unilodge Swanston Street pada harga A$23.5 juta (bersamaan RM70.5 juta) dan Dudley House pada harga A$22.6 juta (bersamaan RM67.8 juta). Jumlah kos pembelian dua asrama pelajar ini hanyalah A$46.1 juta sedangkan syarikat itu dijual pada harga A$64.4 juta kepada MARA Inc. Selain itu, MARA Inc juga mengambil alih hutang Thrushcross Land Holdings Limited dengan WBC Finance dan WBC Commercial Bill sebanyak A$22.5 juta.

4. Ini bermakna, MARA Inc bukan sahaja membeli 2 asrama pelajar itu pada harga yang lebih mahal; malah ia juga membayar hutang yang digunakan oleh pemilik Thrushcross Land Holdings Ltd ini untuk membeli 2 asrama pelajar itu yang kemudiannya dijual kepada MARA Inc.

5. Akibat dari penyelewengan ini, MARA Inc terpaksa menjual kedua-dua bangunan asrama ini dan hasrat penjualan itu telah diiklankan. Perunding hartanah antarabangsa iaitu Colliers menganggarkan bahawa setiap satu asrama itu bernilai A$30 juta pada harga semasa.

6. Maka, MARA Inc akan kerugian sebanyak A$26.9 juta (bersamaan RM80.7 juta) iaitu jumlah yang dibayar A$86.9 juta tolak bidaan pembeli pada harga semasa A$60 juta.

7. Ini juga bermakna pemilik Thrushcross Land Holdings Limited iaitu individu-individu yang berkait dengan pemimpin UMNO dan pemimpin dari kalangan Pemuda UMNO ini memperolehi keuntungan durian runtuh sebanyak A$40.8 juta (bersamaan RM122.4 juta).

8. Dari jumlah RM122.4 juta keuntungan atas angin itu, sebanyak A$4.75 juta (bersamaan RM14.25 juta) dibayar kepada syarikat-syarikat yang berkaitan dengan individu dan pemimpin dari kalangan Pemuda UMNO.

Saya khuatir penyelewengan dana MARA yang membawa kesan besar kepada pelajar Bumiputra ini didiamkan begitu sahaja dan dana yang diselewengkan tidak dirampas dari individu-individu terbabit.

Oleh yang demikian, saya mencabar Saudara Khairy Jamaluddin atau Saudara Khairul Azwan Harun atau kedua-duanya sekali berdebat mengenai penyelewengan dana MARA ini untuk membuktikan bahawa Pemuda UMNO telah menjalankan tanggungjawabnya menjaga dana awam Bumiputra tersebut.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

CEO Tabung Haji Yang Baru Mestilah Dari Luar Dan Melalui Proses Saringan Parlimen

041716 CEO TH Letak Jawatan-01

Saya mengambil maklum berita yang disiarkan The Edge Financial Daily hari ini di capaian http://www.theedgemarkets.com/my/article/ismee-resigns-lembaga-tabung-haji mengenai keputusan Tan Sri Ismee Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji yang akan meletakkan jawatan mengikut sumber akhbar kewangan tersebut.

Saya tidak terkejut dengan berita tersebut kerana saya memang telah mendengar ura-ura ini sejak sebulan yang lalu semasa persidangan Parlimen yang lepas pun.

Jika benar, ia merupakan satu kemenangan kepada rakyat dan secara tidak langsung mengesahkan bahawa kesemua isu bersabit tata kelola dan kedudukan kewangan Tabung Haji yang saya bawa sebelum ini ada kebenarannya.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya pengurusan baru Tabung Haji kelak meneliti kesemua isu yang saya bawakan dan memberi penjelasan yang telus kepada rakyat. Saya juga ingin menyatakan apabila isu-isu itu terbukti ada kebenarannya, maka wajarlah Tabung Haji menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap saya dan menggugurkan kes jenayah supaya satu tindakan saman di mahkamah sivil boleh diambil jika isu-isu yang saya bawa dikira memfitnah Tabung Haji.

Mengambil kira keterlibatan Tan Sri Ismee Ismail di dalam 1MDB dan kemungkinan beliau juga akan disiasat tidak lama lagi, saya berpendapat kerajaan tidak boleh melantik beliau ke mana-mana jawatan dalam mana-mana agensi, badan atau syarikat yang dikawal oleh kerajaan sehinggalah siasatan selesai dan beliau disahkan tidak melakukan sebarang kesalahan atau kecuaian. Oleh itu, saya berharap sebarang usaha untuk melantik beliau menjadi orang nombor 2 di Sime Darby seperti yang dilaporkan tidak diteruskan.

Bagi memastikan sebarang langkah melantik beliau ke mana-mana jawatan di badan berkepentingan awam tidak diteruskan sehingga siasatan ke atas 1MDB selesai, saya akan memfailkan satu usul untuk dibahaskan di sidang Dewan Rakyat akan datang menghalang sebarang usaha ke arah itu.

Saya juga mencadangkan perkara-perkara berikut berkenaan pengurusan baru Tabung Haji:

1. CEO baru hendaklah disenaraipendek dan dipilih dari luar supaya beliau boleh bertindak secara objektif menilai segala masalah yang ada

2. Calon CEO baru itu hendaklah melalui proses saringan yang dikendalikan oleh satu jawatankuasa khas Parlimen yang bertanggungjawab membuat pendengaran terbuka (“confirmation hearing”) bagi memastikan beliau benar-benar sesuai

3. CEO baru melakukan audit khas mengenai kedudukan kewangan dan operasi kumpulan Tabung Haji sebaik dilantik dan dibentangkan sebagai kertas putih di Parlimen sebelum akhir tahun ini

Saya berharap rakyat akan terus bersama-sama memberi perhatian dan menjadi timbang tara kepada pengurusan badan-badan awam seperti Tabung Haji untuk mengelakkan perkara-perkara yang sama berulang.

Walaupun berita ini saya sambut dengan rasa syukur, saya akan terus menumpukan kepada analisa dan pendedahan berkaitan Tabung Haji bermula minggu ini.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Laporan Polis Terhadap Jho Low Berdasarkan Bukti Dalam Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC)

041716 1MDB Wanted-01

Pada hari ini, saya telah membuat satu laporan polis di IPD Dang Wangi terhadap Jho Low berdasarkan bukti-bukti di dalam Laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC).

Laporan saya pada hari ini adalah seperti berikut:

Pada 14 April 2016 di pejabat saya di Ibupejabat KEADILAN, Merchant Square, Petaling Jaya saya telah membaca Laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Mengenai 1MDB yang diperolehi dari laman web Parlimen Malaysia di http://www.parlimen.gov.my/pac/review/docs-110-116.pdf

Saya merujuk kepada mukasurat 8 hingga 14 laporan tersebut yang menghuraikan latar belakang penubuhan 1MDB dan penerbitan Islamic Medium Term Notes (IMTN) iaitu bon hutang berjumlah RM5 bilion. Bon hutang RM5 bilion ini adalah hutang pertama yang diambil oleh 1MDB dan dari pengetahuan saya melalui pembacaan di media mengenai 1MDB, bon hutang RM5 bilion ini dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.

Dari Laporan PAC mukasurat 8 hingga 14 itu, saya memahami bahawa intipati siasatan PAC merumuskan perkara-perkara tersebut:

i. Pengurusan 1MDB pada ketika itu telah menandatangani perjanjian program dan pengeluaran jaminan kerajaan bagi bon hutang RM5 bilion ini tanpa mengikut terma dan perancangan yang telah ditetapkan oleh Menteri Besar Diperbadankan (MBI Terengganu) iaitu pemegang saham pada ketika itu

ii. Akibat pelanggaran seperti di dalam (i) di atas, Lembaga Pengarah pada ketika itu pada 22 Mei 2009 telah meluluskan tiga resolusi yang mengarahkan penggantungan penerbitan bon hutang RM5 bilion ini sehingga beberapa langkah untuk menguatkan tatakelola dan urustadbir (“good governance”) dilaksanakan terlebih dahulu

iii. Walau bagaimana pun, pada 25 Mei 2009 iaitu tiga hari selepas resolusi mengarahkan penggantungan penerbitan bon hutang RM5 bilion dibuat, pengurusan 1MDB melanggar arahan itu dengan menandatangani Perjanjian Langganan dengan Ambank

iv. PAC telah mendapati Dato’ Shahrol Azral sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada ketika itu telah melakukan kesalahan kerana menandatangani Perjanjian Langganan Bon Hutang RM5 Bilion tanpa apa-apa kuasa yang diberikan oleh Lembaga Pengarah

v. Siasatan PAC mendapati bahawa penerbitan bon hutang RM5 bilion itu disegerakan (walaupun bertentangan dengan arahan Lembaga Pengarah) atas permintaan Penasihat Khas

vi. Salah seorang dari Penasihat Khas yang dinamakan di dalam laporan ialah seorang yang bernama Low Taek Jho (atau lebih dikenali Jho Low)

Penemuan PAC yang dimuatkan di dalam laporannya dari mukasurat 8 hingga 14 itu menunjukkan beberapa tindakan atau keputusan yang melanggar undang-undang dan boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan, Akta Syarikat, Akta SPRM, akta-akta berkaitan penerbitan sekuriti dan akta-akta lain.

Sebagai rakyat Malaysia, saya berpendapat tindakan Jho Low sebagai Penasihat Khas TIA (kemudiannya 1MDB) memberikan arahan kepada pengurusan 1MDB untuk melanggar arahan Lembaga Pengarah dengan terus menerbitkan bon hutang RM5 bilion itu telah melanggar pelbagai undang-undang seperti di atas dan wajar disiasat segera.

Saya juga memohon supaya siasatan dibuat untuk menentukan bagaimana Jho Low boleh menjadi begitu berkuasa di dalam urusan TIA (kemudiannya 1MDB) kerana pengaruhnya itu sering dikaitkan dengan hubungan rapat dengan keluarga Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya membuat laporan ini untuk membantu siasatan polis yang kini sedang berjalan ke atas 1MDB.

Bersama-sama ini saya sertakan sampel laporan polis yang sama yang boleh digunakan untuk membuat laporan polis terhadap Jho Low di seluruh negara.

Download (PDF, 122KB)

Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia menyertai kempen #1MDBWanted dengan sama-sama membuat laporan polis terhadap Jho Low bermula minggu ini. Sampel laporan boleh didapati di blog saya rafiziramli.com dan selepas membuat laporan polis, sila isi borang di 

bit.ly/1MDBWanted 

untuk mengemukakan butir-butir laporan yang dibuat bagi membolehkan saya memantau berapa banyak laporan yang dibuat oleh rakyat biasa.

Saya percaya rakyat perlu mengambil tindakan dengan turut serta dalam usaha-usaha membawa mereka yang terlibat dengan 1MDB ke muka pengadilan. Setiap minggu saya akan membuat laporan polis terhadap individu-individu yang dinamakan di dalam Laporan PAC supaya satu hari nanti mereka terpaksa memikul beban tanggungjawab akibat penglibatan mereka di dalam 1MDB.

Jika mereka tidak mahu menjadi sasaran laporan polis rakyat seperti Jho Low, lebih baik mereka tampil ke depan memberi keterangan mengenai penglibatan Dato’ Seri Najib Tun Razak secepat mungkin.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Bila Ketua Polis Negara Akan Mengarahkan Pasukan Polis Menahan Arulkanda?

Pada 30 Mac 2016 yang lalu sekitar jam 2 petang, saya telah membuat satu laporan polis di IPD Dang Wangi terhadap Arulkanda Kandasamy dan pengurusan kanan 1MDB berhubung satu maklumat dari Laporan Ketua Audit Negara yang menunjukkan sejumlah RM288 juta telah dibelanjakan tanpa dimaklumkan dahulu kepada Lembaga Pengarah 1MDB.

Saya membuat laporan tersebut supaya satu siasatan dapat dijalankan dengan segera untuk menentukan sama ada satu kesalahan jenayah telah dilakukan kerana sebarang pembayaran atau perbelanjaan sebesar itu memerlukan kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB.

Siasatan itu juga penting kerana selama ini Arulkanda sering memberi alasan bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai pelbagai salah tadbir kewangan di 1MDB kerana ia berlaku sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB. Maka, urusniaga RM288 juta tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah 1MDB itu kini menjadi satu bukti bahawa di bawah pengurusan Arulkanda pun keputusan dan urusniaga yang meragukan dan boleh disifatkan melanggar undang-undang, masih terus berlaku.

Sehingga kini saya tidak nampak pihak polis mengambil tindakan menahan Arulkanda Kandasamy atau mana-mana pengurusan kanan 1MDB untuk mempercepatkan siasatan. Malah, saya tidak pasti sama ada pihak polis telah mengambil sebarang kenyataan dari Arulkanda Kandasamy atau mana-mana pengurusan kanan 1MDB.

Ini berbeza dengan layanan polis terhadap saya.

Laporan polis terhadap saya dibuat oleh Jabatan Audit Negara sekitar jam 11 pagi pada hari Selasa, 5 April 2016. Saya dimaklumkan bahawa arahan untuk menahan saya dikeluarkan sekitar jam 4 petang pada hari yang sama iaitu 5 jam selepas laporan polis dibuat. Saya kemudiannya ditahan pada jam 6 petang pada hari yang sama iaitu 7 jam selepas laporan polis terhadap saya dibuat.

Oleh itu, saya ingin mengingatkan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara bahawa segala tindak tanduk beliau berhubung isu 1MDB diperhatikan oleh rakyat. Jika saya boleh ditahan 7 jam selepas laporan polis terhadap saya dibuat, kenapa sehingga sekarang Ketua Polis Negara ini belum mengeluarkan arahan agar Arulkanda Kandasamy juga ditahan untuk siasatan lanjut kerana tepat jam 2 petang hari ini, 2 minggu telah berlalu sejak saya membuat laporan polis terhadap Arulkanda Kandasamy dan pengurusan kanan 1MDB.

Lebih penting lagi, oleh kerana Jabatan Audit Negara mengesahkan bahawa dokumen yang saya dedahkan adalah dokumen yang sahih, maka sudah tentu maklumat yang terkandung juga adalah sahih. Ini mengesahkan bahawa Arulkanda Kandasamy dan pengurusan kanan 1MDB telah membuat pembayaran RM288 juta tanpa dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah terlebih dahulu dan asas yang kukuh untuk memulakan siasatan terhadap mereka.

Saya akan menunggu sehingga Jumaat 15 April 2016 ini untuk melihat sama ada Ketua Polis Negara akan mengarahkan Arulkanda Kandasamy ditahan untuk siasatan lanjut sebelum saya memulakan langkah-langkah lain berhubung perkara ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

%d bloggers like this: