Jumpa di Sungai Petani & Kulim | Rekrut Sukarelawan #projekbuangnajib #pru14

Saya akan berada di Sungai Petani dan Kulim hari Sabtu (15 Oktober) ini untuk merekrut dan melatih sukarelawan pilihanraya yang diuruskan oleh INVOKE Malaysia Saya jemput semua yang mahu perubahan untuk bersama. Daftar dulu di http://bit.ly/invokekedah

Mohon share dan sebarkan seluasnya.

Untuk mengetahui apa itu #INVOKE lawati www.invokemalaysia.org

101316_cafe_sg_petani__kulim_1

Najib Ciplak Lagi: Cukai Eksais Dihapus Bagi Kereta Pertama Untuk Orang Muda

10082016-cukaieksaiskereta

Saya merujuk kepada laporan Sinar Harian Online hari ini bertajuk “Beli Kereta Tanpa Cukai Eksais” mengenai berita tidak rasmi Belanjawan 2017 akan mengecualikan cukai eksais ke atas pembelian kereta pertama enjin bersaiz kecil.

Saya mula menggerakkan kempen #turunhargakereta sejak tahun 2012. Dari awal saya mengkritik tindakan Umno/Barisan Nasional mengenakan cukai di antara 80% hingga 100% ke atas kereta yang dibeli rakyat biasa sehingga menjadikan kereta di Malaysia secara relatifnya antara yang termahal di dunia. Harga kereta yang mahal dan ditambah pula kegagalan kerajaan persekutuan menyediakan sistem pengangkutan awam yang baik menyebabkan sebahagian besar keluarga terpaksa berhutang dengan bank; kadang-kadang sehingga mencecah 9 tahun.

Sepanjang saya berkempen agar cukai eksais dihapuskan sejak tahun 2012, tidak pernah sekali pun menteri-menteri Umno atau Barisan Nasional mengakui bahawa hujah yang saya bawa itu ada benarnya. Malah, mereka menuduh dan menyerang saya dengan pelbagai panggilan. Akhbar-akhbar mereka berterusan melaporkan bahawa Pakatan Rakyat (hasil dari cadangan saya untuk menghapuskan cukai eksais agar #turunhargakereta) akan memufliskan negara, seperti laporan Utusan Malaysia yang saya sertakan dalam grafik di bawah.

Tetapi dalam senyap-senyap Dato’ Seri Najib Tun Razak meniru dasar yang kami bawa.

Dalam manifesto Barisan Nasional memasuki PRU13, Dato’ Seri Najib berjanji akan menurunkan harga kereta sehinga 30% secara berperingkat-peringkat. Pada masa mereka menyerang cadangan saya, mereka menciplak cadangan saya.

Kali ini, jika benar cukai eksais akan dihapuskan bagi kelas enjin bersaiz kecil yang digunakan kebanyakannya oleh model kereta-kereta Proton – sekali lagi Dato’ Seri Najib menciplak cadangan saya tetapi tidak mahu mengaku.

Apa yang saya kesalkan ialah keengganan Dato’ Seri Najib mendepankan rakyat dan berhenti mempolitikkan idea-idea bernas yang diberikan Pakatan Harapan. Beliau dan Jemaah menteri tahu bahawa cadangan saya untuk menghapuskan cukai eksais adalah baik untuk rakyat dan baik untuk ekonomi negara. Akibat bongkaknya mereka, cadangan ini tidak dilaksanakan lebih cepat iaitu dalam tahun 2012 pada masa saya mula-mula mencadangkannya; sebaliknya hanya dilaksanakan 5 tahun kemudian iaitu 2017.

Di antara 2012 hingga 2017, ratusan ribu rakyat Malaysia terpaksa menanggung hutang yang lebih gara-gara Dato’ Seri Najib bongkak tidak mahu menerima idea yang dibawa oleh orang lain.

Pesan saya kepada Dato’ Seri Najib – jika mahu menciplak, maka ciplaklah sepenuhnya dan bukan sebahagian sahaja.

Maka, saya mendesak supaya penghapusan cukai eksais dilaksanakan kepada semua kenderaan persendirian kecuali kenderaan mewah. Penghapusan cukai eksais tidak boleh diberikan mengikut saiz enjin kereta kerana ada kereta MPV yang saiz enjinnya lebih besar tetapi digunakan oleh keluarga berpendapatan rendah, berbanding ada kereta mewah yang saiz enjinnya kecil tetapi hanya mampu dimiliki golongan berada.

Penghapusan cukai eksais juga perlu diberikan kepada motosikal kecuali motosikal berenjin besar yang dikategorikan sebagai motosikal mewah (Rujuk tulisan saya mengenai penghapusan cukai eksais ke atas motosikal di http://rafiziramli.com/2013/04/penghapusan-cukai-eksais-meliputi-cukai-eksais-ke-atas-motor-aliran-tunai-kerajaan-tetap-berimbang/)

Sementara saya mendapat kepuasan kerana 5 tahun selepas saya mula-mula memperjuangkan penghapusan cukai eksais ia mula berlaku, saya juga berharap ia bukan tindakan tersepit yang bersifat sementara kerana sekarang ini penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Dato’ Seri Najib yang sangat rendah.

Oleh sebab itu, Dato’ Seri Najib mestilah menghapuskan cukai eksais ke atas semua kenderaan persendirian kecuali kenderaan-kenderaan mewah. Saya juga menuntut supaya beliau menarik balik tuduhan-tuduhan sebelum ini bahawa cadangan saya itu akan memufliskan negara kerana beliau sendiri yang menciplak idea tersebut.

Untuk mengikuti kembali fakta-fakta dan hujah-hujah kenapa cukai eksais perlu dihapuskan, lawati arkib penulisan saya di bitly.com/turunhargakereta.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

SPR Perlu Perkenalkan Sistem Pendaftaran Atas Talian (Online) Secepat Mungkin, INVOKE Kumpul Masalah Mendaftar

Inisiatif Pendaftaran Pengundi (atau VRI) yang kini dijalankan oleh INVOKE melalui program #UntungDaftar menunjukkan ada beberapa masalah dengan kaedah dan proses yang digunakan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk mendaftarkan pengundi.

Bagi tempoh satu minggu program #UntungDaftar berjalan iaitu dari hari Selasa 27 November 2016 ke hari Isnin 3 Oktober 2016, seramai 1,031 pengundi baru yang mendaftar telah menghantar penyertaan ke laman INVOKE. Walaupun jumlah ini adalah baik bagi minggu pertama, kami yakin mengikut perancangan dan promosi yang akan diadakan setiap minggu selepas ini, jumlah yang akan dapat didaftarkan setiap bulan boleh mencecah 10,000 melalui #UntungDaftar sahaja.

Namun, ini adalah tidak mencukupi untuk mendaftarkan 4 juta pengundi muda yang masih belum berdaftar. Jika 50,000 orang pengundi didaftarkan sebulan melalui pelbagai kempen yang dibuat oleh pelbagai pihak, ia akan memakan masa 80 bulan atau 7 tahun untuk mendaftarkan kesemuanya.

Sejak #UntungDaftar dilancarkan minggu lepas, INVOKE telah mendapat pelbagai aduan bahawa bakal pengundi mengalami pelbagai masalah untuk mendaftar di pejabat pos. Ada yang diberitahu borang telah habis, ada yang diberitahu sistem atas talian SPR tidak berfungsi ketika itu dan lain-lain. Ada yang terpaksa ke pejabat pos sehingga tiga kali untuk mendaftar.

Sementara pelbagai pihak boleh mengusahakan kempen masing-masing untuk mendaftarkan pengundi muda, usaha-usaha ini tidak akan berhasil jika salah satu punca utamanya iaitu kaedah dan proses yang digunakan oleh SPR tidak dibaiki.

Adalah jelas kaedah dan proses yang digunakan oleh SPR tidak cekap dan tidak mampu mendaftarkan seorang warganegara menjadi pengundi dalam masa yang singkat, antaranya disebabkan oleh perkara-perkara berikut:

1. Sistem yang digunakan adalah ‘manual’ iaitu pengundi perlu pergi ke pejabat SPR atau pejabat pos untuk mendaftar. Ini menyusahkan orang ramai terutamanya mereka yang tinggal jauh dari bandar atau pejabat SPR
2. Sistem atas talian yang menghubungkan pejabat pos dengan sistem SPR didakwa selalu tidak berfungsi atau tidak stabil
3. Setelah mendaftar, masa yang diambil oleh SPR untuk mengesahkan pendaftaran iaitu 3 bulan atau lebih adalah terlalu lama

Kami tidak faham kenapa proses pengesahan pendaftaran oleh SPR mengambil masa 3 bulan sedangkan SPR boleh sahaja menghubungkan pengkalan datanya dengan pengkalan data Jabatan Pendaftaran Negara. Malah, kami tidak faham kenapa proses pendaftaran dan pengesahan pendaftaran tidak dibuat secara atas talian dan terbuka kepada rakyat Malaysia yang boleh dibuat dari mana-mana alat komunikasi yang menggunakan internet.

Oleh itu, INVOKE menyeru supaya SPR memberi maklumbalas kepada perkara-perkara ini dan menjelaskan kenapa SPR tidak boleh mengadakan sistem pendaftaran dan pengesahan secara atas talian di laman web. INVOKE akan melancarkan satu portal untuk orang ramai merakamkan semua masalah yang dihadapi dalam proses pendaftaran sedia ada dan akan menghantar satu memorandum menyenaraikan masalah-masalah ini kepada SPR dalam tempoh 2 minggu dari sekarang.

Dikeluarkan oleh:
Rafizi Ramli | Syukri Razab | Fahmi Zainol
4 Oktober 2016

Bagi pihak INVOKE

Pemenang #UntungDaftar RM200, RM500 dan RM1,000 Bagi Minggu Lepas Diumumkan Hari Ini


Terima kasih yang telah mendaftar mengundi dan menyertai #UntungDaftar minggu lepas. Seramai 1,031 telah menghantar penyertaan dan pegawai-pegawai di INVOKE Malaysia menyemak setiap satu penyertaan untuk memilih slogan terbaik.

Pemenang hadiah-hadiah RM200, RM500 dan RM1,000 akan diumumkan secara LIVE di Facebook page Rafizi Ramli dan Facebook page INVOKE Malaysia.

Pemenang kajiselidik mengenai kecenderongan tidak mendaftar mengundi juga akan diumumkan pada masa yang sama.

Saksikan beramai-ramai dan sebarkan.!

%d bloggers like this: