Kerosakan Di Felda Juga Dari Keputusan Perniagaan Yang Merugikan, Bukan Sahaja Rasuah Semata-Mata

Laporan media hari ini memetik kenyataan Tan Sri Shahrir Samad, Pengerusi Felda yang dilaporkan berjanji untuk tidak melindungi sesiapa pun dari kalangan kakitangan dan pengurusan Felda sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada bukti telah berlaku rasuah di dalam pengurusan Felda. Kenyataan itu dibuat ekoran kenyataan SPRM bahawa satu kertas siasatan baru telah dibuka setelah beberapa maklumat baru diperolehi.

Sementara saya sentiasa mengalu-alukan apa-apa siasatan ke atas dakwaan salah laku, saya berpendapat prestasi Tan Sri Shahrir Samad setakat ini tidak banyak berbeza dari sahabatnya, Tan Sri Isa Samad. Walaupun Tan Sri Shahrir nampak lebih terbuka setakat ini, beliau menutup mulut dan tidak memberi reaksi berkenaan urusniaga besar yang diketahui akan merugikan Felda.

Pandangan rakyat bahawa kedudukan Felda sekarang adalah ekoran urustadbir yang lemah dan telah berlaku salah laku penyelewengan dan rasuah, adalah berasas. Sejak setahun lalu, pelbagai laporan dari Ketua Audit Negara dan penahanan pegawai tinggi oleh SPRM telah mengesahkan pandangan rakyat itu tidak tersasar dari keadaan sebenar.

Pun begitu, masalah paling utama yang berlaku semasa Tan Sri Isa Samad menjadi pengerusi Felda ialah satu urusniaga perniagaan yang buruk sehingga menyebabkan Felda menanggung hutang berbilion ringgit, iaitu penyenaraian FGV yang melibatkan juga “wang pengeras” kepada peneroka Felda sebelum PRU13.

Berbanding dengan pelbagai rasuah di peringkat bawah yang berlaku, kesan terbesar kepada kedudukan kewangan Felda ialah penyenaraian FGV yang kemudiannya menyaksikan harga sahamnya jatuh merudum, sekaligus mengheret Felda bersama-samanya.

Sebab itu saya ingin mengingatkan Tan Sri Shahrir Samad bahawa risiko terbesar kepada kelangsungan Felda bukanlah rasuah yang melibatkan pegawai-pegawainya di bawah tetapi satu atau dua keputusan perniagaan besar yang membabitkan urusniaga sehingga berbilion ringgit kerana itu akan memburukkan lagi kedudukan kewangan Felda.

Dalam bab ini, saya meletakkan prestasi Tan Sri Shahrir Samad sama sahaja dengan Tan Sri Isa Samad kerana beliau (Tan Sri Shahrir) yang mengetuai Felda ketika Felda membelanjakan sehingga RM2.2 bilion untuk membeli saham majoriti di dalam syarikat perladangan milik sahabat Dato’ Seri Najib Tun Razak iaitu PT Eagle High Plantations.

Hampir sebulan lalu, saya telah bertanyakan sendiri melalui satu kenyataan media kepada Tan Sri Shahrir Samad, mengenai laporan media di Indonesia bahawa Felda telah pun memuktamadkan pembelian saham-saham PT Eagle High Plantations dalam bulan April 2017. Malah, menurut laporan itu lagi, Felda berhasrat untuk membeli lagi saham-saham dengan menawarkan harga belian kepada pemegang saham lain.

Antara rumusan urusniaga yang dilaporkan di http://m.kontan.co.id/news/felda-dikabarkan-incar-porsi-mayoritas-bwpt

i. Felda telah pun membeli 37% pegangan di dalam PT Eagle High
ii. Urusniaga itu dimuktamadkan dalam bulan April 2017 dengan Kumpulan Rajawali milik Tan Sri Peter Sondakh
iii. Anak syarikat Felda, FIC Properties Sdn Bhd membayar sehingga USD 505.4 juta bersamaan sekitar RM2.12 bilion bagi saham-saham itu
iv. Felda dilaporkan akan membuat satu “tawaran umum” atau “general offer” bagi membeli saham-saham PT Eagle High yang belum dimilikinya

Saya pernah mendedahkan kedudukan kewangan Felda setakat 2013 dan 2014 berpandukan penyata kewangan yang diaudit (kerana laporan kewangan Felda bagi 2015 dan 2016 belum lagi keluar walaupun kini sudah melepasi separuh tahun 2017):

i. Mukasurat 168: Pendapatan di peringkat Felda hanyalah RM87 juta setahun. Jika diambil kira pendapatan di peringkat kumpulan yang disatukan, pendapatan tahunan kumpulan Felda hanyalah RM420 juta setahun.

ii. Mukasurat 168: Rugi bersih Felda adalah RM1 bilion (2014) dan RM2.3 (2013)

iii. Mukasurat 185: Perbelanjaan kasar untuk melaksanakan rancangan tanam semula untuk peneroka ialah RM2.5 bilion (2014) dan RM2.4 bilion (2013)

iv. Mukasurat 187: Baki tunai yang ada di akaun Felda hanyalah RM291 juta (2014) dan RM685 juta (2015)

v. Mukasurat 271: Jumlah hutang Felda adalah RM6.1 bilion (2014) dan RM5.7 bilion (2013)

Ini bermakna, sudah hampir pasti Felda telah mengambil hutang baru sebanyak RM2.12 bilion untuk membiayai pembelian saham-saham PT Eagle High itu kerana Felda tidak mempunyai sumber kewangan dalam yang mencukupi.

Keputusan untuk terus berhutang dalam keadaan kedudukan kewangan Felda sudah pun parah itu tidak sekali-kali disiasat oleh SPRM kerana ia tidak dikira sebagai rasuah; sebaliknya hanyalah satu keputusan pengurusan yang merugikan.

Sebab itu saya ingin menasihati Tan Sri Shahrir Samad supaya menginsafi hakikat bahawa beliaulah yang memimpin Felda tatkala Felda membayar sejumlah harga yang begitu tinggi untuk membeli saham-saham syarikat perladangan milik sahabat Dato’ Seri Najib.

Jangan dengan hanya mengalu-alukan siasatan ke atas ikan-ikan bilis di kalangan kakitangan Felda; itu dikira cukup untuk menutup peninggalan beliau yang sewajarnya diingati seperti mana rakyat mengingati peninggalan Tan Sri Isa Samad kepada Felda juga: kedua-dua mereka bertanggungjawab membiarkan Felda terjebak di dalam urusniaga berbilion ringgit yang menyebabkan hutang Felda mula membawa kesan kepada peneroka Felda.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Kempen Kerusi Marginal Dengan Tiga Isu Terpenting: Pakatan Harapan Boleh Menangi 50 Kerusi Tambahan Di Semenanjung

Dengan ura-ura PRU14 akan dipanggil dalam bulan Oktober 2017 selepas pembentangan Bajet 2017, kempen Pakatan Harapan mesti lebih berfokus dan bijak dengan menumpukan kepada sasaran pengundi yang tepat, isu yang tepat dan kerusi-kerusi Parlimen yang tepat.

Walaupun ramai penganalisa politik membayangkan Dato’ Seri Najib Razak tidak mempunyai kesukaran untuk memenangi PRU14 atas alasan pertandingan tiga penjuru di antara Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan PAS; segala analisa dan maklumbalas dari kalangan ratusan ribu pengundi setakat ini menunjukkan persaingan sengit di antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan untuk memenangi Putrajaya.

Pantauan sentimen pengundi yang dibuat oleh INVOKE (yang menelefon pengundi setiap hari) menunjukkan Pakatan Harapan kini mendahului di 97 kerusi Parlimen sementara Barisan Nasional mendahului di 125 kerusi Parlimen yang lain jika pertandingan 3 penjuru berlaku. Ini bermakna, jika pilihanraya dipanggil hari ini, Dato’ Seri Najib hanya menang dengan majoriti 13 kerusi (melebihi majoriti mudah 112 kerusi) yang hampir pasti menyebabkan beliau digulingkan dari dalam Umno sendiri.

Oleh sebab itu, saya mengambil tugas untuk memberi tumpuan khusus di kerusi-kerusi marginal yang dikenal pasti di Semenanjung. Kerusi-kerusi ini adalah kerusi yang dimenangi Umno/Barisan Nasional dengan kelebihan kurang dari 10% undi dalam PRU13 yang lalu. Saya percaya dengan meningkatkan kempen secara tersusun di kerusi-kerusi marginal ini, Pakatan Harapan boleh memenangi PRU14 kelak.

Saya juga telah mengenal pasti isu-isu utama untuk menarik minat pengundi atas pagar di kerusi-kerusi ini. Walaupun mereka (pengundi atas pagar) sedia maklum mengenai skandal 1MDB dan tuduhan menyeleweng dana awam terhadap Dato’ Seri Najib, mereka sebenarnya lebih tertarik kepada isu-isu yang mempunyai kesan langsung kepada kehidupan seharian mereka.

Isu-isu yang telah dikenal pasti paling penting di kalangan pengundi atas pagar ialah:

1. Kenaikan harga barang yang dikira tidak terkawal – sebab itu rata-rata pengundi atas pagar mahukan GST dimansuhkan dan subsidi minyak dikembalikan
2. Kenaikan gaji yang rendah dan tidak setimpal dengan kenaikan harga barang
3. Lambakan pekerja asing yang dirasakan menyempitkan peluang pekerjaan yang ada kepada pekerja tempatan

Maka, saya dan sahabat-sahabat dari Pakatan Harapan telah pun memulakan kempen khusus di 50 kerusi-kerusi yang dikategorikan sebagai marginal bermula di Johor Bharu pada hari Ahad yang lalu.

Kempen ini adalah berbeza dari ceramah biasa yang dibuat oleh pembangkang sebelum ini, seperti berikut:

i. Kempen dibuat di siang hari sama ada pada waktu pagi atau petang
ii. Kempen dijenamakan khusus sebagai “Jom Bina Semula Negara” dengan menggunakan satu trak kempen khusus yang telah diubahsuai
iii. Kempen bernada positif dengan memberi lebih tumpuan kepada cadangan penyelesaian kepada 3 isu utama yang disenaraikan di atas
iv. Kempen berkisar kepada isu kenaikan harga barang, menaikkan gaji dan menyelesaikan lambakan pekerja asing
v. Kaunter-kaunter pendaftaran mengundi dan menjadi jentera pilihanraya dibuka
vi. Kaunter menjual baju dan buku dibuka
vii. Trak kempen mempunyai set BBQ sendiri dan di setiap persinggahan, krew trak akan membakar BBQ untuk mewujudkan suasana santai
viii. Ucapan diselang-seli dengan nyanyian oleh sukarelawan INVOKE

Persinggahan pertama kempen “Bina Semula Negara” ini di Johor Bharu berjaya menarik kehadiran sekitar 200 orang pada hari Ahad (hari bekerja jabatan kerajaan) pada jam 3 petang. Selain saya, pimpinan Pakatan Harapan lain yang turut serta adalah Haji Salehuddin Ayob (Timbalan Presiden AMANAH), Saudara Hassan Karim (Pengerusi KEADILAN Johor), YB Andrew Chen (ADUN Stulang dari DAP), Dato’ Osman Safian (Setiausaha PPBM Johor), Saudara Suhaizan Kayat (Setiausaha Pengelola AMANAH) dan YB Jimmy Puah (Timbalan Pengerusi KEADILAN Johor).

Persinggahan trak kempen “Bina Semula Negara” yang seterusnya ialah di kerusi-kerusi marginal di Utara seperti berikut:

i. Sabtu, 15 Julai 2017 – pagi di Tanjung Malim, petang di Padang Rengas dan malam di Tambun
ii. Ahad, 16 Julai 2017 – tengahari di Sungai Petani, petang di Balik Pulau dan malam di Bagan Serai

Selain saya, pimpinan Pakatan Harapan lain yang akan turut serta adalah YB Dato’ Dr Mujahid Yusuf Rawa, YB Dr Lee Boon Chye, YB Dato’ Seri Nizar Jamaluddin, YB M Kulasegaran, YB Dato’ Johari Abdul, Dato’ Abdul Halim Hussin dan ramai lagi.

Saya galakkan seberapa ramai rakyat Malaysia meluangkan masa untuk mengikuti trak kempen “Bina Semula Negara” supaya anda sedia maklum perancangan Pakatan Harapan untuk mengatasi 3 masalah utama tadi.

Maklumat tempat dan masa bagi setiap persinggahan boleh diperolehi di laman INVOKE www.invokemalaysia.org atau di laman Facebook page saya. Anda boleh mendaftar secara percuma untuk mendapat maklumat terkini di http://bit.ly/JOMBINASEMULANEGARA

Saya yakin dengan momentum yang dibina di Johor Bharu, Pakatan Harapan akan berjaya memenangi 50 kerusi marginal yang dikenal pasti untuk membentuk kerajaan di Putrajaya kelak.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Kenapa Barisan Nasional Gelabah Isu Penyenaraian Edra?

Saya memerhatikan bagaimana pimpinan Umno mula menggelabah mengenai isu penyenaraian Edra sehingga ramai menteri dan ahli parlimen Umno yang menyerang saya, sedangkan saya hanya menimbulkan satu isu yang pada saya adalah satu perkara biasa.

Amaran supaya dana awam seperti KWSP, KWAP, Tabung Haji, Perkeso, PNB dan Khazanah Nasional tidak membeli saham-saham Edra yang kini ingin dijual oleh syarikat milik China itu adalah supaya rakyat Malaysia tidak menanggung hutang 1MDB buat kali kedua.

Gelagat menteri-menteri Umno yang menggelabah itu memberi gambaran mereka sendiri tidak yakin saham-saham Edra akan dibeli sekiranya tabung-tabung awam tidak terlibat. Terbaru, saya membaca laporan bagaimana Menteri Kewangan Kedua dan Ahli Parlimen Setiawangsa dari Umno mengkritik saya atas desakan saya supaya dana awam tidak membeli saham-saham Edra.

Jawapan saya kepada mereka adalah sangat mudah: Jika benar saham-saham ini bernilai dan akan naik harganya di masa akan datang, kenapa syarikat China CGNPC yang memiliki Edra tidak menyenaraikannya di bursa-bursa lain yang mempunyai akses yang lebih baik kepada pelabur? Kalau betul ia benar-benar bernilai, bukankah lebih baik bekas syarikat 1MDB ini disenaraikan di New York, London, Hong Kong atau Singapura?

Gelagat menteri-menteri Umno dan media Umno yang menyerang saya mengenai penyenaraian Edra sudah cukup meyakinkan saya tindakan memboikot penyenaraian Edra adalah betul, supaya kita tidak terbeban dengan satu lagi FGV atau 1MDB.

Oleh itu, saya akan memulakan kempen di media sosial untuk mendapat seberapa ramai pencarum dan rakyat Malaysia menandatangi petisyen dan kajiselidik untuk menggesa dana-dana awam supaya tidak turut serta di dalam penyenaraian ini. Hasil dari petisyen dan kajiselidik ini akan disampaikan kepada pengurusan KWSP, KWAP, Tabung Haji dan dana awam yang lain untuk mengingatkan mereka amanah yang mereka pikul supaya mereka lebih takutkan suara rakyat daripada menuruti arahan-arahan dari Putrajaya yang mendatangkan risiko pelaburan kepada pencarum-pencarum.

Kempen media sosial ini akan dilancarkan esok, 12 Julai 2017 di laman-laman Facebook, Twitter, Instagram dan laman web biasa.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Penyenaraian Edra: Diwar-War Pelaburan Asing Dari China Tetapi Guna Duit Rakyat Malaysia?

Saya langsung tidak terkejut dengan jawapan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang menolak cabaran berdebat dengan saya mengupas sama ada wang rakyat di dalam dana awam (KWSP, KWAP, Tabung Haji, PNB, Perkeso dan lain-lain) menghadapi risiko kerugian jika dilaburkan di dalam Edra Power Holdings Sdn Bhd yang hendak disenaraikan.

Beliau memberi alasan tiada guna berdebat dengan seorang “pakar pemfitnah” dan pelbagai serangan peribadi yang lain. Saya tidak perlulah melayan serangan peribadi sebegitu kerana rakyat dapat memahami isu yang saya timbulkan berhubung penyenaraian Edra ini. Lagi pun, skandal-skandal yang saya timbulkan sejak skandal NFC lagi telah sedikit sebanyak membantu rakyat menilai prestasi pentadbiran Barisan Nasional.

Ada dua isu sebenar ekoran pengumuman cadangan penyenaraian Edra oleh syarikat tenaga milik Kerajaan China itu.

Pertama – risiko rakyat Malaysia menanggung hutang 1MDB kali kedua apabila rakyat membayar kembali wang yang “didahulukan” oleh syarikat China itu untuk membayar sebahagian dari hutang 1MDB. Saya telah terangkan risiko ini dalam dua kenyataan media yang lalu.

Kedua – risiko segala jenis pelaburan asing dari China yang diumumkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak sebenarnya dibiayai oleh rakyat sendiri dan bukanlah pelaburan asing sepenuhnya seperti yang diwar-warkan.

Setakat ini, Dato’ Seri Najib memberi alasan keperluan menarik pelaburan asing (terutamanya dari China) demi menjana ekonomi. Blog beliau beberapa hari lalu dengan khusus menyebut azamnya untuk mempertahankan semua pelaburan asing walaupun itu dikecam kerana menurut beliau itu satu keperluan demi kebaikan rakyat.

Saya bimbang pelaburan-pelaburan yang diumumkan ini hanyalah silap mata yang bertujuan untuk mengabui mata rakyat demi memperbaiki pandangan rakyat yang tidak puas hati dengan prestasi ekonomi negara.

Risikonya ialah sedang pelaburan-pelaburan ini diumumkan sebagai pelaburan asing, realitinya adalah berbeza: sama ada dana yang disuntik ke dalam projek-projek yang diusahakan pelabur asing itu sebenarnya diambil dari pasaran tempatan (bermakna wang rakyat Malaysia juga yang membiayainya), atau pelaburan-pelaburan itu akan menyebabkan lebih banyak wang rakyat Malaysia dan negara mengalir keluar akhirnya.

Contoh yang baik ialah pelaburan syarikat minyak Saudi Aramco yang digebangkan oleh Datuk Seri Rahman sendiri beberapa bulan lalu. Beliau mendabik dada kononnya menyelamatkan pelaburan Arab Saudi yang hampir gagal itu, tetapi apabila saya bertanyakan butir-butir perjanjian, beliau berdalih dan kemudiannya menutup mulut terus.

Sebenarnya saya dimaklumkan oleh sumber-sumber dalaman bahawa perjanjian perbekalan elektrik, wap, gas dan bahan asas lain terpaksa ditukar sehingga menyebelahi permintaan pihak Arab Saudi di saat akhir. Akibatnya, syarikat Arab Saudi itu akan mendapat pulangan pelaburan yang lebih tinggi berbanding PETRONAS kerana bekalan bahan asas yang dibekalkan oleh syarikat milik penuh PETRONAS dijual pada harga yang memberi keuntungan menyebelahi loji hiliran (downstream plants) yang dimiliki bersama dengan syarikat Arab Saudi itu.

Jika ini benar, kesan jangka panjangnya ialah lebih banyak wang Malaysia yang mengalir keluar ke Arab Saudi kerana pulangan pelaburan yang lebih tinggi, berbanding wang yang dibawa masuk ke Malaysia.

Saya menjangkakan Datuk Seri Rahman menutup mulut selepas saya menimbulkan isu ini kerana bimbang isu ini menjadi lebih besar.

Penyenaraian Edra adalah satu lagi contoh bagaimana pentadbiran Dato’ Seri Najib boleh bermain silap mata: semasa mengumumkan penjualan aset strategik penjanaan elektrik itu, Dato’ Seri Najib memberi alasan pelaburan asing sebagai salah satu sebab utama Edra dijual kepada syarikat China.

Tidak sampai 2 tahun kemudian, syarikat China itu mengumumkan hasrat mahu mengutip sehingga RM5 bilion dengan menjual saham-sahamnya di Bursa Kuala Lumpur. Jika saham-saham ini dibeli oleh pelaburan asing yang lain, maka ia kekal sebagai suntikan dana dari pelabur asing. Tetapi jika sebahagian besarnya dibeli oleh KWSP, KWAP, Tabung Haji, PNB, Perkeso dan dana awam yang lain, ia samalah dengan memberi RM5 bilion wang rakyat kepada syarikat China itu untuk dibawa pulang ke China!

Perkara yang sama boleh berlaku kepada semua pelaburan China yang telah diumumkan oleh Dato’ Seri Najib setakat ini: dari pembangunan Bandar Malaysia hinggalah pembinaan Rangkaian Keretapi Pantai Timur (ECRL). Ada kemungkinan besar selepas dianugerahkan kontrak, syarikat-syarikat China ini akan menjual saham atau menerbitkan kertas hutang yang akhirnya dibeli oleh dana-dana awam Malaysia di dalam projek yang pada asalnya diumumkan sebagai pelaburan asing.

Akhirnya, yang berlaku ialah wang rakyat Malaysia membiayai projek yang diberikan sepenuhnya kepada syarikat China, yang menggunakan sepenuhnya pekerja dan bahan-bahan dari China; tetapi keuntungan akhirnya dibawa keluar balik ke China.

Sebab itu saya ingin mengajukan soalan kepada Datuk Seri Rahman sebagai menteri ekonomi negara: jika benar pelaburan-pelaburan asing ini telah membawa masuk wang ke dalam negara, kenapa nilai Ringgit masih lagi rendah? Secara logiknya jika pelabur asing membuat pelaburan di Malaysia, mereka perlu membawa masuk dana dalam matawang mereka yang ditukarkan menjadi Ringgit (kerana perbelanjaan projek adalah dalam Ringgit). Ini meningkatkan permintaan terhadap matawang Ringgit dan menaikkan nilainya.

Sebaliknya, walaupun beratus bilion telah diumumkan, pelaburan-pelaburan asing dari China setakat ini belum ada kesan nyata terhadap matawang Ringgit. Adakah kerana akhirnya wang yang digunakan untuk membiayai projek-projek yang diserahkan kepada syarikat-syarikat China ini datangnya dari rakyat Malaysia juga, seperti mana yang akan berlaku dengan penyenaraian Edra?

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

1MDB, Jho Low Dan MO1 Yang Sabotaj Ekonomi Malaysia, Bukan Saya: Rahman Dahlan Patut Berani Berdebat Mengenai Penyenaraian Edra

Panglima utama kepada Dato’ Seri Najib Razak iaitu Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menuduh saya berniat jahat dan ditafsirkan beliau sebagai usaha mensabotaj ekonomi negara. Dalam satu tulisan semalam, Datuk Seri Rahman mendakwa penglibatan 1MDB di dalam industri penjana bebas (IPP) telah berjaya menstrukturkan kembali perjanjian pembekalan tenaga bebas agar tidak berat sebelah seperti sebelum itu.

Tindakan serta-merta Datuk Seri Rahman menuduh saya cuba mensabotaj ekonomi negara (apabila saya menyeru supaya dana awam tidak terlibat di dalam penyenaraian Edra milik syarikat Kerajaan China) menunjukkan rasa cemas pentadbiran Dato’ Seri Najib mengenai cadangan penyenaraian itu. Rasa cemas itu sudah tentu berpunca dari kebimbangan Dato’ Seri Najib bahawa pembelian saham-saham Edra dari syarikat milik Kerajaan China oleh dana awam akan sekali lagi mengundang kemarahan rakyat.

Maka, alasan-alasan yang diberikan untuk menunjukkan “jasa” 1MDB (melalui Edra) kepada rakyat menjadi tidak keruan. Saya tunjukkan di bawah beberapa alasan yang tidak benar dan boleh dipatahkan dengan mudah:

i. Datuk Seri Rahman mendakwa oleh kerana 1MDBlah maka perjanjian pembekalan tenaga oleh penjana bebas (IPP) menjadi lebih adil lalu harga yang dibayar oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada IPP adalah lebih murah. Akibatnya, keuntungan TNB meningkat berbanding sebelum ini.
(Rujuk perenggan: Berbanding mencatatkan kerugian dan memerlukan bantuan kerajaan sebagaimana berlaku pada masa lampau, terma dan kadar PPA yang adil di mana melibatkan 40 peratus dari kos, kini menyumbang kepada TNB yang turut mencatatkan keuntungan berbanding sebelum ini.)

Berhubung perkara ini, saya hanya ingin mengajukan satu soalan kepada Datuk Seri Rahman untuk menunjukkan bahawa alasan ini tidak benar: jika benarlah 1MDB (melalui Edra) telah menyebabkan perjanjian IPP lebih adil dan mengurang kos menjana dan membekal elektrik kepada rakyat, kenapa tarif elektrik tidak turun selari dengan penurunan kos dan keuntungan TNB seperti yang didakwa? Sebaliknya tarif elektrik menjadi lebih tinggi sejak pembabitan 1MDB di dalam industri penjanaan elektrik bebas.

ii. Datuk Seri Rahman mendakwa oleh kerana 1MDB jugalah tanggungan subsidi gas oleh PETRONAS adalah jauh lebih sedikit berbanding sebelum itu.
(Rujuk perenggan: Manakala bil subsidi gas Petronas bagi 2015 adalah satu pertiga dari apa yang perlu ditanggung pada 2012, penjimatan sebanyak RM10 bilion. Penjimatan besar ini dibelanjakan bagi pembangunan dan kebajikan yang memanfaatkan rakyat di kala kerajaan mengekalkan kadar elektrik rendah untuk semua.)

Saya tergelak membacanya kerana jelas Datuk Seri Rahman seolah-olah beranggapan rakyat jelata mudah diperbodohkan. Kos subsidi gas yang ditanggung oleh PETRONAS (kerana gas asli dijual lebih murah kepada penjana bebas berbanding harga pasaran) turun mendadak bukanlah disebabkan oleh “jasa” 1MDB seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Rahman. Subsidi gas sekarang adalah jauh lebih rendah (berbanding tahun 2012 seperti yang didakwa) adalah kerana harga minyak mentah dunia telah jatuh mendadak sekarang berbanding tahun 2012 (lihat carta harga minyak mentah Brent di bawah, harga jatuh dari sekitar USD115 setong dalam tahun 2012 kepada sekitar USD50 setong dalam tahun 2016 – 2017).

 

Seluruh dunia tahu bahawa tarif elektrik masih kekal tinggi di Malaysia dan tidak pernah diturunkan (walaupun Datuk Seri Rahman mendakwa kos menjana elektrik turun mendadak kerana “jasa” 1MDB). Seluruh dunia juga tahu jumlah subsidi gas yang ditanggung PETRONAS turun mendadak selari dengan jatuhnya harga minyak mentah; bukannya disebabkan oleh “jasa” 1MDB.

Seluruh dunia juga tahu bahawa 1MDB menanggung hutang yang tinggi kerana membeli aset-aset penjanaan elektrik bebas dari syarikat kroni pada harga yang lebih tinggi dari nilaian. Seluruh dunia tahu aset-aset itu kemudiannya dijualkan sepenuhnya kepada syarikat milik Kerajaan China (iaitu China General Nuclear Power Corporation atau CGNPC) walaupun TNB membidanya untuk mengurangkan hutang-hutang 1MDB.

Kini, apabila CGNPC ingin menyenaraikan Edra (yang dibeli dari 1MDB) bagi tujuan mengutip kembali RM5 bilion dari jumlah asal RM9.83 bilion yang dibayar kepada 1MDB, ia samalah seperti rakyat Malaysia yang menanggung hutang 1MDB buat kali kedua jika saham-saham itu dibeli oleh dana-dana awam yang dimiliki rakyat seperti KWSP, KWAP, Tabung Haji, PNB, PERKESO dan Khazanah.

Oleh itu seruan saya supaya dana-dana awam jangan terlibat membeli saham Edra adalah selari dengan kemahuan rakyat yang sudah serik dengan penyenaraian FGV satu ketika dahulu dan tanggungan hutang-hutang 1MDB yang sehingga kini tidak berkesudahan.

Lagi pun, jika benarlah Edra ini satu syarikat yang mempunyai potensi keuntungan yang tinggi seperti yang diwar-warkan, saya pasti CGNPC milik Kerajaan China itu mampu menjual saham-sahamnya kepada pelabur antarabangsa yang lain dari dana-dana antarabangsa tanpa perlu bergantung kepada dana awam milik rakyat Malaysia.

Isu menghalang dana awam dari terlibat dengan penyenaraian Edra ini adalah isu utama yang perlu diberi perhatian. Saya juga mempunyai banyak lagi jawapan-jawapan dan fakta-fakta untuk membidas hujah songsang Datuk Seri Rahman mengenai isu ini.

Hakikatnya, yang mensabotaj ekonomi Malaysia bukanlah orang seperti saya yang hanya menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen pembangkang untuk memastikan dana awam tidak digunakan untuk pelaburan berisiko tinggi. Rakyat juga tahu bahawa pihak yang mensabotaj ekonomi Malaysia adalah Jho Low, 1MDB dan MO1 yang menyebabkan rakyat Malaysia menanggung hutang sehingga RM50 bilion.

Oleh itu, cara yang terbaik membincangkan perkara ini ialah melalui satu perdebatan terbuka yang disiarkan secara langsung baik di televisyen nasional (sama ada RTM, TV3 atau TV lain) dan melalui Facebook LIVE. Saya percaya banyak pihak yang berpengalaman luas menganjurkan perdebatan seperti Sinar Harian boleh menguruskan debat ini dengan cepat.

Sepatutnya jika Datuk Seri Rahman benar-benar yakin 1MDB telah banyak membantu rakyat Malaysia melalui pembabitannya di dalam industri penjanaan tenaga bebas; atau yakin bahawa potensi pelaburan di dalam Edra adalah baik (dan dana awam tidak perlu bimbang dengan risiko pelaburan), maka beliau tidak wajar gentar untuk berdepan dengan saya di dalam satu perdebatan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

%d bloggers like this: