Berapa Peruntukan Tambahan Kepada PERMATA Di Bawah Manifesto BN?

Manifesto Barisan Nasional yang diumumkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak pada hari Sabtu lalu memberi gambaran skop penglibatan PERMATA dalam pentadbiran negara diluaskan lagi. Melalui pengumuman-pengumuman yang dibuat di dalam manifesto tersebut, jelas peruntukan-peruntukan baru yang lebih besar akan diberikan kepada PERMATA jika Najib kembali berkuasa.

Skop peluasan penglibatan PERMATA itu disebut 3 kali di dalam manifesto penuh setebal 219 muka surat itu, seperti berikut:

i. Muka surat 109 – Menambah pendapatan ibu-ibu tunggal B40 melalui latihan tertentu di bawah Kursus Asuhan PERMATA

ii. Muka surat 137 – Akses pelajar kelainan upaya kepada sistem pendidikan seperti Permata Kurnia akan diperluas ke seluruh negara.

iii. Muka surat 142 – Menyediakan modul khusus untuk intervensi awal keluarga yang mempunyai anak autisme dengan kerjasama pusat PERMATA.

Pengumuman di dalam Manifesto BN itu memberi gambaran skop PERMATA diluaskan untuk kini turut terlibat di dalam program kerajaan untuk ibu-ibu tunggal, sistem pendidikan keluarga dan khidmat keluarga. Kedua-dua fungsi ini kini dikendalikan oleh dua kementerian iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut laman web rasmi PERMATA, program-program yang kini berjalan di bawah kendalian PERMATA adalah PERMATA Negara, PERMATApintar, PERMATA Seni, PERMATA Insan dan PERKASA@remaja. Laman itu juga menyatakan beliau kini sedang memulakan program baru bernama PERMATA Kurnia.

(Rujuk http://www.programpermata.my/en/about )

Pengumuman di dalam Manifesto BN menunjukkan peruntukan baru kepada program yang baru dimulakan oleh PERMATA iaitu PERMATA Kurnia dan peruntukan kepada skop baru PERMATA yang melibatkan ibu tunggal yang akan dilatih oleh Pusat Asuhan PERMATA.

Saya suka mengingatkan pengundi-pengundi bahawa peruntukan kepada PERMATA bagi program-program sedia ada pun sudah mencecah belanja yang tinggi setiap tahun. Saya sertakan petikan peruntukan bagi tahun 2018 untuk program-program sedia ada yang dikendalikan PERMATA dan jumlah kakitangan yang digaji di bawah program-program PERMATA; seperti terkandung di dalam penyata peruntukan mengikut jabatan yang dibentangkan di Parlimen:

4 - 09 - 1

Peruntukan untuk “Dasar Baru” sebanyak RM8,190,100

4 - 09 - 2

Peruntukan “ONE OFF” kepada PERMATA sebanyak RM12.7 juta

 

4 - 09 - 3

Jumlah kakitangan yang digaji oleh PERMATA adalah 586 orang dan melibatkan belanja sebanyak RM54.3 juta

 

Jumlah yang diperuntukkan kepada program sedia ada PERMATA bagi tahun 2018 adalah RM75.19 juta.

Dengan janji baru Manifesto BN untuk meluaskan skop penglibatan PERMATA untuk turut membabitkan ibu-ibu tunggal di dalam kumpulan B40, ini sudah tentu akan meningkatkan lagi peruntukan kepada PERMATA.

Semakan saya menunjukkan jumlah ibu tunggal di Malaysia setakat 2016 adalah 235,240 orang (rujuk laporan berita http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/02/11/ibu-tunggal-berdaftar/ ):

4 - 09 - 4

Jika 70% dari ibu-ibu tunggal ini tergolong di dalam kumpulan B40, program PERMATA yang baru itu akan melibatkan sekitar 165,000 orang ibu tunggal. Jika kos yang diperuntukkan kepada PERMATA untuk melatih setiap ibu-ibu tunggal ini di Pusat Asuhan PERMATA adalah RM1,000 setahun, itu akan melibatkan peruntukan tambahan kepada PERMATA sebanyak RM165 juta setahun.

Jika ini dicampurkan dengan peruntukan sedia ada yang diberikan kepada PERMATA, jumlah peruntukan yang bakal diperuntukkan kepada PERMATA di bawah Manifesto BN boleh mencecah RM250 juta setahun.

Saya mahu pengesahan berapa peruntukan yang dianggarkan oleh Dato’ Seri Najib untuk membiayai program-program di bawah PERMATA ini kerana setiap sen yang baru yang diperuntukkan kepada PERMATA, itu menambahkan penglibatan Datin Seri Rosmah Mansor dalam perjalanan kerajaan melalui PERMATA.

Memandangkan ini satu-satunya program besar yang dijanjikan di dalam Manifesto BN mengenai kebajikan wanita yang terbanyak, rakyat berhak tahu jumlah peruntukan yang akan diberikan kepada program ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Analisa Kesan Persempadanan Semula Kepada Keputusan PRU14

Analisa kesan persempadanan semula ke atas keputusan PRU14, yang dibentangkan di Forum Persempadanan Semula sebentar tadi di South City Plaza, Seri Kembangan.

Effects of Redelineation on GE14 – Rafizi

Rakaman pembentangan boleh ditonton di:

Youtube:
https://www.youtube.com/watch?v=FP-fZ__US1M

Facebook:
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan/videos/1855927081108457/

 

Cubaan Melumpuhkan Operasi INVOKE, Menakutkan Sukarelawan Dan Fitnah Jahat Naib Ketua Pemuda UMNO Dan TV3

Selasa lalu (27 Mac 2018), Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun semasa berucap di Dewan Negara telah membuat beberapa fitnah jahat terhadap operasi INVOKE, seperti berikut:

1. INVOKE telah melanggar undang-undang kerana menelefon orang ramai untuk membuat kaji selidik

2. INVOKE menerima dana asing untuk meracun pemikiran rakyat Malaysia

3. INVOKE ada hubungan dengan pemimpin Israel melalui badan-badan yang memberi bantuan kewangan kepadanya

Sebahagian ucapan itu telah dijadikan bahan berita oleh TV3 dan disiarkan di dalam berita-berita rangkaian Media Prima, selain dimuatnaik di laman Facebook TV3 sebagai buletin berita, seperti berikut:

 

Ucapan Khairul Azwan Harun itu turut dilaporkan oleh Bernama dan disiarkan di laman-laman berita, seperti laporan Malaysiakini: https://www.malaysiakini.com/news/417380

Semalam (Rabu, 28 Mac 2018), Pemuda Umno telah membuat laporan polis dan kepada pihak berkuasa berkenaan agar INVOKE disiasat, berdasarkan ucapan yang dibuat oleh Khairul Azwan Harun (rujuk laporan Utusan mengenai laporan polis Pemuda Umno: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/invoke-malaysia-ceroboh-data-peribadi-17-juta-rakyat-malaysia-1.636819)

Berikut adalah maklum balas INVOKE mengenai tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh Naib Ketua Pemuda Umno itu dan laporan-laporan media perdana yang dikawal Umno/Barisan Nasional:

i. INVOKE tidak pernah menerima satu sen pun dari mana-mana badan baik dari dalam dan luar negara. INVOKE dibiayai sepenuhnya oleh ribuan rakyat Malaysia yang melanggan khidmat kami atau membeli tiket-tiket/barang kempen yang dijual untuk membiayai operasi INVOKE

ii. INVOKE telah pun menyiarkan secara terperinci senarai pelanggan dan pembeli yang telah menyumbang kepada INVOKE, yang secara jelas menunjukkan ribuan rakyat Malaysia yang membiayai operasi INVOKE

iii. INVOKE telah mematuhi segala peraturan dan undang-undang berhubung operasi kami, seperti mana yang juga diamalkan oleh badan-badan kaji selidik yang lain di Malaysia seperti Merdeka Centre, Centre for Strategic Engagement (CENSE yang diketuai Rita Sim) dan lain-lain

iv. INVOKE tidak pernah ada sebarang hubungan dengan mana-mana pihak yang ada hubungan dengan rejim Israel, seperti yang didakwa oleh Khairul Azwan Harun

Saya mencabar Khairul Azwan Harun mengulangi tuduhannya di luar Dewan Negara supaya saya boleh mengambil tindakan saman terhadap beliau dengan segera.

Sebelum ini, beliau telah pun kalah di mahkamah berkenaan isu pembabitan Pemuda Umno di dalam skandal pembelian hartanah MARA di Australia, apabila mahkamah mengiyakan kenyataan saya yang menunjukkan perkaitan di antara pemimpin Pemuda Umno dengan individu yang terbabit di dalam skandal tersebut. Salah seorang dari individu itu menjadi pemegang saham yang besar di dalam syarikat yang diketuai Khairul Azwan sendiri.

Oleh kerana beliau hanya berani berucap di bawah perlindungan Dewan Negara, saya telah meminta pasukan peguam saya meneliti ruang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau.

Saya juga telah mengarahkan pasukan peguam untuk mengkaji mengambil tindakan undang-undang terhadap TV3 yang secara jelas telah memfitnah INVOKE dengan membuat laporan palsu kononnya ia dibiayai badan asing.

Saya percaya serangan ke atas INVOKE adalah satu rancangan tersusun menjelang pilihanraya bertujuan untuk melumpuhkan operasi kami.

Jika INVOKE dituduh melanggar undang-undang kerana menjalankan kaji selidik, bagaimana pula ratusan kaji selidik yang dilakukan oleh Umno untuk mengukur tahap sokongan ke atas calon-calonnya? Saya dimaklumkan sendiri oleh beberapa orang Ahli Parlimen Umno mengenai kaedah yang digunakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak yang menggunakan kaji selidik melalui telefon untuk mengenal pasti tahap sokongan setiap wakil rakyatnya.

Jika INVOKE ingin disiasat kerana menjalankan kaji selidik, kenapa pula Umno tidak disiasat secara besar-besaran kerana jumlah kaji selidik melalui telefon yang dibuat oleh Umno adalah jauh lebih tinggi berbanding kaji selidik oleh INVOKE?

Sebab itu, rakyat dapat membaca ini adalah senjata Umno untuk melumpuhkan INVOKE yang kini sudah mempunyai 25,000 orang sukarelawan yang giat dilatih untuk menjadi ejen kira undi bagi calon-calon PH.

Ugutan ke atas INVOKE adalah untuk menakut-nakutkan rakyat supaya tidak terus tampil menjadi sukarelawan kerana Umno bimbang dokongan rakyat yang menjadi sukarelawan INVOKE akan menyukarkan sebarang usaha penipuan pilihanraya.

Oleh itu, saya menggesa seramai mungkin rakyat untuk terus tampil mendaftar menjadi sukarelawan dengan mendaftar di pautan bit.ly/JOMJOININVOKE

Lebih ramai rakyat yang mendaftar menjadi sukarelawan, lebih sukar Umno mengugut untuk melumpuhkan operasi INVOKE.

BAGI PIHAK INVOKE

Rafizi Ramli

Kerajaan Suntik RM2 Bilion Dalam Projek 1MDB

Sejak tahun 2014, pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak menghadapi tekanan untuk mengemukakan jalan penyelesaian mengurangkan hutang terkumpul 1MDB yang dianggarkan telah melebihi RM42 bilion (setakat 2014). Beban hutang yang besar ini telah menyebabkan Kerajaan Persekutuan terpaksa memberi kemudahan kredit berjumlah RM950 juta di dalam 2015.

(Rujuk: http://www.theedgemarkets.com/article/1mdb-financials-not-sustainable-admits-mof )

03 - 07 - 2

Sejak tahun 2015, 1MDB telah memberi komitmen untuk menstrukturkan kembali perniagaannya demi mengurangkan hutang. Perkara ini dijelaskan sendiri oleh 1MDB di dalam kenyataannya pada 20 Oktober 2015.

Setakat ini, penstrukturan tersebut meliputi:

1. Penjualan aset penjana tenaga bebas (IPP) kepada China General Nuclear Power Corp berharga RM9.83 bilion

2. Penjualan 60% pegangan di dalam Bandar Malaysia kepada konsortium swasta yang dianggotai Iskandar Waterfront Holding dan China Railway Engineering Corp

3. Penjualan tanah-tanah yang dahulunya milik swasta kepada Tabung Haji, Affin Bank dan Mulia Group (dari Indonesia) dalam urusniaga bernilai RM3 bilion, seperti kenyataan 1MDB di atas

Selain dari penjualan aset-aset (yang dulunya milik negara dan dikira strategik) ini kepada pihak swasta dan syarikat luar negara, Kerajaan Malaysia juga telah mengambil alih hutang-hutang 1MDB yang terdahulu dengan memindahkan hak milik SRC International Sdn Bhd menjadi anak syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Daripada kesemua urusniaga dan projek yang dijalankan 1MDB sejak tahun 2012, hanya pembangunan The Exchange 106 (menara setinggi 106 tingkat di atas tapak tanah seluas 3.4 ekar di TRX) yang kini sedang berjalan. Menara ini dijangka siap menjelang suku kedua 2018.

Saya telah persoalkan semalam bagaimana harga jualan tanah yang dibayar oleh Mulia Group kepada 1MDB adalah RM403.9 juta seperti yang dinyatakan di dalam penyata kewangan diaudit Mulia Property Development Sdn Bhd, adalah berbeza dengan harga RM665 juta yang diumumkan oleh 1MDB.

Saya menimbulkan isu itu kerana semakan saya menunjukkan bukan sahaja Mulia Property Development Sdn Bhd mendapat diskaun yang besar dari harga yang diumumkan (iaitu RM261 juta atau diskaun 39%), rekod di Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan Kerajaan Malaysia telah menyuntik lagi RM2 bilion ke dalam pembinaan The Exchange 106 ini.

Saya sertakan 3 dokumen berikut:

1. Jawapan Menteri Kewangan kepada soalan nombor 48 yang dikemukakan semalam mengenai pemilikan syarikat MKD Signature Sdn Bhd dan Sentuhan Budiman Sdn Bhd

6 Mac 2018 -1

6 Mac 2018 -2

2. Jawapan Menteri Kewangan kepada soalan nombor 54 yang dikemukakan semalam mengenai urusniaga membeli pegangan di dalam Mulia Property Development Sdn Bhd

7 Mac 2018 -1

7 Mac 2018 -2

7 Mac 2018 -3

3. Borang pendaftaran pertukaran saham di bawah Seksyen 51, Akta Syarikat yang difailkan di Suruhanjaya Syarikat

Mulia Property Development – Change of Shareholding

4. Borang pendaftaran cagaran tanah sebagai pertukaran kepada suntikan sebanyak RM2 bilion ke dalam projek The Exchange 106 ini

Mulia Property Development – Lodgement of Charge

5. Borang pendaftaran cagaran oleh MKD Signature Sdn Bhd yang berhutang sebanyak RM2 bilion dari HSBC untuk menyuntik RM2 bilion ke dalam projek The Exchange 106 ini

MKD Signature – Lodgement of Charge with HSBC

Berdasarkan jawapan-jawapan yang diberikan Menteri Kewangan dan dokumen-dokumen yang difailkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia, beberapa kesimpulan boleh dibuat:

1. Kerajaan Malaysia (melalui anak syarikat milik penuh MOF Inc yang bernama MKD Signature Sdn Bhd) telah menyuntik lagi RM2 bilion ke dalam projek 1MDB yang bernama The Exchange 106 ini

2. Sebagai pertukaran kepada suntikan dana ini, Kerajaan Malaysia mendapat 51% pegangan di dalam projek ini

3. Kerajaan Malaysia telah meminjam RM2 bilion dari HSBC Bank dengan menggadaikan kesemua kepentingannya di dalam projek itu

Suntikan RM2 bilion dana yang diambil secara hutang dari bank dengan menggadaikan kepentingan kerajaan di dalam projek itu, bermakna 1MDB terus mengambil hutang yang ditanggung oleh rakyat Malaysia. Ini bertentangan sekali dengan janji-janji Dato’ Seri Najib dan kenyataan 1MDB kononnya hutang 1MDB akan dapat dilangsaikan tanpa mengheret rakyat Malaysia.

Sebaliknya yang berlaku, Kerajaan Persekutuan menambah lagi hutang dengan membuat hutang baru untuk disuntik ke dalam 1MDB.

Saya akan menyambung pendedahan ini esok sementara menunggu maklum balas 1MDB dan Dato’ Seri Najib.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Harga Tanah 1MDB Yang Dijual Kepada Mulia Group Berbeza Sebanyak Rm261 Juta Dari Yang Diumumkan

Saya telah menimbulkan isu pembelian kembali pegangan di dalam pemaju The Exchange 106 oleh Kerajaan Malaysia yang sehingga kini belum dijawab oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak atau pengurusan 1MDB.

The Exchange 106 adalah bangunan komersial yang ketiga tertinggi di Malaysia (apabila siap) yang dibangunkan di atas tapak tanah Kerajaan Persekutuan yang diberikan kepada 1MDB. Tanah ini kemudiannya dijual kepada Mulia Group, sebuah kumpulan pemaju dari Indonesia untuk dibangunkan menjadi menara mercu tanda projek 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX) yang diberi nama TRX.

Penjualan tanah ini diumumkan melalui satu kenyataan media oleh 1MDB bertarikh 13 Mei 2015 yang disertakan di bawah:

http://trx.my/press-releases/tun-razak-exchange-attracts-indonesia%E2%80%99s-leading-property-developer

02 - 28 - 4

Semasa saya menyemak laporan-laporan mengenai pembelian semula pegangan di dalam pemaju The Exchange 106 dari Indonesia ini, saya juga telah mengenal pasti satu lagi kontroversi yang sangat memalukan Kerajaan Malaysia.

Pengumuman mengenai penjualan tanah oleh 1MDB kepada Mulia Group ini dibuat pada 13 Mei 2015, iaitu seminggu selepas kontroversi penjualan tanah oleh 1MDB kepada Tabung Haji meletup.

Semakan saya menunjukkan media perdana melaporkan mengenai penjualan tanah 1MDB kepada Tabung Haji bermula 7 Mei dan mendapat kecaman keras dari rakyat dalam minggu itu:

NST:
https://www.nst.com.my/news/2015/09/1mdb-sells-plot-land-lembaga-tabung-haji-about-us53-million

03 - 06 - 4

The Star:
https://www.thestar.com.my/news/nation/2015/05/08/tabung-haji-defends-decision-to-buy-trx-land-from-1mdb/

03 - 06 - 5

 

Seminggu selepas berita penjualan tanah kepada 1MDB mendapat kecaman hebat dari rakyat, 1MDB mengumumkan penjualan tanah di TRX kepada Mulia Group pada harga RM655 juta, iaitu pada premium yang lebih tinggi yang dibayar oleh Tabung Haji.

Laporan sebelum itu menyebut Tabung Haji membayar RM2,773 satu kaki persegi (rujuk https://www.thestar.com.my/news/nation/2015/05/08/tabung-haji-defends-decision-to-buy-trx-land-from-1mdb/) di dalam pembelian yang diumumkan pada 7 Mei 2015 itu.

Pada harga RM655 juta seperti yang diumumkan oleh 1MDB, harga jualan kepada Mulia Group adalah sebanyak RM4,490 satu kaki persegi menjadikan jualan itu sebagai harga yang paling mahal setakat ia dilaporkan.

Ini dilaporkan oleh The Star pada 2 Mei 2016 dalam laporan khusus mempromosikan pembangunan The Exchange 106 (rujuk https://www.thestar.com.my/business/business-news/2016/05/02/mulia-to-make-signature-mark/)

03 - 06 - 6

Penjualan lot tanah TRX oleh 1MDB kepada Mulia Group seminggu selepas kontroversi penjualan tanah kepada Tabung Haji (pada harga yang 62% lebih mahal dari yang dibayar oleh Tabung Haji) sudah tentu memberi gambaran sebenarnya Tabung Haji telah mendapat diskaun dari jualan tanah oleh 1MDB itu.

Ia boleh membantu meredakan kemarahan rakyat dan memberi gambaran 1MDB sebenarnya membantu Tabung Haji dengan memberi diskaun atas jualan tanah, dalam keadaan kemarahan rakyat terhadap 1MDB sedang memuncak.

Semua sandiwara ini telah berlalu dan sepatutnya tidak diketahui umum.

Sehinggalah saya meneliti penyata kewangan anak syarikat Mulia Group yang ditubuhkan khusus untuk memajukan The Exchange 106. Sebaik membeli tanah tersebut, Mulia Group menubuhkan anak syarikatnya di Malaysia yang bernama Mulia Property Development Sdn Bhd dengan pendaftaran bernombor 1139949-K.

Saya telah mendapatkan keseluruhan pemfailan Mulia Property Development Sdn Bhd sejak ditubuhkan untuk mengenal pasti harga sebenar yang dibayar untuk tanah yang dijual oleh 1MDB seperti yang disahkan oleh juru audit dalam laporan kewangan tahunannya.

Saya sertakan muka surat pertama laporan kewangan diaudit Mulia Property Development Sdn Bhd dan Nota 5: Hartanah Pelaburan (Note 5: Investment Property):

03 - 06 - 7

Nota 5 di dalam penyata kewangan Mulia Property Development Sdn Bhd secara jelas menunjukkan bahawa syarikat itu membayar hanya RM403,900,000 untuk sebidang tanah yang sedang dibangunkan, bukannya RM655 juta seperti yang diumumkan oleh 1MDB dan pihak Kerajaan Malaysia.

03 - 06 - 1

 

Pada harga RM403,900,000 yang dibayar, itu menjadikan harga jualan adalah sebanyak RM2,769 satu kaki persegi (berdasarkan kiraan: jika RM655 juta dibayar pada harga RM4,490 satu kaki persegi, itu bermakna keluasan 145,880 kaki persegi).

Pada harga RM2,769 satu kaki persegi, tanah kepada Mulia Group yang diumumkan dijual pada harga 62% lebih mahal yang dibayar oleh Tabung Haji dalam tahun 2015; sebenarnya dijual pada harga yang lebih murah dari harga yang dibeli oleh Tabung Haji.

Berdasarkan maklumat-maklumat yang saya tunjukkan setakat ini, ia menggambarkan:

1. Tabung Haji bukannya membeli tanah di TRX pada harga yang mendapat diskaun seperti yang dijelaskan dalam tahun 2015, sebaliknya lebih mahal jika dibandingkan dengan harga jualan kepada Mulia Group dari Indonesia (Tabung Haji membayar RM2,773 satu kaki persegi berbanding Mulia Group membayar RM2,769 satu kaki persegi)

2. Pengumuman 1MDB dan Kerajaan Malaysia sebelum ini bahawa tanah dijual kepada Mulia Group pada harga premium sehingga 62% lebih mahal dari harga hartanah berdekatan, adalah bercanggah dengan harga yang dilaporkan di dalam penyata kewangan diaudit pemaju The Exchange 106 sendiri

Saya ingin bertanya kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak: adakah pengumuman 1MDB dalam tahun 2015, iaitu semasa beliau masih menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB – adalah satu pembohongan yang bertujuan menipu rakyat kononnya Tabung Haji membeli tanah pada harga diskaun dari 1MDB untuk meredakan kemarahan rakyat?

Saya akan menyambung pendedahan ini esok sementara menunggu maklum balas 1MDB dan Dato’ Seri Najib.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

%d bloggers like this: