Kajian Keberhutangan PTPTN Dan Tweetup #PTPTN 29 Ogos 2013

KEADILAN memandang berat cadangan PTPTN yang dibawa oleh Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh untuk menyenaraikan peminjam PTPTN di dalam CCRIS yang diumumkan minggu ini. Walaupun Barisan Nasional akhirnya tunduk kepada bantahan mendadak rakyat, cadangan yang dibawa menteri itu menunjukkan bahawa Barisan Nasional begitu terpisah dari realiti kepayahan hidup golongan muda yang dibebankan oleh PTPTN ini.

Sehingga kini, kita tidak pernah dimaklumkan sama ada sebarang kajian khusus telah dibuat oleh PTPTN atau Barisan Nasional untuk memahami apakah sebab-sebab sebenar kenapa majoriti peminjam PTPTN menghadapi kesukaran untuk membayar PTPTN.

Kerajaan Persekutuan juga tidak pernah mengumumkan perincian-perincian berikut yang sangat penting untuk memahami masalah ini dengan menyeluruh agar langkah susulan itu tepat dengan punca masalahnya, iaitu:

1. Profail pendapatan bulanan bersih peminjam-peminjam PTPTN – berapa ramai yang bergaji di atas RM2,500 sebulan, berapa ramai yang bergaji di bawah RM1,000 sebulan dan lain-lain

2. Profail kejayaan mendapatkan kerja atau mendapatkan kerja yang setaraf dengan kelulusan atau jurusan – berapa ramai yang masih menganggur, berapa lama diperlukan sebelum mendapat kerja yang setimpal, berapa orang pemegang ijazah yang mendapat kerja berkelulusan lebih rendah seperti diploma dan lain-lain

3. Profail kualiti IPTS yang membawa kesan kepada kemampuan seorang pemegang mendapat kerja – berapa ramai peminjam yang berakhir dengan ijazah yang tidak diiktiraf, berapa banyak kolej yang tidak menyediakan kemudahan bertaraf university, peratusan kejayaan graduan kolej-kolej swasta dan IPTS mendapat kerja selepas tamat pengajian

Ini adalah contoh-contoh maklumat yang sangat diperlukan untuk membentuk satu pemahaman yang adil mengenai masalah keberhutangan golongan muda.

Barisan Nasional tidak pernah berminat mendalami masalah keberhutangan golongan muda ini dan mengambil pendekatan kasar dengan memukul rata kononnya semua peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran tidak bersyukur dan tidak bertanggungjawab.

KEADILAN menggesa Dato’ Seri Idris Jusoh supaya tidak lagi pandai-pandai mengumumkan langkah baru menekan peminjam PTPTN sehinggalah maklumat-maklumat ini dikaji sepenuhnya dan dibentangkan di Parlimen.

Sementara itu, KEADILAN akan merintis jalan ke arah memahami masalah keberhutangan peminjam PTPTN dengan melancarkan kajiselidik keberhutangan peminjam PTPTN untuk mengumpulkan maklumat-maklumat yang disenaraikan di atas. Kajiselidik ini boleh disertai oleh semua peminjam PTPTN dengan mengisi satu borang kajiselidik yang boleh dicapai di internet bermula esok, 23 Ogos 2013. Kajiselidik ini akan disebarkan melalui laman-laman sosial, Twitter dan blog.

Keputusan dari kajiselidik awal ini akan dibentangkan dalam satu perjumpaan tweetup #PTPTN yang akan diadakan pada hari Khamis, 29 Ogos 2013 jam 830 malam di Perpustakaan MBPJ, Petaling Jaya. Semua peminjam/aktivis anti-PTPTN dan pimpinan masyarakat dijemput turut serta di dalam tweetup tersebut yang turut bertujuan menyusun gerakan anti-PTPTN dalam sebuah pertubuhan rasmi yang lebih tersusun.

Sudah tiba masanya peminjam-peminjam PTPTN membentuk satu pertubuhan lobi yang berpengaruh supaya mana-mana pihak berunding dengan mereka terlebih dahulu sebelum membuat cadangan, bagi mengelakkan berulangnya peristiwa cadangan penyenaraian CCRIS.


NURUL IZZAH ANWAR
Naib Presiden
Ahli Parlimen Lembah Pantai

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
Ahli Parlimen Pandan

NIK NAZMI AHMAD
Pengarah Komunikasi
Timbalan Speaker DUN Selangor

22 OGOS 2013

Penyelesaian Saman Dato’ Seri Zahid Hamidi Berhubung Urusniaga Boustead, Awan Megah & Astacanggih

Saya mengalu-alukan kesediaan Dato’ Seri Zahid Hamidi untuk menarik balik samannya terhadap saya berhubung satu kenyataan yang saya buat bertarikh 29 Disember 2012 mengenai urusniaga Boustead Holdings Berhad, Awan Megah Sdn Bhd (milik Raja Ropiaah Raja Abdullah, pimpinan Wanita Umno) dan Astacanggih Sdn Bhd (milik Deepak Jaikishen).

Keputusan itu dicapai setelah saya berpuas hati berdasarkan penjelasan beliau dan fakta-fakta terkini bahawa beliau tidak terbabit di dalam keputusan Boustead Holdings Berhad untuk membayar RM160 juta kepada Awan Megah Sdn Bhd dan Astacanggih Sdn Bhd. Oleh itu, saya bersedia menarik balik kenyataan saya sebelum ini mengenai beliau dan urusniaga tersebut.

Saya berharap bahawa kesediaan kami duduk berbincang dan saling menjelaskan kedudukan sesuatu perkara menjadi perkembangan sihat dalam arus politik negara. Sebagai seorang ahli politik, adalah menjadi tugas saya mempersoalkan keputusan menteri dan penjawat awam yang saya fikirkan bertentangan dengan kepentingan awam, berdasarkan maklumat yang ada pada ketika itu.

Sehingga saya mempersoalkan peranan menteri dan penjawat awam lain dalam urusniaga itu melalui kenyataan media bertarikh 29 Disember 2012, tidak ada sebarang penjelasan diberikan oleh Kerajaan Persekutuan atau mana-mana penjawat awam. Hanya setelah perkara itu dibangkitkan, barulah ada sedikit penerangan dan fakta-fakta lain mula didedahkan berdasarkan maklumat yang saya perolehi.

Setelah beberapa penjelasan diberikan oleh Dato’ Seri Zahid Hamidi ekoran dari perkara yang saya timbulkan, saya pula berpuas hati bahawa beliau tidak terlibat di dalam keputusan itu.

Di dalam sebuah demokrasi, adalah menjadi tanggungjawab seorang ahli politik atau wakil rakyat untuk menimbulkan isu berkepentingan awam. Juga menjadi tanggungjawab menteri atau penjawat awam untuk memberi penjelasan sewajarnya. Setelah penjelasan diberikan, sekiranya ada kenyataan yang tidak tepat dibuat sebelum itu kerana kekurangan maklumat atau tiadanya penjelasan kerajaan, maka adalah satu amalan kenyataan yang tidak tepat itu diperbetulkan atau ditarik setelah penjelasan sewajarnya diberikan.

Itu semangat yang sama-sama dihayati oleh saya dan Dato’ Seri Zahid Hamidi yang mendorong kepada keputusan bersama yang dibuat pada hari ini.

Walau bagaimana pun, keputusan pada hari ini tidak membersihkan nama penjawat-penjawat awam yang lain yang perlu memikul amanah menjelaskan perkara-perkara ini:

1. Anugerah kontrak penswastaan Puspahanas oleh Menteri Pertahanan pada ketika itu, Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada Awan Megah Sdn Bhd apabila syarikat itu tidak layak sehingga ia terus bermasalah dan terbengkalai sehingga hari ini. Saya akan terus membawa isu ini supaya sekiranya ada sebarang penyelewengan, ia akan dipertanggungjawabkan sewajarnya.
2. Keputusan Lembaga Pengarah Boustead Holdings Berhad meluluskan urusniaga RM160 juta yang menguntungkan Awan Megah Sdn Bhd dan Astacanggih Sdn Bhd sedangkan penilaian urusniaga menunjukkan Awan Megah Sdn Bhd tidak ada hakmilik ke atas tanah seluas 223 ekar yang diurusniagakan.

Keputusan yang dicapai di mahkamah pada hari ini tidak ada prejudis kepada isu-isu ini dan saya akan terus membawa isu ini sehingga ada pertanggungjawaban yang sewajarnya.

Berikut adalah kenyataan yang ditandatangani bersama oleh saya dan Dato’ Seri Zahid Hamidi pada hari ini:

IN THE HIGH COURT OF MALAYA
AT KUALA LUMPUR

That I, Mohd Rafizi bin Ramli, the defendant in this matter is satisfied with the explanation given by the plaintiff, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi, that the plaintiff had not abused his powers in any matter whatsoever and had no role whatsoever in the decision of Boustead Holdings Berhad to enter into transactions to acquire Astacanggih Sdn Bhd’s shares and development lands from Awan Megah Sdn Bhd as stated in my article dated 29 December 2012.

Therefore I, Mohd Rafizi bin Ramli, hereby unequivocally and unconditionally withdraw the wrongful statements in my article dated 29 December 2012 with reference to the plaintiff.”

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
Ahli Parlimen Pandan

21 OGOS 2013

KEADILAN Membantah Langkah PTPTN Menyenaraikan Peminjam PTPTN Dalam CCRIS

Saya menentang sekeras-kerasnya tindakan PTPTN yang akan menyenaraikan peminjam PTPTN di dalam CCRIS (Central Credit Reference Information System atau Sistem Rujukan Maklumat Kredit Pusat) yang diuruskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), seperti yang dinyatakan oleh Dato’ Seri Idris Jusoh (Menteri Pendidikan II).

Tindakan yang tidak mempedulikan kebajikan rakyat ini mempunyai kesan besar kepada rakyat terutamanya anak muda. Apabila maklumat pembayaran dan pinjaman PTPTN disenaraikan di dalam CCRIS, ia membolehkan institusi kewangan menambah rekod peminjaman PTPTN sebagai kriteria baru menilai kedudukan kredit kewangan seseorang.

Secara langsung, tindakan ini akan digunakan oleh institusi kewangan untuk menafikan kemudahan pinjaman (perumahan, kenderaan dan peribadi) kepada peminjam PTPTN yang didaftarkan oleh PTPTN di dalam CCRIS. Ini bermakna peminjam PTPTN seolah-olah jatuh ditimpa tangga – sudahlah dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi dan gaji yang rendah, mereka kini diugut oleh PTPTN untuk dinafikan hak memiliki rumah, kereta dan lain-lain.

Ugutan PTPTN menyekat kemudahan pinjaman institusi kewangan ini bukanlah kali pertama PTPTN menggunakan cara kasar untuk menekan peminjam. Sebelum ini pun, PTPTN telah menyenaraihitamkan peminjam PTPTN dalam senarai imigresen hingga menyukarkan mereka ke luar negara. Ugutan itu tidak pun berjaya memperbaiki kedudukan kutipan hutang PTPTN, maka ugutan terbaru menyenaraikan peminjam dalam CCRIS juga saya yakin tidak akan berkesan.

Oleh yang demikian, saya memberi amaran kepada Dato’ Seri Idris Jusoh supaya tidak meneruskan niat untuk mengugut dan menghukum anak muda peminjam PTPTN dengan menyenaraikan mereka di dalam CCRIS.

KEADILAN akan menggerakkan kempen di seluruh negara untuk menentang hasrat ini sehinggalah ia dibatalkan oleh Barisan Nasional.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
Ahli Parlimen Pandan

20 OGOS 2013

Kes Penyelewengan Anak Syarikat Felda: Perlu Ada Pertanggungjawaban Di Peringkat Tertinggi

Saya mengalu-alukan kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sehingga ke peringkat pendakwaan kes penyelewengan melibatkan satu unit anak syarikat FELDA. Pendakwaan yang dibuat pada hari ini adalah satu perkembangan baik yang perlu diteruskan oleh SPRM.

Walau bagaimana pun, siasatan dan pendakwaan berhubung kes ini tidak boleh terhenti di peringkat kepimpinan korporat KPFQ Foods Sdn Bhd semata-mata kerana ia juga melibatkan keputusan di peringkat tertinggi Felda yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tata kelola (good governance) dan pelaburan kesemua anak syarikat Felda.

KPFQ Foods Sdn Bhd adalah syarikat usahama (joint venture) di antara Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPFMB) dan Silver Bird Group Berhad (SBGB) yang ditubuhkan khusus untuk menjadi ejen pemasaran bagi barang-barang makanan dan pertanian dari rancangan Felda di seluruh negara melalui projek Gedung Makanan Negara yang diilhamkan dan dilancarkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak oada 3 September 2009.

Semasa pelancarannya, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa projek Gedung Makanan Negara akan melibatkan pelaburan sebanyak RM750 juta oleh Felda dalam tempoh 10 tahun.

Oleh yang demikian, kes penyelewengan dana melibatkan KPFQ Foods Sdn Bhd perlu diteliti dalam konteks pentadbiran korporat dan tata kelola yang lebih besar.

Tambahan lagi, akhir-akhir ini banyak dana rakyat digunakan untuk membiayai projek usahasama di antara agensi kerajaan dan swasta yang menimbulkan beberapa persoalan khusus mengenai tata kelola yang diamalkan oleh kerajaan:

1. Bagaimanakah penilaian mengenai kesesuaian projek dibuat sebelum sesuatu keputusan pelaburan dan usahasama dengan swasta dibuat memandangkan beberapa skandal setakat ini (termasuk NFC dan sekarang KPFQ) membayangkan jika projek dinilai dengan objektif, projek atau usahasama ini mungkin tidak diluluskan;
2. Apakah peranan wakil-wakil kerajaan di dalam agensi dan syarikat usahasama untuk memantau kemajuan projek dan memastikan penyelewengan tidak berlaku, memandangkan di dalam kedua-dua kes NFC dan KPFQ penyelewengan berlarutan dalam satu tempoh yang panjang; dan
3. Apakah peranan dan pertanggugjawaban kepimpinan kerajaan apabila projek-projek usahasama di bawah tanggungjawab mereka gagal dan membazirkan wang rakyat?

Oleh yang demikian, saya menggesa supaya siasatan terhadap kes ini tidak dihadkan semata-mata kepada kesalahan dan penyelewengan yang melibatkan kepimpinan KPFQ Sdn Bhd tetapi perlu diluaskan kepada aspek kecuaian (negligence) dan ketidaktelitian pimpinan tertinggi negara yang terbabit supaya ada kebertanggungjawaban kerana agensi-agensi ini adalah dibawah tanggungjawab mereka.

Apatah lagi apabila kes ini membabitkan usahasama dengan Silver Bird Group Berhad (SBGB) yang mempunyai hubungan rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain termasuklah Tabung Haji. Selain projek-projek yang melibatkan Gedung Makanan Negara dan KPFQ Sdn Bhd, SBGB mempunyai beberapa projek usahasama yang serupa dengan Tabung Haji.

Malah, pemegang-pemegang saham besar di dalam SBGB adalah Tabung Haji dan Tan Sri Vincent Tan, yang menunjukkan bahawa SBGB adalah sebuah syarikat perniagaan yang ada hubungan yang baik dengan kerajaan.

Saya berharap siasatan SPRM telah pun mengambil kira semua perkara ini.

Buat masa ini, sebagai pimpinan yang bertanggungjawab mengilham dan melancarkan projek Gedung Makanan Negara yang membabitkan KPFQ Sdn Bhd ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu membuat kenyataan menjawab ketiga-tiga soalan yang saya nyatakan di atas mengenai longgarnya tata kelola kerajaan dalam menentukan pelaburan dan usahasama agensi kerajaan dengan pihak swasta.

Adalah amat memalukan apabila penyelewengan terkini melibatkan dana dan kebajikan peneroka Felda, bila mana penyelewengan NFC sebelum ini melibatkan kebajikan penternak miskin!

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
Ahli Parlimen Pandan

2 OGOS 2013

Cabaran Pengerusi & Timbalan Pengerusi SPR: Jangan Cuba Lari Dari Isu Kegagalan SPR Di Bawah Tanggungjawab Mereka

Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR yang kononnya mencabar saya mengulangi ucapan di dalam Dewan Rakyat dengan menyebut secara khusus nama mereka membayangkan bagaimana partisannya dan berat sebelahnya kedua-dua mereka ini. Malah, perkataan-perkataan yang digunakan seperti “anak jantan”, “menipu” dan lain-lain tidak menunjukkan sikap profesional mereka yang kini berkokok lebih bising dari ahli-ahli politik.

Saya telah ulang pendedahan mengenai pembekal dakwat kekal dan amalan perolehan yang meragukan di luar dewan. Saya telah mempersoalkan peranan dan keterlibatan pimpinan SPR di dalam proses ini yang menghakis sepenuhnya keyakinan rakyat kepada kredibiliti dan kebebasan SPR.

Sebagai pimpinan tertinggi SPR, kedua-dua mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada kesemua perkara ini – dari kegagalan dakwat kekal sehinggalah kepada perlantikan pembekal melalui rundingan terus yang membolot kontrak-kontrak pembekalan tetapi gagal melaksanakannya dengan baik.

Kenyataan di luar dewan yang telah saya buat adalah mencukupi untuk mereka mengambil tindakan undang-undang. Tidak timbul soal mengikut kehendak kedua-dua mereka yang cuba mengelak dari persoalan sebenar dengan menimbulkan perkara cabar mencabar, “siapa lebih anak jantan” seperti yang dimainkan oleh kedua-dua mereka sekarang.

Isu sebenarnya adalah kegagalan kedua-dua mereka mengendalikan pilihanraya dengan adil, bebas dan telus. Ini dibuktikan dengan pelbagai laporan dan dakwaan terhadap mereka, terutamanya kegagalan pelaksanaan dakwat kekal. Apabila diselidiki, didapati bahawa kegagalan dakwat kekal itu berpunca dari kontrak pembekalan yang diberikan secara terus kepada individu tertentu yang turut membolot beberapa kontrak pembekalan lain.

Sebagai pimpinan tertinggi SPR, mereka perlu bertanggungjawab di atas kegagalan ini.

Jika mereka benar-benar menjalankan tugas dengan baik, sudah tentu mereka boleh menjawab persoalan-persoalan berikut yang menurunkan lagi keyakinan rakyat terhadap SPR:

1. Kenapa syarikat-syarikat milik Mohamed Salleh Mohamed Alli dipilih secara rundingan terus untuk menjadi pembekal barang-barang pilihanraya SPR termasuk dakwat kekal?

2. Apakah penglibatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dalam urusan perolehan dan pembekalan bahan-bahan pilihanraya, terutamanya dakwat kekal yang menjadi penambahbaikan utama yang diwar-warkan oleh SPR dalam PRU13? Apakah benar kedua-dua mereka lepas tangan sepenuhnya dalam hal ehwal pembekalan sedangkan ia adalah aspek paling utama pelaksanaan dakwat kekal yang diwar-warkan mereka?

3. Apakah Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR tidak terlibat langsung di dalam sebarang perbincangan mengenai dakwat kekal, termasuk demonstrasi, kandungan kimia, kaedah pelaksanaan dan lain-lain?

4. Semasa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR menjawab pelbagai pertanyaan media mengenai dakwat kekal, apakah Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR tidak berbincang langsung mengenai perkara ini dengan pegawai-pegawai lain? Mustahil Pengerusi dan Timbalan Pengerusi menjawab media tanpa pengetahuan dan maklumat awal mengenai pelaksanaan dakwat kekal termasuklah hal ehwal logistiknya seperti pembekalan dan lain-lain?

5. Kenapa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR beriya-iya mahu melindungi dan menyembunyikan identiti pembekal dakwat kekal sedangkan pembekal ini telah merosakkan kredibiliti SPR di mata rakyat?

Tugas kedua-dua mereka adalah untuk menjawab perkara-perkara ini, bukannya berlagak dengan cabar-mencabar. Jika pendedahan saya itu salah, kenyataan saya di luar dewan sudah cukup untuk mereka mengambil tindakan undang-undang.

Namun, kedua-dua mereka kini bersembunyi di sebalik isu cabar-mencabar kerana tidak berani untuk menjawab kelima-lima soalan yang berlegar di fikiran rakyat kini. Hakikat bahawa mereka lebih lantang cabar mencabar dari membersihkan nama SPR dengan menjawab soalan-soalan ini membayangkan ada perkara yang tidak telus yang mahu disembunyikan.

 

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
Ahli Parlimen Pandan

25 JULAI 2013

%d bloggers like this: