SPRM Acuh Tak Acuh Menyiasat Rasuah Membabitkan Ahli Politik

YB Dato’ Senator Paul Low menjawab soalan lisan saya mengenai jumlah laporan rasuah yang diterima terhadap ahli politik di antara 2010 hingga kini dan jumlah siasatan yang dibuka. Saya juga bertanyakan dari jumlah itu, berapa kes yang dihantar kepada Peguam Negara dan berapa kes yang berakhir dengan pendakwaan.

Jawapan yang diberikan Menteri adalah pendek dan mengelak dari menjawab soalan yang sebenarnya. Jawapan ringkas itu hanya berbunyi:

“Sepanjang tahun 2010 hingga Ogos 2013, SPRM telah menangkap 9 orang ahli politik dan dari jumlah itu, 5 orang telah didakwa di mahkamah”.

Soalan yang saya ajukan cuba mengesahkan bahawa SPRM ada melakukan siasatan terhadap ahli-ahli politik tetapi kertas pendakwaan ditolak oleh Peguam Negara. Oleh itu, statistik berapa siasatan yang ditolak oleh Peguam Negara adalah penting untuk mengesahkan dakwaan SPRM selama ini bahawa Peguam Negaralah yang bertanggungjawab melindungi SPRM.

Walau bagaimana pun, keengganan SPRM dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengesahkan berapa siasatan yang dibuka terhadap ahli politik dan berapa kertas siasatan yang dihantar kepada Peguam Negara menunjukkan bahawa SPRM pun acuh tidak acuh dalam memerangi kegiatan rasuah di kalangan ahli politik. Dari jawapan di Parlimen ini, saya boleh merumuskan bahawa SPRM pun turut sama melindungi ahli politik yang rasuah seperti mana Peguam Negara.

Lebih merunsingkan adalah bilangan ahli politik yang disiasat dan didakwa. Dalam tempoh hampir 4 tahun, hanya 5 orang didakwa iaitu bersamaan seorang ahli politik setahun sedangkan masyarakat umumnya berpendapat ahli politik adalah golongan yang paling kuat mengambil rasuah di samping pegawai penguatkuasa undang-undang. Saya pasti lebih ramai pegawai penguatkuasa undang-undang yang didakwa di mahkamah dalam tempoh yang sama berbanding ahli politik.

Merujuk kepada jawapan menteri yang sama kepada soalan YB Azmin Ali pada 14 November 2013, statistik kes rasuah yang diselesaikan di peringkat perbicaraan awal dan disabitkan kesalahan adalah seperti berikut:

Tahun

Diselesaikan di peringkat perbicaraan awal

Disabitkan kesalahan

2011

520

388 (75%)

2012

401

339 (85%)

Jun 2013

162

144 (89%)

 

Jika dibandingkan dengan hanya 1 orang ahli politik setiap tahun yang disabitkan dengan kesalahan berbanding dengan jumlah keseluruhan, jelas menunjukkan bahawa SPRM tergesa-gesa dan takut-takut untuk menyiasat dan mendakwa ahli politik.

Kadar kejayaan mensabitkan kesalahan yang tinggi (antara 75% hingga 89%) juga menunjukkan bahawa SPRM ada keupayaan untuk mengumpul bukti yang secukupnya untuk mensabitkan kesalahan rasuah. Jika SPRM berjaya mencatat kadar pensabitan yang begitu tinggi dengan rakyat biasa, kenapa SPRM memberi alasan tidak mendapat cukup bukti untuk mensabitkan kesalahan ahli politik?

Oleh sebab itu, saya yakin bahawa kadar pensabitan kesalahan rasuah yang melibatkan ahli politik sebanyak satu orang setiap tahun sejak 2010 itu adalah kerana SPRM tidak mahu menyiasat ahli politik, sedangkan ahli politik dipandang umum sebagai golongan yang paling banyak bergelumang dengan rasuah.

 

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
20 NOVEMBER 2013 

Menteri Sahkan Rancangan Laksanakan Had Jangka Hayat Kereta, Motif Kutip Cukai

Dato’ Seri Hishamuddin Hussin semalam dipetik sebagai berkata “kerajaan mungkin perlu menggunakan cadangan yang sedia ada di samping mencari mekanisme untuk tidak membebankan rakyat” menguatkan lagi spekulasi bahawa keputusan untuk melaksanakan had jangka hayat kereta sudah hamper dibuat.

Alasan bahawa dasar ini perlu dilaksanakan demi keselamatan rakyat di jalanraya nampak dangkal tanpa bukti yang kukuh bahawa majoriti kemalangan yang berlaku adalah disebabkan kenderaan yang berusia lebih 12 tahun. Tidak ada satu keterangan saintifik dan empirikal pun setakat ini yang menunjukkan risiko kereta yang berusia 12 tahun naik mendadak berbanding kereta yang berusia 11 tahun.

Malah, dalam keadaan pelbagai faktor lain yang mempengaruhi kemalangan seperti keadaan jalanraya yang tidak selamat, papan tanda yang mengelirukan, sikap pemandu yang tidak berwaspada, sistem penggajian pemandu bas yang tidak mementingkan keselamatan dan lain-lain – alasan untuk memperkenalkan had jangka hayat kereta demi keselamatan jalanraya nampak remeh dan tidak ikhlas.

Saya mengesyaki bahawa alasan sebenar Barisan Nasional mahu melaksanakan had jangka hayat kereta adalah untuk mengutip cukai GST yang bakal dilaksanakan. Setiap urusniaga pembelian dan penjualan kereta (baru atau terpakai) akan dikenakan GST, maka lebih kerap rakyat bertukar kereta lebih banyaklah GST yang akan dikutip.

Rakyat yang majoriti mengundi PR (52%) terus dihukum oleh kerajaan minoriti BN melalui dasar-dasar yang menambahkan beban sara hidup demi membiayai keborosan dan ketirisan BN.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

20 NOVEMBER 2013

Jangan Laksanakan Had Jangka Hayat Kereta Selagi Cukai Eksais Kereta Tidak Dihapuskan

Saya terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi bahawa kerajaan akan menimbangkan untuk melaksanakan had jangka hayat kenderaan berikutan saranan oleh Ketua Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bahawa kereta berusia 12 tahun ke atas adalah tidak selamat.

Lebih membimbangkan apabila Datuk Abdul Aziz Kaprawi turut dilaporkan sebagai berkata bahawa keputusan menetapkan had jangka hayat kenderaan “perlu dibuat segera demi keselamatan rakyat”.

Pelaksanaan had jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun akan memangsakan beratus ribu rakyat Malaysia. Kebanyakan pembeli kereta dari keluarga berpendapatan sederhana dan rendah membuat pinjaman selama sembilan tahun untuk melangsaikan hutang. Dengan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan ini, selepas tiga tahun keluarga-keluarga di Malaysia terpaksa membuat hutang baru untuk membeli kereta.

Keadaannya lebih parah bagi pembeli dari keluarga berpendapatan rendah. Kebanyakan mereka hanya mampu membeli kereta terpakai yang sudah pun berusia. Bagi mereka yang meminjam untuk membeli kereta-kereta ini, pelaksanaan had jangka hayat kenderaan bermakna kereta mereka dikira haram di sisi undang-undang dan tidak boleh digunakan sedangkan hutang masih belum dilangsaikan.

Cadangan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan adalah rentetan dari tindakan-tindakan yang menekan rakyat sejak Barisan Nasional menang (dengan tipu helah) dalam PRU13. Setelah memungkiri janji untuk menurunkan harga kereta, Barisan Nasional menaikkan pula harga minyak. Kini dengan cadangan menghadkan jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun, ini akan menindas keluarga-keluarga berpendapatan sederhana dan rendah serta menutup banyak perniagaan kereta terpakai.

Masalah utama bersabit pemilikan kereta di Malaysia yang pernah dilaporkan sebagai kedua termahal di dunia ialah struktur cukai dan pasaran domestik yang menyebabkan harga naik melambung. Wujudnya cukai eksais yang melebihi 100% ke atas kereta-kereta yang digunakan oleh keluarga berpendapatan sederhana dan rendah menyebabkan harga kereta terlalu mahal dan menenggelamkan keluarga dengan hutang kereta yang terlalu tinggi.

Cukai eksais yang terlalu tinggi ini juga memberi ruang kepada syarikat-syarikat pengeluar dan pengedar kereta untuk bersembunyi di sebalik struktur cukai ini untuk mengambil keuntungan yang lebih tinggi berbanding di negara-negara lain. Oleh kerana pelaksanaan cukai eksais dan pemberian rebat cukai eksais adalah tidak telus, maka struktur margin keuntungan di atas setiap kereta yang dibeli juga tidak telus.

Akibatnya harga kereta di Malaysia terus kekal menjadi antara yang tertinggi di dunia.

Oleh sebab itulah, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa menggariskan dasar-dasar automotif KEADILAN telah menegaskan bahawa langkah pertama merombak struktur harga kereta yang mahal di Malaysia perlulah bermula dengan menghapuskan cukai eksais yang melampaui batas itu. Apabila cukai eksais sudah tiada, barulah rakyat tahu bahawa jika harga tetap kekal tinggi bila dibandingkan dengan model yang sama di negara-negara lain, perbezaan harga itu berpunca dari tindakan mengambil untung yang berlebihan oleh pengeluar dan pengedar kereta. Hanya dalam keadaan pasaran kereta seperti ini barulah wujud persaingan sihat di antara pengeluar dan pengedar kereta yang boleh menurunkan harga kereta supaya setanding dengan negara-negara lain bagi model yang sama.

Maka, sebarang usaha untuk memperkenalkan had jangka hayat kereta sebelum cukai eksais dihapuskan akan ditentang habis-habisan. Dasar had jangka hayat kereta hanya boleh dilaksanakan setelah harga kereta di Malaysia turun setanding dengan model yang sama di negara lain.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

18 NOVEMBER 2013

Turunkan Harga Kereta Dulu Sebelum Naikkan Harga Minyak

Laporan The Edge yang menyebut bahawa Malaysia mempunyai harga kereta yang kedua tertinggi di dunia tidaklah mengejutkan. Struktur cukai kereta yang melampau tingginya menyebabkan rakyat Malaysia terpaksa membayar harga lebih kurang satu kali ganda lebih mahal berbanding rakyat negara lain.

Sebab itu rakyat tidak boleh berkompromi apabila Barisan Nasional menaikkan harga minyak kerana ia tidak adil di kala cukai yang dikenakan ke atas kereta adalah antara yang tertinggi di dunia.

Barisan Nasional sering mengungkit kononnya rakyat Malaysia tidak membayar harga pasaran bagi seliter petrol atau diesel, lalu dijadikan alasan untuk menaikkan harga minyak. Sebaliknya Barisan Nasional tidak pula mahu menurunkan harga kereta supaya rakyat Malaysia juga membayar harga pasaran bagi sebuah kereta, seperti mana rakyat negara lain.

Sebenarnya, sebuah isirumah purata rakyat Malaysia (keluarga berpendapatan bawah RM5,000 sebulan yang dianggarkan membentuk 70% dari keluarga Malaysia) membayar lebih banyak cukai dan tol berbanding
jumlah subsidi minyak yang diperolehi.

Secara purata sebuah isirumah menggunakan 300 liter petrol sebulan. Dengan subsidi sebanyak 63 sen setiap satu liter, ini bermakna sebuah isirumah menerima subsidi minyak sebanyak RM189 sebulan.

Bagi sebuah kereta berharga RM60,000 yang dibayar secara ansuran selama 7 tahun (seperti amalan biasa sebuah isirumah), duti eksais kereta dan bayaran faedah ke atas duti eksais kereta dianggarkan
sebanyak RM3,565 setahun, bersamaan sekitar RM300 sebulan.

Ini bermakna, Barisan Nasional mencukai rakyat Malaysia dalam bentuk duti eksais kereta sebanyak RM300 sebulan sedangkan subsidi minyak yang diterima hanyalah RM189 sahaja bagi setiap isirumah purata.

Ini adalah ketidakadilan yang nyata dan jelas menindas rakyat. Lebih teruk apabila Barisan Nasional enggan pula mengakui hakikat bahawa ia mencukai rakyat lebih banyak dari subsidi minyak yang diwar-warkan.

Saya akan terus bersuara menentang sebarang usaha menaikkan harga minyak selagi harga kereta tidak diturunkan, kalau benar Barisan Nasional mahu harga minyak mengikut pasaran dunia.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi PKR
Ahli Parlimen Pandan

Kedudukan Universiti Negara Merosot, Kesan Besar Kepada Rakyat

Kedudukan 800 universiti teratas di seluruh dunia bagi tahun 2013 yang dilaporkan oleh QS World University Rankings sewajarnya menjadi isu utama negara mutakhir ini, selain dari isu kenaikan harga minyak kerana kedua-duanya mempunyai kesan besar kepada kebajikan rakyat.

Laporan tersebut menunjukkan bahawa enam dari tujuh universiti awam negara yang tersenarai di dalam 800 universiti teratas telah mengalami kemorosotan seperti berikut:

Universiti

Kedudukan 2012

Kedudukan 2013

Universiti Malaya

156

167

Universiti Kebangsaan Malaysia

261

269=

Universiti Sains Malaysia

326

355=

Universiti Teknologi Malaysia

358

355=

Universiti Putra Malaysia

360

411-420

Universiti Islam Antarabangsa

401-450

501-550

Universiti Teknologi MARA

601+

701+

Hanya UTM yang menokok sedikit kedudukannya daro tangga 358 (2012) kepada 355= (2013).

Kedudukan ini dibuat berdasarkan kriteria-kriteria berikut:

1. Reputasi pencapaian akademik (40%)

2. Kemampuan mendapatkan pekerjaan dan pandangan majikan (10%)

3. Nisbah siswa kepada tenaga pengajar fakulti (20%)

4. Rujukan penyelidikan (citation) mengikut fakulti (20%)

5. Keantarabangsaan pelajar (5%)

6. Keantarabangsaan tenaga pengajar fakulti (5%)

Ramai pimpinan Barisan Nasional yang masih berdolak dalih dan tidak mahu menerima hakikat bahawa persoalan mutu pendidikan tinggi dan kedudukan universiti awam negara adalah isu utama yang membawa kesan besar kepada rakyat.

Kedudukan universiti awam negara yang tidak berdayasaing menyukarkan graduan mendapat kerja yang baik dengan gaji yang berpatutan. Malah, masalah pengangguran di kalangan graduan terutamanya di kalangan graduan Melayu/Bumiputra banyak berpunca dari mutu pendidikan tinggi yang merudum yang saban tahun disahkan oleh kedudukan universiti awam negara.

Oleh sebab itu, hakikat bahawa enam dari tujuh universiti awam negara semakin rendah kedudukannya sewajarnya diambil serius oleh semua pihak dengan penuh keterbukaan.

Apatah lagi apabila universiti terbaik Asia adalah National University of Singapore (NUS) yang menduduki tangga ke-24 menjadikannya univesiti terbaik Asia mengalahkan universiti-universiti Jepun, Korea Selatan dan China.

Ramai yang tidak tahu bahawa NUS mempunyai sejarah yang sama dengan Universiti Malaya kerana kedua-duanya diwujudkan sebagai University of Malaya di Singapura dalam tahun 1949 mengikut saranan Suruhanjaya Carr- Saunders. Pada tahun 1959, University of Malaya mempunyai dua kampus yang berasingan iaitu kampus asal di Singapura dan kampus baru di Kuala Lumpur. Pada tahun 1962, kedua-dua kampus ini berpisah menjadi dua universiti berasingan iaitu Universiti Malaya (di Kuala Lumpur) dan NUS (di Singapura).

Selepas 50 tahun, walaupun bermula dari titik yang sama, Universiti Malaya tidak pun berada di dalam kedudukan 100 teratas di dunia sedangkan NUS menjadi universiti terbaik di Asia.

Ini adalah hakikat yang perlu ditangani secara terbuka tanpa prejudis politik atau perkauman kerana mutu dan kedudukan universiti awam negara mempengaruhi taraf hidup rakyat dan daya saing negara seluruhnya.

Oleh yang demikian, saya menyarankan supaya perkara-perkara demikian dibahaskan secara terbuka dan reformasi pendidikan tinggi dijalankan secara segera seperti berikut:

1. Kembalikan kebebasan akademik kepada universiti-universiti awam dengan memberi kuasa autonomi kepada Senat Universiti tanpa campur tangan kementerian dan kerajaan

2. Pemilihan kepimpinan universiti awam mengikut merit berdasarkan kredibiliti akademik, pengalaman mengurus universiti ternama, integriti peribadi yang bebas dari pandangan partisan dan ciri-ciri lain yang ada pada kepimpinan universiti ternama dunia

3. Kembalikan kebebasan minda yang sepenuhnya kepada siswazah dan gerakan mahasiswa dengan menghentikan serta merta sebarang aktiviti atau program yang mengongkong perkembangan minda bebas siswazah, termasuklah program propaganda politik yang dianjurkan oleh BTN dan badan-badan yang serupa dengannya

4. Menilai semula sistem pemberian biasiswa yang menekankan penghantaran pelajar terbaik ke universiti-universiti luar negara dan beralih kepada sistem biasiswa yang memberi tempat terbaik kepada mereka di universiti-universiti terbaik Malaysia, dan

5. Program khusus memperkasakan kredibiliti akademik fakulti di universiti-universiti awam dengan membawa masuk tenaga pengajar dan penyelidik terbaik dari seluruh dunia

Saya percaya langkah-langkah ini adalah permulaan untuk mengembalikan keunggulan universiti awam negara dengan sasaran Universiti Malaya berada di dalam tangga 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh 10 tahun dari sekarang.

Saya juga akan membuat kunjungan hormat ke NUS dalam bulan November 2013 untuk mempelajari sendiri langkah-langkah yang dilaksanakan selama ini untuk menjamin kualiti pendidikan di universiti itu.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

10 SEPTEMBER 2013

%d bloggers like this: