Perutusan Hari Anti Rasuah Antarabangsa: Malaysia Perlukan Hukuman Kesalahan Rasuah Yang Lebih Berat

Hari ini, 9 Disember 2013 adalah Hari Anti Rasuah Antarabangsa seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Wujudnya Hari Anti Rasuah Antarabangsa membayangkan betapa dunia memahami kerosakan kepada masyarakat dan negara yang berleluasa di seluruh dunia akibat rasuah.

Hari Anti Rasuah Antarabangsa bukanlah satu perkara yang besar di Malaysia. Setiap tahun, ia berlalu tanpa ada sedikit pun kesan kepada usaha membanteras rasuah yang membayangkan ketidaksungguhan Barisan Nasional mencegah rasuah.

Budaya rasuah yang berleluasa dalam setiap aspek kehidupan rakyat Malaysia, baik yang berpangkat rendah atau tinggi, kerajaan atau swasta, telah membawa kesengsaraan kepada rakyat keseluruhannya. Kenaikan harga dan kesuntukan hidup yang dihadapi rakyat mutakhir ini berpunca dari rasuah apabila hasil negara diselewengkan hingga peruntukan rakyat dipotong.

Perang terhadap rasuah tidak boleh diserahkan kepada kerajaan atau SPRM semata-mata. Memang menjadi keutamaan mereka untuk tidak lebih tegas dalam hal berhubung rasuah kerana rasuah telah disistemkan dalam segala urusan kerajaan dan swasta di negara ini yang menguntungkan golongan elit yang berkuasa.

Kami berazam bahawa perang ke atas rasuah perlu dibawa dari bawah oleh rakyat. Wajarlah ia dibawa oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lebih tegas dan berani berhadapan dengan rasuah. Mulai tahun 2014, kami berazam bahawa Hari Anti Rasuah Antarabangsa akan mempunyai kesan yang besar di kalangan rakyat dan agenda membanteras rasuah mencapai sasaran baru menjelang 9 Disember 2014.

Kami percaya kesungguhan memerangi rasuah perlu bermula dengan hukuman yang lebih berat. Jika dadah pernah diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara dan hukuman maksimumnya adalah mandatori gantung sampai mati, rasuah sebagai musuh nombor satu negara sekarang juga wajar dikenakan hukuman sekeras mungkin.

Sudah tiba masanya negara dan masyarakat membincangkan kewajaran mengenakan hukuman yang lebih keras termasuklah menaikkan had maksimum hukuman penjara dari 20 tahun (seperti sekarang) kepada penjara seumur hidup dan had maksimum denda dari lima kali suapan (seperti sekarang) kepada menyita dan merampas harta pesalah yang boleh diperuntukkan melalui pindaan kepada Akta SPRM sedia ada.

Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memfokuskan masyarakat kepada isu dan usaha-usaha membanteras rasuah.

Bersempena dengan Hari Anti Rasuah Antarabangsa, National Oversight & Whistleblowers Centre (NOW) akan memulakan siri Hardtalk Now yang bertujuan membudayakan perbincangan yang kritikal untuk mencari jalan mencegah rasuah.

Siri pertama malam ini (9 Disember 2013, 830 malam di NOW Centre di Pekan Sungai Besi) akan menampilkan Saudara Rafizi Ramli yang banyak terlibat membongkarkan rasuah. Beliau akan berhadapan dengan soalan-soalan dari golongan muda mengenai isu-isu rasuah.

Siri Hardtalk Now ini akan diteruskan setiap bulan dengan menjemput tokoh-tokoh lain untuk dibedahsiasat oleh peserta dengan soalan-soalan yang kritis.

Rasuah adalah nombor satu negara. Inisiatif membanteras rasuah perlu dikendalikan dan dipacu oleh rakyat kerana Barisan Nasional akan terus melindungi rasuah yang telah sebati dengan mereka.


Rafizi Ramli
Akmal Nasir
National Oversight & Whistleblower Centre (NOW)

9 Disember 2013

Pindaan Akta Cukai 1967 Menekan Rakyat, Sikap “Double Standard” Barisan Nasional

Tindakan Barisan Nasional membentangkan pindaan-pindaan kepada Akta Cukai 1967 jelas menunjukkan sikap “double standard” mereka. Di kala pelbagai pindaan dibuat untuk mengetatkan lagi undang-undang percukaian dan memberi lebih kuasa kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengutip cukai, kesungguhan yang sama tidak pula ditunjukkan dalam kes-kes penyelewengan dan skandal kewangan yang merugikan negara melibatkan pimpinan Barisan Nasional.

Ada dua pindaan yang saya kira memangsakan rakyat kebanyakan terutamanya peniaga kecil.

Pertama, pindaan Akta Cukai 1967 menetapkan bahawa sebarang pengeluaran simpanan dari Skim Persaraan Swasta sebelum umur 55 tahun (kecuali atas sebab-sebab kemalangan dan hilang upaya) akan dikenakan cukai penuh. Ini bertentangan dengan janji Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak semasa melancarkan inisiatif kerajaan menggalakkan Skim Persaraan Swasta pada Julai 2012 bahawa keuntungan dan pendapatan dari Skim Persaraan Swasta dikecualikan dari cukai untuk menggalakkan lebih ramai pekerja swasta mempunyai simpanan persaraan.

Perkara ini sudah menjadi amalan Barisan Nasional sejak kempen PRU13 lalu, iaitu mengumumkan janji manis yang akhirnya dimungkari selepas keputusan PRU13.

Jawapan Timbalan Menteri Kewangan bahawa kerajaan berhak mengenakan cukai kerana penabung dalam Skim Persaraan Swasta mendapat pelepasan cukai adalah tidak tepat. Pembayar cukai hanya mendapat pelepasan cukai sehingga maksima RM3,000 setahun (pada kadar cukai yang dibayar) sedangkan tabungan di dalam Skim Persaraan Swasta kebanyakannya melebihi RM3,000 setahun. Dengan pindaan ini, penabung terpaksa membayar cukai tambahan melebihi dari pelepasan cukai yang diberikan sebelum itu.

Kedua, pindaan Akta Cukai 1967 juga meluaskan kuasa kerajaan untuk mengutip cukai syarikat dari mana-mana pemegang saham yang pegangan saham melebihi 20% atau pengarah atau mana-mana individu yang ditaksirkan mempunyai kawalan terhadap pengurusan sebuah syarikat. Ini bermakna pemegang saham kini terpaksa berhadapan risiko menanggung cukai syarikat walaupun pemegang saham itu tidak terlibat di dalam apa-apa pengurusan sekali pun.

Pindaan ini samalah seperti menghapuskan pemisahan (“corporate veil”) di antara liabiliti syarikat dan individu/pemegang saham yang menjadi asas persyarikatan.

Pindaan-pindaan ini sudah tentu bertujuan untuk membolehkan kerajaan mengutip lebih banyak cukai dari rakyat dan syarikat; walaupun kutipan cukai meningkat secara purata 10% setiap tahun sejak 3 tahun kebelakangan ini.

Saya mencabar Menteri Kewangan di dalam Dewan Rakyat semalam bahawa jika kerajaan mahu menghapuskan pemisahan di antara individu dan syarikat dalam hal kutipan cukai, maka pendekatan yang sama perlu digunakan dalam soal mengutip hutang dari individu yang terlibat di dalam skandal kewangan harta negara.

Ini termasuklah menghapuskan pemisahan di antara pengarah-pengarah NFC dari syarikat NFC dalam soal hutang RM250 juta yang diambil oleh NFC dari kerajaan. Oleh kerana pindaan Akta Cukai Pendapatan 1967 telah menghapuskan “corporate veil” itu, maka pengarah-pengarah NFC dari keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil tidak lagi boleh berselindung di sebalik alasan hutang diambil syarikat dan perlu membayar segera RM250 juta itu.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

5 DISEMBER 2013

Prestasi Pendidikan Malaysia Kedua Tercorot Di Asia Tenggara Mengikut Penilaian PISA

Keputusan Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (atau “Programme for International Students Assessment” PISA) menunjukkan Malaysia menduduki tangga kedua tercorot di Asia Tenggara di kalangan negara-negara yang menyertai penilaian ini di belakang Singapura, Vietnam dan Thailand. Hanya Indonesia yang berada di belakang Malaysia di kalangan negara-negara Asia Tenggara yang turut serta dalam penilaian ini.

PISA adalah sebuah program penarafan mutu pendidikan di sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh OECD (“Organisation for Economic Corporation and Development”) bagi pelajar-pelajar 15 tahun yang melibatkan negara-negara dari seluruh dunia. Ia menguji kemampuan dan penguasaan pelajar dalam 3 bidang utama iaitu membaca, matematik dan sains.

PISA telah menjadi piawaian antarabangsa yang digunakan untuk menilai keberkesanan dan mutu sistem pendidikan sekolah di dunia.

Berikut adalah kedudukan Malaysia berbanding negara jiran dalam penilaian PISA 2012 yang baru diumumkan:

 

 

Matematik

Mata dicapai

Membaca

Mata dicapai

Sains

Mata dicapai

Singapura

573

542

551

Vietnam

511

508

528

Thailand

427

441

444

Malaysia

421

398

420

Indonesia

375

396

382

Purata mata negara-negara OECD

494

496

501

 

Ini satu keputusan yang sangat mengejutkan apabila terbukti mutu dan keberkesanan sistem persekolahan kita ternyata jauh ditinggalkan oleh Vietnam, sedangkan Vietnam pernah dimusnahkan di dalam peperangan dan ekonominya jauh lebih mundur berbanding Malaysia.

Bukan sahaja Malaysia jauh ketinggalan dengan Singapura yang menduduki tangga kedua pencapaian di seluruh dunia, kini kita dikejutkan dengan peningkatan mendadak sekolah-sekolah di Vietnam yang mengatasi prestasi sekolah-sekolah di negara maju dan Eropah. Dalam tahun 2012, Vietnam berjaya memasuki tangga 10 negara teratas dalam mata pelajaran sains dengan menduduki tangga 8 mengatasi Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara-negara Eropah lain.

Sudah tentu menjadi tanda tanya kepada kita bagaimana Vietnam yang sumbernya cukup terhad, infrastruktur kurang baik dan ekonominya lebih kecil dari Malaysia berjaya melonjakkan mutu pendidikan sekolahnya sedemikian rupa.

Penerangan rasmi yang diberikan di laman Kementerian Pendidikan (rujuk http://www.moe.gov.my/bpk/v2/download/HOTs/Status%20Pencapaian%20Malaysia%20Dalam%20TIMSS%20dan%20PISA.pdf ) menggariskan faktor-faktor berikut yang menyebabkan keputusan PISA yang corot:

1. Sikap murid – ramai murid yang turut serta tidak bersungguh-sungguh kerana menganggap penilaian ini tidak penting. Banyak soalan yang tidak dijawab

2. Format soalan – soalan PISA lebih berbentuk teks panjang yang memerlukan pemahaman, terjemahan dan refleksi dengan kehidupan sebenar. Soalan peperiksaan awam lebih ringkas dan berdasarkan rajah dan jadual

3. Keutamaan guru – Kebanyakan guru mengutamakan menghabiskan sukatan mata pelajaran dengan cepat dan tidak mengambil masa memahamkan murid dengan konsep. Banyak jalan pintas yang digunakan untuk menghafal terutamanya melalui latih tubi

Sementara saya menerima faktor-faktor tersebut dan bersetuju dengan post-mortem yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan, ia jelas mengiyakan pandangan ramai pihak mengenai kelemahan sistem pendidikan yang ada sekarang. Kelemahan-kelemahan ini tidak boleh disalahkan kepada guru atau murid kerana mereka adalah sebahagian dari budaya pendidikan yang dibentuk melalui dasar-dasar yang mementingkan keputusan peperiksaan semata-mata, tidak memberi ruang kepada percambahan fikiran yang berbeza dan sistem imbuhan/naik pangkat yang membuka ruang kepada budaya membodek.

Tindakbalas Kementerian Pendidikan yang memperkenalkan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) pula jauh tersasar dari matlamatnya dan berbeza dari pelaksanaan di negara-negara lain. Akibatnya, guru-guru pula dibebankan dengan tugasan mengisi borang dan kerja-kerja birokrasi yang lain sehingga mengurangkan lagi masa untuk menerangkan konsep dan pemahaman.

Sebab itu, keputusan PISA yang meletakkan Malaysia sebagai negara kedua tercorot di Asia Tenggara sewajarnya mengejutkan dan meyakinkan kita bahawa sistem pendidikan sekolah yang ada sekarang tidak berjaya mempersiapkan Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa dan serantau.

Saya menyeru supaya Menteri Pendidikan menerima hakikat ini dan mengambil langkah-langkah berikut:

1. Menggantung pelaksanaan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) untuk ditambahbaik dengan mengambil kira masalah-masalah yang disebut oleh Kementerian Pendidikan mengenai kepincangan sistem pendidikan sekolah

2. Mengubah sukatan mata pelajaran dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran di sekolah supaya ia menekankan pemahaman konsep dan bukan mengingati fakta dan soalan latih tubi semata-mata

Walaupun Barisan Nasional menghabiskan ratusan juta membayar perunding asing untuk mendapatkan idea menaiktaraf sistem pendidikan, jelas sehingga kini tidak ada sebarang langkah berkesan yang dicadangkan untuk mengatasi masalah-masalah umum sistem pendidikan negara.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

4 DISEMBER 2013

Wakil Rakyat KEADILAN Selangor Sumbang Sebahagian Kenaikan Gaji Ke Tabung Pendidikan

Saya telah menerima pandangan semua pihak mengenai kenaikan gaji yang melibatkan wakil rakyat Selangor. Saya juga telah mendapat penjelasan dari YAB Tan Sri Khalid Ibrahim mengenai rasional kenaikan gaji tersebut.

Pun begitu, KEADILAN sebagai parti yang membawa semangat reformasi perlu terus sensitif dengan kesempitan hidup yang dihadapi rakyat terbanyak.

Oleh itu, setelah berbincang dengan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, saya bersetuju bahawa satu Tabung Pendidikan KEADILAN Anak Selangor akan ditubuhkan bertujuan mengagihkan biasiswa pendidikan kecil dan mengendalikan program pendidikan terutamanya di peringkat sekolah menengah dan pra-universiti.

Setiap wakil rakyat KEADILAN akan menyumbang RM1,000 sebulan atau 20% dari jumlah kenaikan gaji bulanan yang diumumkan untuk membiayai pemberian biasiswa kecil dan program pendidikan di bawah Tabung Pendidikan KEADILAN Anak Selangor.

Jumlah sumbangan wakil-wakil rakyat KEADILAN dari Selangor kelak dijangka mencecah setengah juta setahun dari kenaikan gaji mereka yang dapat membantu keluarga berpendapatan rendah dalam bidang pendidikan.

Anwar Ibrahim
Ketua Umum KEADILAN

Hapuskan Monopoli Gula Dan Benarkan Import Gula Untuk Turunkan Harga Gula

YB Dato’ Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) telah mengesahkan di dalam Dewan Rakyat pada sidang hari Khamis (21 November 2013) bahawa Kerajaan Malaysia telah memeterai kontrak jangka panjang untuk membeli gula mentah pada harga yang kini lebih tinggi dari harga pasaran (rujuk Hansard Parlimen).

Keadaan ini menimbulkan beberapa tanda tanya seperti berikut:

1. Kenapa Kerajaan Malaysia memasuki kontrak pembelian gula mentah jangka panjang bagi pihak syarikat swasta sedangkan segala keuntungan adalah milik hak swasta?

2. Siapakah yang bertanggungjawab meluluskan kontrak pembelian gula mentah jangka panjang yang tidak dirunding dengan baik sehingga harganya lebih rendah dari harga pasaran semasa di dunia yang mempunyai kesan terus kepada harga gula bertapis di Malaysia?

Saya telah pun menanyakan kedua-dua soalan ini kepada YB Timbalan Menteri dalam sidang hari Khamis lalu tetapi tidak pun berjawab.

Umum mengetahui bahawa industri gula di Malaysia dimonopoli oleh beberapa syarikat sejak berdekad-dekad. Dulunya oleh syarikat yang dikuasai Tan Sri Robert Kuok, kini ia dikuasai pula oleh syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary dan Felda. Monopoli gula ini diberikan kepada syarikat-syarikat ini melalui satu sistem permit import (approved permit) gula mentah yang hanya diberikan kepada syarikat-syarikat ini. Dalam keadaan Malaysia langsung tidak mempunyai ladang atau perusahaan yang mengeluarkan gula mentah, industri gula di Malaysia bergantung sepenuhnya kepada import gula mentah dari pasaran antarabangsa. Oleh itu, hanya syarikat yang diberikan permit import atau AP yang boleh mengimport gula mentah dan memonopoli pengilangan dan pembekalan gula bertapis.

Monopoli industri gula yang kini dipegang oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary sudah tentu satu perniagaan yang cukup menguntungkan. Sudah menjadi lumrah perniagaan bahawa harga bekalan turun naik. Bagi industri gula, apabila harga bekalan gula mentah naik, keuntungan syarikat pengilang gula bertapis akan turun dan sebaliknya apabila harga bekalan gula mentah turun, keuntungan syarikat pengilang gula bertapis akan meningkat.

Oleh sebab itulah, saya mempersoalkan kenapakah dalam keadaan harga bekalan gula mentah tidak menguntungkan syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary akibat rundingan kontrak jangka panjang yang tidak sempurna, kerajaan juga dilibatkan kerana kontrak itu dimeterai oleh kerajaan. Risiko untung rugi pembelian gula mentah perlulah ditanggung oleh syarikat pemegang AP gula mentah yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary kerana mereka diberikan monopoli industri gula di Malaysia.

Oleh kerana Kerajaan Malaysia terus mahu menanggung kerugian hasil dari kontrak pembelian gula mentah jangka panjang ini, maka monopoli gula yang diberikan kepada syarikat yang dikuasai Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary perlulah ditarik balik kerana syarikat itu tidak menanggung risiko untung rugi pembelian gula mentah.

Untuk menurunkan harga gula dengan serta merta supaya meringankan bebanan rakyat, saya mencadangkan supaya permit import (AP) untuk membeli gula mentah pada harga yang lebih rendah dibuka dan permit import (AP) untuk membeli gula bertapis juga dibuka untuk mewujudkan persaingan harga. Dalam keadaan harga gula mentah pasaran dunia adalah lebih rendah, dengan lebih banyak syarikat diberi peluang untuk membawa masuk gula mentah dan gula bertapis sudah tentu ia lebih murah dari harga yang ditentukan oleh syarikat monopoli.

Keengganan Barisan Nasional melunturkan monopoli gula yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary mengesahkan mereka lebih mementingkan beberapa kroni berbanding rakyat terbanyak.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

25 NOVEMBER 2013