Category Archives: Turun Harga Kereta

Jawapan Kepada Datuk Mukhriz: Memahami Harga Kereta

Saya mengalu-alukan maklumbalas Datuk Mukhriz Mahathir berkenaan cadangan #turunkanhargakereta memandangkan beliaulah yang bertanggungjawab menggubal dasar automotif negara.

Beliau juga dijangka akan memenangi persaingan Ketua Pemuda Umno yang akan datang, jadi pandangan beliau mengenai isu-isu yang ada kesan besar kepada orang muda bakal memberi gambaran nasib orang muda kelak jika BN menang pilihanraya akan datang. Dalam banyak-banyak kepayahan ekonomi yang dialami orang muda, satu daripada isu paling hangat adalah harga kereta yang terlalu mahal.

Datuk Mukhriz bertanya satu soalan mudah kepada saya: bagaimana mungkin harga kereta boleh turun jika permit import kereta (AP) dilelong kepada pembida yang menawarkan harga tertinggi?

Soalan itu begitu mudah hinggakan mula-mula saya mengesyaki beliau ada muslihat politik besar untuk memerangkap saya, bukannya kerana beliau mahu memahami kaedah menurunkan harga kereta yang kami cadangkan. Bila beliau terus sahaja mengulangi soalan ini dalam sidang media dan di laman Twitter, maka saya mula menyedari bahawa beliau betul-betul tidak faham.

Oleh itu, saya berlapang dada akan cuba menerangkan kaedahnya kepada seorang Timbalan Menteri yang bertanggungjawab menggubal dasar automotif negara.

Untuk memahami apa langkah yang wajar diambil untuk menurunkan harga kereta, kita perlu memahami terlebih dahulu apakah komponen-komponen kos yang dibayar oleh rakyat apabila dia membeli sebuah kereta.

Bagi kereta yang dikilang oleh syarikat automotif nasional atau kereta jenama asing yang dipasang di Malaysia, ada 2 kos komponen yang dibayar rakyat: kos kereta (termasuklah keuntungan kepada pengilang/syarikat automotif) dan cukai yang dikenakan kerajaan. Di bawah sistem cukai sekarang, cukai adalah separuh dari harga kereta yang dibayar rakyat – maknanya jika anda membeli kereta pada harga RM50,000, sebanyak RM25,000 daripada harga tersebut adalah bayaran cukai kepada kerajaan.

Kereta yang diimport dari luar negara juga mempunyai struktur kos yang sama, tetapi harganya lebih tinggi kerana ada 2 komponen kos tambahan. Setiap kereta yang diimport dikenakan cukai import 30% dan harga jualan kereta import melonjak gara-gara lesen AP yang diperlukan untuk mengimport.

Sebelum ini, lesen AP diberikan kepada individu/syarikat tertentu yang rapat dengan pemerintah. Oleh kerana tekanan dari rakyat yang berterusan, akhirnya sejak tahun 2009 kerajaan BN mula mengutip bayaran RM10,000 bagi setiap AP.

Namun, kos lesen AP telah dimanuipulasi dan digunakan untuk mengaut untung berlebihan yang mengakibatkan harga kereta import melambung tinggi. Untuk memahami perkara ini, saya mengambil contoh pengalaman YB Tony Pua membeli sebuah kereta import.

Beliau membayar hanya RM100,000 untuk mengimport kereta Nissan Juke menggunakan lesen AP yang beliau perolehi sebagai seorang ahli parlimen. RM45,000 adalah harga sebenar kereta dan bayaran penghantaran melalui kapal. Baki RM55,000 adalah bayaran kepada kerajaan akibat duti eksais pada kadar 85%, cukai jualan 10% dan duti import sebanyak 30%.

YB Tony Pua bernasib baik kerana beliau hanya perlu membayar RM100,000 untuk kereta itu. Jika beliau membeli kereta yang sama dari pengedar kereta tempatan, harganya ialah RM160,000.

Beza harga sebanyak RM60,000 adalah kesan sistem AP yang tidak telus hingga menyebabkan harga kereta naik melambung kerana pemegang lesen AP boleh sahaja mengaut keuntungan atas angin berlipat kali ganda.

Walau bagaimana pun, sebab sebenar yang menyebabkan harga kereta terlalu mahal dan menghambakan rakyat Malaysia dengan cukai kereta adalah cukai melampaui batas yang dikenakan ke atas kereta. Lagipun, hanya 10% dari kereta yang dijual setiap tahun diimport menggunakan AP; bakinya adalah kereta yang dikilang/dipasang di Malaysia yang tidak dipengaruhi sistem AP tetapi terbeban dengan cukai yang tinggi.

Justeru, satu-satunya cara untuk menghapuskan herotan harga kereta dan menghentikan kesengsaraan rakyat ialah dengan membatalkan cukai ini secara berperingkat agar harga kereta Malaysia berpatutan jika dibandingkan dengan harga di negara lain. Oleh kerana duti eksais dikenakan ke atas semua kereta, sudah tentu pembatalannya akan memberi kesan besar kepada harga semua kereta baik yang dipasang di Malaysia atau diimport.

Untuk memahami perkara ini dengan lebih mudah, kita perlu kembali kepada contoh YB Tony Pua membeli keretanya. Jika dia mengimport keretanya selepas dasar pembatalan cukai kereta dilaksanakan, beliau hanya perlu membayar sejumlah RM50,000 iaitu kos kereta, penghantaran dan cukai jualan sebanyak 10%.

Maka, beliau boleh menganggar berapa harga tertinggi yang beliau sanggup bayar kepada kerajaan untuk mendapatkan AP membawa masuk kereta itu. Oleh kerana Nissan Juke adalah sebuah kereta kecil yang tidak memakan minyak yang besar, kami mencadangkan bidaan untuk AP itu bermula pada harga RM10,000 sahaja (berbanding bidaan untuk AP membawa masuk sebuah Lamborghini yang memakan minyak besar misalnya, harga bidaan bermula dari RM30,000).

Sudah tentu YB Tony Pua akan membuat bidaan dengan mengambil kira kos keseluruhan yang perlu ditanggung dalam membeli keretanya itu. Jika belia sanggup membayar setakat RM90,000 bagi kereta tersebut, bidaannya bagi mendapatkan AP boleh mencecah RM40,000 memandangkan kos kereta hanyalah RM50,000 apabila cukai sudah dibatalkan.

Inilah bahagian yang Datuk Mukhriz nampaknya tidak faham hingga beliau mengeluarkan kenyataan yang memalukan beliau dan kementerian.

Melalui sistem bidaan terbuka untuk AP, kerajaan akan mendapat hasil yang meningkat kerana bayaran AP dibuat terus kepada kerajaan, bukannya tersekat di tangan orang tengah. Hasil ini akan digunakan untuk menampung kos menghapuskan cukai kereta yang menyebabkan harga kereta terlalu tinggi di Malaysia.

Apabila cukai kereta dihapuskan, secara automatik harga kereta akan jatuh sekurang-kurangnya 50% walaupun harga AP ditentukan secara bidaan terbuka, kerana sekarang pun setiap AP dijual pada harga RM40,000 hingga RM60,000 (sama dengan harga AP bila dibuat secara bidaan terbuka). Bezanya, sekarang ini hasil dari AP masuk poket orang yang berkepentingan dan menidakkan hak rakyat untuk membeli kereta pada harga yang rendah jika hasil itu digunakan untuk menghapuskan cukai kereta.

Ringkasnya, penurunan cukai kereta akan menghapuskan satu komponen kos paling besar yang menyebabkan harga kereta di Malaysia terlalu tinggi.

Saya harap penerangan ini boleh difahami dengan mudah oleh Datuk Mukhriz kerana jika perkara semudah ini pun beliau tidak memahami, apatah lagi perkara-perkara yang lebih rumit yang melibatkan industri dan perdagangan antarabangsa.

Rafizi Ramli adalah Pengarah Strategi PKR. Beliau pernah mengaudit beberapa syarikat kereta.

Answering Mukhriz Mahathir: Car Prices 101

I am glad that Datuk Mukhriz Mahathir has finally decided to respond to our campaign #turunkanhargakereta especially when he is primarily tasked with the national automotive policies.

He is also expected to win the next Umno Youth head contest easily, so his views on issues affecting the younger population are a glimpse of what life under another 5-year term of BN rule will be. Among the many daily economic woes experienced by the younger population, exorbitantly high car prices easily occupy the top three concerns of this group.

Datuk Mukhriz asked me a simple question: how does auctioning approver permit (permit to import cars) can lower down car prices?

The question was so simple that initially I was not sure whether he really did not understand the mechanics of the policies we proposed, or it was a part of his brilliant strategy to catch us. Eventually as he keeps repeating the same question in press conferences and his tweets, I began to realise that he truly could not understand (commercially or in economic terms) how auctioning AP in a transparent process can lower car prices.

Let me attempt to explain the mechanics to the Deputy Minister in charge of automotive policies in the country.

To understand what needs to be done in order to reduce car prices, we need to know the main cost components that make up the final selling price that customers pay.

For cars manufactured by national automotive companies or assembled here, there are two components: the cost of the car itself (which already includes the profit margin for the manufacturer) and the taxes/duties levied by the government. As it is, the taxes/duties constitutes at least 50% of the final car prices sold to customer – meaning if you buy a car with a retail price of RM50,000, you pay RM25,000 in taxes/duties to the government.

The same cost structure is also applicable to cars imported from abroad, with the addition of 2 more cost components. Each imported car attracts additional 30% import duty and a much higher hidden cost due to the AP that you need to obtain to import.

Previously, AP was given to only select companies/individuals with close connections to the ruling elite. As the pressure mounts in the last few years, BN government began to charge a flat rate of RM10,000 for each AP issued.

But the cost of AP translates into a much more expensive portion of the cost component that makes up the final retail price. To understand how much an AP pushes up the retail price, YB Tony Pua shared his experience in importing a Nissan Juke using his AP entitlement as a member of parliament.

To cut the story short, he paid about RM100,000 to import the car. RM45,000 is to pay for the actual cost of the car and the shipping cost. The balance RM55,000 was payments to the government due to the excise duty at 85%, sales tax at 10% and import tax at 30%.

YB Tony Pua was lucky to pay only RM100,000 for the car because if he were to buy from a local car dealer, the retail price is RM160,000.

The difference of RM60,000 between buying from an importer and importing yourself (because you have an AP) is the actual impact of the opaque AP system which has pushed car prices exorbitantly high.

Nevertheless, the real culprit that pushes car prices skyrocketing and enslaves many Malaysians in perpetual indebtedness is the taxes imposed on cars. Furthermore, only 10% of the cars sold each year are brought in with APs; the rest 90% (which form the bulk of the population) is not affected by any changes to the AP system.

Therefore, the only way to correct the distortion and economic misery to the rakyat is to phase out the high excise duty on cars and bring back car prices to comparable parity with other economies around the world. Since excise duty is levied on all cars, the phasing out of excise duty will affect both locally manufactured/assembled cars and imported cars.

To further understand this, we should go back to YB Tony Pua’s Nissan Juke. If he had imported the car when excise and import duties have been completely phased out, he only needs to pay RM50,000 for the cost of the car, shipping and a 10% sales tax.

He can then estimate how much he wants to bid for the AP to bring the car in. Since Nissan Juke is a small car and comes with better fuel efficiency, the proposed reserve price for the AP of such classes of car starts at RM10,000 only (as opposed to if you are bringing in a Lamborghini with high fuel consumption, whose reserve price may start at RM30,000).

YB Tony Pua would have put a bid factoring in the total price that he was willing to pay. He may aim to pay maximum of RM90,000 for the car, so he would bid RM40,000 for the AP since the total cost of the car is only RM50,000 without the exorbitant duties that have been phased out by PR.

This is the part which Datuk Mukhriz clearly does not understand and as a result of that, frighteningly demonstrates his incompetence to the whole country.

While government will increase its revenue from higher AP payment it receives due to the open bidding system, the same revenue is then used to fund the policy to phase out excise and import duties that currently form the biggest bulk of the cost component of a car’s retail price.

When excise and import duties are removed, this automatically reduces car prices by at least 50% even when AP price is decided through bidding, because the AP under the current corrupt system already fetches prices in between RM40,000 to RM60,000 each (which is similar to the prices expected under open bidding system). The difference is the money currently goes to the private pockets of closely linked cronies. This deprives the public of the necessary fund to phase out excise and import duties.

In short, the elimination of excise and import duties on cars across the board will automatically take away the most expensive cost component of a car’s retail price.

I hope this explanation is simple enough for Datuk Mukhriz to digest because it is of highest imperative that he understands this basic knowledge in the car industry before he decides on other complicated matters.

Rafizi Ramli is the Strategic Director of PKR. He used to audit car companies.

Kenyataan Mukhriz Sahkan Negara Hilang RM3.5 Bilion Setiap Tahun Kerana Agihan AP Yang Tidak Telus

Saya mengalu-alukan maklumbalas pertama Datuk Mukhriz Mahathir terhadap isu penurunan harga kereta memandangkan beliau adalah antara orang penting yang bertanggungjawab menggubal dasar automotif negara, atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Saya sertakan laporan BERNAMA bertarikh 7 September 2012 mengenai kenyataan yang dibuat beliau semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita Umno Bahagian Jerlun:

Mukhriz: ‘BN tidak berani buat janji kosong’

7 September 2012

JERLUN – Barisan Nasional (BN) tidak akan membuat janji yang tidak mampu ditunaikan oleh parti, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata semua yang tertulis di dalam manifesto pilihan raya BN akan dianggap sebagai janji kepada rakyat dan semua itu perlu ditepati untuk memberi kesenangan kepada rakyat.

Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata BN tidak akan berani untuk membuat sebarang janji yang ia tahu tidak akan mampu dilaksanakan.

“Lainlah dengan pembangkang. Mereka kata manifesto yang dibuat itu bukannya janji sebaliknya hanya cadangan, sebab itu mereka tidak serius dalam menunaikan semua yang ditulis dalam manifesto pilihan raya yang lepas.

“Apabila mereka sendiri dah kata macam tu, apa kita nak harapkan lagi daripada mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Jerlun di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Bonglai di sini hari ini.

Beliau berkata janji menurunkan harga kereta yang dibuat oleh Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli sekiranya pembangkang berjaya mentadbir Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 akan datang adalah bersifat populis.

Katanya strategi pembangkang ialah menggunakan isu-isu yang bersifat populis seperti hendak hapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hapuskan tol dan turunkan harga kereta.

Mereka tidak jelaskan dari mana datangnya duit malah ada pemimpin PKR mengatakan untuk mengumpul dana kerajaan, mereka akan jual AP (permit import) kereta menggunakan kaedah opsyen.

“Seperti kita tahu, kalau guna kaedah itu, orang yang menawarkan harga tertinggilah yang akan menang. Jadi daripada anggaran kami setiap AP akan berharga RM50,000 hingga RM60,000. Kalau itu dilakukan, bagaimana nak turunkan harga kereta? Itu baru AP, belum kira lagi harga kereta tersebut,” katanya.

Mukhriz berkata pembangkang hanya pandai membuat cadangan tetapi tidak memikirkan bagaimana hendak menjayakan cadangan tersebut termasuk dari mana hendak dapatkan punca pendapatan untuk menampung semua itu.

“Silap-silap kita (negara) akan menjadi muflis,” katanya.

Kenyataan Datuk Mukhriz yang mengesahkan anggaran kementerian beliau bahawa permit import (AP) akan menarik bidaan setinggi RM60,000 setiap satu jika dikendalikan secara telus melalui tender terbuka mempunyai kesan yang besar kepada kewangan negara.

Jika jumlah AP yang dikeluarkan mencecah 70,000 setiap tahun seperti yang dianggarkan, negara dan rakyat kehilangan hasil sekitar RM3 bilion hingga RM3.5 bilion setiap tahun kerana kementerian yang turut diketuai Datuk Mukhriz kini hanya mengenakan caj RM10,000 sahaja setiap AP apabila ia diagihkan kepada pihak-pihak tertentu tanpa melalui proses tender terbuka.

Bagi setiap AP, negara dan rakyat rugi sehingga RM50,000 dan jumlah itu masuk poket pihak berkepentingan yang mengaut untung besar akibat dasar tidak telus Umno/Barisan Nasional.

Jumlah RM3 bilion hingga RM3.5 bilion ini adalah lebih tinggi berbanding anggaran yang dibuat KEADILAN dalam menentukan sumber kewangan untuk menampung dasar menurunkan harga kereta melalui pemotongan cukai eksais secara berperingkat. Ia juga membuktikan kemampuan kewangan kerajaan untuk melaksanakan dasar ini, jika Umno/Barisan Nasional benar-benar serius mendengar desakan rakyat.

Kenyataan Datuk Mukhriz juga menggambarkan beliau masih belum faham mekanisme yang boleh digunapakai untuk menurunkan harga kereta kerana terlalu terbawa-bawa dengan pandangan yang berpihak kepada tauke kaya dan pengedar kereta yang membuat untung berlebihan dari sistem AP sedia ada.

Rungutan beliau, kononnya harga AP yang tinggi jika dilelong secara terbuka akan menyebabkan harga kereta bertambah tinggi membayangkan beliau mahu mempertahankan kadar keuntungan berlipat kali ganda yang kini dinikmati pihak-pihak berkepentingan ini. Menurut perkiraan beliau, bila kadar keuntungan ini dipertahankan, sebarang peningkatan kos kepada pengedar kereta akibat harga AP yang lebih tinggi perlu ditanggung oleh rakyat.

KEADILAN mengesyorkan supaya pengedar-pengedar berkepentingan ini bersaing sesama mereka dengan mengurangkan kadar keuntungan demi mendapatkan pelanggan. Apabila harga AP meningkat dan harga kereta mula turun, mereka tidak ada pilihan melainkan mengurangkan kadar keuntungan yang tidak berpatutan yang mereka nikmati selama ini.

Demi menerangkan lagi mekanisme ini kepada Datuk Mukhriz, KEADILAN ingin menjemput Datuk Mukhriz untuk turut sama hadir ke Forum #turunhargakereta yang diadakan pada hari Khamis ini (13 September 2012) jam 8 malam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor yang bakal menemukan YB Tony Pua, YB Dr Dzulkifly Ahmad, Saudara Wan Saiful Wan Jan, Saudara Rafizi Ramli dan YB Nik Nazmi Nik Ahmad.

Jika beliau benar-benar berjiwa besar demi kepentingan rakyat, kami yakin Datuk Mukhriz akan sudi singgah bersama-sama dengan rakyat berbincang kaedah terbaik untuk menurunkan harga kereta, terutamanya apabila beliau sendiri sudah mengesahkan bahawa kerajaan mempunyai dana yang mencukupi untuk melaksanakannnya.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

11 SEPTEMBER 2012

Forum #turunhargakereta Dan Kedai Online #turunhargakereta

Kempen #turunhargakereta yang telah mula bergerak ke seluruh negara akan dipergiatkan lagi minggu ini dengan beberapa program.

Forum #turunhargakereta akan dilancarkan pada 13 September 2012 (Khamis) bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) bermula jam 8 malam.

Forum kali yang pertama ini akan membariskan YB Dr Dzulkifly Ahmad, YB Tony Pua, Saudara Wan Saiful Wan Jan, Saudara Rafizi Ramli dan akan dikendalikan oleh YB Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai moderator.

Forum #turunhargakereta bagi Lembah Klang ini adalah salah satu dari siri yang akan mengunjungi juga Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bharu, Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Kuching dalam bulan September dan Oktober ini.

Orang ramai dijemput hadir untuk turut sama mendapatkan pelekat kereta dan kemeja-t #turunhargakereta.

Memandangkan permintaan yang begitu tinggi terhadap pelekat kereta #turunhargakereta, KEADILAN juga telah mewujudkan satu kedai online (online store) yang membolehkan orang ramai mendapatkan pelekat kereta dan kemeja-t #turunhargakereta secara online. Ini bagi membolehkan orang ramai yang sukar untuk hadir ke program ceramah atau program yang berbaur politik untuk turut serta menyokong kempen ini, memandangkan golongan inilah (atas pagar) yang setakat ini paling kuat menyokong usaha menurunkan harga kereta.

Orang ramai boleh membuat tempahan bagi mendapatkan pelekat kereta dan kemeja-t #turunhargakereta di kedai online Kempen Rakyat di alamat www.kempenrakyat.com bermula jam 5 petang hari ini (11 September 2012). Pelekat kereta dan kemeja-t akan dihantar melalui pos mengikut tempahan.

YB NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGARAH KOMUNIKASI KEADILAN

11 SEPTEMBER 2012

Penurunan Harga Kereta: Barisan Nasional Tidak Boleh Bermuka-Muka

Saya merujuk kepada laporan The Star bertarikh 21 Ogos 2012 bertajuk “Car Prices In Malaysia To Drop Gradually?”. Laporan itu memetik sumber dalaman yang rapat dengan kerajaan berhubung cadangan rombakan Dasar Automotif Kebangsaan (NAP2012) untuk mengurangkan harga kereta.

Saya mengalu-alukan perkembangan ini kerana ia jelas mengesahkan pendirian KEADILAN selama ini bahawa penurunan harga kereta melalui pengurangan cukai eksais secara berperingkat-peringkat adalah sesuatu yang mampu dilakukan. Ia juga membuktikan bahawa kajian KEADILAN mengenai kesan buruk harga kereta yang tinggi turut dipersetujui oleh pakar-pakar dan pegawai kerajaan.

Pun begitu, ia membayangkan sikap bermuka-muka dan hipokrasi pimpinan Umno/Barisan Nasional yang secara berterusan mengkritik cadangan KEADILAN tersebut atas alasan ia akan memufliskan negara. Pemimpin seperti Saudara Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Yaakob telah membuat kenyataan rasmi menolak cadangan mengurangkan harga kereta seperti yang dibawa KEADILAN.

Oleh kerana adanya pertembungan maklumat yang disampaikan oleh pimpinan Umno/Barisan Nasional setakat ini, saya menyeru supaya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato’ Seri Mustapha Mohamad yang bertanggungjawab merombak Dasar Automotif Kebangsaan (NAP2012) supaya berterus terang kepada rakyat apakah sebenarnya dasar kerajaan Umno/Barisan Nasional berhubung penurunan harga kereta?

Sekiranya beliau bersetuju dengan cadangan KEADILAN untuk mengurangkan cukai eksais secara berperingkat dan menurunkan harga kereta, beliau wajar memanggil kepimpinan Pakatan Rakyat untuk mengadakan rundingan meja bulat membincangkan pelaksanaan dasar ini kerana penurunan harga kereta adalah satu-satunya isu nasional yang mendapat konsensus di kedua-dua belah pihak (Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional).

Saya juga menyeru supaya Saudara Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Nor Yaakob menarik balik kenyataan mereka sebelum ini mengkritik cadangan KEADILAN.

Malah, saya mengalu-alukan Saudara Khairy untuk turut serta bersama-sama mempromosikan kempen #turunkanhargakereta dengan menaiki kereta rasmi Cheapmobile ke tempat-tempat strategik di sekitar Kuala Lumpur dan mengedarkan pelekat kereta kempen.

Saya masih yakin bahawa penurunan harga kereta melalui pengurangan cukai eksais secara berperingkat adalah langkah pertama untuk menyelesaikan pelbagai masalah berhubung ekonomi rakyat, pengangkutan, keselamatan dan pencemaran alam sekitar.

KEADILAN percaya dengan harga kereta yang murah:

1. Beban hutang isi rumah rakyat akan diringankan dan wang lebihan boleh digunakan untuk pelaburan lain yang lebih penting seperti rumah, pendidikan, kesihatan dan lain-lain;

2. Liberalisasi pasaran kenderaan di Malaysia memaksa kerajaan meningkatkan kapasiti dan mutu pengangkutan awam di negara ini bagi mengimbangi risiko kesesakan jalan raya;

3. Harga kereta yang lebih murah memungkinkan dasar tempoh umur kereta (car scrap policy) dilaksanakan untuk mengurangkan jumlah kenderaan persendirian yang telah mencecah 10 juta;

4. Harga kereta yang lebih murah membolehkan rakyat memiliki kereta yang lebih berkualiti dan selamat, seterusnya mengurangkan kemalangan jalan raya;

5. Kereta yang lebih berkualiti dan berteknologi hijau mampu dimiliki rakyat dan mengurangkan pencemaran alam sekitar; dan

6. Lebih banyak kereta berteknologi hijau dan lebih berkualiti akan mengurangkan penggunaan petrol dan seterusnya mengurangkan beban subsidi bahan api negara.

Oleh kerana dasar harga kereta yang lebih rendah ini mempunyai kesan yang besar kepada negara seperti yang dijelaskan di atas, KEADILAN akan bekerjasama dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat untuk membawa kempen ini ke bawah tanpa mempedulikan tindakan Umno/Barisan Nasional yang seterusnya kerana saya yakin Umno/Barisan Nasional tidak ikhlas untuk menurunkan harga kereta.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

22 OGOS 2012