Category Archives: Tabung Haji

Dakwaan Dato’ Asyraf Wajdi Mengenai Fitnah Tabung Haji: Saman Di Mahkamah Atau Berdebat

Saya telah menghantar satu surat rasmi kepada YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Bin Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri berkenaan satu tuduhan bahawa saya telah memfitnah Tabung Haji.

Saya telah memberikan beliau tempoh masa tujuh (7) hari sama ada untuk:

1) menyaman saya atas kapasiti beliau sendiri sekiranya saya memfitnah Tabung Haji seperti yang didakwa; atau

2) mengarahkan Tabung Haji menyaman saya sekiranya saya memfitnah Tabung Haji seperti yang didakwa; atau

3) bersetuju berdebat secara terbuka di depan orang ramai untuk membuktikan tuduhan beliau bahawa saya telah memfitnah Tabung Haji.

Salinan surat disertakan bersama. Kandungan surat saya kepada beliau juga disertakan bersama untuk disebarkan kepada orang ramai seperti di bawah:

Download (PDF, 205KB)

11042016-suratawth-1

11042016-suratawth-2

11042016-suratawth-3

4 November 2016

YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Bin Dato’ Dusuki
Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri
Jabatan Perdana Menteri
Blok B8, Kompleks Jabatan Perdana Menteri,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Putrajaya,
Malaysia.

( melalui Poslaju, faksimili 03-8888 3904 dan email [email protected] )

TUDUHAN FITNAH TERHADAP TABUNG HAJI

Saya merujuk kepada kemaskini status Saudara di Twitter pada hari ini yang menuduh saya memfitnah Tabung Haji, seperti berikut:

Jawapan Tabung Haji yang diberikan oleh Pengarah Urusannya Dato’ Johan Abdullah semalam adalah lebih berhemah dan berhati-hati, mengambil kira ketepatan angka-angka yang saya bentangkan kerana kesemuanya diambil dari laporan kewangan kumpulan yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

Saya yakin Dato’ Johan Abdullah sendiri memahami bahawa saya hanya menjalankan amanah saya sebagai wakil rakyat untuk memantau prestasi, urus tadbir dan menggalakkan penanda aras (“benchmarking”) kepada perjalanan Tabung Haji, kerana ia milik rakyat. Jutaan rakyat miskin bergantung harap kepada Tabung Haji dan sebahagian besar mereka tidak pun mempunyai apa-apa simpanan. Simpanan mereka di dalam Tabung Haji adalah semata-mata kerana mereka mahu menunaikan ibadah haji, maka mereka sanggup mengikat perut walaupun sebenarnya mereka tergolong di dalam kalangan orang miskin yang tidak layak pun mempunyai apa-apa simpanan wang.

Adalah sangat malang apabila seorang yang terpelajar dan berlatar belakang pendidikan agama seperti Saudara tidak mampu bersimpati kepada keperluan timbang tara (“check and balance”) yang kukuh bagi memastikan Tabung Haji menjadi agensi pelaburan dan amanah yang terulung di dunia. Kecemerlangan pengurusan Tabung Haji akan menjadi dakwah yang baik kepada orang Islam dan bukan Islam. Caca merbanya Tabung Haji mengundang cemuhan dan pandangan sinis terhadap Islam.

Saya lebih berterima kasih dan menghargai sikap ketua Saudara iaitu YB Mejar Jeneral(B) Dato’ Seri Jamil Khir Bin Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang nampaknya lebih profesional dalam menangani pertanyaan-pertanyaan saya di dalam dan luar Parlimen mengenai Tabung Haji. Setakat ini beliau memberi kerjasama sepenuhnya dan memberikan jawapan bertulis yang telus kepada semua soalan yang saya timbulkan mengenai Tabung Haji.

Tuduhan Saudara terhadap saya pada hari ini adalah sangat serius. Saudara menuduh saya dengan sengaja membuat fitnah terhadap Tabung Haji lalu menggambarkan saya berniat jahat dan ingin merosakkan satu institusi Islam. Secara langsung Saudara menuduh saya seorang yang anti-Islam seperti yang turut diulang oleh juak-juak parti Saudara di laman sosial.

Maka, sebagai seorang Timbalan Menteri yang bertanggungjawab kepada hal ehwal Islam di negara ini, jika Saudara yakin saya telah membuat fitnah terhadap Tabung Haji (seperti yang Saudara tuduh pada hari ini), maka wajiblah Saudara atas kapasiti sebagai Timbalan Menteri, atau atas kapasiti sebagai seorang pendakwah, atau atas kapasiti seorang pendeposit Tabung Haji, atau sekurang-kurangnya atas kapasiti seorang Islam, memfailkan saman terhadap saya di dalam mahkamah dalam tempoh tujuh (7) hari dari sekarang sebagai langkah melindungi Tabung Haji dari fitnah-fitnah jahat.

Jika Saudara tidak bersedia memfailkan sendiri saman terhadap saya, maka sekurang-kurangnya Saudara, atas kapasiti sebagai Timbalan Menteri yang bertanggungjawab kepada hal ehwal Islam di negara ini, bolehlah mengarahkan Tabung Haji untuk memfailkan saman sivil terhadap saya atas tuduhan memfitnah (seperti yang didakwa Saudara pada hari ini) dalam tempoh tujuh (7) hari dari sekarang sebagai langkah melindungi Tabung Haji dari fitnah-fitnah jahat.

Setakat ini Tabung Haji tidak pula memfailkan saman sivil terhadap saya, sebaliknya berselindung di belakang polis untuk menahan dan mendakwa saya atas dakwaan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan yang mengecualikan Tabung Haji dari membentangkan fakta-fakta bagi membela dirinya di dalam mahkamah (berbanding saman sivil yang mana si penyaman perlu membentangkan fakta menunjukkan kenapa yang disaman dituduh memfitnah).

Jika Saudara dan Tabung Haji tidak bersedia untuk berdepan dengan saya di mahkamah, maka sekurang-kurangnya Saudara ada keberanian untuk berdepan dengan saya dalam satu debat di hadapan rakyat jelata agar mereka boleh menghakimi sendiri sama ada saya betul-betul memfitnah Tabung Haji seperti yang Saudara tuduh.

Oleh yang demikian, saya memberi Saudara masa selama tujuh (7) hari untuk mengesahkan kesediaan Saudara berdebat dengan saya mengenai tuduhan Saudara bahawa saya telah memfitnah Tabung Haji kerana saya mengandaikan Saudara tidak akan berani memfailkan saman terhadap saya di mahkamah.

Saya menunggu jawapan dari Saudara dalam tempoh tujuh (7) hari dari sekarang.

Wassalam.

Saya yang menjalankan amanah

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

Tabung Haji Kekurangan RM3 Bilion Sekiranya Pendeposit Mengeluarkan Simpanan Pada 31 Disember 2015

Semasa saya mula-mula mengulas mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji sekitar Februari 2016 (iaitu ekoran surat dari Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, mantan Gabenor Bank Negara Malaysia bocor), saya dituduh memfitnah Tabung Haji. Malah, saya juga telah ditahan dan dihadapkan ke mahkamah dalam bulan April 2016 untuk menghadapi pertuduhan jenayah memfitnah Tabung Haji.

Minggu lalu, Tabung Haji telah mengedarkan keputusan kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan terkini iaitu 31 Disember 2015.

th2015-bs

th2015-pnl

th2015-fund

Berdasarkan angka-angka kewangan yang telah diaudit, saya telah melengkapkan analisa kedudukan Tabung Haji bagi tempoh 7 tahun (dari 2009 hingga 2015); terutamanya bagi mengenalpasti dua perkara berikut:

1. Berapakah perubahan simpanan bersih pendeposit (iaitu jumlah dana baru yang disimpan tolak simpanan yang dikeluarkan) bagi 2015 kerana selama ini kedudukan kewangan Tabung Haji yang dilihat kukuh adalah kerana pendeposit secara berterusan menambah simpanan di dalam Tabung Haji tanpa mengira prestasi kewangannya; dan

2. Keupayaan Tabung Haji untuk memulangkan kembali semua wang yang disimpan pendeposit pada 31 Disember 2015 sekiranya pendeposit Tabung Haji bertindak mengeluarkan kesemua wang itu sekaligus (sebagai kayu ukur keuntungan dan kebolehupayaan Tabung Haji berhadapan dengan risiko kewangan)

Download (PDF, 54KB)

Analisa penyata pendapatan Tabung Haji bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 menunjukkan bahawa untung sebenar Tabung Haji setelah mengambil kira susutnilai saham-saham yang menjadi pelaburannya ialah RM450 juta sahaja (keuntungan tahun semasa RM3.535 bilion perlu ditolak susutnilai saham berjumlah RM3.09 bilion).

Download (PDF, 42KB)

Saya juga sangat khuatir apabila analisa pergerakan dana pendeposit menunjukkan bahawa jumlah simpanan bersih bagi tahun 2015 merosot sebanyak 8%; sedangkan selama enam tahun dari 2009 hingga 2014 simpanan bersih bertambah pada purata 22.6%. Selama ini, Tabung Haji berjaya membayar dividen yang dikira tinggi dan menyembunyikan kerugian besar pelaburannya kerana saban tahun simpanan bersih baru yang terus bertambah menenggelamkan kerugian-kerugian tersebut.

Download (PDF, 60KB)

Dengan angka-angka yang tidak memberangsangkan sebegini, sudah tentu ia tidak mengejutkan apabila analisa kebolehupayaan Tabung Haji membayar kembali simpanan pendepositnya menunjukkan jika pendeposit mengeluarkan dana simpanan sekaligus pada 31 Disember 2015, Tabung Haji kekurangan RM3 bilion untuk memulangkan simpanan-simpanan tersebut.

Saya juga mengunjurkan bahawa Tabung Haji berhadapan dengan kadar pengeluaran wang simpanan yang lebih drastik bagi tahun 2016 ekoran pelbagai pendedahan yang berlaku. Maka, saya mengunjurkan bahawa Tabung Haji mengalami penguncupan simpanan bersih bagi tahun 2016 yang menyebabkan kedudukan kewangannya lebih lemah bagi tahun 2016.

Saya mendesak Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusan interim enam bulan pertama Tabung Haji sehingga 30 Jun 2016 untuk mengesahkan perkara-perkara ini dan mencari jalan mengukuhkan kedudukan kewangan Tabung Haji.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Dato’ Seri Najib Anugerah Kontrak RM740 Juta Kepada TH Heavy Engineering (THHE) Untuk Bina Kapal Peronda Walaupun THHE Tidak Ada Pengalaman

Saya telah nyatakan dalam satu kenyataan media semalam bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak menggunakan dana rakyat sebanyak RM740 juta untuk disuntik ke dalam TH Heavy Engineering Berhad (THHE) melalui satu anugerah kontrak besar kerajaan secara rundingan terus. Suntikan ini diperlukan memandangkan keadaan kewangan THHE yang terlalu terdesak terutamanya selepas ia disaman oleh kontraktornya untuk mengutip hutang tertunggak.

Saya sertakan satu salinan surat dari Kementerian Kewangan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang menyenaraikan segala maklumat terperinci mengenai anugerah kontrak secara rundingan terus ini:

FullSizeRender_2

FullSizeRender_1

FullSizeRender

Saya rumuskan butiran anugerah kontrak tersebut seperti berikut:

Jumlah kontrak RM740 juta
Kerja Membekal, membina, menguji dan mentauliah tiga (3) unit “offshore patrol vessel” (OPV) secara rundingan terus bagi kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)
Syarat THHE perlu bekerjasama dengan syarikat tempatan lain yang mempunyai kemudahan, keupayaan dan pengalaman membina kapal

Saya perlu tegaskan bahawa syarat khusus bahawa “THHE perlu bekerjasama dengan syarikat tempatan lain yang mempunyai kemudahan, keupayaan dan pengalaman membina kapal” dimasukkan kerana semakan menunjukkan bahawa THHE TIDAK PERNAH mempunyai pengalaman membina kapal OPV seperti yang dikehendaki.

THHE adalah sebuah syarikat yang membina kemudahan pelantar di luar pesisir pantai. Kalau dalam perniagaan sekarang pun ia bermasalah untuk menyiapkan kerja-kerja sehingga mengalami kelewatan dan turut digantung oleh PETRONAS Carigali dari turut serta di dalam kontrak perolehan PETRONAS Carigali, sudah tentu THHE akan bermasalah dalam menyediakan kapal-kapal OPV yang diperlukan sekarang.

Tindakan Dato’ Seri Najib menggunakan kontrak membekal OPV untuk menutup kelemahan Tabung Haji melabur di dalam THHE yang sudah terdedah kepada kerugian RM554 juta adalah terdesak dan sangat tidak bertanggungjawab. Dalam keadaan keselamatan yang runcing di luar pesisir pantai Malaysia terutamanya di Timur Sabah (ekoran peristiwa penculikan yang berulang), tindakan menganugerahkan kontrak pembinaan OPV ini kepada sebuah syarikat yang langsung tidak berpengalaman samalah seperti menempah masalah kerana kemungkinan besar kapal-kapal OPV itu tidak dapat disiapkan mengikut jadual. Ini akan merencatkan usaha menambahbaik kawalan keselamatan perairan negara yang akan menyebabkan ancaman lanun dan penculikan akan berterusan.

Walaupun saya tahu ahli-ahli politik lain dan seluruh negara seolah-olah tidak lagi berminat dengan isu rasuah kerana tepu ekoran skandal terkini 1MDB, rakyat mesti terus diberi maklumat mengenai salahlaku dan salahtadbir yang merugikan berbilion wang rakyat. Dalam kes THHE ini, tindakan terbaru Dato’ Seri Najib ini menyebabkan sebanyak RM1.315 bilion wang rakyat disalurkan kepada syarikat ini walaupun ia terus menemui kegagalan.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

DS Najib Guna RM740 Juta Wang Rakyat Untuk Selamatkan TH Heavy Engineering Akibat Keputusan Pelaburan Tabung Haji Yang Salah

Saya diberi maklumat bahawa seorang pimpinan terkanan kerajaan (yang selepas ini saya namakan dahulu sebagai #MalaysianOfficial1) telah meluluskan anugerah satu kontrak rundingan terus kepada TH Heavy Engineering Berhad (THHE) berjumlah RM740 juta.


Saya telah berkali-kali mempersoalkan pelaburan Tabung Haji di dalam THHE kerana ia sebuah syarikat yang secara berterusan mengalami masalah kewangan dan ramai yang telah menjadi mangsa THHE (sebelum ini dikenali Ramunia Holdings Berhad).

Tabung Haji kini mempunyai pegangan 30% di dalam THHE yang bermakna ia tidak mempunyai kawalan ke atas syarikat itu. Malangnya Tabung Haji terus menyediakan sokongan kewangan kepada THHE sehingga telah memakan wang rakyat setakat ini seperti berikut:

i) Pembelian 30% saham THHE yang menelan belanja RM250 juta (pada harga asal purata RM1.50 sesaham). Harga saham telah jatuh kepada 6.5 sen minggu lalu menyebabkan kerugian atas kertas sebanyak RM228 juta;

ii) Pinjaman patuh shariah dalam bentuk terbitan sukuk sebanyak RM50 juta; dan

iii) Pinjaman terbitan hutang dalam bentuk “redeemable preference shares” (RPS) sebanyak RM275 juta

Saya juga sebelum ini mendedahkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengeluarkan surat meluluskan Tabung Haji memberi jaminan korporat (“corporate guarantee”) kepada THHE bagi pinjaman baru dari bank-bank sehingga had pinjaman USD228.2 juta (bersamaan RM912 juta pada kadar semasa). Namun kemudahan ini tidak laku kerana bank-bank dan institusi kewangan ragu-ragu dengan prestasi THHE.

Oleh yang demikian, THHE berada dalam keadaan yang terdesak terutamanya setelah dua kontraktornya telah menfailkan saman menutup THHE untuk mengutip balik hutang-hutang mereka.

Fakta-fakta di atas mengesahkan kedudukan kewangan THHE yang semakin parah seperti yang saya dedahkan sebelum ini.

Tindakan dan keputusan #MalaysianOfficial1 itu meluluskan anugerah secara rundingan terus kepada THHE sebanyak RM740 juta adalah satu “bail out” untuk menyelamatkan THHE dari jatuh bankrap.

Saya membantah sekeras-kerasnya kerana THHE adalah sebuah syarikat swasta dan hanya dimilki oleh Tabung Haji sebanyak 30% sahaja. Kita tidak tahu siapa sebenarnya yang memiliki 70% lagi sedangkan mereka inilah yang akan mendapat durian runtuh apabila wang rakyat RM740 juta dianugerahkan kepada THHE.

Malah, orang-orang di belakang THHE sepatutnya disiasat dan dihadapkan ke mahkamah (jika ada kes) kerana telah menyebabkan kerugian wang rakyat sehingga RM554 juta.

Keputusan dan tindakan #MalaysianOfficial1 memperuntukkan RM740 juta wang rakyat untuk mengelakkan THHE jatuh muflis adalah zalim kepada rakyat kerana mereka terpaksa berdepan dengan GST, kenaikan harga barang, pengangguran dan pelbagai potongan peruntukan rakyat seperti biasiswa, perbelanjaan sekolah/universiti dan lain-lain.

Saya mendesak supaya Kerajaan Persekutan membatalkan serta-merta anugerah kontrak secara rundingan terus berjumlah RM740 juta yang bertujuan menyelamatkan THHE dan menutup kelemahan pengurusan pelaburan Tabung Haji.

Saya mempunyai dokumen-dokumen yang secara jelas mengesahkan anugerah kontrak secara rundingan terus sebanyak RM740 juta kepada THHE ini yang saya akan dedahkan lagi pada setiap hari minggu ini.

Dari dokumen-dokumen itu saya boleh mengesahkan bahawa #MalaysianOfficial1 adalah Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan
Setiausaha Agung/Naib Presiden KEADILAN


25 Julai 2016

Tabung Haji Perlu Lupus Pelaburan Dalam TH Heavy Engineering

071416 Lupus Pelaburan TH_1

Kenyataan saya dua hari lalu bahawa Tabung Haji kini terdedah kepada kerugian sebanyak RM554 juta berikutan masalah terkini yang melanda syarikat bersekutunya iaitu TH Heavy Engineering Berhad (THHE) masih belum dijawab oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak atau mana-mana pengurusan Tabung Haji. Dari jumlah RM554 juta itu, sebanyak RM229 juta adalah kerugian atas kertas yang telah berlaku apabila harga saham THHE merudum ke paras 6.5 sen sesaham Rabu lalu.

Saya telah tegaskan sebelum ini bahawa keputusan Tabung Haji untuk melabur di dalam THHE adalah keputusan yang mengejutkan ramai pihak kerana THHE (sebelum itu dikenali sebagai Ramunia Holdings Berhad) adalah sebuah syarikat yang bermasalah kewangan dari awal-awal lagi.

Kesilapan itu kemudiannya diteruskan setelah Tabung Haji menjadi pemegang saham terbesar THHE terutamanya keputusan-keputusan penting bersabit dengan kontrak menyediakan kemudahan FPSO untuk lapangan gas Layang (kontrak dengan JX Nippon-Carigali) seperti berikut:

1. Dakwaan bahawa keputusan THHE membeli sebuah FPSO sedia ada yang kemudiannya hendak diubahsuai menjadi FPSO mengikut spesifikasi kontrak JX Nippon-Carigali adalah merugikan. Malah ia menimbulkan keraguan sama ada harga yang dibayar untuk membeli FPSO sedia ada itu adalah harga yang adil dan tidak melibatkan sebarang penyelewengan;

2. Dakwaan bahawa keputusan awal THHE untuk melakukan sebahagian kerja-kerja ubahsuai yang diperlukan di Dubai adalah merugikan sedangkan ia mempunyai kemudahan dermaga di Pulau Indah yang tidak digunakan sepenuhnya. Akibat dari keputusan awal itu, THHE terpaksa membayar kos-kos berkaitan di Dubai dan kelewatan projek memburukkan lagi keadaan. Saya tidak pasti sama ada pengurusan baru THHE telah memutuskan untuk melakukan semua kerja-kerja ubahsuai di Pulau Indah;

3. Dakwaan bahawa satu audit oleh JX Nippon-Carigali mengenai kerja-kerja ubahsuai setakat ini mendapati bahawa FPSO milik THHE itu tidak menepati spesifikasi dan menyebabkan kelewatan yang lebih panjang.

Untuk memahami sepenuhnya perkara-perkara teknikal seperti ini, saya rujuk kepada ringkasan kerja-kerja ubahsuai oleh Blackstone Process Solutions dicapaian http://www.bps-int.com/project-fpso.php Blackstone Process Solutions adalah perunding teknologi yang dilantik THHE bagi kerja-kerja ubahsuai ini.

Saya rujuk ringkasan yang dibuat oleh Blackstone Process Solutions bahawa “The FPSO Layang Project can be considered to be more of a relocation of an FPSO requiring substantial modifications rather than a straight conversion from a tanker. In some respects this is easier (and less costly) but is challenging as it requires an in-depth knowledge of the existing systems and structures both design wise and the level of maintenance.

Ada pandangan bahawa keputusan menggunakan FPSO sedia ada yang dibeli dari satu pihak lain adalah tidak tepat kerana ia memerlukan ubahsuai yang rumit berbanding kaedah biasa menukar kapal pengangkut minyak menjadi FPSO dengan menepati spesifikasi yang disediakan.

Ini adalah soalan-soalan utama yang perlu dijawab dalam menilai punca-punca kenapa pelaburan Tabung Haji di dalam THHE merudum sehingga mendedahkan kepada risiko kerugian RM554 juta.

Saya juga merujuk kepada laporan Business Times bertarikh 7 April 2016 bertajuk “TH Heavy Engineering given another year to deliver Layang FPSO” yang dikepilkan bersama.

Download (PDF, 196KB)

Perkara penting yang ingin saya timbulkan ialah laporan bahawa PETRONAS sebenarnya telah pun cuba menyelesaikan masalah kelewatan THHE menyiapkan FPSO ini dengan mengarahkan anak syarikatnya MISC membantu THHE secara teknikal dan kewangan.

Walau bagaimana pun, usaha PETRONAS itu gagal apabila THHE tidak mahu menerima harga tawaran dari MISC untuk membeli FPSO dan menyiapkan FPSO itu bagi tujuan projek lapangan gas Layang.

Kegagalan demi kegagalan yang ditunjukkan oleh THHE sepatutnya diambil kira oleh Tabung Haji agar ia membuat keputusan tepat setakat mana Tabung Haji mahu diheret oleh THHE? Apakah Tabung Haji berpuas hati sekiranya risiko kerugian RM554 juta ini menjadi semakin besar sehingga ia tiada pilihan kecuali menyuntik lebih banyak dana ke dalam THHE atas alasan menyelamatkan THHE dengan harapan ia akan berjaya mendapat kembali wang pelaburan di masa hadapan?

Tabung Haji bukanlah satu entiti perniagaan yang boleh sesuka hati memperjudikan dananya demi mengejar keuntungan di masa hadapan. Ia dalah satu tabung amanah yang wajib cukup cermat dalam memilih pelaburan agar deposit jemaah haji sentiasa terjaga.

Keputusan membeli Ramunia Holdings Berhad dahulu adalah satu kesilapan seperti mana kesilapan beberapa pelaburan lain. Kesilapan itu perlu dihentikan sekarang dengan melupuskan pegangan Tabung Haji di dalam THHE mengambil langkah-langkah berikut:

1. Tabung Haji membuka kembali rundingan dengan PETRONAS untuk merundingkan harga yang adil untuk menjual FPSO pada keadaan sedia ada kepada MISC pada harga yang adil kepada Tabung Haji dan PETRONAS;

2. PETRONAS mempunyai kekukuhan kewangan dan kepakaran teknikal untuk menyelamatkan projek tersebut;

3. PETRONAS mempunyai kepentingan kerana kelewatan FPSO ini akan melewatkan pengeluaran gas dari lapangan gas Layang yang memungkinkan kekurangan gas untuk PETRONAS memenuhi kontrak jualan LNG dengan pembelinya.

Ini adalah keputusan-keputusan tuntas yang sepatutnya dibuat oleh seorang Perdana Menteri jika Perdana Menteri itu seorang yang ada pengetahuan dan bertanggungjawab menyedari bahawa kerugian RM554 juta dana pendeposit Tabung Haji adalah satu dosa yang tidak boleh dimaafkan.

Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tabung Haji boleh terus berdiam diri mengenai perkara ini tetapi mereka tahu bahawa saya akan terus bersuara dan mendedahkan perkara-perkara lain di dalam Tabung Haji. Lebih cepat mereka bertindak menyelesaikan masalah, lebih cepat mereka menutup mulut saya.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN