Category Archives: Tabung Haji

Pelaburan Tabung Haji Dalam Theta Edge Berhad: Tabung Haji Suntik Dana Dalam Syarikat Yang Telah Kerugian RM330 Juta

Saya telah menyatakan bahawa kepimpinan Tabung Haji tidak boleh terus menolak kritikan terhadap prestasinya dengan berselindung di belakang alasan politik bahawa kritikan saya adalah bermotif politik untuk memfitnah Tabung Haji. Saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat untuk memastikan ada timbang tara kepada prestasi dan pencapaian pelaburan Tabung Haji.

Saya telah tegaskan bahawa kepimpinan Tabung Haji perlu menyemak semua pelaburan dan keputusan yang membabitkan syarikat-syarikat yang pernah diketuai atau melibatkan Dato’ Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti, bekas pengurusan kanan Tabung Haji dan CEO TH Heavy Engineering yang kini berhadapan tuduhan pecah amanah.

Ada beberapa keputusan pelaburan Tabung Haji yang merugikan yang diwakili oleh pengurusan kanan tertentu di dalam syarikat-syarikat tersebut; baik sebagai CEO atau wakil Tabung Haji sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

Sebab itu saya mempersoalkan kenapa tiada tindakan diambil ke atas Dato’ Adi Azuan Abdul Ghani yang telah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Tabung Haji, sedangkan beliau terlibat secara langsung sebagai wakil Tabung Haji di dalam anak-anak syarikat atau syarikat bersekutu yang mendatangkan kerugian beratus juta ringgit kepada Tabung Haji?

Kerugian di dalam Silverbird yang mencecah RM90 juta telah diketahui umum (rujuk http://rafiziramli.com/2016/02/pelaburan-tabung-haji-di-dalam-syarikat-roti-silverbird-saham-dibeli-pada-premium-177-kerugian-rm90-juta/ ). Dato’ Adi Azuan Abdul Ghani adalah ahli Lembaga Pengarah Silverbird Berhad mewakili Tabung Haji sepanjang kemerosotan pelaburan ini berlaku berdasarkan Laporan Tahunan Silverbird Berhad dari tahun 2010 hingga 2013.

Satu lagi pelaburan Tabung Haji di dalam anak syarikat yang telah kerugian berpuluh juta ringgit adalah Theta Edge Berhad, yang mana kedua-dua Dato’ Nor Badli dan Dato’ Adi Azuan juga terlibat secara langsung. Dato’ Nor Badli adalah bekas CEO syarikat ini sementara Dato’ Adi Azuan masih lagi kekal sebagai ahli Lembaga Pengarah sejak tahun 2008 (iaitu tahun Tabung Haji menyelamatkan syarikat ini yang telah jatuh ke status PN17 iaitu syarikat disenarai yang bermasalah kewangan dan bakal digantung penyenaraian) sehingga kini.

Pada tahun 2007, syarikat ini yang namanya adalah Lityan Holdings Berhad telah jatuh ke status PN17 setelah mengalami kerugian yang berterusan seperti berikut:

Dengan kerugian terkumpul sebanyak RM330 juta setakat 31 Disember 2008, Tabung Haji yang sebelum itu merupakan pemegang saham penting di dalam Lityan Holdings Berhad membuat keputusan untuk menyelamatkan syarikat itu dengan mengambilalihnya. Langkah yang menjerumuskan Tabung Haji kepada kerugian yang bertambah besar begini sama seperti langkah pelaburan Tabung Haji yang lain di dalam TH Heavy Engineering dan Silverbird.

Ini dinyatakan sendiri oleh Pengerusi Lityan Holdings Berhad pada ketika itu Dato’ Mohd Hanafiah Omar di muka surat 10 Laporan Tahunan 2008 syarikat itu yang saya tunjukkan di bawah:

Maka, Tabung Haji menyuntik lagi sejumlah RM50 juta ke dalam syarikat yang telah kerugian sebanyak RM330 juta itu, seperti yang dinyatakan di dalam penyata kewangannya yang telah diaudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2008 dan 2009 seperti di bawah:

Tabung Haji membeli bangunan dari syarikat yang ingin diambilalihnya bagi membayar hutang syarikat itu

Tabung Haji membeli saham-saham baru berjumlah RM31.452 juta untuk menjadikannya pemegang saham terbesar

Dato’ Nor Badli menerajui syarikat itu sebagai CEO dan wakil Tabung Haji dengan gaji tahunan mencecah RM600,000 setahun bagi tahun 2008 dan 2009.

Dato’ Adi Azuan Abdul Ghani adalah wakil Tabung Haji yang menjadi ahli Lembaga Pengarah syarikat itu dengan yuran tahunan sebagai ahli Lembaga Pengarah sebanyak sekitar RM40,000 (secara purata) setahun.

Keputusan terkini Lityan Holdings Berhad yang kemudiannya dinamakan Theta Edge Berhad setelah Tabung Haji mengambilalih sebagai pemegang saham terbesar sebanyak 69% (setakat 2015) adalah seperti berikut:

Sejak mengambil alih syarikat ini yang kemudiannya dinamakan Theta Edge Berhad, ia hanya berjaya mencatatkan keuntungan dalam tahun 2015 sebanyak RM2 juta. Keuntungan besar dalam tahun 2009 semasa Dato’ Nor Badli menjadi CEO adalah hasil dari bank-bank dan pemiutang memaafkan hutang-hutang sebelum itu sebanyak RM117 juta.

Oleh itu, penyata kewangan Theta Edge Berhad yang diaudit bagi tahun 2015 (yang terkini) menunjukkan kerugian terkumpul sejak Tabung Haji mengambil alih terus meningkat dan kini mencecah RM90 juta seperti berikut:

Maka, saya menyeru supaya Dato’ Seri Azeez Abdul Rahim menjawab soalan-soalan ini selepas saya telah buktikan buruknya prestasi pelaburan Tabung Haji di dalam syarikat ini:

1. Kenapa Dato’ Adi Azuan Abdul Ghani tidak dikenakan apa-apa tindakan walaupun prestasi sebagai wakil Tabung Haji di dalam syarikat-syarikat seperti Silverbird dan Theta Edge adalah tidak baik kerana syarikat-syarikat ini menyebabkan kerugian besar kepada Tabung Haji?

2. Kenapa Dato’ Adi Azuan Abdul Ghani dinaikkan lagi pangkat menjadi Ketua Pegawai Operasi (COO) sedangkan beliau bertanggungjawab ke atas kerugian-kerugian ini atas keputusan-keputusan yang mewakili Tabung Haji di dalam lembaga pengarah syarikat-syarikat itu?

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Siasat Semua Keputusan Pelaburan Oleh Pengurusan Kanan Yang Terlibat Dengan Pelaburan Tabung Haji Yang Gagal

Seawal tahun 2015, saya telah memberi amaran semasa berucap di Parlimen supaya tata kelola badan amanah yang menjaga wang rakyat seperti Tabung Haji diperketatkan agar tidak mudah dananya digunakan untuk menyelematkan pimpinan politik yang tersepit. Ketika itu, saya merujuk kepada ura-ura dana Tabung Haji digunakan untuk menyelamatkan 1MDB dan ucapan saya itu diherdik keras oleh Pengerusi Tabung Haji, Dato’ Seri Azeez Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Baling.

Sejak tahun 2016, saya telah menumpukan sebahagian masa dan tenaga saya menyemak pelaburan-pelaburan Tabung Haji serta prestasi kewangannya. Tabung Haji adalah badan yang diberi amanah untuk “mentadbirkan Kumpulan Wang” (seperti ketetapan Akta Tabung Haji 1995) iaitu melaburkan wang bakal jemaah haji dan pendeposit beragama Islam.

Sebahagia besar dari prestasi kewangannya ditentukan oleh keputusan perniagaan dan tata kelola pengurusan di dalam dua bentuk pelaburan utama seperti berikut:

1. Pelaburan berbentuk jual beli instrumen seperti jual beli saham, jual beli kertas hutang, menyimpan dana di dalam akaun jangka pangjang dan seumpamanya. Di dalam pengurusan pelaburan, aktiviti pelaburan ini sering dirujuk sebagai “ekuiti dan pendapatan tetap” (equity and fixed income).

2. Pelaburan berbentuk penubuhan syarikat untuk kegiatan perniagaan khusus; atau mengambilalih perniagaan lain dengan membeli saham pada jumlah yang meletakkan Tabung Haji sebagai pemegang saham besar yang boleh mengawal atau mempengaruhi pengurusan perniagaan. Pelaburan sebegini berbentuk jangka panjang dan dinilai dari segi sumbangan keuntungan kepada kumpulan Tabung Haji dalam bentuk dividen dan nilaian saham yang meningkat dan boleh dilupuskan di masa akan datang.

Sekiranya keuntungan dari kedua-dua bentuk pelaburan sebegini baik, maka keuntungan Tabung Haji juga baik dan membolehkan ia mengagihkan lebih banyak keuntungan kepada pendeposit. Lebih banyak keuntungan yang diagihkan setiap tahun, lebih cepat simpanan bakal Jemaah haji meningkat dan lebih cepat mereka dapat menunaikan haji kerana telah mencukupi syarat kewangan yang ditetapkan iaitu simpanan mestilah melebihi sekitar RM10,000 (iaitu kos menunaikan haji yang ditetapkan kini).

Sebab itu saya berkeras bahawa prestasi kewangan Tabung Haji dari keputusan-keputusan pelaburannya mestilah diteliti oleh rakyat kerana prestasi yang tidak sebaik yang sepatutnya ada kesan langsung kepada jutaan rakyat Malaysia beragama Islam yang rata-ratanya berpendapatan rendah. Saya telah tunjukkan sebelum ini bagaimana kadar keuntungan haji yang dikurangkan dari 3% sebelum ini ke 1.5% bagi tahun 2016 adalah bersamaan dengan kelewatan menunaikan haji selama setahun bagi jemaah yang berbaki simpanan RM2,500 (iaitu anggaran purata baki simpanan jemaah yang belum menunaikan haji) dan menambah simpanan RM50 sebulan.

Saya menerangkan perkara ini kerana saya mahu menjawab alasan bahawa pendeposit Tabung Haji tidak wajar mengharapkan keuntungan dari simpanan mereka di Tabung Haji; cukuplah sekadar dapat menunaikan ibadah haji.

Oleh sebab itulah, sebagai Ahli Parlimen dan pemimpin kanan parti pembangkang, saya meletakkan satu piawai bahawa prestasi pelaburan Tabung Haji mestilah sama baik atau lebih baik dari syarikat-syarikat pelaburan komersil yang lain. Ini kerana Tabung Haji bukan sahaja mendapat monopoli dari segi simpanan deposit bakal jemaah haji yang wajib disimpan di Tabung Haji sahaja; malah ia juga mendapat banyak kemudahan dan keistimewaan lain dari kerajaan.

Maka, bila pelaburan di dalam syarikat-syarikat tertentu yang melibatkan ratusan juta wang pendeposit Tabung Haji hangus begitu sahaja, saya juga telah menyiasat siapakah individu-individu yang menjadi wakil kepada Tabung Haji di dalam syarikat-syarikat ini.

Sebelum ini, saya telah mendedahkan penglibatan Tabung Haji di dalam syarikat-syarikat yang bermasalah seperti Silverbird (pembuat roti), Perisai Petroleum (minyak dan gas) serta TH Heavy Engineering (khidmat kepada industri minyak dan gas).

Bulan lalu, bekas CEO TH Heavy Engineering iaitu Dato’ Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti telah dihadapkan ke mahkamah atas beberapa tuduhan. Sementara beliau tidak lagi mempunyai pengaruh ke atas pengurusan dana rakyat di dalam Tabung Haji dan perlu membela diri mengikut proses undang-undang, Lembaga Pengarah Tabung Haji sepatutnya mengambil langkah segera menilai semula semua keputusan-keputusan pelaburan yang pernah dibuat oleh beliau dan pengurusan kanan yang terlibat dengan beliau.

Maka, saya telah menyemak kembali pengurusan kanan yang terlibat di dalam pelaburan-pelaburan Tabung Haji yang mendatangkan kerugian beratus juta ringgit ini.

Selain menjadi CEO di TH Heavy Engineering, Dato’ Nor Badli juga pernah menjadi CEO di Theta Edge Berhad (sebelum ini dikenali sebagai Lityan Holdings Berhad).

Seorang lagi pengurusan kanan Tabung Haji yang pernah menjadi ahli Lembaga Pengarah di Theta Edge Berhad ialah Dato’ Adi Azuan Abdul Ghani, yang kini adalah Ketua Pegawai Operasi (COO) Tabung Haji. Selain penglibatan beliau di dalam Theta Edge Berhad, Dato’ Adi Azuan Abdul Ghani juga pernah menjadi ahli Lembaga Pengarah di Silverbird.

Seperti juga pelaburan Tabung Haji di dalam Silverbird yang mengalami kerugian besar, pelaburan Tabung Haji di dalam Theta Edge Berhad juga terus mengalami kerugian. Berdasarkan laporan kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, jumlah kerugian terkumpul bagi Theta Edge Berhad dan anak-anak syarikat di dalam kumpulannya telah mencecah RM90 juta. Tabung Haji merupakan pemegang saham terbesar di dalam Theta Edge pada pegangan 69%.

Oleh yang demikian, saya mendesak supaya Pengarah Urusan Tabung Haji, Dato’ Johan Abdullah dan pengerusi Lembaga Pengarah, Dato’ Seri Azeez Abdul Rahim supaya menyiasat semua keputusan pelaburan yang pernah dicadangkan dan dibawa oleh Dato’ Adi Azuan kepada Panel Pelaburan dan Lembaga Pengarah Tabung Haji untuk memastikan semua pelaburan Tabung Haji adalah berisiko rendah dan menguntungkan.

Pada masa yang sama, saya mengesyorkan supaya kesemua keputusan pelaburan Tabung Haji sejak tahun 2000 diaudit oleh sebuah pasukan bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk memastikan bahawa tidak ada unsur kecuaian, salah guna kuasa atau tindakan yang membolehkan pengurusan kanannya mendapat laba dari keputusan mereka.

Saya akan mendedahkan prestasi pelaburan Tabung Haji di dalam Theta Edge dalam sidang media yang seterusnya.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di:

Facebook | https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan/videos/vb.145165568851292/1418350621532774/?type=3&theater

Setuju Dengan Cadangan Persatuan Ekonomi Malaysia, Gesa Perdana Menteri Gantikan Semua Lantikan Politik Di Tabung Haji Dan Felda

Saya mengalu-alukan kenyataan Dato’ Latifah Merican Cheong, mantan Penolong Bank Negara Malaysia dan Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia (PEM) mengenai keperluan meletakkan kawal selia prestasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Parlimen.

Pandangan beliau itu selari dengan pendirian saya dan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan selama ini, iaitu:

1. Jawatankuasa Terpilih (Select Committee) yang khusus untuk mengawal selia prestasi kewangan sektor-sektor penting yang melibatkan wang rakyat perlu diwujudkan;

2. Jawatankuasa Terpilih ini perlu dianggotai oleh ahli-ahli parlimen yang berkelayakan dan padan dengan kepakaran dari kerajaan dan pembangkang;

3. Kakitangan dan sumber yang khusus diberikan kepada Jawatankuasa-jawatankuasa Terpilih ini untuk meneliti dan mengawal selia prestasi dan perjalanan sektor-sektor penting yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Susulan dari kenyataan Dato’ Latifah Merican Cheong itu, saya mencadangkan supaya sekurang-kurangnya ada dua Jawatankuasa Terpilih yang baru iaitu Jawatankuasa Terpilih yang mengawal selia perbelanjaan dan prestasi kementerian serta agensi-agensi kerajaan; dan Jawatankuasa Terpilih yang mengawal selia perbelanjaan dan prestasi badan pelaburan kerajaan, PETRONAS dan GLC. Selain dari tanggungjawab mengawal selia perbelanjaan dan prestasi badan/syarikat, Jawatankuasa Terpilih juga diberi kuasa menjalankan proses pengesahan pencalonan (“confirmation hearing”) untuk mengesahkan calon-calon CEO/Pengarah Urusan/Pengerusi yang dicadangkan oleh Perdana Menteri.

Saya ingin mengingatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa desakan untuk memisahkan kawal selia dan pertanggungjawaban badan/syarikat milik kerajaan kepada Perdana Menteri adalah semakin memuncak. Malah, sentimen rakyat telah bertukar menjadi penolakan kepada penglibatan ahli politik di dalam badan-badan ini disebabkan pelbagai skandal yang berlaku di bawah pentadbiran beliau yang melibatkan kepimpinan ahli politik di badan/syarikat milik kerajaan.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya Dato’ Seri Najib mendengar suara rakyat itu dengan menukar ahli-ahli lembaga pengarah di dua badan kerajaan yang menduduki kerusi tersebut atas dasar ahli politik/lantikan politik; seperti yang disenaraikan dibawah:

 

TABUNG HAJI

1. YB Dato’ Seri Azeez Abdul Aziz (Pengerusi)
2. Tan Sri Othman Mahmood
3. Tan Sri Badruddin Amiruldin
4. Tan Sri Mohamed Apandi Ali
5. YB Tan Sri Mohamad Aziz
6. Tan Sri Shukry Salleh
7. YB Dato’ Rosni Sohar

iaitu 7 dari 10 ahli Lembaga Pengarah; mereka wajar digantikan oleh pakar-pakar perniagaan dan pelaburan

FELDA

1. YB Tan Sri Shahrir Samad (Pengerusi)
2. YB Datuk Mohd. Suhaili Bin Said
3. YB Datuk Noor Ehsanuddin Bin Mohd Harun Narrashid
4. YB Dato’ Abu Bakar Bin Haji Harun
5. YB Dato’ Mohd. Khusairi Bin Haji Abdul Talib
6. Dato’ Mohd Isa Bin Abu Kasim

iaitu 6 dari 11 ahli Lembaga Pengarah; mereka wajar digantikan oleh pakar-pakar perladangan, perniagaan dan pelaburan

Saya sedia maklum bahawa amalan melantik ahli politik ke kerusi Lembaga Pengarah dan badan-badan kerajaan masih diamalkan oleh kerajaan negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan.

Oleh kerana pendirian bahawa ahli politik sewajarnya tidak dilantik ke jawatan-jawatan tersebut dan kawal selia dijalankan melalui mekanisme badan perundangan (iaitu melalui Jawatankuasa Terpilih di dewan perundangan) adalah pendirian saya secara peribadi, saya akan menulis secara rasmi sebagai Ahli Parlimen kepada YAB Dato’ Seri Azmin Ali dan YAB Saudara Lim Guan Eng agar pandangan saya ini dapat dipertimbangkan oleh kerajaan Selangor dan Pulau Pinang.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di:

Facebook | https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan/videos/vb.145165568851292/1415580235143146/?type=3&theater

Youtube |
https://www.youtube.com/watch?v=fIJMoV7DISs

Prestasi Kewangan Tabung Haji Merudum 36%, Kadar Keuntungan Seperti Menyimpan Deposit Tetap Di Bank

Berikutan dengan pengumuman kadar keuntungan (hibah) sebanyak 4.25% (semua pendeposit) dan tambahan 1.5% kepada pendeposit yang belum menunaikan haji, saya mengumpulkan maklumat dari sumber-sumber berikut untuk membuat analisa awal prestasi kewangan Tabung Haji:

1. Laporan The Sun mengenai pecahan perolehan mengikut jenis pelaburan http://www.thesundaily.my/news/2151541

2. Laporan The Star mengenai jumlah aset boleh dicairkan oleh Tabung Haji untuk memenuhi tuntutan pengeluaran deposit oleh penabung http://www.thestar.com.my/business/business-news/2016/11/02/tabung-haji-refutes-allegations-of-inability-to-pay-depositors/

3. Laporan NST mengenai sebab kenapa jumlah dividen diterima adalah rendah bagi tahun 2016 berbanding 2015 http://www.nst.com.my/news/2017/02/209241/tabung-haji-distribute-rm288b-hibah-depositors

4. Laporan Kosmo mengenai jumlah 5.5 juta pendeposit yang belum menunaikan haji

Berdasarkan semua angka-angka ini, saya membandingkan prestasi kewangan Tabung Haji bagi tahun 2016 berbanding tahun-tahun sebelumnya berdasarkan 3 kayu ukur utama:

i. Prestasi Tabung Haji menguruskan simpanan pendeposit yang diukur menggunakan kadar % untung bersih berbanding jumlah deposit yang disimpan di Tabung Haji

ii. Prestasi Tabung Haji mengagihkan keuntungan hasil dari pelaburan kepada pendeposit yang diukur menggunakan kadar % keuntungan yang diagihkan berbanding jumlah deposit yang disimpan di Tabung Haji

iii. Kesan prestasi Tabung Haji di dalam (i) dan (ii) kepada keupayaan kewangan pendeposit warga emas dan kurang berpendapatan untuk menunaikan ibadah haji

Analisa ini saya tunjukkan di dalam Lampiran A, Lampiran B dan Lampiran C yang saya sertakan bersama.

Download (PDF, 39KB)

 

Download (PDF, 30KB)

 

Download (PDF, 25KB)

Kesimpulan yang boleh dibuat mengenai prestasi kewangan Tabung Haji yang baru diumumkan bagi tahun 2016 adalah seperti berikut:

1. (Rujuk Lampiran A) Prestasi Tabung Haji Menguruskan Simpanan Pendeposit
Prestasi tahun kewangan 2016 adalah yang terburuk sejak 2012 dengan menyaksikan kadar % untung bersih hasil dari pelaburan Tabung Haji menggunakan wang pendeposit merudum sebanyak 36% dari 5.96% (2015) kepada 3.83% (2016).

Pada kadar keuntungan bersih 3.83% dari pelaburan menggunakan wang pendeposit sebanyak RM64.74 bilion , ia tidak banyak berbeza dengan kadar keuntungan yang diberikan dari pelaburan simpanan tetap di bank (sekitar 3.2% ke 3.6%). Maksudnya, sesiapa sahaja boleh memberikan kadar pulangan sekitar 3.83% tanpa membelanjakan ratusan juta wang penabung dengan menyimpan kesemua RM64.74 bilion itu di dalam simpanan tetap di bank.

2. (Rujuk Lampiran B) Pelaburan Tabung Haji Di dalam Kertas Hutang
Menggunakan maklumat seperti yang dilaporkan media, saya mengunjurkan perincian perolehan dari portfolio pelaburan Tabung Haji seperti Lampiran B.

Bagi mereka yang memberi alasan bahawa Tabung Haji lebih banyak membuat untung dari rugi hasil pelaburan saham-sahamnya, unjuran menunjukkan bahawa walaupun rakyat memerhatikan prestasi pelaburan Tabung Haji secara dekat sejak 2015, ia tetap mengalami penurunan perolehan (bermakna keuntungan dari saham tidak setinggi 2015).

Keuntungan dari jual beli saham yang lebih rendah ini adalah selepas kejatuhan harga saham-saham seperti FGV, THHE dan lain-lain telah pun diambil kira dalam tahun kewangan yang lepas mengikut piawai perakaunan.

Lebih membimbangkan, perincian portfolio menunjukkan perolehan dari Tabung Haji memberi hutang kepada pihak lain (melalui jual beli kertas hutang) meningkat sebanyak 19% bagi tahun 2016. Ia memberi gambaran Tabung Haji meningkatkan risiko di dalam pasaran hutang, lalu timbul persoalan: kertas-kertas hutang mana yang dibeli? Ada risiko Tabung Haji terus membeli kertas hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia atau agensi atau syarikat yang dikawal Kerajaan Persekutuan seperti mana ia memberikan pinjaman kepada 1MDB satu ketika dahulu.

3. (Rujuk Lampiran A) Prestasi Tabung Haji Mengagihkan Keuntungan Kepada Pendeposit
Agihan keuntungan sebanyak RM2.88 bilion berbanding wang pendeposit sebanyak RM64.74 bilion yang digunakan untuk melabur adalah bersamaan dengan kadar agihan 4.45%, iaitu hanya 1% lebih baik dari kadar keuntungan di simpanan tetap yang tidak datang dengan risiko pelaburan seperti yang ditunjukkan oleh Tabung Haji kebelakangan ini.

Sebab itu saya mengulangi kritikan saya supaya menteri-menteri yang bertanggungjawab cuba memahami kegelisahan rakyat yang mengeluarkan wang dari Tabung Haji kerana mereka hilang kepercayaan. Seperti yang saya sebut di atas, adalah tidak susah untuk mencapai pulangan sekitar 4% dari pelaburan iaitu dengan menyimpan dana itu di simpanan tetap.

4. (Rujuk Lampiran C) Agihan bonus pendeposit belum menunaikan haji yang lebih rendah melewatkan tempoh mengumpul wang selama 1 tahun
Oleh kerana kadar bonus kepada mereka yang belum menunaikan haji turun dari 3% (2015) kepada 1.5% (2016), ia ada kesan besar kepada keupayaan kewangan pendeposit berpendapatan rendah atau warga emas untuk menunaikan haji.

Kiraan saya menunjukkan purata baki simpanan pendeposit yang belum menunaikan haji ialah RM2,500 seorang. Jika seorang pendeposit menyimpan RM50 sebulan di dalam akaun yang berbaki RM2,500 – pengurangan bonus naik haji dari 3% (2015) ke 1.5% (2016) adalah bersamaan dengan kelewatan mencapai syarat keupayaan kewangan (iaitu baki di dalam akaun melebih RM10,000) selama satu tahun.

Maka saya pulangkan kepada Tabung Haji dan menteri yang bertanggungjawab bahawa sebenarnya, prestasi Tabung Hajilah yang boleh melambat-lambatkan rakyat yang susah dari mengerjakan ibadah haji, bukannya kenyataan-kenyataan saya.

Saya akan menumpukan minggu ini untuk membentangkan lebih banyak analisa mengenai prestasi kewangan Tabung Haji dan kos menunaikan haji bagi rakyat terbanyak.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Pendakwaan Terhadap Bekas CEO Anak Syarikat Tabung Haji Bukti Pengurusan “Pembangunan Perniagaan Dan Pelaburan Strategik” Tabung Haji Perlu Rombakan

Hari ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) beberapa buah anak syarikat Tabung Haji, Dato’ Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah semasa beliau mengetuai pengurusan TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

Saya berharap dengan pendakwaan yang dibawa oleh beliau, menteri-menteri yang bertanggungjawab iaitu Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhenti mengulangi permainan politik kononnya Tabung Haji menjadi mangsa fitnah ahli politik seperti saya.

Sejak tahun lalu, saya secara berterusan menumpukan perhatian kepada kes-kes penyelewengan dan kerugian yang berlaku di Tabung Haji kerana saya berasa terpanggil untuk membela pendeposit Tabung Haji yang kebanyakannya golongan berpendapatan rendah. Salah satu kes yang saya paling lantang mengkritik ialah pelaburan Tabung Haji di dalam Ramunia Holdings Berhad yang kemudiannya dikenali sebagai THHE.

Maka, pendakwaan ke atas Dato’ Nor Badli hari ini membuktikan bahawa pendedahan saya mengenai penyelewengan dan salah tadbir pelaburan Tabung Haji ada asasnya dan bukannya fitnah seperti yang menteri-menteri Umno mahu rakyat percaya.

Malah, sejak setahun lalu saya juga telah buktikan bahawa penyelewengan dan ketirisan bukan sahaja berlaku di THHE, tetapi melibatkan banyak pelaburan besar Tabung Haji di dalam syarikat-syarikat tertentu (yang diceburi oleh Tabung Haji sebagai pelaburan strategik, bukannya pelaburan biasa) yang lebih banyak rugi dari untung.

Oleh sebab itulah saya secara berterusan menyuarakan keperluan merombak pengurusan fungsi pelaburan dan pembangunan perniagaan (“business development and investment”) di Tabung Haji kerana ternyata pelbagai bidang perniagaan baru yang diceburi oleh Tabung Haji lebih banyak merugikan dari menguntungkan.

Sementara Dato’ Nor Badli akan melalui proses undang-undang yang seadanya, bagaimana pula dengan pimpinan dan pengurusan kanan Tabung Haji yang bertanggungjawab menyemak dan meluluskan keputusan untuk melabur di dalam syarikat-syarikat bermasalah seperti TH Heavy Engineering (dulunya Ramunia Holdings Berhad) sehingga rugi beratus juta wang pendeposit?

Justeru, saya menyeru supaya menteri bertangungjawab dan Pengerusi Tabung Haji, Dato’ Seri Azeez Abdul Rahim berdepan dengan rakyat dengan menjawab soalan-soalan berikut:

1. Siapa yang bertanggungjawab membawa cadangan untuk melabur di dalam syarikat-syarikat ini atau sektor tertentu (yang Tabung Haji tidak ada kepakaran dan pengetahuan perniagaan yang kukuh) sehingga menyebabkan kerugian ratusan juta?

2. Sudahkah individu-individu ini dikenalpasti dan disiasat di peringkat pengurusan kanan Tabung Haji? Sudahkah tindakan diambil terhadap mereka di peringkat dalaman Tabung Haji? Sudahkah laporan kepada pihak berkuasa dibuat terhadap mereka?

3. Apa bentuk rombakan yang telah dilaksanakan untuk memastikan fungsi pembangunan perniagaan dan pelaburan strategik (“business development and strategic investment”) tidak mengulangi kesilapan lalu?

Malangnya, saya percaya selagi Lembaga Pengarah Tabung Haji dipenuhi dengan lantikan politik di kalangan orang kuat Umno, langkah-langkah (1) hingga (3) di atas tidak akan dibuat. Akibatnya, Tabung Haji akan terus berdepan dengan risiko kerugian yang mungkin akan keluar satu persatu.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN