Category Archives: Skandal @ Macam-macam Skandal

Kes Penyelewengan Anak Syarikat Felda: Perlu Ada Pertanggungjawaban Di Peringkat Tertinggi

Saya mengalu-alukan kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sehingga ke peringkat pendakwaan kes penyelewengan melibatkan satu unit anak syarikat FELDA. Pendakwaan yang dibuat pada hari ini adalah satu perkembangan baik yang perlu diteruskan oleh SPRM.

Walau bagaimana pun, siasatan dan pendakwaan berhubung kes ini tidak boleh terhenti di peringkat kepimpinan korporat KPFQ Foods Sdn Bhd semata-mata kerana ia juga melibatkan keputusan di peringkat tertinggi Felda yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tata kelola (good governance) dan pelaburan kesemua anak syarikat Felda.

KPFQ Foods Sdn Bhd adalah syarikat usahama (joint venture) di antara Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPFMB) dan Silver Bird Group Berhad (SBGB) yang ditubuhkan khusus untuk menjadi ejen pemasaran bagi barang-barang makanan dan pertanian dari rancangan Felda di seluruh negara melalui projek Gedung Makanan Negara yang diilhamkan dan dilancarkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak oada 3 September 2009.

Semasa pelancarannya, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa projek Gedung Makanan Negara akan melibatkan pelaburan sebanyak RM750 juta oleh Felda dalam tempoh 10 tahun.

Oleh yang demikian, kes penyelewengan dana melibatkan KPFQ Foods Sdn Bhd perlu diteliti dalam konteks pentadbiran korporat dan tata kelola yang lebih besar.

Tambahan lagi, akhir-akhir ini banyak dana rakyat digunakan untuk membiayai projek usahasama di antara agensi kerajaan dan swasta yang menimbulkan beberapa persoalan khusus mengenai tata kelola yang diamalkan oleh kerajaan:

1. Bagaimanakah penilaian mengenai kesesuaian projek dibuat sebelum sesuatu keputusan pelaburan dan usahasama dengan swasta dibuat memandangkan beberapa skandal setakat ini (termasuk NFC dan sekarang KPFQ) membayangkan jika projek dinilai dengan objektif, projek atau usahasama ini mungkin tidak diluluskan;
2. Apakah peranan wakil-wakil kerajaan di dalam agensi dan syarikat usahasama untuk memantau kemajuan projek dan memastikan penyelewengan tidak berlaku, memandangkan di dalam kedua-dua kes NFC dan KPFQ penyelewengan berlarutan dalam satu tempoh yang panjang; dan
3. Apakah peranan dan pertanggugjawaban kepimpinan kerajaan apabila projek-projek usahasama di bawah tanggungjawab mereka gagal dan membazirkan wang rakyat?

Oleh yang demikian, saya menggesa supaya siasatan terhadap kes ini tidak dihadkan semata-mata kepada kesalahan dan penyelewengan yang melibatkan kepimpinan KPFQ Sdn Bhd tetapi perlu diluaskan kepada aspek kecuaian (negligence) dan ketidaktelitian pimpinan tertinggi negara yang terbabit supaya ada kebertanggungjawaban kerana agensi-agensi ini adalah dibawah tanggungjawab mereka.

Apatah lagi apabila kes ini membabitkan usahasama dengan Silver Bird Group Berhad (SBGB) yang mempunyai hubungan rapat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain termasuklah Tabung Haji. Selain projek-projek yang melibatkan Gedung Makanan Negara dan KPFQ Sdn Bhd, SBGB mempunyai beberapa projek usahasama yang serupa dengan Tabung Haji.

Malah, pemegang-pemegang saham besar di dalam SBGB adalah Tabung Haji dan Tan Sri Vincent Tan, yang menunjukkan bahawa SBGB adalah sebuah syarikat perniagaan yang ada hubungan yang baik dengan kerajaan.

Saya berharap siasatan SPRM telah pun mengambil kira semua perkara ini.

Buat masa ini, sebagai pimpinan yang bertanggungjawab mengilham dan melancarkan projek Gedung Makanan Negara yang membabitkan KPFQ Sdn Bhd ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu membuat kenyataan menjawab ketiga-tiga soalan yang saya nyatakan di atas mengenai longgarnya tata kelola kerajaan dalam menentukan pelaburan dan usahasama agensi kerajaan dengan pihak swasta.

Adalah amat memalukan apabila penyelewengan terkini melibatkan dana dan kebajikan peneroka Felda, bila mana penyelewengan NFC sebelum ini melibatkan kebajikan penternak miskin!

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
Ahli Parlimen Pandan

2 OGOS 2013

Cabar UMNO Gugurkan Pimpinan Yang Terpalit Dengan Rasuah, Disiasat SPRM

Perlakuan rasuah dan penyelewengan dalam pentadbiran Umno/Barisan Nasional di negeri-negeri yang dikuasainya bukanlah suatu perkara baru. Pengurusan hasil balak di negeri-negeri yang ditadbir Umno/Barisan Nasional yang terpalit dengan rasuah menjadi buah mulut rakyat dan pelbagai siasatan oleh pihak berkuasa.

Contoh yang baik ialah pengurusan balak di Terengganu di bawah YAB Dato’ Seri Ahmad Said. Saya dan YB Dr Syed Azman Syed Nawawi telah mendedahkan modus operandi bagaimana syarikat-syarikat yang ingin turut serta di dalam tender mengeluarkan hasil balak dipaksa untuk membeli syarikat RM2 pada harga RM2.5 juta untuk dipertimbangkan.

Hari ini, saya menampilkan bukti bayaran bagaimana syarikat yang menjadi mangsa terpaksa membayar deposit sebanyak RM1 juta kepada penama yang dipercayai mewakili kepentingan politik Umno di Terengganu.

(Sila rujuk cek dan resit yang disertakan bersama)

resit cheque

Malah, penyelewengan pengurusan hasil balak di Terengganu ini telah menjadi satu isu besar sehinggakan beberapa siasatan rasmi telah dibuat oleh SPRM sendiri.

Saya sertakan dokumen penyiasatan rasmi yang mengesahkan bahawa SPRM telah membuka fail dan menjalankan siasatan atas beberapa aduan yang diterima.

(Sila rujuk dokumen rasmi SPRM mengesahkan bahawa kes ini telah disiasat oleh SPRM)

letter3 letter2 letter1

Sehingga sekarang, tidak ada sebarang maklumat atau pendakwaan walaupun bukti pembayaran adalah jelas dan perjanjian-perjanjian yang ditandatangani secara jelas mengaitkan pembelian syarikat RM2 dengan tender mengeluarkan hasil balak di Terengganu.
Malah, saya tidak mendapat apa-apa maklumbalas pun dari Dato’ Seri Ahmad Said sendiri mengenai skandal balak ini, yang berlaku di bawah pentadbiran beliau dan banyak keputusannya ditentukan oleh beliau sendiri.

Siasatan dan skandal terbaru yang melibatkan Dato’ Seri Ahmad Said ini hanyalah satu dari beberapa siri yang mengaitkan pimpinan Umno. Selain beliau, pimpinan-pimpinan tertinggi Umno yang berikut adalah terpalit dengan tuduhan rasuah atau siasatan SPRM bersabit rasuah:

1. Dato’ Seri Shahrizat Jalil, Ketua Wanita Umno
2. Dato’ Seri Musa Aman, Ketua Menteri Sabah
3. Dato’ Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri
4. Dato’ Seri Mohamad Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan
5. Pehin Seri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak
6. Dato’ Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu
7. Dato’ Awang Adek Hussin, Timbalan Menteri Kewangan
8. Dato’ Seri Shafiee Afdhal, Menteri Luar Bandar

Jika Dato’ Seri Najib benar-benar jujur untuk meletakkan calon yang bersih dan boleh diterima rakyat, maka dia harus memberi komitmen untuk menggugurkan pemimpin Umno ini dari menjadi calon dalam pilihanraya akan datang – bukan sekadar menghantar nama untuk disemak oleh SPRM.

Jika Umno tidak bersedia untuk menggugurkan pimpinan ini, terbukti bahawa Umno tidak serius untuk meletakkan calon yang bersih dan boleh menang (winnable) seperti yang disebut-sebut Dato’ Seri Najib sendiri.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI

12 MAC 2013

Hentikan Penswastaan Pintu Belakang GLC Kepada Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary

Saya sertakan surat Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Incorporated atau MKD) bertarikh 30 Ogos 2012 kepada YBhg Datuk Wira Syed Ali Tan Sri Syed Abbas Alhabshee, Pengerusi Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM).

CTRM

Surat itu menyampaikan keputusan MKD bertarikh 24 Ogos 2012 untuk melupuskan pegangan ekuiti sebanyak 96.8% di dalam CTRM kepada DRB-HICOM Defense Technologies Sdn Bhd, salah satu syarikat yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

CTRM adalah syarikat Malaysia yang paling terkedepan dalam bidang pembuatan dan teknologi penerbangan (aerospace). Jumlah kontraknya dengan syarikat-syarikat penerbangan dan aerospace terkemuka dunia adalah berjumlah RM8.26 bilion di antara tempoh 2012 hingga 2017. Portfolio pelanggannya termasuklah syarikat-syarikat terbesar di dunia seperti Airbus, Eurocopter, Spirit UK dan Goodrich.

CTRM juga adalah salah sebuah syarikat milik kerajaan yang mempamerkan prestasi kewangan yang membanggakan, dengan keuntungan di peringkat kumpulan berjumlah RM13 juta (2010) dan RM11 juta (2011). Perolehan kumpulan CTRM juga meningkat dari RM256 juta (2010) kepada RM293 juta (2011).

Prestasi yang baik ini telah dipamerkan secara konsisten sejak lima tahun yang lalu.

Saya telah meneliti dokumen-dokumen yang diserahkan kepada saya oleh whistleblowers dan berpuas hati bahawa cubaan untuk menswastakan CTRM kepada Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary ini dibuat dengan melanggar prosedur dan mengenepikan kebajikan kakitangan CTRM.

Saya khuatir ini juga sebahagian daripada proses pelupusan syarikat-syarikat milik kerajaan yang berprestasi baik (dengan kontrak yang dijamin dalam tempoh yang panjang di masa hadapan) kepada kroni sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya kelak. Jika ini berterusan, banyak syarikat-syarikat yang berprestasi dan mempunyai aset besar dipindahmilik tanpa pengetahuan awam.

Sewajarnya sebarang proses penswastaan syarikat milik kerajaan perlu melalui proses tender terbuka dan mengambil kira pandangan pengurusan dan pekerja, lebih-lebih lagi yang melibatkan CTRM kerana ia dibina di atas keringat tenaga kerja professional tempatan yang bertungkus lumus menaikkan imejnya selama ini.

Saya mendesak supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan menghentikan penjualan ini serta-merta. Saya juga melontarkan cabaran kepada Ketua Pemuda Umno, Saudara Khairy Jamaluddin untuk berani bersuara membela nasib kakitangan professional CTRM yang rata-ratanya professional Bumiputra dengan turut sama mendesak supaya urusniaga ini dihentikan.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI

8 MAC 2013

Tuduhan Rasuah Berhubung Pengurusan Balak Di Bawah Pentadbiran Dato’ Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu

Umno/Barisan Nasional menumpukan sepenuh serangan terhadap kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat (terutamanya Kedah) dengan tuduhan pelbagai kelemahan pengurusan balak. Namun, sehingga kini masih belum ada satu pendakwaan pun yang dibuat berhubung pelbagai tuduhan ini yang menunjukkan ia hanya satu serangan politik yang tidak berasas.

Pada masa yang sama, YB Dr Syed Azman dan saya telah sama-sama mengumpul bukti dan maklumat yang secara jelas menunjukkan modus operandi bagaimana rasuah dan penyelewengan berlaku di dalam pengurusan balak di Terengganu, di bawah pentadbiran YAB Dato’ Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu.

Hari ini, kami tampilkan bukti-bukti awal perkara ini sementara menunggu reaksi dan jawapan dari Dato’ Seri Ahmad Said dan pimpinan Umno/Barisan Nasional di peringkat pusat.

Kajian kami menunjukkan modus operandi pengutipan wang rasuah bersabit balak di Terengganu adalah seperti berikut:

  1. Syarikat yang ditawarkan kawasan pembalakan dikehendaki memeterai satu perjanjian pembelian saham (Share Sale Agreement) dengan seorang penama/proksi untuk membeli saham sebuah syarikat
  2. Syarikat yang dipunyai penama/proksi yang dijual ini selalunya hanyalah berharga RM2 sahaja
  3. Syarikat ini dijual pada harga yang cukup tinggi dan tidak berpadanan dengan aset dan kedudukan syarikat tersebut yang tidak mempunyai sebarang aktiviti perniagaan
  4. Secara kebetulan, syarikat-syarikat yang terpaksa membeli saham syarikat dormant pada harga yang tinggi ini dianugerahkan hak membalak di kawasan-kawasan yang ditentukan oleh Kerajaan Negeri Terengganu
  5. Wang dari jualan tersebut disyaki disalurkan kembali kepada orang-orang tertentu yang mempunyai pengaruh untuk menentukan hak membalak.

Pada 17 Julai 2012, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu mengeluarkan surat kelulusan membalak kepada sebuah syarikat bagi kawasan seluas 1,000 ekar di Hutan Simpan Hulu Setiu. Keputusan itu diluluskan oleh Mesyuarat Lembaga Mengambil Hasil Hutan yang dipercayai dipengerusikan sendiri oleh Dato’ Seri Ahmad Said.

Pihak kami juga telah berjaya menjejaki penama dan syarikat yang terbabit di dalam satu urusniaga pembelian saham (Share Sale Agreement) seperti mana yang digambarkan di atas. Satu perjanjian telah ditandatangani pada 28 Disember 2011 (iaitu 6 bulan sebelum kelulusan membalak dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu) agar syarikat terbabit membayar RM2.5 juta untuk membeli sebuah syarikat dormant bernama Berkat Seribumi Sdn Bhd, yang hanya mempunyai saham berbayar RM2 sahaja.

Kami mempunyai bukti-bukti lain yang jelas bahawa perjanjian ini ada kena mengena dengan kelulusan membalak yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pengurusan Dato’ Seri Ahmad Said.

Bukti-bukti ini akan terus dikeluarkan dalam tempoh 2 minggu ini menjelang pilihanraya umum ke-13 sementara menunggu jawapan rasmi dari beliau dan keseluruhan kepimpinan Umno/Barisan Nasional.

Buat masa sekarang, kami menasihati supaya media-media milik Umno/Barisan Nasional tidak terlalu ghairah mereka-reka cerita mengenai penyelewengan balak di negeri-negeri Pakatan Rakyat kerana kes rasuah balak di negeri Terengganu adalah lebih besar dan lengkap dengan bukti-buktinya.

YB DR SYED AZMAN SYED AHMAD NAWAWI
ADUN BATU BURUK/TIMBALAN SETIAUSAHA AGONG PAS

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

26 FEBRUARI 2013

(Muat Turun) Salinan dokumen;
1) Surat kelulusan membalak daripada Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu

2) Penama dan syarikat yang terbabit di dalam satu urusniaga pembelian saham (Share Sale Agreement).

Laporan Ketua Audit Negara 2010 Menegur Kerajaan Negeri Sembilan Kerana Tidak Menggantikan Hutan Simpan

KEADILAN merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan yang disiarkan Sinar Harian pada 25 Oktober 2012 mengenai pendedahan penyelewengan pengurusan tanah hutan simpan di Negeri Sembilan.

Antara lainnya, beliau menyebut bahawa Kerajaan Negeri telah menggantikan lebih 2,400 hektar tanah untuk dijadikan hutan simpan. Malah, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan 4,800 hektar tanah setiap tahun dari hutan simpan bagi tujuan pembalakan dan hasil kayu.

KEADILAN mengulangi kecaman sebelum ini yang masih belum dijawab oleh Datuk Seri Mohamad Hassan bahawa keputusan EXCO membatalkan status hutan simpan kekal di Hutan Simpan Jeram Padang Selatan adalah tidak sah di sisi undang-undang kerana melanggar Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

Sehingga kini, Datuk Seri Mohamad Hassan masih belum memberi sebarang jawapan mengenai perkara ini dan hanya mendiamkan diri. KEADILAN beranggapan tindakan beliau berdiam diri itu sebagai tanda-tanda tuduhan yang dibawa ada asasnya. Oleh yang demikian, saya, pimpinan Pakatan Rakyat dan aktivis NGO akan membuat satu laporan polis di Seremban pada hari Khamis 1 November 2012 jam 3 petang agar satu siasatan dapat dimulakan segera.

Kenyataan Datuk Seri Mohamad Hassan mengenai penggantian hutan simpan juga cuba menyembunyikan keadaan sebenar.

KEADILAN telah menyemak dokumen-dokumen rasmi yang secara jelas menunjukkan Kerajaan Negeri Sembilan mempunyai rekod paling buruk dari segi kegagalan menggantikan hutan simpan yang telah diambil untuk kegunaan lain. Walaupun ada sedikit penggantian sebanyak 2,400 hektar seperti yang disebut oleh Datuk Seri Mohamad Hassan, jumlah keluasan hutan simpan yang dibatalkan statusnya bagi tujuan pembalakan adalah jauh lebih besar.

Laporan Tahunan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia tahun 2007 dan 2010 memberikan perbandingan berikut:

Negeri

Keluasan hutan simpan baru yang diwartakan* antara 2005 hingga 2010 (hektar)

% hutan simpan yang diganti**

Perak

102,057

11.5%

Johor

76,436

21.5%

Pahang

38,770

2.5%

Selangor

16,348

7.0%

Terengganu

9,072

1.7%

Pulau Pinang

664

12.2%

Perlis

81

0.8%

Wilayah Persekutuan

2

3.3%

Kedah

0

0.0%

Melaka

(367)

(7.1%)

Kelantan

(5,518)

(0.9%)

Negeri Sembilan

(8,616)

(5.3%)

*Hutan simpan baru yang diwartakan TOLAK hutan simpan sedia ada yang dibatalkan. Angka negatif menunjukkan hutan simpan sedia ada yang dibatalkan tidak diganti

**Peratusan hutan simpan yang tidak diganti berbanding dengan keluasan keseluruhan keluasan hutan simpan yang diwartakan. Angka negatif menunjukkan kadar cepatnya hutan simpan semakin hilang di negeri itu

Oleh kerana rekod Kerajaan Negeri Sembilan yang buruk dari segi menggantikan hutan simpan, Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dilampirkan bersama (Perkara 3.3.2) menegur dan mengesyorkan Kerajaan Negeri Sembilan (melalui Jabatan Perhutanan Negeri) untuk mengenalpasti dan menggantikan hutan simpan yang telah dibatalkan. Ini adalah kerana penggantian hutan simpan bagi menggantikan hutan yang telah diterokai adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 12, Akta Perhutanan Negara 1984.

Adalah jelas bahawa kegiatan pembalakan dan penerokaan hutan di Negeri Sembilan adalah berleluasa dan diluar kawalan apabila hutan simpan yang dibatalkan statusnya tidak diganti. Pada kadar kehilangan hutan simpan 5% setiap 5 tahun, anggaran KEADILAN kawasan hutan dan tadahan hujan di Negeri Sembilan boleh pupus sepenuhnya dalam tempoh 50 tahun, terutamanya apabila semakin tahun hutan simpan semakin berkurangan.

Oleh yang demikian, KEADILAN menggesa Datuk Seri Mohamad Hassan membentangkan kepada rakyat dengan serta merta semua maklumat konsesi pembalakan yang telah dan akan diberikan melibatkan kuota 4,800 hektar setiap tahun seperti yang disebut oleh beliau sebelum ini. Rakyat berhak tahu siapa yang mendapat konsesi balak ini, berapa hasilnya kepada Kerajaan Negeri dan status hakmilik tanah-tanah ini setelah diterokai.

Sekiranya perkara ini tidak berlaku, KEADILAN akan terus mendedahkan individu-individu yang mendapat durian runtuh dari kegiatan pembalakan di atas tanah hutan simpan ini dan kaitan mereka dengan pimpinan Umno/Barisan Nasional Negeri Sembilan.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

T KUMAR
TIMBALAN SETIAUSAHA AGONG KEADILAN

30 OKTOBER 2012