Category Archives: Skandal @ Kapal Perang LCS

DCNS Guna Tiga Lapis Syarikat, Kos Naik Tiga Kali Ganda

Penelitian saya terhadap skandal kapal perang LCS setakat ini menunjukkan ada perancangan dari awal untuk menyembunyikan penglibatan DCNS (syarikat Perancis yang sering dikaitkan dengan Dato’ Seri Najib Razak) dari projek ini.

Secara logiknya, jika DCNS adalah pembekal utama kepakaran, reka bentuk dan pembinaan kapal LCS, sewajarnya Kerajaan Malaysia melantik DCNS secara terus (seperti yang dibuat semasa projek kapal selam Scorpene).  

Sebaliknya, bagi projek LCS, Kerajaan Malaysia melantik Boustead Naval Shipyard (BNS) sebagai kontraktor utama yang kemudiannya melantik syarikat-syarikat lain sebagai sub-kontraktor.

Walaupun keputusan ini dijelaskan sebagai usaha untuk membantu veteran tentera (kerana BNS milik Boustead yang dimiliki Lembaga Tabung Angkatan Tentera, LTAT) dan membina kepakaran tempatan, tindakan melantik lagi dua lapis sub-kontraktor sebelum sampai kepada pembekal akhir, iaitu DCNS, membayangkan ada unsur-unsur penyelewengan dari awal.

Setelah dilantik menjadi kontraktor kapal perang LCS melalui surat lantikan (LOA) bertarikh 16 Disember 2011, BNS mula melantik sub-kontraktor bagi pakej-pakej utama perbekalan dan pembinaan kapal perang LCS.

Pada 9 April 2012, BNS mengeluarkan dua surat lantikan (LOA) bagi dua pakej utama untuk melantik sub-kontraktor, seperti berikut:

LOA & JUMLAHPAKEJ & KERJA-KERJA TERLIBAT
BNS/DSD/SGPV/CS/LOA/CMS/0412-(1) berjumlah RM898 jutaCombat System Equipment Integration (CSEI)Software Integration Facility (SWIF)Shore Integration Facility (SIF)Combat System Integration Support (CSI)Combat System Training Centre (CSTC)  
BNS/DSD/SGPV/CS/LOA/CMS/0412-(2) berjumlah RM287 jutaCombat Management System (CMS)Software System Integration (CSI)  

Jumlah keseluruhan dua pakej utama ini ialah RM1.185 billion.

Dua pakej ini dianugerahkan kepada sebuah syarikat bernama Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (atau dikenali sebagai CAD).

Lebih mengejutkan, pada hari yang sama BNS melantik CAD sebagai sub-kontraktor bagi dua pakej bernilai RM1.185 bilion ini, BNS juga membenarkan CAD melantik syarikat bersekutunya Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) sebagai sub-kontraktor kepada CAD.

Keputusan BNS membenarkan CAD melantik CED sebagai sub-kontraktor dikeluarkan pada hari yang sama surat LOA kepada CAD, iaitu pada 9 April 2012.

CED pula mengeluarkan LOAnya kepada DCNS untuk membekalkan kerja-kerja dalam dua pakej berjumlah RM1.185 bilion yang perlu dibayar Kerajaan Malaysia itu.

Malangnya, siasatan menunjukkan bahawa bagi dua pakej ini yang dimuktamadkan pada harga RM1.185 bilion dengan Kerajaan Malaysia, surat lantikan (LOA) dari CED (sub-kontraktor lapis kedua) kepada DCNS meletakkan kos sebanyak RM397 juta sahaja.

Maknanya, bagi kerja-kerja yang akan diinvois oleh DCNS kepada CED sebanyak RM397 juta, tuntutan dari sub-kontraktor CED dan CAD kepada Kerajaan Malaysia (melalui BNS) adalah tiga kali ganda lebih mahal.

Kanak-kanak pun boleh membuat kesimpulan ada tangan-tangan ghaib di belakang syarikat-syarikat BNS, CAD dan CED yang menyusun kontrak-kontrak perbekalan hingga mengambil komisen 200% dari kos yang dicaj DCNS.

Rakyat ingin tahu siapa jerung-jerung yang merompak wang rakyat dan melemahkan pertahanan negara sedemikian rupa.

Sebab itu cubaan Najib Razak mengalihkan perhatian dari isu ini setakat ini sangatlah lemah. Beliau memberi gambaran seolah-olah semuanya bersabit kelemahan birokrasi akibat keputusan PH menyiasat projek ini dan cuba menipu pengikutnya konon skandal ini tidak ada unsur rasuah langsung.

Saya akan terus mendedahkan bagaimana keputusan-keputusan penting dalam pengurusan projek kapal perang LCS mempunyai bukti penyelewengan secara terang-terangan. Ada pihak yang menyusun segalanya untuk merompak wang rakyat melalui projek ini.

Persoalan utama: siapakah kepala jerung yang mempunyai kuasa mengarahkan dan melindungi pegawai-pegawai tertentu dalam BNS untuk melakukan rompakan di siang hari seperti ini?

Saya tunggu komen Najib Razak.

RAFIZI RAMLI

BNS Dapat Dokumen Sebutharga Dari DCNS Sebelum Surat Lantikan (LOA) Kerajaan Malaysia

Sebahagian besar dari masalah-masalah yang menyebabkan penyelewengan dan kelewatan projek kapal perang LCS berpunca dari dua keputusan utama:

  • Penukaran reka bentuk kapal dari kelas Sigma yang dipilih oleh TLDM kepada kelas Gowind (yang ditolak TLDM tetapi diluluskan Menteri Pertahanan)
  • Pelantikan kontraktor dan perincian kontrak berat sebelah yang merugikan negara dan TLDM

Isu penukaran reka bentuk kapal dari Sigma kepada Gowind menjadi tumpuan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC).

Prosiding PAC menunjukkan Menteri Pertahanan pada ketika itu (Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO sekarang) pada mulanya bersetuju (pada 26 Mei 2011) dengan pilihan TLDM untuk menggunakan reka bentuk Sigma.

Akan tetapi, dua bulan kemudian iaitu pada 11 Julai 2011, Menteri Pertahanan menukar keputusan itu dan bersetuju dengan cadangan BNS (kontraktor utama kapal perang LCS) untuk menggunakan reka bentuk Gowind.

Apa pentingnya pertukaran reka bentuk dari jenis Sigma kepada Gowind ini?

TLDM memilih Sigma demi keperluan dan kehendak pertahanan negara kerana kelas Sigma dinilai sebagai lebih baik dan lebih moden berbanding kelas Gowind. Apabila Zahid Hamidi menukar reka bentuk kepada kelas Gowind, ini bermakna keupayaan pertahanan laut tidak akan menepati kehendak dan perancangan TLDM.

Lebih penting lagi, reka bentuk Sigma dan Gowind melibatkan sub-kontraktor yang berbeza. Reka bentuk Sigma, jika dipilih, melibatkan kepakaran pembinaan kapal dari Belanda berbanding reka bentuk Gowind yang melibatkan kepakaran dari Perancis.

Dari sinilah kita dapat menyelami punca sebenar berlakunya skandal ini.

Ada pihak berkepentingan yang mahukan sub-kontraktor dari Perancis dipilih untuk membekalkan reka bentuk dan membina kapal LCS ini, walaupun keputusan TLDM adalah untuk kapal kelas Sigma.

Sub-kontraktor dari Perancis ini bukan asing lagi dalam skandal pembinaan kapal di Malaysia. Akhirnya, sub-kontraktor yang dilantik adalah DCNS, iaitu kontraktor yang sama terlibat dalam pembinaan dan perbekalan kapal selam Scorpene.

Lebih teruk lagi, dokumen-dokumen dalaman BNS yang dibocorkan kepada saya turut mengandungi dokumen berikut:

  1. Sebutharga dari DCNS bernombor 10/DCI/ASI/0097 kepada BNS bertarikh 23 Disember 2010
  2. Sebutharga dari DCNS bernombor 11/DCI/ASI/0029 bertarikh 4 April 2011
  3. Surat Niat (“Letter of Intent”) dari DCNS bernombor BNS/SGPV/LOI/1011 bertarikh 21 Oktober 2011

Tarikh-tarikh sebutharga dari DCNS (sebagai sub-kontraktor) kepada BNS (sebagai kontraktor utama Kerajaan Malaysia) adalah sangat penting apabila kita membandingkan garis masa skandal ini.

Surat Lantikan (“Letter of Award”) dari Kerajaan Malaysia (melalui Kementerian Pertahanan) untuk melantik BNS sebagai kontrak projek kapal perang LCS hanya dikeluarkan pada 16 Disember 2011. Ini bermakna DCNS bukan sahaja telah mendapat maklumat sepenuhnya mengenai rundingan pembinaan kapal perang ini, malah DCNS telah pun menghantar sebutharga dan diberikan Surat Niat sebelum pun BNS dilantik menjadi kontraktor utama.

Satu siasatan dalaman BHIC (Boustead Heavy Industries Corporation), iaitu salah satu syarikat induk yang memiliki BNS, telah membuat kesimpulan berikut:

“.. It is unusual to have a DCNS quotation dated 23 December 2010 even before the LOA was signed by BNS with the (Government of Malaysia) GOM/MINDEF. This indicated that the deal was pre-determined between the vendor and certain vested persons at BHIC/BNS who were at the helm of the decision-making process. The history of DCNS and its unethical practices to bribe Malaysians during the deal is well documented which were filed in the Court by the investigative agencies at France after conducting searches at DCNS & Thales office.

“.. Adalah luar biasa apabila (BNS) sudah pun ada sebut harga dari DCNS bertarikh 23 Disember 2010 sebelum pun Surat Lantikan dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia/KEMENTAH kepada BNS. Ini menunjukkan kontrak ini telah dimuktamadkan lebih awal di antara vendor (DCNS) dengan pihak-pihak berkepentingan di BHIC/BNS yang berkuasa membuat keputusan. Sejarah DCNS dan amalan korupnya yang merasuah individu-individu semasa rundingan kontrak pertahanan diketahui umum dan telah menjadi kes mahkamah di Perancis setelah pihak berkuasa Perancis menyerbu pejabat DCNS & Thales.”

Saya yakin rakyat Malaysia bersetuju dengan saya bahawa pegawai-pegawai di BHIC/BNS adalah “ikan bilis” yang tidak mempunyai kuasa untuk mengubah keputusan strategik pertahanan negara dengan menukar reka bentuk kapal perang dari yang diputuskan oleh TLDM kepada yang ditolak TLDM.

Melihatkan kepada keputusan Menteri Pertahanan pada ketika itu (Zahid Hamidi) yang menukar keputusannya dari memilih Sigma kepada Gowind (yang dibekalkan DCNS) juga membayangkan ada campur tangan pihak yang lebih atas dari Menteri Pertahanan sendiri.

Sebab itu saya nyatakan sebelum ini bahawa bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak tidak boleh lari dan cuci tangan dalam skandal ini.

Satu-satunya pimpinan politik yang mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pertukaran reka bentuk kapal dan pada masa yang sama mempunyai sejarah hubungan dengan DCNS (melalui pembelian kapal Scorpene) ialah Najib Razak.

Pertama, beliau lebih berkuasa dari Menteri Pertahanan pada ketika itu untuk mempengaruhi keputusan menukar reka bentuk kapal agar sub-kontraktor dari Perancis, iaitu DCNS, dipilih.

Kedua, beliau mempunyai rekod peribadi yang memilih DCNS (dan rakan sekutu DCNS iaitu Thales) untuk projek-projek besar negara. Selain dari projek kapal selam Scorpene dan kapal LCS, Thales juga mencetuskan kontroversi dalam tahun 2012 apabila terbabit dalam skandal anugerah projek LRT kepada George Kent (sebuah syarikat pembuat paip yang tidak ada pengalaman membina LRT). Saya telah mendedahkan skandal ini dalam tahun 2012 dan boleh dibaca di sini:

https://rafiziramli.com/category/skandal-lrt-george-kent/

Saya menunggu bagaimana Najib Razak akan menjawab persoalan-persoalan ini.

Pada masa yang sama, saya akan terus mendedahkan pelbagai penyelewengan yang telah berlaku sehingga menyebabkan tidak ada satu kapal pun yang disiapkan setakat ini.

RAFIZI RAMLI

Penyelewengan Projek LCS: Sekurang-Kurangnya RM890 Juta Dana Rakyat Hangus

Saya mengalu-alukan tumpuan masyarakat kepada nasib perajurit negara yang secara langsung berkait dengan dana awam. Isu ini lebih kritikal berbanding skandal-skandal lain kerana ia melibatkan pelbagai dimensi (“multi dimensional”), seperti:

  • Penyelewengan dana rakyat untuk membina sistem pertahanan negara yang dianugerahkan terus kepada syarikat yang dikawal tabung amanah yang sepatutnya menjaga kebajikan perajurit
  • Apabila projek dan dana diselewengkan, bukan sahaja tabung amanah mengalami kerugian, sistem pertahanan negara terdedah kepada pelbagai risiko apabila kelengkapan dan persenjataan menjadi lapuk dan ketinggalan zaman
  • Mangsa seterusnya ialah perajurit yang terus dipinggirkan dan tidak terbela, sedangkan jika berbilion ringgit yang diselewengkan melalui perolehan projek-projek pertahanan ini tidak berlaku, wang itu boleh digunakan untuk memberi elaun dan pencen yang lebih baik kepada perajurit

Hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC), YB Wong Kah Woh mengeluarkan kenyataan mengenai dapatan-dapatan PAC yang meneliti pengendalian projek Littoral Combat Ship (LCS) yang telah berlarutan sejak 2011.

Untuk makluman orang ramai, projek yang dianugerahkan secara terus dalam tahun 2011 telah menelan belanja RM6 bilion setakat 2022 tetapi satu kapal perang pun belum disiapkan. Mengikut jadual kontrak, sepatutnya lima kapal perang telah disiapkan dan diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk beroperasi.

Sebenarnya saya telah mengumpul maklumat dan mengkaji skandal ini sejak beberapa bulan lalu atas kapasiti saya sebagai orang awam.

Berikut adalah maklumat penting yang perlu diketahui oleh orang awam:

  1. Pada 16 Disember 2011, Kementerian Pertahanan mengeluarkan Surat Lantikan (“Letter of Award”atau LOA) kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk membina dan membekalkan enam “second generation patrol vessels”(SGPV) “littoral combat ship” (LCS) dengan jumlah kontrak RM9 bilion. Menteri Pertahanan pada ketika itu yang bertanggungjawab menguruskan projek ini ialah Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, presiden UMNO sekarang.
  2. Kerajaan Persekutuan menandatangani kontrak akhir dengan BNS bagi kontrak berjumlah RM9 bilion ini pada 17 Julai 2014. Menteri Pertahanan pada ketika itu, yang merundingkan perjanjian akhir ialah Dato’ Seri Hishamuddin Hussein, Menteri Kanan kerajaan gabungan PAS-UMNO-Bersatu sekarang.

Perdana Menteri pada ketika LOA dan kontrak projek ini diselesaikan tidak lain dan tidak bukan adalah Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya telah mengumpulkan maklumat berkenaan penyelewengan demi penyelewengan yang berlaku sepanjang sedekad projek ini berjalan. Saya akan kembali mendedahkan satu persatu dalam siri expose sepanjang bulan Ogos ini seperti yang saya pernah lakukan semasa skandal NFC, 1MDB, Tabung Haji dan Felda dahulu.

Saya bermula pada hari ini dengan soalan yang mudah:

Siasatan yang dilakukan secara dalaman setakat ini menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya RM890 juta telah diselewengkan dari projek ini, baik dari segi penipuan, wang yang dipindahkan kepada pihak yang bertujuan menipu kontrak, duplikasi kontrak dengan tuntutan berganda dan pelbagai penyelewengan ini.

Saya percaya siasatan dalaman ini telah sampai kepada Hishamuddin Hussein. Sebagai menteri yang menandatangani kontrak dalam tahun 2014, beliau juga menteri yang menandatangani perjanjian tambahan (“supplementary contract”) pada 31 Mei 2022 untuk menghidupkan kembali projek ini.

Sebagai menteri pertahanan yang paling lama menguruskan projek ini, beliau sudah tentu tahu tentang segala laporan dalaman mengenai penyelewengan projek ini.

Kenapa sehingga sekarang beliau tidak mengambil tindakan untuk menangani penemuan penyelewengan berjumlah RM890 juta itu kerana tidak ada satu kes pun yang dibawa terhadap pihak-pihak yang dinamakan terlibat di dalam penyelewengan tersebut?

Skandal ini bakal memerangkap UMNO menjelang PRU15 kerana ia akan membuktikan bagaimana UMNO menuduh Pakatan Harapan menjual aset negara, sedangkan di bawah pentadbiran UMNO:

  1. Persenjataan dan pertahanan negara terbengkalai sehingga ketinggalan berbanding jiran kita seperti Indonesia
  2. Nasib perajurit yang kebanyakannya Melayu diabaikan apabila dana yang sepatutnya memanfaatkan mereka hangus akibat penyelewengan

Saya akan terus mendedahkan maklumat terperinci penyelewengan ini satu persatu sehinggalah Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein dan Najib Razak bersuara untuk menjawab.

Skandal kapal perang terbengkalai ini berlaku dibawah pengawasan dan pengurusan mereka, wajiblah mereka tampil menjelaskan kepada rakyat.

RAFIZI RAMLI