Category Archives: Kebajikan Rakyat

Kajiselidik Taman Tugu: 95% Dari Responden Tidak Bersetuju Dengan Taman Tugu, 56 Sukarela Mendaftar

Saya sertakan hasil kajiselidik untuk mengukur sentimen awam mengenai cadangan menaiktaraf Taman Tugu yang dianggarkan bernilai RM650 juta.

survey1

survey2

survey3

survey4

survey5

survey6

Setakat hari ini, kajiselidik itu telah disertai oleh 1,049 responden dan keputusannya disertakan di lampiran. Seramai 56 orang telah mendaftar sebagai sukarelawan untuk menyertai pasukan penyelidik kos yang terdiri dari jurutera, juru ukur bahan, arkitek dan lain-lain.

Dengan 95% dari responden tidak bersetuju dengan cadangan ini dan 95% dari responden yang telah membaca penjelasan Tan Sri Azman Mokhtar juga tidak yakin dengan penerangan tersebut, saya percaya mesej itu jelas bahawa rakyat menolak projek Taman Tugu ini.

Langkah saya yang seterusnya pada hari ini adalah seperti berikut:

1. Menulis secara rasmi kepada Tan Sri Azman Mokhtar untuk mengemukakan dapatan kaji selidik ini

2. Memohon satu perbincangan rasmi di antara ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan dan wakil dari pasukan penyelidik kos

3. Menyatakan kesediaan kami untuk menandatangani non-disclosure agreement (perjanjian kerahsiaan) untuk membolehkan kami meneliti secara terperinci skop kerja untuk membuat anggaran yang bebas

4. Mendapatkan maklumbalas awam untuk membangunkan satu cadangan naiktaraf alternative yang tidak menelan belanja sedemikian rupa untuk dikemukakan kepada Khazanah

Saya percaya Tan Sri Azman Mokhtar prihatin dengan pandangan umum terhadap Khazanah dan menyampaikan perkara ini kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak, sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Khazanah.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Kajiselidik Taman Tugu bitly.com/surveytamantugu | Kumpulan QS Sukarelawan bitly.com/qsrakyat

091316-kajiselidik-taman-tugu-01

Saya mengikuti penerangan yang diberikan oleh Tan Sri Azman Mokhtar, CEO Khazanah mengenai pecahan kos projek Taman Tugu seperti yang diterangkan semasa acara soal jawab yang pertama yang diadakan minggu lepas. Saya juga dihubungi oleh Encik Jiv Sammanthan, Ketua Pegawai kepada CEO untuk menyertai acara-acara soal jawab tersebut atau mendengar taklimat dari Khazanah.

Saya berterima kasih kepada Khazanah di atas jemputan tersebut.

Walau bagaimana pun, saya hanya akan menyertai satu taklimat dan perbincangan dengan Khazanah atau pihak berkuasa setelah saya mendapat maklumbalas umum dari orang ramai mengenai perkara ini. Ia juga sesuatu yang boleh membantu Khazanah menilai kesan projek ini kepada jenamanya (branding) kerana acara-acara “townhall” dan “engagement” yang disusun oleh Khazanah setakat ini hanya berkisar di tempat tertentu dan mungkin tidak boleh meliputi seramai mungkin rakyat.

Saya juga ingin memastikan bahawa apabila saya duduk mendengar taklimat dari Khazanah, saya dibantu oleh juruukur (quantity surveyor) dan jurutera yang boleh memahami kos projek yang disebut oleh Khazanah.

Oleh itu, saya telah melancarkan dua kajisedilik iaitu:

1. #QS_Rakyat untuk mengumpulkan juruukur dan jentera dalam satu pasukan untuk membantu menyemak kos yang disebut oleh Khazanah atau pihak berkuasa. Mereka yang berminat untuk membantu boleh mengisi borang di bitly.com/qsrakyat

2. #SurveyTamanTugu untuk mengumpul pandangan orang ramai mengenai projek Taman Tugu secara keseluruhan. Kajiselidik boleh didapati di bitly.com/surveytamantugu dan saya galakkan seberapa ramai rakyat menyertainya jika anda benar-benar serius mengenai pembaziran wang negara

Saya masih tidak yakin dengan penjelasan yang diberikan oleh Tan Sri Azman Mokhtar setakat ini dan masih berpandangan bahawa ia satu pembaziran dana awam.

Pun begitu, saya akan menunggu maklumbalas orang ramai yang dibuka sehingga Jumaat ini sebelum saya mengaturkan satu perjumpaan dengan Khazanah secara rasmi.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Keputusan Benarkan Pemaju Memberi Pinjaman Perumahan: Membunuh Ekonomi, Membunuh Rakyat, Risiko Menjadi Sumber Dana PRU14 Terlalu Tinggi

090916-cadangan-noh-omar-01

Belum pun kejutan dari pengumuman membelanjakan RM650 juta untuk menaiftaraf Taman Tasik Perdana luntur, pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak membuat satu lagi kejutan baru yang lebih tidak masuk akal. Kali ini kejutan dibuat oleh Dato’ Seri Noh Omar, Menteri Perumahan dan Kesejahteraan Bandar yang mengumumkan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan lesen memberi pinjaman perumahan kepada pemaju-pemaju besar seperti Kumpulan Sunway, EcoWorld, Mah Sing dan Glomac.

Pengumuman ini dibuat tanpa ada sebarang perbincangan awam dengan “pihak yang berhak” (stakeholders) terutamanya golongan pembeli, para ekonomi, sektor kewangan apatah lagi Ahli Parlimen. Saya tidak pernah mendengar sekali pun dalam masa setahun yang lepas pimpinan Bank Negara Malaysia membuat kenyataan mengenai perkara ini sedangkan ia membawa perubahan paling besar kepada sektor kredit perumahan yang dikawalselia oleh Bank Negara Malaysia.

Mengambil kira pengumuman sebelum ini seperti menaiktaraf Taman Tasik Perdana berjumlah RM650 juta, saya semakin cenderong mengesyaki bahawa keputusan-keputusan yang membawa risiko kewangan besar kepada rakyat dan negara ini bukanlah keputusan berhubung pertimbangan dasar (not driven by policy framework) tetapi satu skim untuk mendapatkan dana Pilihanraya Umum 14 (PRU14) Barisan Nasional.

Saya telah nyatakan secara terbuka analisa saya bahawa satu-satunya faktor yang mengekang Dato’ Seri Najib Tun Razak memanggil PRU14 lebih awal ialah kekurangan dana memandangkan apa-apa dana yang diselewengkan dari 1MDB kini dibekukan di negara-negara lain. Dengan belanja PRU yang mencecah beberapa billion ringgit, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan kepimpinan Umno mesti mencari sumber baru.

Membenarkan pemaju besar menawarkan khidmat memberi pinjaman kepada pembeli samalah seperti memberikan lesen institusi kewangan kepada pemaju-pemaju besar ini. Kalau pada awalnya sebuah anak syarikat ditubuhkan hanya untuk memberikan pinjaman perumahan kepada pembeli rumah dari kumpulan pemaju itu, lama-kelamaan hartawan besar yang memiliki kumpulan pemaju ini boleh sahaja melobi supaya lesen mereka diperluaskan untuk berfungsi sebagai sebuah bank.

Lesen membuka institusi kewangan atau bank di negara ini adalah cukup berharga kerana selepas krisis kewangan 1997/98, dasar penggabungan institusi kewangan menghadkan bank kepada beberapa kumpulan besar sahaja demi mengelakkan risiko bank kecil yang bermasalah mencetuskan wabak kewangan yang berjangkit. Sejak proses penggabungan itu selesai lebih 15 tahun lalu, tidak ada satu kumpulan perbankan baru pun yang dibenarkan.

Saya khuatir keputusan Kerajaan Pusat ini adalah jalan belakang ke arah itu dan sebagai balasan, kumpulan pemaju besar yang diberikan lesen perlu “menderma” sejumlah yang besar kepada Barisan Nasional. Jika satu lesen menarik derma sebanyak RM100 juta (iaitu jumlah yang kecil bagi satu lesen institusi kewangan), 5 lesen mampu menarik “derma” politik sehingga RM500 juta.

Saya lebih rela dibuktikan salah dan disaman di mahkamah jika pertanyaan saya ini dianggap fitnah daripada membenarkan perkara ini diteruskan kerana kesannya (selain dari rasuah politik) adalah terlalu besar kepada rakyat.

Saya senaraikan 3 risiko terbesar yang akan membunuh rakyat dan membunuh ekonomi jika perkara ini diteruskan:

1. Risiko kewangan “sub-prime” – membenarkan pemaju untuk memberikan pinjaman perumahan kepada peminjam yang tidak layak (mengikut peraturan kredit Bank Negara Malaysia) kerana pendapatan mereka tidak padan dengan ansuran bulanan adalah satu tindakan membina portfolio peminjam tidak boleh bayar.

Apatah lagi kadar faedah yang dikenakan iaitu 12% hingga 18% adalah lebih tinggi dari kadar kad kredit dan menjadikan kebarangkalian peminjam tidak boleh membayar balik adalah terlalu tinggi. Fenomena membenarkan peminjam yang tidak layak mendapat pembiayaan perumahan pada kadar faedah yang tinggi inilah yang dirujuk sebagai “sub-prime” yang pernah berlaku di Amerika Syarikat hinggalah skim itu runtuh dalam tahun 2008.

Akibat krisis “sub-prime” di Amerika Syarikat, seluruh ekonomi dunia merudum dan kesannya belum dipulihkan sepenuhnya di beberapa negeri/bandar di Amerika Syarikat terutamanya di Detroit.

2. Melesenkan “Along” dan meluaskan riba’ – kadar 12% hingga 18% yang diumumkan oleh Dato’ Seri Noh Omar adalah kadar pinjaman yang ditawarkan oleh Along. Kadar itu juga adalah satu bentuk penghambaan kewangan kerana keuntungan yang diambil oleh pemberi pinjaman adalah berlipat kali ganda hingga membunuh kelangsungan ekonomi peminjam.

Mana-mana peminjam yang mengambil pembiayaan rumah pada kadar ini samalah seperti menjadi hamba kepada pemberi pinjaman sehingga ke akhir hayat kerana jumlah bayar balik adalah di antara 4 – 6 kali ganda dari jumlah yang dipinjam.

3. Lebih ramai rakyat yang tidak mampu memiliki rumah – Memberi lesen kepada pemaju memberi pembiayaan pada kadar along bermakna Kerajaan Persekutuan langsung tidak mengambil hirau bahawa harga rumah yang dipacu oleh pemaju-pemaju terbesar ini adalah diluar kemampuan rakyat terutamanya di bandar-bandar besar yang dimonopoli mereka.

Dengan lesen memberi pinjaman ini, lebih banyak projek perumahan diluar kemampuan rakyat yang akan dibangunkan dan pilihan rumah mampu milik semakin berkurangan dengan alasan pembeli kini boleh meminjam 100%. Akibatnya pemaju kecil akan gulung tikar kerana hanya pemaju besar yang ada lesen yang mampu bersaing dan pada masa yang sama harga rumah akan terus naik mencanak.

Sebelum ini saya jarang memberi komentar mengenai perumahan kerana ia lebih wajar dibela oleh ahli parlimen lain memandangkan saya sudah banyak mengendalikan isu-isu ekonomi lain.

Walau bagaimana pun, keputusan Kerajaan Persekutuan kali ini adalah keputusan paling gila saya mengenai perumahan dan kewangan negara yang pernah saksikan sejak saya menjadi ahli parlimen.

Oleh itu, saya akan mengikuti dengan dekat isu ini dan akan mula menghuraikan dengan terperinci mengenai masalah perumahan rakyat bermula minggu depan.

Saya juga akan berusaha agar risiko-risiko akibat dari keputusan memberi lesen pembiayaan kepada pemaju besar ini difahami rakyat secepat mungkin dan diterjemahkan menjadi bantahan segera agar keputusan tersebut dibatalkan serta merta.

Saya akan mula menyiarkan satu video ringkas menerangkan perkara ini kepada orang ramai petang ini dan sasaran saya agar ia ditonton 500,000 orang dalam masa seminggu. Video itu akan disiarkan di laman Facebook Page https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan/

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Sekat Kakitangan Dan Pengurusan PETRONAS Dari Semenanjung Bukan Jawapan Kepada Barisan Nasional Mungkir Janji

Saya membaca laporan-laporan mengenai tuntutan supaya lebih ramai kakitangan PETRONAS yang berasal dari Sarawak diberikan tempat dalam pengurusan dan lebih banyak jawatan dikhaskan secara kuota kepada penduduk Sarawak. Saya juga sedia maklum dengan cadangan YB Chong Chin Jien, Ahli Parlimen Kuching yang mencadangkan supaya Kerajaan Sarawak menggunakan kuasa imigresennya untuk menyekat kakitangan dan pengurusan PETRONAS yang bukan dari Sarawak dari masuk ke negeri itu.

Saya adalah sebahagian dari keluarga PETRONAS sejak berumur 17 tahun hinggalah saya meninggalkan syarikat kebanggaan negara itu hampir 10 tahun yang lalu bila mana kontrak perkhidmatan seperti perjanjian penajaan pendidikan hampir tamat. Sepanjang perkhidmatan saya dengan PETRONAS, saya pernah terlibat dengan pengurusan Perniagaan Petrokimia (yang mempunyai anak syarikat di Sarawak) dan pengurusan PETRONAS Carigali (yang mempunyai operasi yang besar di Sarawak).

Sedang saya memahami sentimen sebahagian besar rakyat Sarawak yang merasakan bahawa kekayaan negeri mereka tidak dikongsi sama rata, saya juga ingin mengajak ahli-ahli politik dan rakyat Sarawak untuk memfokuskan bantahan dan kritikan kepada punca sebenar masalah ini iaitu Kerajaan Persekutuan. Tindakan menyalahkan PETRONAS bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah malah pada pendapat saya bertentangan dengan kebajikan kakitangan eksekutif PETRONAS yang berasal dari Sarawak sendiri.

Kakitangan eksekutif PETRONAS diambil bekerja oleh ibupejabat PETRONAS dan kemudiannya ditugaskan ke unit-unit dan anak-anak syarikat di seluruh dunia. PETRONAS mempunyai operasi besar yang meliputi huluan (upstream), gas dan LNG, loji penapisan dan petrokimia, operasi hiliran (downstream) yang lain, pemasaran, perdagangan antarabangsa dan sebagainya. Operasi yang besar dan kejayaan PETRONAS sebagai satu-satunya syarikat Fortune500 (500 syarikat terbesar di dunia) dari Malaysia membolehkan kakitangan PETRONAS dibentuk dan dilatih melalui pelbagai pengalaman dan kemahiran dari pelbagai operasi. Itu menjadi keistimewaan yang hanya dinikmati oleh kakitangan PETRONAS dan menjadikan mereka mempunyai daya bolehpasar (“marketability”) yang lebih baik berbanding syarikat lain.

Dari pelbagai operasi yang saya sebutkan di atas, bukan semuanya ada di Sarawak. Operasi PETRONAS di Sarawam hanya meliputi operasi huluan (upstream) di luar pantai dan berpusat di Miri serta kompleks LNG dan loji urea di Bintulu.

Sebab itu pada pendapat saya, mengenakan kuota agar jawatan pengurusan bagi operasi PETRONAS di Sarawak dikhususkan hanya untuk orang Sarawak sebenarnya tidak baik untuk kakitangan tersebut kerana perkembangan dan kemajuan kerjaya mereka akan terbantut di situ. Apabila mereka naik pangkat kerana kuota dan bertumpu kepada operasi di Sarawak sahaja, mereka akan menghadapi kesukaran untuk beralih jawatan dan pengalaman pada peringkat pengurusan yang sama di bidang-bidang lain.

Kesan ialah kakitangan PETRONAS dari Sarawak mendapat insentif jangka pendek untuk naik pangkat cepat dengan berebut jawatan pengurusan di Sarawak tetapi rugi jangka panjang kerana tidak cukup luas pengalaman untuk menaiki tangga kerjaya di peringkat kumpulan PETRONAS yang lebih besar dan mencabar. Akhirnya, kita bakal berhadapan dengan satu lagi masalah baru iaitu rungutan pengurusan peringkat tertinggi kumpulan PETRONAS ketandusan kakitangan yang berasal dari Sarawak.

Sebab itu pada pendapat saya, konglomerat bertaraf dunia seperti PETRONAS yang telah terbukti menjadi tulang belakang negara perlu dilindungi dari campur tangan politik dan menjadi bola sepak permainan politik. Mandat yang diberikan kepada PETRONAS ialah untuk mendapatkan nilai yang terbaik dari setiap molekul hidrokarbon yang ada di negara ini dan itu hanya boleh dicapai sekiranya PETRONAS beroperasi sepenuhnya mengikut pertimbangan komersil dan profesional.

Soal ketidakadilan perkongsian hasil minyak Sarawak sewajarnya dirundingkan dengan Kerajaan Persekutuan yang diketuai Dato’ Seri Najib Tun Razak.

PETRONAS tertakluk kepada undang-undang dan jumlah royalti serta syarat-syarat lain yang ditetapkan dan digubal Kerajaan Persekutuan. Tugas PETRONAS ialah memulangkan hasil minyak negara pada nilai keuntungan yang terbauk kepada Kerajaan Persekutuan. Keputusan membelanjakannya secara adil adalah keputusan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sebab itu juga saya telah berkali-kali mencadangkan supaya Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak masing-masing menubuhkan PetroSabah dan PetroSarawak untuk menjadi dua syarikat minyak yang boleh dibantu oleh PETRONAS untuk membangun bertaraf dunia. Rakyat Sarawak dan rakyat Sabah akan lebih beruntung jika mereka dibantu oleh PETRONAS dari segi kepakaran dan kemahiran supaya PetroSarawak dan PetroSabah boleh bersaing di luar negara. Keputusan pengurusan dan pengambilan pekerja PetroSarawak dan PetroSabah adalah keputusan komersil pengurusannya yang dilantik oleh Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Sabah.

Tetapi idea saya ini tidak pun dipandang oleh mana-mana pimpinan Sarawak dan Sabah baik dari Barisan Nasional atau Pakatan Harapan. Sebaliknya kadang-kadang saya melihat mereka berlumba-lumba memukul institusi lain yang dilihat dari Semenanjung, sedangkan yang sepatutnya dipukul ialah Dato’ Seri Najib Tun Razak yang menabur janji mengenai autonomi tetapi nampaknya enggan ditunaikan.

Adalah lebih baik menyekat Dato’ Seri Najib Tun Razak dari masuk Sarawak dari menyalahkan PETRONAS. Ia juga satu langkah menyelamatkan rakyat Sarawak dari pelbagai janji-janji pilihanraya yang tidak ikhlas seperti yang berlaku baru-baru ini.

Rafizi Ramli adalah pengurus termuda pernah dilantik di PETRONAS pada umur 25 tahun. Beliau juga adalah pengurus kanan termuda pernah dilantik pada umur 27 tahun. Berkelulusan kejuruteraan elektrik dan elektronik serta ditauliahkan sebagai akauntan bertauliah oleh Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW), beliau pernah bertugas di loji petrokimia, ibupejabat korporat dan Carigali.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Tanggungan Hutang 1MDB Sebanyak RM27.8 Bilion: Rakyat Terpaksa Korbankan 2 Universiti Awam Dan 3 Hospital Setiap Tahun Selama 15 Tahun

Saya agak terkejut dengan kenyataan Gabenor Bank Negara yang baru Datuk Muhammad Ibrahim yang dipetik berkata bahawa beliau yakin kerajaan akan memastikan semua hutang 1MDB akan dibayar. Walaupun saya faham amaran tersirat beliau kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa kedudukan ekonomi dan kewangan negara hanya boleh pulih sekiranya beban kewangan akibat 1MDB diselesaikan segera, ia seolah-olah melupakan bahawa sebarang hutang 1MDB yang diselesaikan kepada kerajaan sebenarnya mendera rakyat lebih teruk dari sekarang.

Hakikat bahawa hutang-hutang 1MDB akhirnya akan ditanggung oleh rakyat bukanlah satu perkara yang baru diketahui. Rakyat sudah tahu bahawa jika pun hutang-hutang ini tidak dibayar terus oleh Kerajaan Persekutuan melalui pengambilalihan anak syarikat 1MDB seperti yang berlaku dengan SRC International Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Sdn Bhd, hutang-hutang itu akan ditampung oleh suntikan aset negara, kontrak-kontrak besar, pemberian geran dan lain-lain oleh Kerajaan Persekutuan.

Jumlah hutang 1MDB yang kini telah dan berkemungkinan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan adalah terlalu besar, seperti berikut:

HUTANG YANG TELAH DIAMBILALIH

i. Hutang SRC sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) melalui pemindahmilikan SRC dari 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc)

ii. Hutang Bandar Malaysia sebanyak RM2.4 bilion dari Tabung Haji melalui pemindahmilikan Bandar Malaysia dari 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc)

HUTANG YANG BERKEMUNGKINAN TERPAKSA DIAMBILALIH

i. Hutang dalam bentuk bon berjumlah US$1.75 bilion (bersamaan RM7 bilion) yang dijamin IPIC tetapi telah melanggar syarat pinjaman apabila 1MDB gagal membayar faedah bulan lalu

ii. Hutang dalam bentuk bon berjumlah US$1.75 bilion (bersamaan RM7 bilion) yang juga dijamin IPIC dan faedah perlu dibayar hari ini. Jika tidak dibayar oleh 1MDB, sekali lagi ia melanggar syarat pinjaman

iii. Hutang dalam bentuk terbitan sukuk/bon patuh shariah berjumlah US$1.83 bilion (bersamaan RM7.4 bilion) yang boleh dituntut serta merta akibat pelanggaran syarat pinjaman hutang-hutang (i) dan (ii) akibat dari “cross defaults”

Ini bermakna, jumlah hutang-hutang 1MDB yang telah dan berkemungkinan besar akan diambilalih oleh Kerajaan Persekutuan adalah RM27.8 bilion. Hutang-hutang ini juga menyebabkan Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar faedah tahunan (dipanggil bayaran kupon) sepanjang tempoh hutang itu belum dilangsaikan.

Untuk membuat anggaran tanggungan hutang 1MDB yang rakyat sedang berdepan, saya menganggarkan kadar faedah 5% bagi kesemua hutang-hutang itu dan tempoh matang purata 15 tahun. Maka jumlah tanggungan sebenar hutang-hutang 1MDB yang berkemungkinan dibayar oleh rakyat Malaysia adalah:

Hutang pokok yang telah diambilalih dan
berkemungkinan diambilalih (seperti di atas) RM27.8 bilion

Bayaran faedah pada 5% setiap tahun bagi 15 tahun RM20.85 bilion

JUMLAH KESELURUHAN RM48.65 bilion

Untuk mengenalpasti kesan tanggungan hutang sebanyak ini kepada kehidupan harian rakyat Malaysia, kita perlu pecahkan tanggungan ini kepada peruntukan tahunan yang terpaksa dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menanggung hutang ini seperti berikut:

Bayaran faedah tahun pada kadar 5% RM1.4 bilion
Simpanan tahunan untuk bayaran pokok dalam 15 tahun RM1.9 bilion
PERUNTUKAN TAHUNAN DIPERLUKAN RM3.3 BILION

Maknanya, rakyat Malaysia mesti menyedari bahawa setakat ini, jumlah peruntukan tahunan yang terpaksa dipotong atau tidak dibelanjakan bagi tujuan rakyat akibat hutang 1MDB (yang kita ketahui setakat ini) adalah dianggarkan RM3.3 bilion.

Saya cuba membayangkan kesan ini kepada rakyat dengan menterjemahkannya kepada 2 perkara yang kosnya cukup membebankan setiap keluarga di Malaysia: kos menanggung pendidikan tinggi dan kos kesihatan/perubatan.

Sebuah universiti awam yang baik dan mampu menawarkan pendidikan pada kos yang berkali ganda lebih murah dari IPTS kepada sekitar 5,000 pelajar pada satu-satu masa dianggarkan memerlukan pelaburan awam sebanyak RM750 juta (mengambil kira pembinaan IPTS seperti Kampus Lakeside Taylor’s University yang jauh lebih murah dari itu).

Pada masa yang sama, sebuah hospital besar di peringkat daerah yang boleh memberi perkhidmatan kesihatan/perubatan yang baik kepada sekitar 100,000 orang penduduk dianggarkan berjumlah RM500 juta (mengambil kira kos hospital sedia ada).

Ini bermakna, apabila peruntukan sebanyak RM3.3 bilion terpaksa dilencongkan setiap tahun untuk membayar hutang 1MDB, jumlah itu bersamaan dengan pembinaan dan operasi 2 universiti awam (IPTA) dan 3 hospital awam SETIAP TAHUN. Bagi tempoh matang purata selama 15 tahun, ini bermakna rakyat Malaysia akan kerugian 30 universiti awam (IPTA) dan 45 hospital awam akibat menanggung hutang 1MDB setakat ini.

Sebab itu, skandal 1MDB ini tidak boleh dilupakan begitu sahaja dan rakyat berputus asa hanya kerana Dato’ Seri Najib Tun Razak masih kekal sebagai Perdana Menteri. Pimpinan politik dan masyarakat turut sama perlu memikirkan langkah mengelakkan tanggungan hutang ini dan mengambil tindakan secepat mungkin (bukan hanya tertumpu kepada persoalan menjatuhkan Dato’ Seri Najib Tun Razak seperti mana fokus Deklarasi Rakyat akhir-akhir ini).

Saya akan berbincang dengan rakan-rakan pimpinan Pakatan Harapan dan ahli-ahli Parlimen untuk mencari jalan mengelakkan hutang-hutang ini diambilalih oleh rakyat.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN