Category Archives: Jet PM

Kos Naiktaraf Kabin Jet Peribadi ACJ320 RM28 Juta

23 MAC 2015

Jet peribadi untuk kegunaan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang baru dibeli iaitu ACJ320 mula beroperasi sejak 3 Mei 2011 setelah disiapkan pada 29 Mac 2010. Sebelum ini, ia disewakan oleh pemiliknya Comlux Aviation Group dan Kerajaan Malaysia pernah menyewanya bagi kegunaan Perdana Menteri.

Jet peribadi ini merupakan antara yang terbaik dimiliki Comlux dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi kapasiti 19 penumpang, termasuk satu bilik khusus untuk VVIP. Ia mempunyai ruang-ruang seperti berikut:

int1
int2

Ruang santai

int3

Ruang mesyuarat

int4

Ruang makan

int5

Ruang penumpang

int6

Ruang tidur di bilik VVIP

Saya mempunyai salinan perjanjian pembelian di antara Jet Premiere One (Malaysia) Sdn Bhd (JPO) dan Air Luther AG iaitu syarikat bersekutu dalam Comlux Aviation Group yang memiliki ACJ320 sebelum ini. JPO membeli jet ACJ320 ini dari Air Luther AG kemudian dijual pula kepada Kerajaan Malaysia dalam satu perjanjian sewa beli yang telah saya dedahkan sebelum ini.

Di dalam perjanjian pembelian di antara JPO dan Air Luther AG, salah satu syarat pembelian ialah kerja-kerja menaiktaraf kabin dari keadaan sedia ada pada harga USD8 juta (bersamaan RM28 juta pada kadar tukaran RM3.5 bagi USD1). Harga USD8 juta ini dimasukkan di dalam harga pembelian yang kemudiannya menjadi asas kepada harga sewa beli bernilai RM465 juta yang ditanggung oleh Kerajaan Malaysia.

Saya memaparkan gambar-gambar ruang dalam sedia ada ACJ320 untuk menunjukkan bagaimana kabin yang belum dinaiktaraf sudah pun cukup mewah di luar imaginasi rakyat Malaysia. Apa keperluan membayar tambahan RM28 juta khusus untuk menaiktaraf kabin apabila jumlah itu akhirnya akan ditanggung oleh rakyat Malaysia?

Jika sebelum ini pimpinan Umno memberi alasan pembelian jet peribadi baru ini adalah perlu demi keselamatan Perdana Menteri dan keluarga, apa pula alasan membelanjakan RM28 juta dana rakyat untuk menaiktaraf kabin menjadi lebih mewah dari apa yang ada sekarang? Sekiranya wang RM28 juta ini digunakan untuk membina rumah bagi mangsa banjir di Kelantan, pada harga RM35,000 setiap rumah dana RM28 juta ini sepatutnya telah dapat membina rumah untuk 800 keluarga yang menjadi mangsa banjir.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

PM Perlu Sahkan Sama Ada Datin Seri Rosmah Singgah Di Indianapolis Untuk Tinjau Naiktaraf Jet Baru?

Ketika bencana banjir memuncak sekitar akhir tahun 2014, Dato’ Seri Najib Tun Razak terpaksa bergegas pulang dari percutian beliau dan keluarga di Hawaii. Perjalanan pulang beliau diikuti dengan rapat oleh rakyat dan beliau dilaporkan mendarat di Kota Bharu pada petang 27 Disember 2014.

Pada sekitar masa yang sama, jet peribadi yang digunakan beliau dan keluarga yang berpendaftaran 9M-NAA dilaporkan mendarat di Indianapolis sekitar jam 652 petang waktu Malaysia pada 26 Disember 2014. Mengikut semakan perjalanan 9M-NAA di laman www.flightradar24.com jet peribadi 9M-NAA itu kekal berada di Indianapolis selama enam hari sebelum berlepas ke Los Angeles, New York, London, Dubai dan destinasi terakhir di Bangkok.

Sehingga sekarang, pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak enggan memaklumkan siapakah sebenarnya yang berada di atas pesawat 9M-NAA itu sedangkan Perdana Menteri berada di Malaysia menguruskan bencana banjir. Persoalan lebih besar yang menjadi misteri: apakah istimewanya Indianapolis sehingga pesawat 9M-NAA itu singgah selama 6 hari di situ?

Sepanjang siasatan yang dilakukan oleh NOW (National Oversight & Whistleblowers) mengenai pembelian jet peribadi baru oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak, fakta-fakta berikut telah disahkan:

1. Jet peribadi baru yang dibeli iaitu ACJ320 9H-AWK sebelum ini dimiliki oleh Comlux Aviation Group. Semakan di laman Comlux iaitu www.comluxaviation.com menunjukkan bahawa pengkalan untuk rekabentuk, ubahsuai dan naiktaraf kabin jet peribadi terletak di Indianapolis, Amerika Syarikat (lihat paparan dari laman Comlux yang disertakan bersama)

comluxindianapolis

2. Perjanjian sewabeli jet peribadi baru ACJ320 9H-AWK ditandatangani pada 1 Disember 2014

3. Dalam bulan Oktober 2013, Comlux telah mengumumkan bahawa ia telah selesai menaiktaraf jet peribadi kegunaan Ketua Negara Malaysia setelah kerja-kerja naiktaraf bermula dalam bulan Jun 2013

4. Perjanjian pembelian jet ACJ320 9H-AWK menunjukkan ia melibatkan kerja-kerja naiktaraf kabin

Berdasarkan maklumat-maklumat ini, adalah tidak munasabah bahawa jet peribadi sedia ada ACJ319 9M-NAA singgah di Comlux, Indianapolis untuk kerja-kerja naiktaraf kabin kerana pesawat itu baru sahaja dinaiktaraf setahun sebelum itu.

Kita juga tahu bahawa pada 26 Disember 2014 semasa pesawat ACJ319 9M-NAA singgah di Indianapolis selama 6 hari secara misteri, Kerajaan Malaysia telah pun membeli jet peribadi baru ACJ320 9H-AWK.

Makanya, persoalan yang berlegar ialah ada kemungkinan besar penumpang yang menaiki ACJ319 9M-NAA singgah di Indianapolis untuk meninjau sendiri kerja-kerja naiktaraf jet peribadi baru yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia.

Oleh kerana Dato’ Seri Najib Tun Razak sudah pulang ke Malaysia pada ketika itu, soalan seterusnya yang berlegar ialah siapakah sebenarnya VVIP yang singgah di pengkalan Comlux yang sedang menaiktaraf jet peribadi baru yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia?

Spekulasi yang berlegar ialah kemungkinan besar isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor adalah VVIP yang menggunakan ACJ319 9M-NAA untuk singgah di Indianapolis dan meninjau sendiri kerja-kerja menaiktaraf jet peribadi baru ACJ320 9H-AWK yang baru dibeli Kerajaan Malaysia.

Keengganan Dato’ Seri Najib mengesahkan siapa VVIP yang menggunakan pesawat ACJ319 9M-NAA dan apakah tujuan pesawat itu singgah di Indianapolis selama 6 hari hanya akan menguatkan spekulasi ini, maka perkara yang terbaik ialah Dato’ Seri Najib perlu mendedahkan:

1. Siapa penumpang di atas ACJ319 9M-NAA ketika ia singgah di Indianapolis?

2. Apakah tujuan sebenar rombongan yang menggunakan jet rasmi kerajaan itu singgah selama 6 hari di Indianapolis?

Tanpa jawapan yang telus, perkara-perkara begini akan terus menimbulkan kemarahan rakyat.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Isu Jet Baru: Jangan Gunakan Nama Baik YDP Agong Dan Perincikan Penggunaan Semua Jet

17 MAC 2015

Saya kesal kerana maklumbalas pertama dari Jabatan Perdana Menteri berhubung kontroversi pembelian jet peribadi (“private jet”) baru adalah dengan mengheret nama baik DYMM Yang DiPertuan Agong, kononnya pembelian ini perlu untuk kegunaan Yang DiPertuan Agong.

Tindakan ini tidak bertanggungjawab kerana rakyat dapat membezakan berapa kali Yang DiPertuan Agong terlibat di dalam lawatan-lawatan rasmi ke luar negara berbanding dengan Perdana Menteri sendiri. Bagi tempoh 2008 hingga 2013 seperti jawapan Parlimen kepada soalan YB Nga Kor Ming, kerajaan terpaksa membayar kos RM44 juta bagi semua lawatan ke luar negara melibatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Itu kos operasi sahaja tidak termasuk kos pembelian dan sewa beli jet-jet peribadi kerajaan.

Oleh itu, jika benar jet peribadi baru ini diperlukan untuk kegunaan Yang DiPertuan Agong seperti yang didakwa Jabatan Perdana Menteri, saya mencabar Dato’ Seri Najib Tun Razak memperincikan setiap perjalanan jet-jet peribadi milik kerajaan dan siapakah yang menggunakan jet-jet peribadi ini termasuklah Boeing Business Jet (BBJ) dan Airbus Commercial Jetliner (ACJ319) yang sedia ada? Berapa kali sebulan jet-jet ini digunakan hingga jumlah jet yang sedia ada tidak mencukupi dan perlu ditambah lagi?

Alasan Jabatan Perdana Menteri bahawa pembelian ini perlu untuk menggantikan jet BBJ (Boeing Business Jet) yang telah lama juga tidak boleh diterimapakai. Tempoh boleh guna sebuah jet Boeing komersil adalah di antara 20 hingga 25 tahun bila disenggara mengikut jadual seperti amalan industri penerbangan. Jet BBJ yang dimiliki oleh Kerajaan Malaysia hanya berusia 16 tahun dan tidak pun digunakan sekerap jet komersil kerana hanya digunakan sekali-sekala untuk keperluan rasmi kerajaan.

Oleh yang demikian, alasan yang diberikan oleh Jabatan Perdana Menteri tidak boleh diterima rakyat kerana masih belum menjawab di mana kewajaran membeli satu lagi jet peribadi untuk kegunaan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri beliau.

Saya menasihati Perdana Menteri berterus terang sahaja dan tidak menggunakan pegawai-pegawai di Jabatan Perdana Menteri untuk mengelak dari menjawab isu ini.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Kontrak Sewa Beli Jet Peribadi Baru Perdana Menteri Berjumlah RM465,411,952.58

17 MAC 2015

Saya telah mendedahkan semalam bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak telah membeli sebuah lagi jet peribadi (“private jet”) kerajaan jenis ACJ320. Perkara ini telah disahkan oleh Jabatan Perdana Menteri melalui satu kenyataan yang dikeluarkan lewat semalam.

Isu utama yang dipersoalkan ialah kewajaran membeli sebuah lagi jet peribadi di kala kerajaan sudah pun mempunyai 6 jet peribadi termasuklah pesawat ACJ319 sedia ada. Tambahan pula kedudukan kewangan negara yang dibebani dengan hutang sehingga subsidi minyak pun terpaksa dihapuskan menimbulkan kemarahan rakyat apabila dana rakyat seolah-olah digunakan untuk Perdana Menteri dan Jemaah Menteri bersenang-lenang.

Oleh sebab itu, rakyat perlu tahu berapakah dana rakyat yang telah dan akan digunakan untuk membiayai pembelian jet peribadi baru ini. Bersama-sama ini saya sertakan satu mukasurat perjanjian di antara Kerajaan Malaysia dan Jet Premier One (Malaysia) Sdn Bhd yang memperincikan kos pembelian jet peribadi baru ACJ320 ini.

Perlu diingatkan bahawa kos yang diperincikan di sini hanyalah kos membeli (melalui kaedah sewa beli) dan tidak termasuk kos operasi, kos penyenggaraan dan lain-lain yang dipersetujui melalui satu lagi perjanjian.

page2-contractvalue

Butir-butir utama pembelian jet peribadi baru ACJ320 untuk kegunaan Perdana Menteri, keluarga dan Jemaah Menteri adalah seperti berikut:

1. Kerajaan Malaysia akan membayar pembelian ini dengan pembayaran deposit USD20 juta (telah dibayar) dan bakinya dibayar melalui ansuran bulanan selama 15 tahun

2. Bayaran deposit USD20 juta yang telah dibayar adalah bersamaan RM65.22 juta mengikut kadar tukaran matawang yang ditetapkan semasa perjanjian iaitu USD1 bersamaan RM3.261

3. Kerajaan Malaysia akan membayar ansuran sebanyak USD679,984 sebulan bersamaan RM2.217 juta sebulan selama 15 tahun untuk melangsaikan baki hutang

4. Jumlah kos sewa beli keseluruhan untuk membeli jet peribadi baru ini adalah RM465,411,952.58 termasuk yuran perkhidmatan (“entry into services”)

5. Sebarang risiko kadar matawang yang menyusut ditanggung oleh Kerajaan Malaysia sepanjang tempoh 15 tahun itu. Dalam keadaan nilai matawang Ringgit Malaysia turun seperti sekarang, Kerajaan Malaysia akan membayar lebih untuk menanggung kerugian akibat nilai matawang Ringgit Malaysia yang jatuh

Berdasarkan terma-terma ini, sudah tentu harga akhir yang akan ditanggung oleh rakyat adalah lebih tinggi dari RM465,411,952.58. Saya yakin tidak ada rakyat Malaysia yang bersetuju membelanjakan hamper setengah billion Ringgit Malaysia dana rakyat sedangkan masih ada mangsa banjir di Kelantan yang tinggal di dalam khemah.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Pentadbiran Dato’ Seri Najib Beli “Private Jet” Baru

16 MAC 2015

Dalam suasana rakyat tertekan akibat kenaikan harga barang dan Barisan Nasional terus memotong subsidi dan perbelanjaan pro-rakyat yang lain, saya terkejut dengan sikap tiada kepedulian pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang dengan sewenang-wenangnya membeli sebuah jet peribadi (“private jet”) baru.

Menurut jawapan Parlimen yang diberikan Jabatan Perdana Menteri pada sidang November 2013, Kerajaan Malaysia sudah mempunyai sekurang-kurangnya 6 jet peribadi termasuklah sebuah Boeing Business Jet.

Saya sertakan bersama satu surat perjanjian yang mengesahkan pembelian jet baru ini yang bertarikh 1 Disember 2014. Perolehan jet peribadi baru untuk Perdana Menteri ini dianugerahkan secara rundingan terus kepada Jet Premier One (Malaysia) Sdn Bhd yang turut mengendalikan jet peribadi sedia ada iaitu ACJ319.

page1

Penggunaan jet peribadi sedia ada iaitu ACJ319 melibatkan kos sebanyak RM28.8 juta setahun dalam bentuk sewaan dan RM5.5 juta setahun dalam bentuk kos penyenggaraan.

Pembelian sebuah lagi jet peribadi baru yang kini di bawah pendaftaran 9H-AWK dan telah siap dicat dengan logo 1Malaysia (seperti di dalam gambar yang disertakan) membuktikan bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak terus menerus bergelumang di dalam keborosan dan pembaziran, pada kala negara masih dikejutkan dengan skandal kewangan 1MDB.

newjet2

Tindakan membeli sebuah lagi jet peribadi baru ini sudah tentu menimbulkan kemarahan rakyat pada kala rakyat terpaksa berdepan dengan pelaksanaan GST dalam tempoh 2 minggu dari sekarang. Rakyat terpaksa menanggung cukai baru yang sebahagiannya akan digunakan untuk membayar jet peribadi baru Perdana Menteri ini.

Saya mendesak supaya pembelian jet ini dibatalkan serta merta dan Dato’ Seri Najib Tun Razak meminta maaf dengan rakyat kerana tindakan membeli jet peribadi baru ini membelakangkan kepentingan rakyat.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN