Category Archives: Felda

Felda Perlu Jelaskan Status Pemilikan Hotel Grand Plaza Kensington – Milik Felda Dan Bukan Milik Orang Kuat Felda?

Saya berterima kasih kepada Tan Sri Shahrir Samad, Pengerusi Felda. Gara-gara beliau mengumpamakan penjualan harta dan hotel Felda di London sebagai menjual Ferrari, saya meluangkan masa untuk mengkaji urusniaga dan penyata-penyata kewangan anak-anak syarikat milik Felda yang membeli banyak harta di London.

Saya bernasib baik kerana di negara seperti United Kingdom, segala maklumat kewangan dan pemilikan harta dapat disemak secara terbuka oleh sesiapa. Maka, apa yang tersembunyi di Malaysia akan terbongkar di United Kingdom.

Nasihat saya kepada pembesar-pembesar negara, jika ada niat untuk mencuri wang rakyat – sebaiknya larikan wang itu untuk membeli tanah di Zimbabwe atau di tengah-tengah safari Afrika. Di negara-negara tersebut, harta pembesar dilindungi oleh undang-undang kerahsiaan yang tidak kurang ketatnya macam Malaysia.

Namun kebiasaan dan keangkuhan banyak yang terjebak dengan penyelewengan wang rakyat – mereka gemar membeli harta di negara-negara seperti Singapura, United Kingdom atau Amerika Syarikat. Sebab itu dengan mudah saya dapat menjejaki kondominium dan pasar raya milik keluarga menteri di Singapura semasa skandal NFC dulu.

Hari ini, saya akan mula mendedahkan satu demi satu bagaimana wang rakyat dibelanjakan sesuka hati kerana semua penyata kewangan diaudit dan penyata wajib yang perlu difailkan di United Kingdom boleh diperolehi secara percuma.

 

Fungsi Felda Investment Corporation (FIC) Sebagai Unit Pelaburan Strategik

Selama ini, Felda melaporkan bahawa pembelian hotel Grand Plaza Kensington yang menelan belanja RM330 juta dalam tahun 2014 itu dibuat melalui anak syarikatnya Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) yang menubuhkan pula sebuah anak syarikat khusus di United Kingdom untuk memegang harta hotel itu.

Ini dinyatakan oleh Felda di dalam penyata kewangannya yang diaudit bagi tahun 2014 di dalam Nota 43 yang menyenaraikan semua anak-anak syarikatnya di seluruh dunia, seperti yang saya tunjukkan:

Perhatikan bahawa penyata kewangan Felda dengan jelas menamakan FIC London Hotel Limited, sebuah syarikat yang ditubuhkan di United Kingdom dan dimiliki 100% oleh FIC Sdn Bhd (“FIC”) adalah syarikat pegangan pelaburan hartanah.

Malah, dalam laporan tahunan Felda yang terkini (tahun 2015), Felda memberi tumpuan kepada pelaburan-pelaburan FIC terutamanya Hotel Grand Plaza Kensington.

Penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun 2015 turut mengambil kira pinjaman yang diambil di United Kingdom berjumlah RM111.4 juta (nilai dalam ringgit bagi pinjaman sebanyak GBP17.5 juta). Menurut penyata kewangan diaudit, pinjaman itu diambil dari bank dengan mencagarkan sepenuhnya saham-saham Felda di dalam FIC London Hotel (Private) Limited (yang memiliki hotel itu) dan Grand Plaza Kensington Limited (yang mengendalikan hotel itu bagi pihak pemiliknya).

Nota 49 dalam penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun 2015 memasukkan satu nota khusus mengenai FIC London Hotel (Private) Limited yang dimiliki sepenuhnya oleh FIC.

Maka, berdasarkan penyata-penyata kewangan yang diaudit ini bagi tahun 2014 ke 2015, seluruh rakyat Malaysia (termasuklah saya) menerima bulat-bulat bahawa Hotel Grand Plaza Kensington yang memakan RM330 juta wang peneroka Felda itu adalah milik peneroka juga.

Ramai yang tidak tahu bahawa anak-anak syarikat Felda di seluruh dunia sebenarnya tidak diaudit oleh Ketua Audit Negara, seperti Nota 43 dalam penyata kewangan setiap tahun:


FIC London Hotel (Private) Limited, Syarikat UK Milik Penuh FIC TIDAK WUJUD!

Saya menghabiskan masa 48 jam lalu membina kembali aliran wang dari setiap syarikat untuk memastikan ia benar-benar kembali kepada Felda. Walaupun Felda dan pihak berkuasa di Malaysia langsung tidak memberikan sebarang maklumat kecuali laporan tahunan yang dihantar ke Parlimen, saya ada maklumat yang mencukupi dari penyata-penyata kewangan anak-anak syarikat Felda di United Kingdom.

Anak syarikat milik penuh Felda (melalui FIC) yang mengendalikan operasi Hotel Grand Plaza Kensington adalah Grand Plaza Kensington Ltd (yang ditubuhkan di United Kingdom). Saya sertakan penyata kewangan terkini yang diaudit setakat 31 Disember 2016:

Download (PDF, 404KB)

Pengarah-pengarahnya tidak lain dan tidak bukan Tan Sri Isa Samad sendiri, Dato’ Hanapi Suhada (bekas Pengarah Besar Felda) dan Mohammed Jefri (yang menjadi CEO kepada hotel itu).

 

Analisa ringkas ke atas penyata pendapatan anak syarikat Felda ini dengan mudah mengesahkan bahawa:

i. Perniagaannya untung dari aktiviti perhotelan yang dijalankan (dengan melihat “gross profit”)
ii. Keseluruhan pendapatannya datang dari aktiviti perhotelan
iii. Sebahagian besar dari kos pentadbiran (“Administrative expenses”) yang menyebabkan ia rugi adalah disebabkan oleh bayaran “sewa” kepada pemilik hotel itu iaitu FIC London Hotel (Private) Limited (seperti yang ditunjukkan dalam Nota 9)

Maka, saya pun mencari rekod korporat dan prestasi satu lagi anak syarikat Felda yang disebut sebagai syarikat pelaburan yang memiliki hotel tersebut, iaitu FIC London Hotel (Private) Ltd. Ini boleh dibuat mudah dengan menaipkan nama syarikat itu di lama Companies House (iaitu badan yang sama fungsinya seperti SSM di Malaysia).

Yang tidak mudah ialah apabila saya mula sedar bahawa syarikat itu tidak wujud. Sebuah syarikat yang dinyatakan di dalam penyata kewangan Felda yang diaudit dan diakui benar dan tepat maklumatnya di bawah satu perakuan sumpah dan dimaklumkan kepada seluruh dunia bahawa syarikat itulah yang memegang harta kebanggaan Felda iaitu sebuah hotel berharga RM330 juta di kawasan elit London – SYARIKAT ITU TIDAK WUJUD!

Saya terpaksa menyemak setiap satu mukasurat untuk memastikan bahawa syarikat itu benar-benar tidak wujud dan selepas beberapa jam di tengah malam, saya berpuas hati bahawa ada sesuatu yang benar-benar tidak kena.

Lalu saya menyemak nama penuh syarikat itu “FIC London Hotel (Private) Limited” di Google untuk mengesan di mana agaknya syarikat ini didaftarkan.

Walaupun keputusan yang diberikan Google itu sepatutnya mengejutkan, saya sudah boleh mengagak dari mana syarikat ini berasal dan ditubuhkan. Carian di Google hanya memberikan 3 keputusan: iklan untuk menempah bilik, dari portal Parlimen Malaysia yang mengesan nama syarikat itu di dalam Laporan Felda 2015 yang dimuatnaik di laman Parlimen dan satu senarai syarikat-syarikat yang ditubuhkan dan didaftarkan di British Virgin Island (BVI), iaitu kaedah menyembunyikan pemilik syarikat kerana sampai bila-bila kita tidak akan tahu siapa sebenarnya pemilik syarikat ini.

 

Felda Bayar RM330 Juta Beli Hotel, Tapi Geran Sahkan Pemiliknya Syarikat Hantu dari BVI!

Lewat malam semalam, saya sudah tahu bahawa ini bukan lagi soal Felda tiada wang dan penjualan hotel itu akan merugikan Felda. Bukan lagi soal Ferrari.

Saya dapat merasakan bahawa ada perkara yang lebih besar yang berunsur jenayah, penipuan, salah laku komersil (fraud), pengubahan wang dan pelbagai lagi jenayah yang melebihi soal mengambil untung atas angin dengan memakan wang rakyat apabila hotel dibeli pada harga yang mahal.

Perkara terakhir yang saya perlu lakukan ialah menyemak geran hak milik Hotel Grand Plaza Kensington yang menjadi kebanggaan Tan Sri Isa Samad dan Tan Sri Shahrir Samad itu. Ia juga mudah dilakukan – saya hanya perlu membayar GBP3 bagi setiap geran.

Download (PDF, 5KB)

Saya sertakan geran-geran bagi hak milik Hotel Grand Plaza Kensington yang mengesahkan perkara-perkara berikut:

i. Hotel Grand Plaza Kensington (iaitu hartanah beralamat 18, Lexham Gardens, London W8) didaftarkan hakmiliknya kepada sebuah syarikat bernama FIC London Hotel (Private) Limited yang didaftarkan di BVI (seperti semakan saya).

ii. Ada 6 geran hakmilik bagi hartanah ini iaitu geran-geran bernombor LN78344, LN68424, LN80430, LN191456, lN204984 and LN206711yang saya sertakan bersama.

iii. Hotel Grand Plaza Kensington tidak dimiliki oleh sebuah anak syarikat milik penuh Felda yang ditubuhkan di United Kingdom seperti yang diisytiharkan di dalam penyata kewangan Felda yang diaudit dalam tahun-tahun 2014 dan 2015. Syarikat itu tidak wujud langsung.

iv. Tiada siapa yang dapat sahkan siapa pemilik sebenar FIC London Hotel (Private) Limited yang didaftarkan di BVI yang bukan sahaja memiliki hotel tersebut, tetapi besar kemungkinan juga mendapat bayaran sewa bulanan dan bayaran-bayaran lain sehingga menyebabkan hotel yang ada untung kasar yang besar mengalami kerugian saban tahun.

v. Hotel itu telah digadaikan kepada sebuah bank asing bernama Bangkok Bank Public Company Limited sebagai cagaran kepada pinjaman yang diambil oleh syarikat BVI ini.

vi. Harga yang dibayar untuk membeli dan mendapat hakmilik hotel ini adalah sebanyak GBP45.9 juta pada 13 Oktober 2014, bukannya GBP 60 juta seperti yang diumumkan kepada rakyat. Ini bermakna, sebanyak RM90 juta (nilai ringgit bagi GBP15 juta) telah diselewengkan, selain dari hakmilik yang tidak didaftarkan kepada Felda.

Saya percaya dengan pendedahan pertama ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shahrir Samad dan Tan Sri Isa Samad tahu yang saya sudah pun memiliki semua maklumat lain untuk mendedahkan transaksi yang lain.

Saya nasihatkan supaya mereka bertiga tampil memberi penjelasan dengan ikhlas, terbuka dan berhati-hati. Saya tidak akan teragak-agak membuat seberapa banyak laporan polis ke atas setiap satu kesalahan yang telah dilakukan bagi setiap transaksi supaya jika Barisan Nasional kalah dalam PRU14 nanti, bukan sahaja Dato’ Seri Najib yang bakal berhadapan dengan pelbagai siasatan, kepimpinan Felda seperti kedua-dua tokoh veteran Umno ini akan diheret sama.

Saya akan teruskan dengan pendedahan seterusnya hari Isnin ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Perbelanjaan Misteri RM80 Juta Punca Operasi Grand Plaza Serviced Apartments Rugi

Felda masih lagi memberi sebarang maklum balas mengenai isu pemilikan 198 unit apartment di Grand Plaza Serviced Apartments di London yang saya timbulkan semalam. Saya mendedahkan bagaimana akibat kerugian yang berlaku sejak 2014 (setelah mengambil alih operasi mewah di London itu) akan menyebabkan Felda tetap rugi kalau pun ia berjaya menjual hartanah itu pada harga yang lebih tinggi selepas ini.

Untuk rekod pembaca, Felda telah melantik ejen-ejen hartanah untuk mencari pembeli kepada hartanah mewah miliknya itu.

Hari ini, saya akan mendedahkan pula bagaimana operasi yang sepatutnya memberi pulangan yang sangat lumayan tiba-tiba mengalami kerugian setiap tahun setelah Felda membelinya.

Saya mula mengesyaki bahawa ada sesuatu yang perlu diselidiki dengan lebih mendalam setelah membaca laporan penilaian keberuntungan Grand Plaza SA yang dibuat oleh CBRE (ejen hartanah yang dilantik Felda sendiri). Di dalam laporannya kepada bakal pembeli, CBRE menyatakan bahawa pemilik baru Grand Plaza SA ada peluang untuk mendapatkan keuntungan dan pulangan yang menarik memandangkan prestasi kewangan Grand Plaza SA di bawah pemilik sekarang (Felda) menunjukkan prestasi di bawah keuntungan purata pasaran (rujuk mukasurat 28).

Sedangkan CBRE menjelaskan bahawa EBITDA (earnings before interest, tax, depreciation and amortisation) iaitu peratus keuntungan dari operasi berbanding pendapatan dari operasi adalah sekitar 50%.

EBITDA sebuah syarikat adalah ukuran sama ada operasi perniagaan yang dijalankan mendatangkan keuntungan atau tidak. EBITDA mengukur jumlah wang yang masuk berbanding jumlah wang yang dibayar untuk kos operasi, kecuali wang keluar masuk yang bersabit dengan pembiayaan, susut nilai (kerana bukan melibatkan wang keluar masuk, hanyalah satu angka perakaunan) dan cukai pendapatan.

Oleh itu, operasi Grand Plaza SA yang mencapai margin EBITDA 50% hanya rugi jika faedah ke atas pembiayaan yang diambil, cukai yang dibayar dan caj susut nilai melebihi dari 50% dari pendapatan.

Pendapatan dari hasil sewaan Grand Plaza SA boleh ditentukan dengan merujuk kepada penyata kewangan syarikat milik penuh Felda yang memiliki hartanah tersebut, iaitu FIC UK Properties Sdn Bhd. Saya sertakan rekod rumusan kewangan yang difailkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi tahun-tahun 2013 ke 2015 yang menunjukkan pendapatan dari hasil sewaan Grand Plaza SA seperti berikut:

1. 2013 – RM15.7 juta
2. 2014 – RM50.9 juta
3. 2015 – RM53.5 juta

Maka, operasi Grand Plaza SA ini hanya akan rugi sekiranya jumlah (faedah + cukai + susut nilai) masing-masing melebihi RM8 juta (2014), RM25 juta (2015) dan RM27 juta (2016).

Dengan berpandukan penemuan mudah ini, saya tahu serta merta bahawa ada yang tidak kena kerana Felda tidak mengenakan apa-apa faedah ke atas FIC UK Properties Sdn Bhd seperti yang dilaporkan di dalam penyata kewangannya yang diaudit dari tahun 2013 ke 2015 yang telah saya semak.

Jumlah caj susut nilai biasa ke atas hartanah sebegini selalunya sekitar 2% setiap tahun dari nilai hartanah. FIC UK Properties Sdn Bhd merekodkan hartanah Grand Plaza SA sekitar RM540 juta berdasarkan rumusan kewangan dari SSM – oleh itu nilai caj susut nilai tahunan sepatutnya sekitar RM10 juta setahun sahaja.

Dari penyata kewangan Felda yang diaudit, (semak Nota ) saya dapat menentukan bahawa ada satu lagi anak syarikat Felda yang ditubuhkan di United Kingdom khusus untuk mengendalikan operasi perniagaan menyewakan 198 unit Grand Plaza Serviced Apartments ini.

 

Saya mendapati bahawa Felda sebenarnya menubuhkan dua buah syarikat bagi tujuan yang berbeza seperti berikut:

1. FIC UK Properties Sdn Bhd (100% milik Felda, ditubuhkan di Malaysia) – sebagai pemilik kepada hartanah tetapi tidak mengendalikan operasi perniagaan

2. FIC Grand Plaza Ltd (100% milik FIC UK Properties Sdn Bhd, ditubuhkan di United Kingdom) – sebagai pengendali yang menjalankan operasi bagi pihak FIC UK Properties Sdn Bhd

Oleh kerana penyata kewangan diaudit bagi syarikat-syarikat yang ditubuhkan di United Kingdom boleh diperolehi secara percuma, saya sertakan laporan kewangan yang diaudit bagi FIC Grand Plaza Ltd bagi tempoh dari hari pertama mengambil alih (2014) hingga ke tahun kewangan terkini iaitu 2016.

Ini membolehkan saya menjalankan analisa untuk mengenal pasti adakah kerugian seperti yang ditunjukkan di dalam akaun Felda (melalui FIC UK Properties Sdn Bhd yang digabungkan di dalam penyata kewangan Felda) adalah berpunca dari perniagaan yang benar-benar merugikan, atau ada unsur-unsur penyelewengan atau amalan tata kelola yang lemah.

Download (PDF, 127KB)

Download (PDF, 401KB)

Download (PDF, 563KB)

Analisa ini dijalankan untuk menentukan perkara-perkara berikut:

i. Membandingkan pendapatan di dalam FIC Grand Plaza dengan FIC UK Properties untuk memastikan pendapatan yang dilaporkan dan ditaksirkan di dalam FIC Grand Plaza Ltd adalah padan dengan pendapatan yang dilaporkan oleh FIC UK Properties

ii. Menentukan sama ada kerugian dari operasi Grand Plaza SA (seperti yang berlaku dan ditunjukkan di dalam penyata kewangan Felda) ada kena mengena dengan apa-apa tanggungan faedah, cukai dan susut nilai; atau disebabkan oleh faktor-faktor lain

Saya sertakan salinan analisa kewangan (yang saya akan terangkan secara terperinci di dalam sidang media melalui Facebook jam 6 petang ini) yang menimbulkan dan membuktikan perkara-perkara berikut:

Download (PDF, 71KB)

i. Ada perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak berkaitan dengan operasi Grand Plaza SA yang dikenakan oleh pihak ketiga (sama ada orang perseorangan, syarikat dari kumpulan Felda atau syarikat yang tidak ada kena mengena dengan Felda) kepada FIC Grand Plaza Ltd yang jumlahnya masing-masing diunjurkan sekitar RM25 juta (2014), RM29 juta (2015) dan RM28 juta (2016).

Perbelanjaan-perbelanjaan yang mencecah RM82 juta setakat ini ditunjukkan sebagai kos pentadbiran (administrative expenses). Oleh kerana perbelanjaan seperti ini tidak memberi gambaran yang tepat mengenai keberuntungan (“profitability”) sebenar sesebuah operasi perniagaan, sebab itulah banyak laporan kewangan merujuk kepada EBITDA yang mengasingkan perbelanjaan-perbelanjaan “pengurusan/pentadbiran” seperti ini.

ii. Salah satu perbelanjaan sebegitu yang diisytiharkan di dalam penyata kewangan FIC Grand Plaza Ltd (atas kehendak undang-undang) ialah bayaran gaji kepada pengarah-pengarah. Semakan saya ke atas kesemua penyata kewangan diaudit FIC Grand Plaza Ltd dari penubuhan hingga sekarang menunjukkan kesemua ahli lembaga pengarahnya dilantik oleh Felda dan merupakan pegawai-pegawai kanan Felda.

Peneroka Felda perlu tahu bahawa pimpinan kanan Felda ini dibayar secara purata sehingga RM10,000 sebulan untuk menjadi ahli Lembaga Pengarah sebuah syarikat yang operasinya hanya menyewakan apartment mewah di London.

Gaji sehingga RM10,000 sebulan ini adalah tambahan kepada pelbagai gaji, elaun dan keistimewaan lain sedangkan mereka tidaklah ada apa-apa peranan yang kritikal kepada operasi anak syarikat Felda di United Kingdom ini.

iii. Tan Sri Isa Samad masih lagi salah seorang dari Lembaga Pengarah syarikat ini yang mendapat manfaat tersebut. Beliau dilantik pada 28 Mei 2016 dan semakan saya dengan rekod syarikat di Companies House UK menunjukkan beliau masih lagi kekal ahli Lembaga Pengarah sehingga kini.

Download (PDF, 20KB)

Download (PDF, 102KB)

 

Saya percaya ada banyak perkara yang diperjelaskan hasil dari analisa kewangan ringkas ini, termasuklah butiran perbelanjaan-perbelanjaan berbentuk pengurusan dan pentadbiran yang dicaj ke anak syarikat ini sehingga mengakibatkan kerugian sedemikian rupa.

Saya ada banyak lagi perkara-perkara yang akan menimbulkan banyak persoalan mengenai keborosan Felda melalui anak-anak syarikat luar negara seperti ini. Saya berharap Felda akan memberi penjelasan kerana pendedahan-pendedahan selepas ini akan memalukan Felda.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Felda: Bila Beli Ferrari Pakai Duit Rakyat, Rakyat Yang Rugi

Saya membaca laporan Malaysiakini https://www.malaysiakini.com/news/397645 mengenai temuramah dengan Tan Sri Shahrir Samad, Pengerusi Felda yang disiarkan oleh akhbar China Press.

Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Shahrir di dalam temuramah tersebut sangat mengejutkan. Ia kenyataan yang pada pandangan saya adalah bongkak dan tidak menunjukkan kepimpinan Felda (dan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang melantik beliau sebagai Pengerusi Felda) memahami kepayahan yang akan dialami rakyat Malaysia keseluruhannya (dan warga Felda khususnya) jika kedudukan kewangan Felda terus meruncing.

Saya berkata beliau (Tan Sri Shahrir) adalah bongkak kerana beliau memperlekehkan skandal kewangan Felda yang akan diwariskan kepada rakyat (baik pembayar cukai yang akan menanggung sebarang suntikan baru, atau warga Felda yang akan melalui pelbagai potongan dan kepayahan selepas ini).

Saya sertakan beberapa perkara yang dilaporkan oleh Malaysiakini dari wawancara Tan Sri Shahrir dengan China Press itu:

i. bahawa tindakan Felda menjual saham-saham pelaburannya (di dalam Maybank) dan hotel di London adalah cara biasa untuk mengumpul dana, bukannya disebabkan kedudukan kewangan Felda yang lemah;

ii. bahawa aset yang dijual dibeli ketika Felda ada banyak wang dan kini bila Felda memerlukan wang, ia dijual kembali. Penjualan aset itu tidak ada kena mengena dengan operasi perladangan atau mana-mana tanah rancangan Felda;

iii. bahawa penjualan hotel (di London) itu bolehlah diumpamakan seperti sebuah kereta Ferrari yang dijual. Beliau dipetik berkata “hotel seperti kereta Ferrari yang jarang kita pandu. Bila dijual bukannya rugi, cuma jatuh air muka saja”;

iv. Tan Sri Shahrir mengesahkan bahawa insentif RM5,000 yang dibayar kepada setiap dari 94,956 keluarga peneroka (seperti yang diumumkan Dato’ Seri Najib) berjumlah RM474.7 juta dibayar dari hasil harta-harta Felda yang dijual dan satu pinjaman baru dari bank yang melanggan bon baru yang diterbitkan

v. bahawa pada awal beliau mengambil alih jawatan Pengerusi Felda, tidak ada bank yang percaya dengan Felda. Hanya kebelakangan ini, apabila bank-bank merasakan Felda telah “insaf”, barulah ada bank yang mahu membantu.

Saya yakin bahawa orang ramai yang mendalami kenyataan-kenyataan itu pun bersetuju dengan saya bahawa kenyataan-kenyataan di atas adalah bongkak kerana ia seolah-olah tidak mahu mengakui bahawa berbilion ringgit wang Felda telah pun hilang begitu sahaja.

Malah, Tan Sri Shahrir sendiri yang mula-mula menimbulkan isu wang dari Felda yang hilang seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian pada 11 Februari 2017 (rujuk http://www.sinarharian.com.my/nasional/jadi-rm4-3-bilion-ini-mana-pergi-tanya-shahrir-1.626497)

Tan Sri Shahrir sendiri yang mencari ke mana RM4.3 bilion wang Felda hasil dari menjual hartanya di pasaran saham melalui penyenaraian FGV.

Saya terus menjawab soalan Tan Sri Shahrir itu dengan memperbetulkan kiraan beliau bahawa wang Felda yang telah dibelanjakan dan tidak diterjemahkan kepada keuntungan kepada peneroka dan kerajaan bukanlah RM4.3 bilion seperti yang ditimbulkan oleh beliau, tetapi RM11.4 bilion.

Dalam kenyataan bertarikh 1 Mac 2017 untuk menjawab pertanyaan Tan Sri Shahrir itu, saya telah menyatakan bahawa kiraan yang lebih tepat hendaklah mengambil kira kesemua jumlah wang rakyat yang dikendalikan oleh Kumpulan Felda sejak 2010 (dan bukannya wang hasil dari menjual harta Felda melalui penyenaraian FGV semata-mata).

Saya telah bentangkan bahawa jumlah keseluruhan dari bentuk sumber wang yang dikendalikan Kumpulan Felda sejak 2010 adalah sebanyak RM11.4 bilion berdasarkan kiraan:

1. Baki wang yang ada ditangan Felda semasa Tan Sri Isa Samad mula-mula mengambil alih kepimpinan Felda pada hujung tahun 2010. Baki ini dilaburkan dalam bentuk pembelian saham, bon dan disimpan di bank. Berdasarkan laporan-laporan Ketua Audit Negara, anggaran wang tunai yang diwarisi oleh Tan Sri Isa Samad semasa beliau mengambil alih kepimpinan Felda adalah RM5.372 bilion.

2. Pinjaman yang telah dibuat oleh Kumpulan Felda sejak tahun 2010 selepas Tan Sri Isa Samad mengambil alih. Semakan penyata kewangan setakat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 menunjukkan jumlah hutang kumpulan Felda (sebahagian besarnya dengan KWSP) telah mencecah RM7.769 bilion. Jumlah baki tunai terkumpul bagi kumpulan Felda bagi tempoh yang sama ialah RM1.706 bilion.

3. Maka, jumlah wang rakyat yang telah dikendalikan dan dibelanjakan oleh Kumpulan Felda adalah RM11.354 bilion (iaitu Baki di tangan @ 2010 + Pinjaman 2010 ke 2014 – Baki di tangan @ 2014).

(Rujuk http://rafiziramli.com/2017/03/mana-wang-felda-rm4-3-billion-tan-sri-shahrir-samad-sepatutnya-cari-rm11-4-bilion-wang-felda-bukan-rm4-3-billion/ untuk bukti-bukti angka dari dokumen rasmi)

Sebab itu apabila Tan Sri Shahrir mengumpamakan penjualan aset seperti hotel di London seperti menjual Ferrari yang jarang dipakai, beliau seolah-olah lupa bahawa Ferrari itu dibeli menggunakan wang rakyat yang diamanahkan kepada Felda. Apatah lagi dalam keadaan wang itu adalah sebahagian dari durian runtuh hasil dari keringat peneroka dan pengurusan terdahulu yang dibelanjakan secara besar-besaran oleh kepimpinan Felda lantikan Dato’ Seri Najib sejak 2010, sehinggakan sekitar RM11.4 bilion dibelanjakan dalam tempoh 5 tahun sahaja.

Kenyataan Tan Sri Shahrir bahawa penjualan hotel itu hanya menjatuhkan air muka sahaja tetapi tidak merugikan Felda juga adalah tidak tepat. Hakikatnya, hotel itu belum lagi dijual dan telah berada di pasaran sejak Julai 2017 lagi – semakan saya menunjukkan sehingga kini belum ada pembeli.

Walau bagaimana pun, kita sudah boleh mengira julat untung atau rugi sekiranya hotel itu dijual pada harga pasaran.

Saya sertakan analisa untung rugi penjualan hartanah Grand Plaza di London untuk menunjukkan bahawa bukan sahaja pembelian hartanah ini dalam tahun 2013 pada harga RM538 juta adalah merugikan kerana tidak sesuai dengan portfolio perniagaan Felda, bila ia dijual dalam keadaan Felda tiada wang dan prestasi perniagaan hartanah itu yang tidak baik – Felda akan kerugian wang (bukannya mendapat wang seperti yang disebut oleh Tan Sri Shahrir Samad).

Download (PDF, 72KB)

Butir-butir berikut diperlukan untuk memahami analisa untung rugi tersebut:

1. Hartanah yang dirujuk akan dijual oleh Felda adalah Grand Plaza Serviced Apartments di alamat 42, Prince’s Square Bayswater yang dibeli dalam tahun 2013 pada harga RM538 juta (rujuk http://www.thestar.com.my/business/business-news/2014/12/16/fic-buys-london-hotel-it-pays-rm330mil-for-4star-park-city-hotel-in-kensington/ dan https://themalaysianreserve.com/2017/07/21/feldas-uk-property-disposal-continue/)

2. Agensi hartanah antarabangsa iaitu Commercial Business Real Estate (CBRE) dan Knight Frank LLP telah dilantik untuk menjadi ejen menjual Grand Plaza SA. Rujukan pada laman-laman hartanah antarabangsa menunjukkan Grand Plaza SA diiklankan dalam bulan Julai 2017 (3 bulan lalu) iaitu padan dengan tarikh Tan Sri Shahrir Samad membuat kenyataan mengenai penjualannya seperti dilaporkan The Malaysian Reserve.

3. Saya telah berjaya mendapatkan buku iklan yang disediakan oleh CBRE untuk memasarkan Grand Plaza SA kepada bakal-bakal pembeli yang saya sertakan di sini (rujuk paparan skrin).

Download (PDF, 2.64MB)

Daripada buku iklan ini, ada pelbagai maklumat kewangan yang boleh digunakan bagi tujuan menentukan sama ada penjualan hartanah ini pada harga semasa akan memberi keuntungan kepada Felda atau pun tidak. Maklumat kewangan itu ialah:

i. Kadar kenaikan nilaian hartanah tersebut di muka surat 24, iaitu dianggarkan sekitar 6% setahun.

ii. Dua petunjuk prestasi kewangan dan keuntungan operasi Grand Plaza SA yang sangat penting iaitu ADR (Average Day Rate atau Kadar Sewa Harian Purata) dan RevPAR (Revenue Per Available Room atau Perolehan Setiap Apartment Yang Boleh Disewakan) di muka surat 21.

ADR dan RevPAR membolehkan kita mengira berapa peratus setiap apartment berjaya disewakan sepanjang tahun. Kiraan untuk menentukan Peratusan Apartment Disewakan adalah RevPAR/ADR, iaitu 83.5%.

Maknanya, secara puratanya, setiap apartment hanya berjaya disewakan sebanyak 83.5% dari 365 hari setiap tahun. Ini membolehkan kita mengira berapa perolehan tahunan dari Grand Plaza SA.

4. Maklumat-maklumat kewangan lain yang perlu untuk melengkapkan analisa ini boleh diperolehi dari ringkasan penyata kewangan FIC UK Properties Sdn Bhd (anak syarikat Felda yang memiliki Grand Plaza SA) yang difailkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia; dan penyata kewangan Felda yang diaudit setakat 31 Disember 2015, seperti saya tunjukkan di bawah:

5. Kadar tukaran GBP kepada MYR menggunakan purata satu tahun 2017 dan ditetapkan pada 5.5 berdasarkan carta Bloomberg di bawah:

 

Menggunakan maklumat-maklumat kewangan di atas, saya telah lengkapkan analisa untuk menentukan untung rugi apabila Grand Plaza SA berjaya dijual pada harga pasaran kelak yang memberi kesimpulan-kesimpulan berikut:

a. Operasi pengendalian Grand Plaza SA sebenarnya tidak pernah menunjukkan keuntungan kecuali di tahun pertama dibeli (2013). Penyata kewangan FIC UK Properties Sdn Bhd mengesahkan Felda rugi RM9 juta (2014) dan rugi semakin besar tahun berikutnya sebanyak RM16.7 juta (2015).

b. Felda tidak berjaya mengutip sewa yang sepatutnya dari Grand Plaza SA. Mengambil kira laporan dari CBRE yang disertakan di dalam buku iklan, sewa yang dikenakan ke atas setiap apartment Grand Plaza adalah lebih rendah dari kadar pasaran (iaitu hanya GBP133 ADR berbanding purata pasaran GBP200).

Dengan kadar bilik disewakan (occupancy rate) yang juga lebih rendah dari pencapaian pasaran (hanya 83.5% berbanding 85%), maka perolehan dari setiap bilik yang boleh disewakan juga lebih rendah dari prestasi pasaran (iaitu hanya GBP111 RevPAR berbanding purata pasaran GBP180).

c. Oleh itu, operasi Grand Plaza SA ini boleh diunjurkan (berpandukan maklumat-maklumat dari buku iklan dan prestasi yang telah diaudit sebelumnya dalam 2013 hingga 2015) akan terus kerugian sekitar RM12 juta setahun dalam 2016 dan 2017. Sejak membeli Grand Plaza SA dalam tahun 2013, jumlah kerugian terkumpul dari operasi sahaja yang ditanggung Felda dijangkakan mencecah RM45 juta.

d. Pembelian Grand Plaza SA dalam tahun 2013 tidak menggunakan sebarang pembiayaan yang distrukturkan secara rasmi (dalam bentuk pinjaman pemegang saham atau pembiayaan institusi luar). Sebaliknya jumlah yang besar itu (RM538 juta dan perbelanjaan lain) hanya didahulukan sahaja dari Felda kepada FIC UK Properties Sdn Bhd (rujuk penyata kewangan dari SSM yang menunjukkan jumlah hutang dikategorikan sebagai liabiliti semasa).

Ini disahkan apabila disemak dengan penyata kewangan Felda melalui Nota 23. Wang yang didahulukan ini datangnya dari pinjaman yang diambil dari KWSP (RM6 bilion sebelum penyenaraian FGV) yang mana Felda perlu membayar faedah setiap tahun. Oleh itu, kos faedah ke atas jumlah yang didahulukan kepada FIC UK Properties Sdn Bhd perlu diambil kira dalam menentukan kos keseluruhan pelaburan Felda membeli Grand Plaza SA.

Kos pembiayaan faedah ke atas hutang KWSP bersabit dengan jumlah wang yang didahulukan itu dianggarkan berjumlah RM136 juta sejak 2013 hingga Grand Plaza SA dijual.

e. Oleh itu, mengambil kira kerugian dari operasi dan kos faedah, pada harga pasaran yang dijangkakan RM680 juta, Felda akan kerugian sekitar RM38 juta apabila Grand Plaza SA ini dijual kelak

Sebab itu, kenyataan Tan Sri Shahrir bahawa penjualan aset hartanah Grand Plaza SA d London ini satu perkara biasa dan tidak merugikan Felda kerana ia seperti menjual “Ferrari” sebenarnya tidak bertanggungjawab.

Sebenarnya, perumpamaan yang lebih tepat ialah begini:

Ferrari yang dibeli pada ketika Felda kaya pada satu ketika dahulu kini ditarik balik pada masa baki pinjaman kereta belum lagi langsai. Apabila dicampur dengan belanja minyak, tukar tayar dan servis yang cukup mahal beberapa tahun lalu, kerugian apabila Ferrari itu ditarik semakin besar.

Saya akan adakan sidang media setiap hari pada jam 11 pagi (Rabu dan Khamis ini) untuk menghuraikan lagi bagaimana pembiayaan untuk membayar insentif peneroka Felda yang diumumkan Dato’ Seri Najib itu sebenarnya semakin menjerut Felda yang seolah-olah sedang melelong hartanya sekarang untuk mencari wang membayar hutang dan menyogok peneroka Felda demi satu undi dalam PRU14.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Gula-Gula Kepada Peneroka Mula Manis Kemudian Masam: Felda Ambil Pembiayaan Jangka Pendek RM1.1 Bilion Pada Kadar Faedah Tinggi Dalam 2015

Saya merujuk kepada laporan Sinar Harian pada 3 Oktober 2017 (semalam) mengenai keluhan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad yang mengecam pendirian Pakatan Harapan bahawa insentif-insentif yang diumumkan Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada peneroka beberapa bulan lalu adalah “gula-gula” pilihanraya bagi tujuan membeli undi peneroka.

Saya senaraikan insentif-insentif yang diumumkan Dato’ Seri Najib kepada peneroka-peneroka Felda pada 23 Julai 2017 yang lalu dan peruntukan yang diperlukan untuk membayarnya:

i. Insentif khas untuk kebajikan warga Felda sebanyak RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka yang layak penuh dengan jumlah peruntukan RM474.78 juta

ii. Pelupusan pinjaman saham FGV yang melibatkan 77,934 peneroka yang sedang membayar pinjaman dan pampasan RM1,820 kepada setiap dari 1,626 peneroka yang telah membayar habis pinjaman, melibatkan peruntukan sebanyak RM128.10 juta

iii. Insentif pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih untuk tanam semula melalui Felda melibatkan peruntukan keseluruhan RM519 juta

iv. Insentif geran khas tanam semula peneroka yang diluluskan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kepada Felda dengan kadar RM7,500 per hektar bagi program tanam semula Felda bermula tahun ini hingga 2020 melibatkan keluasan 24,280.31 hektar dengan peruntukan RM166.6 juta untuk empat tahun tersebut

Berdasarkan pengumuman Dato’ Seri Najib, jumlah peruntukan yang diperlukan untuk menunaikan janji “gula-gula” ini adalah RM1,288.48 juta. Daripada jumlah tersebut, hanya insentif geran khas tanam semula yang dananya datang dari luar iaitu dari MPOB. Maka, Felda memerlukan RM1,121.8 juta untuk menunaikan janji (i) hingga (iii).

Saya telah berulang kali menyatakan bahawa Felda tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar insentif-insentif ini. Saya telah menunjukkan segala analisa berdasarkan penyata kewangan kumpulan Felda yang diaudit bagi tahun-tahun 2012 hingga 2014 yang membuktikan kedudukan tunai dan prestasi kewangan Felda yang meruncing akibat dibebani dengan hutang yang tinggi.

Saya juga telah mengunjurkan bahawa hutang kumpulan Felda boleh mencecah RM12.6 bilion menjelang akhir tahun 2017 ini yang boleh meletakkan Felda sebuah entiti yang muflis, jika tidak kerana jaminan dan sokongan kewangan dari kerajaan untuk menanggung liabilitinya.

Sehingga kini tidak ada saman atau apa-apa tindakan yang diambil ke atas pelbagai analisa kewangan yang telah saya kongsikan dengan rakyat. Bukan saja tiada tindakan undang-undang, malah tiada pun penafian dari Dato’ Seri Najib atau Tan Sri Shahrir sendiri mengenai pendedahan yang memalukan Felda ini.

Sebab itu saya ingin perbetulkan kenyataan Tan Sri Shahrir semalam yang memberi alasan insentif-insentif ini bukanlah “gula-gula” kerana ia akan melibatkan perubahan berpanjangan di Felda. Tan Sri Shahrir memberi gambaran insentif-insentif ini adalah hasil dari penstrukturan semula pengurusan dan perniagaan Felda yang akan membolehkan Felda lebih maju.

Malangnya hujah Tan Sri Shahrir itu tidak dapat disokong mana-mana fakta kewangan berdasarkan analisa ke atas kedudukan aliran tunai (“cashflow”) kumpulan Felda setakat 31 Disember 2015.

Saya sertakan mukasurat 189 dari laporan kewangan kumpulan Felda yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 dengan tumpuan khusus kepada jumlah pinjaman jangka pendek (perlu dibayar dalam tempoh kurang setahun) dan jumlah pinjaman jangka panjang (perlu dibayar dalam tempoh lebih setahun), seperti berikut:

Download (PDF, 23KB)

 

Setakat 31 Disember 2015, pinjaman jangka pendek kumpulan Felda telah meningkat dari RM1,702 juta (2014) kepada RM2,306 juta (2015).

Perincian kepada pinjaman-pinjaman yang menyumbang kepada peningkatan pinjaman jangka pendek dan jangka panjang ditunjukkan di dalam Nota 39 yang saya sertakan di bawah:

Download (PDF, 87KB)

 

Oleh yang demikian, adalah jelas bahawa peningkatan pinjaman kumpulan Felda bagi jangka pendek (dari RM1,702 juta [2014] kepada RM2,306 juta [2015]) dan jangka panjang (dari RM7,769 juta [2014] kepada RM8,383 [2015]) adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh 3 bentuk pinjaman jangka pendek berikut:

i. Pinjaman Penyambung 2 (“bridging loan”) berjumlah RM341.6 juta. Nota 39 seterusnya menerangkan dengan lebih lanjut bahawa kadar keuntungan siling (atau kadar faedah) ialah kadar asas pembiayaan (BFR) + 4% setahun atau 10% setahun, yang mana lebih tinggi.

Ini bermakna, dalam tahun 2015 pada kadar asas pembiayaan bank-bank Malaysia yang secara puratanya sekitar 3%, kumpulan Felda telah membayar faedah 10% ke atas pinjaman RM341.6 juta ini.

Kadar 10% setahun adalah sama seperti Felda membiayai operasinya dengan membayar melalui kad kredit kerana kadar 10% adalah dalam lingkungan kadar faedah kad kredit yang dicaj kepada pengguna.

 

ii. Kredit Pusingan 5 (“revolving credit 5”) sebanyak RM100.6 juta yang perlu dibayar dalam tempoh setahun dan bakinya RM49.4 juta yang perlu dibayar lebih dari tempoh setahun. Maka, jumlah Kredit Pusingan 5 yang digunakan oleh kumpulan Felda dalam 2015 adalah RM150 juta.

Pada kadar faedah kos dana + 1.2% setahun yang dikenakan ke atas Kredit Pusingan 5, ia adalah dalam lingkungan caj faedah yang dikenakan ke atas overdraf iaitu BLR+1.25% setahun.

 

iii. Satu pembiayaan berasaskan saham yang dipanggil “Call Against Call Option” bernilai RM600 juta yang ditunjukkan sebagai pinjaman jangka panjang. Nota 39 seterusnya menerangkan bahawa COCA ini adalah satu bentuk pinjaman yang melibatkan kumpulan Felda mencagarkan sebahagian dari saham siar harga (“quoted shares”) miliknya kepada Maybank untuk mendapatkan RM600 juta itu.

Kos faedah yang perlu dibayar kepada Maybank adalah kos dana (bagi tiga bulan) + 0.43% iaitu sekitar kos dana tahunan + 1.7% setahun. Kadar faedah ini juga adalah setanding dengan kadar faedah bagi kemudahan overdraf seperti yang ditunjukkan di atas.

Pembiayaan ini perlu dibayar balik dalam tempoh 3 tahun, sebab itu ia ditunjukkan sebagai pinjaman jangka panjang.

 

Ini bermakna menjelang 31 Disember 2015, kumpulan Felda sudah pun terpaksa bergantung kepada pembiayaan overdraf (dan pembiayaan jangka pendek yang serupa seperti diterangkan di atas) sehingga mencecah RM1,091.6 juta (iaitu jumlah ketiga-tiga pinjaman yang diterangkan di atas) dalam masa setahun.

Mana-mana pakar kewangan dari mana-mana tahu bahawa sebuah syarikat yang menggunakan sehingga RM1,091.6 juta pembiayaan berbentuk overdraf dan instrumen yang serupa dengannya yang mengenakan caj faedah yang cukup tinggi adalah sebuah syarikat yang mempunyai masalah kewangan yang meruncing.

Malah, melihatkan kepada maklumat umum mengenai pegangan saham harga siar harga oleh Felda, saya berpendapat hanya saham-saham Maybank yang dimiliki oleh Felda yang nilainya melebihi RM600 juta dan laku untuk dicagarkan untuk mendapatkan pinjaman CACO itu.

Berdasarkan laporan The Star pada 17 Januari 2017, (rujuk http://www.thestar.com.my/business/business-news/2017/01/17/felda-seeks-to-raise-cash-via-maybank-share-sale/) setakat 31 Disember 2015 nilai saham-saham Maybank yang dipegang oleh Felda adalah sekitar RM1.5 bilion.

Selain Maybank, FGV dan Iris Berhad, tidak ada maklumat dari penyata kewangannya yang audit yang menunjukkan Felda ada pegangan saham syarikat awam yang lain yang besar. Oleh kerana kedua-dua nilai saham FGV dan Iris Berhad adalah tidak sebaik nilai saham Maybank, saya berpendapat hanya saham-saham Maybank yang ada nilai untuk dicagarkan bagi tujuan pinjaman CACO sebanyak RM600 juta itu.

Seperti yang kita sedia maklum, Felda dalam bulan Januari lepas telah menjual saham-saham Maybank yang dimilikinya yang dilaporkan berjumlah RM280 juta.

Dengan pendedahan bahawa saham-saham siar harga Felda telah dicagarkan untuk mendapatkan pinjaman jangka pendek berjumlah RM600 juta dalam tahun 2015 dan hanya saham Maybank yang mempunyai nilai yang diterima untuk dicagarkan bagi jumlah itu, saya ingin bertanya kepada Tan Sri Shahrir:

i. Adakah saham-saham Maybank yang telah dicagarkan untuk pembiayaan RM600 juta itu?

ii. Adakah saham-saham Maybank yang dijual dalam bulan Januari 2017 yang berjumlah RM280 juta ada kena mengena dengan pembiayaan jangka pendek CACO yang dilaporkan ini?

Hakikat bahawa Felda terpaksa berhutang menggunakan pinjaman jangka pendek untuk meneruskan operasinya seawal 2015 tidak ubah seperti seorang yang bergantung kepada kad kredit untuk menampung perbelanjaan seharian.

Jika sejak 2015 lagi Felda sudah tiada wang sehingga terpaksa menggadaikan saham dan menggunakan pinjaman ala overdraf, sudah tentu Felda tidak ada kemampuan kewangan untuk membayar RM1.12 bilion yang diperlukan untuk menunaikan janji “gula-gula” yang diumumkan Dato’ Seri Najib dalam bulan Julai lalu.

Sebab itu saya menasihati peneroka-peneroka supaya menerima kenyataan bahawa “gula-gula” ini hanya manis beberapa bulan sahaja. Jika Dato’ Seri Najib kekal Perdana Menteri selepas PRU14, segala masalah kewangan Felda akan dibebankan kepada peneroka-peneroka dan barulah “gula-gula” tadi bertukar menjadi pahit, masam dan payau.

Saya menasihati juga Tan Sri Shahrir supaya tidak banyak bermadah dan berpolitik dalam menangkis pendedahan saya. Beliau hanya perlu menjawab hujah-hujah kewangan yang disertakan faktanya seperti yang saya kemukakan pada hari ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Hutang Kumpulan Felda Diunjurkan Cecah RM12.6 Bilion Bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2017

Untuk pengetahuan umum, sehingga sekarang Felda masih lagi belum mematuhi kehendak akta agar penyata kewangannya dihantar ke Dewan Rakyat bagi tahun-tahun selepas 2014. Penyata kewangan Felda yang telah diaudit yang masih tertunggak sehingga kini ialah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 dan 31 Disember 2016.

Perkara ini telah ditimbulkan oleh pihak media sejak awal tahun 2017 setelah isu kedudukan kewangan Felda mula mendapat perhatian orang ramai.

Semakan saya ke atas laporan-laporan berita mendapati setakat 11 Februari 2017, penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 belum lagi dibentangkan kepada Lembaga Pengarah (seperti laporan NST https://sg.news.yahoo.com/feldas-delayed-2015-financial-statement-060203359.html)

Menurut laporan NST itu juga, Tan Sri Shahrir Samad yang baru dilantik sebagai Pengerusi Felda ketika itu berjanji untuk membentangkan penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun 2015 itu pada sesi parlimen Mac 2017.

Saya membangkit perkara ini sekali lagi dalam satu kenyataan media pada 24 Ogos 2017 yang lalu untuk mendapat pengesahan dari pihak Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Shahrir Samad bahawa penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2015 dan 31 Disember 2016 akan dibentangkan di sidang parlimen Oktober ini.

Sehingga kini masih tiada jawapan.

Saya tahu Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Shahrir mengambil pendekatan mendiamkan diri dengan harapan perkara ini akan mati begitu sahaja. Saya juga faham bahawa penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun-tahun 2015, 2016 dan 2017, jika dibentangkan, akan mendatangkan masalah politik kepada Dato’ Seri Najib.

Oleh kerana mereka memilih untuk tidak menjawab, maka saya mengambil jalan baru iaitu membuat analisa kewangan mengenai kedudukan kewangan terkini Felda (berdasarkan penyata kewangan diaudit yang terakhir iaitu 31 Disember 2014 dan pelbagai laporan media dan jawapan menteri di Parlimen). Daripada analisa kewangan ini, saya boleh mengunjurkan beberapa penunjuk kewangan penting seperti jumlah hutang terkini, jumlah keuntungan dan lain-lain.

Sila rujuk lampiran yang disertakan bersama.

Download (PDF, 46KB)

Berdasarkan penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 dan maklumat-maklumat lain mengenai jumlah hutang yang diambil oleh Felda dan anak syarikatnya dalam tahun 2015 hingga 2017 (rujuk laporan Malaysiakini https://www.malaysiakini.com/news/393696 dan laporan berita perniagaan Indonesia http://m.kontan.co.id/news/felda-dikabarkan-incar-porsi-mayoritas-bwpt ), saya mengunjurkan bahawa hutang terkumpul Felda dan anak syarikatnya akan mencecah RM12.6 bilion menjelang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Ini mengambil kira kedudukan kewangan Felda dan anak syarikatnya yang mengalami kerugian sejak tahun 2012 dan pendapatan kumpulannya dijangka tidak melebihi RM1 bilion setiap tahun. Dalam keadaan ini, saya mengunjurkan Felda dan anak syarikatnya tidak berkemampuan untuk membayar hutang pokok dan hanya membayar faedah tahunan di antara tahun 2015 hingga 2017.

 

 

Oleh itu, jumlah hutang terkini bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 boleh diunjurkan dengan mengambil baki hutang terakhir yang diaudit setakat 31 Disember 2014 dan dicampur dengan hutang-hutang baru yang diambil selepas ini.

Dalam tempoh seminggu akan datang, saya akan menghuraikan setiap hari analisa kewangan yang mengunjurkan kedudukan tunai, prestasi untung rugi dan hal-hal lain bagi kumpulan Felda sehinga tahun kewangan 31 Disember 2017 yang akan memberi gambaran jelas bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib akan menghadapi kesukaran untuk melaksanakan janji-janji beliau kepada peneroka Felda yang diumumkan beberapa bulan lalu.

Selagi Felda dan Kerajaan Persekutuan tidak mengeluarkan penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun 2015 dan 2016, analisa kewangan saya ini akan menjadi rujukan majoriti rakyat dan menyukarkan Dato’ Seri Najib untuk berdepan dengan kemarahan rakyat terutamanya peneroka Felda.

Oleh itu, cara terbaik untuk Dato’ Seri Najib mempertahankan janji-janji yang dibuat kepada peneroka Felda ialah dengan memastikan penyata kewangan yang diaudit bagi tahun 2015 dan 2016 dibentangkan dengan segera di sesi Parlimen akan datang yang bermula pertengahan Oktober 2017.

Saya jemput orang ramai dan pihak media untuk terus mengikuti sidang media saya yang akan datang selama seminggu untuk mengikuti analisa unjuran kedudukan kewangan Felda yang terkini sehingga 31 Disember 2017.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg