All posts by rafiziramli

Skandal NFC: Dana NFC Digunakan Beli Mercedes Mewah, Tanah Di Putrajaya, Membiayai Percutian Mewah Dan Dipindahkan Ke Singapura

Memandangkan Ketua Wanita Umno langsung tidak menunjukkan tanda-tanda beliau insaf setelah KEADILAN membuat pelbagai pendedahan mengenai penyelewengan dana NFC, saya terpanggil untuk terus menyenaraikan perbelanjaan-perbelanjaan boros bersifat peribadi yang dibuat keluarga beliau:

  1. Pada 9 Disember 2009, keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil menggunakan wang dari pinjaman mudah RM250 juta untuk membeli sebuah kereta mewah Mercedes Benz CLS 350 CGI berharga RM534,622.
  1. Dana sebanyak RM3,363,507 telah disalurkan melalui NMLC untuk membeli dua bidang tanah di Putrajaya iaitu PT1886 dan PT1887, Presint 10, Putrajaya. Kebarangkalian tanah-tanah ini dibeli untuk membuka ladang ternakan lembu di Putrajaya adalah tipis.
  1. Semakan bayaran-bayaran yang dibuat melalui cek dari akaun 141640000066107 CIMB Islamic Bank Berhad di bawah nama NFC menunjukkan bayaran yang besar dan berulang kali dibuat kepada Impian Global Network Services (IGNS). Siasatan KEADILAN menunjukkan IGNS adalah sebuah syarikat pelancongan yang menawarkan pakej percutian di Phuket, Kuching, Banding, Singapura dan Bali (sila lawati laman http://impianglobalnetworkservices.blogspot.com/ , petikan skrin laman tersebut disertakan di Lampiran 1). Antara bulan Januari hingga Julai 2010, 15 cek berjumlah RM455,423 dikeluarkan kepada IGNS (butiran seperti di bawah). Ini menimbulkan tanda tanya bagaimanakah sebuah syarikat yang sepatutnya menguruskan ladang ternakan lembu menjadikan perbelanjaan pakej percutian sebagai perbelanjaan bulanan? Apakah ia telah disalahgunakan untuk membiayai percutian ahli keluarga menteri dan rakan-rakan mereka?

 

TARIKH

NO CEK

JUMLAH (RM)

8 Jan 2010

001376

1,524

13 Jan 2010

001406

1,709

26 Jan 2010

001465

28,476

24 Feb 2010

001540

12,743

24 Feb 2010

001543

3,076

9 Mac 2010

001587

22,400

9 Mac 2010

001590

26,572

9 Mac 2010

001592

5,776

31 Mac 2010

001671

45,428

22 April 2010

001735

27,853

13 Mei 2010

001789

45,235

25 Mei 2010

001825

3,196

18 Jun 2010

001848

120,521

16 Julai 2010

001922

89,800

16 Julai 2010

001923

21,114

JUMLAH

455,423

 

  1. Pada 21 Julai 2010, NFC memindahkan sejumlah RM588,585 ke akaun milik Meatworks (Singapore) Pte Ltd milik keluarga menteri. Tindakan ini bertentangan dengan fungsi NFC tatkala Ketua Pemuda Umno mendakwa bahawa NFC tidak mempunyai sebarang urusniaga dengan Singapura kerana daging mentah Malaysia tidak boleh dieksport ke Singapura. Jika itu keadaannya, kenapa sejumlah besar wang dipindahkan ke Singapura?

 

Dato’ Seri Shahrizat Jalil hanya ada dua pilihan – sama ada menjelaskan satu persatu perbelanjaan-perbelanjaan ini di Perhimpunan Agong Umno dalam masa terdekat, atau terus mengheret Umno dan Barisan Nasional ke dalam kancah skandal peribadi beliau.

KEADILAN akan mengaturkan beberapa siri laporan polis serentak di seluruh negara untuk mendesak pihak berkuasa segera menyiasat penyelewengan dalam pendedahan terbaru ini.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 30 NOVEMBER 2011

 

 

Skandal NFC: Usahawan Yang Mengemukakan Idea Tidak Dipanggil Semasa Proses Bidaan

Saya merujuk kepada kenyataan-kenyataan pimpinan Barisan Nasional termasuklah YAB Perdana Menteri, YAB Timbalan Perdana Menteri, YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bahawa penganugerahan Projek Fidlot Kebangsaan kepada syarikat milik keluarga menteri terbabit dibuat mengikut prosedur bidaan dan tender yang betul.

Saya juga merujuk kepada kenyataan YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bahawa kelulusan pinjaman RM250 juta dan penganugerahan projek tidak dibuat di Kabinet, sebaliknya di peringkat JK Projek Impak Tinggi yang dipengerusikan YAB Perdana Menteri sendiri.

Mengambil kira keangkuhan pimpinan Umno terutamanya Ketua Wanita, Dato’ Seri Shahrizat Jalil yang sedikit pun tidak mahu memahami kemarahan rakyat mengenai isu ini, KEADILAN pada hari ini mendedahkan bahawa:

  1. Idea asal untuk mewujudkan sebuah industri daging dan penternakan komersil telah dibawa seawal tahun 2003 oleh sebuah syarikat usahawan muda Bumiputra.
  2.  Cadangan asal yang dibincangkan di peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, MARDI dan Kerajaan Negeri Sembilan langsung tidak membabitkan suntikan dana atau pinjaman dari kerajaan. Syarikat terbabit hanya memohon persetujuan Kerajaan Negeri untuk menyewa tapak ladang penternakan di Gemas.
  3. Syarikat terbabit juga telah berjaya mendapat khidmat nasihat dan kerjasama dari Professor Jerry J Reeves, seorang pakar teknologi penternakan dari Washington State University (lihat Lampiran 1).
  4. Ladang ternakan tersebut bakal menggunakan teknologi terkini untuk membangunkan baka terbaik tempatan melalui proses artificial insemination menggunakan mani dan embrio baka lembu wagyu. Proses sebegini dijangkakan adalah lebih mudah dan murah untuk membangunkan ladang satelit dan membantu penternak kecil, berbanding dengan kaedah mengimport lembu untuk digemukkan di fidlot seperti yang dibuat NFC.
  5. Syarikat terbabit telah mengadakan perbincangan lanjut dengan MARDI dan hampir menandatangani MOU (lihat Lampiran 2 dan Lampiran 3).
  6. Cadangan ini juga telah dibawa ke peringkat tertinggi di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kerajaan Negeri Sembilan (lihat Lampiran 4 dan Lampiran 5).

 

Malangnya, cadangan dan usaha anak muda usahawan Bumiputra ini akhirnya terbantut di situ sahaja setelah mereka membelanjakan hampir RM300,000 membuat persediaan.

Semasa mempertimbangkan syarikat-syarikat yang berkelayakan dan berpotensi untuk menerajui Projek Fidlot Kebangsaan, anak muda ini yang telah menghabiskan bertahun-tahun masa dan wang simpanannya untuk mengejar cita-cita beliau, tidak pula dipanggil untuk turut serta dalam proses tender.

Oleh sebab itu, KEADILAN bertegas bahawa proses anugerah projek ini kepada NFC milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil adalah tidak telus dan menyeleweng, kerana salah satu syarikat yang paling awal mencadangkan projek ini langsung tidak dipanggil untuk turut serta. Ini telah menjadi penyakit di dalam Umno bila mana idea dan keringat orang lain dicuri untuk menyelewengkan wang rakyat.

Oleh itu, KEADILAN mendesak Perdana Menteri bertanggungjawab dengan keputusan yang dibuat oleh JK Projek Impak Tinggi yang dipengerusikan beliau kerana keputusan itu penuh dengan unsur penyelewengan dan menindas usahawan-usahawan muda yang bertungkus-lumus berusaha.

 

YB SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

SETIAUSAHA AGONG KEADILAN

AHLI PARLIMEN MACHANG

 

30 NOVEMBER 2011 

 

Skandal NFC: Soal Pertanggungjawaban Dan Amanah Adalah Isu Pokok

Saya mengucapkan terima kasih kepada pengurusan NFC yang akhirnya tampil memberi penerangan setelah KEADILAN membuat pendedahan mengenai penyelewengan dan kegagalan Projek Fidlot Kebangsaan. Saya kira akhirnya pengurusan NFC akur dengan saranan yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana skandal ini benar-benar menggoncang keyakinan rakyat kepada pimpinan politik kerajaan.

Saya juga ingin menegaskan di sini bahawa kesemua kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, Pengerusi Eksekutif NFC dan suami Dato’ Seri Shahrizat Jalil di media perdana semalam tidak sekali-kali menafikan pendedahan-pendedahan yang dibuat KEADILAN, seperti berikut:

  1. Dana RM250 juta telah dimasukkan ke dalam akaun NFC
  2. Kos seekor lembu yang diternak NFC dalam tahun 2009 berjumlah RM4,481 setiap ekor
  3. Diskaun berjumlah RM2.9 juta diberikan dalam tahun 2009 termasuk kepada Restoran Meatworks milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil
  4. NFC mencatat kerugian sejumlah RM7 juta (2008) dan RM11 juta (2009)
  5. Dana dari NFC disalurkan kepada NMLC dan RFC yang dimiliki sepenuhnya oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil
  6. Penyalahgunaan wang dari dana untuk membeli unit-unit kondominium di One Menerung, Bangsar
  7. NFC mendapat pinjaman mudah sejumlah RM250 juta
  8. NFC membelanjakan sejumlah RM827,579 bagi lawatan-lawatan ke luar negara dan elaun keraian
  9. Projek Pusat Fidlot Kebangsaan mendapat bantahan dari pegawai-pegawai kementerian

Kenyataan NFC semalam hanya memberi alasan kenapa penyelewengan-penyelewengan seperti yang didedahkan KEADILAN berlaku.

Malah, tiga pengakuan Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail mengesahkan keresahan rakyat bahawa anugerah projek ini kepada sebuah syarikat milik keluarga menteri kanan mempunyai unsur-unsur penyelewengan.

Beliau mengakui[1] bahawa NFC tiada kepakaran dan pengalaman untuk mengendalikan projek ini sehingga menyebabkan syarikat menghadapi masalah operasi dan kewangan. Perbandingan rekod operasi NFC seperti di bawah jelas menunjukkan bahawa NFC bukanlah syarikat yang berkelayakan untuk mengendalikan projek berimpak tinggi dan mendapat pembiayaan RM250 juta:

2008

(tahun pertama)

2009

Jumlah lembu dibeli dari Australia dan dibawa masuk

4,141 ekor

Diberikan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar

245 ekor

Lembu mati atas kapal sebelum sampai ke Malaysia

8 ekor

Lembu mati dalam perjalanan ke Pusat Fidlot

15 ekor

Lembu yang terpaksa disembelih akibat bermasalah

45 ekor

56 ekor

Lembu yang mati di Pusat Fidlot

42 ekor

78 ekor

Lembu yang dihadiahkan kepada pihak lain

11 ekor

3 ekor

Lembu yang disembelih untuk dijual

113 ekor

1,562 ekor

Jumlah lembu yang mati/rugi berbanding lembu yang dijual

121 ekor

(nisbah 1:1)

137 ekor

(nisbah 1:11)

Anggaran kerugian akibat lembu mati

RM542,201

RM613,897

Dalam temuramah dengan Berita Harian[2] pula, beliau mengakui bahawa perjanjian pinjaman RM250 juta “tidak menyatakan jadual pembayaran balik”. Ini mengesahkan pendedahan KEADILAN sebelum ini bahawa walaupun dana RM250 juta disebut sebagai pinjaman, ia lebih berupa geran kerana NFC tidak dikenakan sebarang jadual pembayaran atau caj faedah seperti pinjaman biasa.

Saya juga kesal dengan kenyataan Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail yang bukan sahaja tidak menyangkal pendedahan KEADILAN mengenai pembelian kondominium mewah menggunakan dana rakyat, malah mengesahkan bahawa dana yang diselewengkan adalah lebih tinggi dari yang didedahkan minggu lepas. Pembelian dua unit kondominium mewah di unit B1-1 dan B1-2 di Tingkat 1, Blok B One Merenung sebenarnya membabitkan perbelanjaan RM13.8 juta.

Ketiga-tiga pengakuan NFC ini mengingatkan rakyat bahawa isu pokoknya adalah soal kebertanggungjawaban menteri dan kerajaan menjaga wang rakyat. Ketiga-tiga pengakuan tersebut mendedahkan:

  1. Bagaimana projek negara diberikan kepada keluarga menteri yang langsung tidak mempunyai latar belakang dan kepakaran di dalam bidang penternakan komersil;
  2. Dana RM250 juta diberikan begitu sahaja tanpa ada syarat-syarat ketat dan pemantauan walaupun ia dipanggil pinjaman; dan
  3. Sejumlah RM13.8 juta diselewengkan sewenang-wenangnya untuk membeli hartanah yang akhirnya menjadi milik keluarga menteri kerana NMLC milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil sepenuhnya.

Oleh itu, KEADILAN menggesa supaya Perdana Menteri bertindak segera menjawab sama ada berlaku penyelewengan semasa penganugerahan projek ini kepada NFC dan menerangkan penglibatan Dato’ Seri Shahrizat Jalil dalam proses membuat keputusan kerajaan bersabit projek ini.

Kesemua keterangan lain yang dibuat NFC semalam akan dihuraikan dalam satu sidang media khas di lobi Parlimen hari Isnin ini jam 1130 pagi melibatkan YB Saifuddin Nasution Ismail, YB Zuraida Kamaruddin dan saya sendiri, untuk membolehkan kami meneliti semua maklumat dan dokumen yang kami ada setakat ini.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI

 

18 NOVEMBER 2011



[1] Temuramah dengan NST: “I am not angry but the bull claim better stops” 18 November 2011

[2] Berita Harian 18 November 2011, muka surat 6, “Tuduhan Pembangkang Lebih Kepada Serangan Peribadi”

Surat Jemputan Debat NFC Kepada YB Khairy Jamaluddin

Saya telah menghantar surat secara rasmi kepada YB Khairy Jamaluddin dan mencadangkan tarikh 12 Disember 2011 untuk berdebat mengenai skandal NFC.

YB Khairy sebelum ini mengesahkan bahawa beliau sudi berdebat, asalkan mengambil kira kekangan masa beliau.

Surat ini telah pun dihantar melalui faks, email dan pos laju kepada beliau di alamat ibu pejabat UMNO.