Tabung Haji: Alhamdulillah

 

12 - 1 - 2

Dalam banyak-banyak pendedahan yang saya pernah terlibat, antara sumpah seranah yang paling teruk saya terima adalah bila saya bangkit bercakap mengenai kepincangan kewangan Tabung Haji.

Saya mula mempersoalkan penglibatan dana Tabung Haji dengan 1MDB sejak Mac 2015.

Apabila rizab Tabung Haji menjadi negatif seperti yang disahkan surat dari Bank Negara, saya mula memberi perhatian meneliti kedudukan kewangan Tabung Haji dan pelaburan-pelaburan Tabung Haji yang gagal.

Berpuluh-puluh analisis saya mengenai masalah kewangan Tabung Haji boleh dibaca di https://rafiziramli.com/category/tabung-haji/

Saya dikeji secara berterusan, baik dari kalangan penyokong Umno, PAS mahupun rakyat biasa. Tidak ramai sahabat-sahabat yang berani datang memberi sokongan kerana takut menjadi mangsa serangan juga.

Saya ditahan, didakwa dan masih menjalani perbicaraan kononnya memfitnah Tabung Haji. Ada pimpinan kanan yang menuduh kononnya saya telah menyebabkan ribuan orang Islam tidak boleh menunaikan ibadah haji.

Tidak cukup dengan makian berjemaah selama beberapa tahun, pengurusan Tabung Haji sebelum ini telah mendapatkan cop “puas hati” dari pimpinan PAS.

Oleh kerana pimpinan PAS telah memberikan cop “puas hati”, makian berjemaah itu makin berganda.

Saya dimaklumkan laporan polis telah di buat terhadap bekas pengurusan kanan Tabung Haji, termasuk seorang pengurusan kanan yang menjadi saksi utama dalam kes saya di mahkamah.

Saya berdoa supaya lebih ramai rakyat Malaysia yang boleh menilai sesuatu isu melangkaui pandangan sempit kepartian.

Apabila saya mengambil risiko membongkar masalah pengurusan di Tabung Haji, sepatutnya fakta yang saya bentangkan itu diambil kira. Jangan kerana pembongkaran itu datang dari seorang pemimpin parti lawan, fakta yang dibawa ditolak bulat-bulat dan dibalas dengan satu ungkapan mudah: “Ini semuda fitnah”.

Saya akan terus meneliti setiap satu kes berdasarkan fakta dan ilmu yang ada pada saya. Walaupun sepatutnya tanggungjawab meneliti prestasi kerajaan persekutuan dipikul oleh pembangkang (UMNO dan PAS), saya akan tetap meneliti dan bersuara.

Kalau saya sanggup ke penjara sebelum ini bersuara mengenai Tabung Haji walau diserang hebat, In Sha Allah saya berkemampuan untuk terus bersuara sekarang.

Saya hanya berdoa rakyat dan penyokong tegar parti-parti (baik PH, UMNO atau PAS) lebih terbuka meneliti setiap fakta.

Jangan ulangi episod Tabung Haji – walaupun faktanya jelas, ramai-ramai bersekongkol menyembunyikan kerosakan dan menidakkan kebenaran hanya kerana yang membawa fakta itu seorang dari parti lawan.

Rafizi Ramli
1 Disember 2018

One thought on “Tabung Haji: Alhamdulillah”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.