Saban hari, saya membaca kes-kes yang saya pernah bawa dahulu menjadi liputan media.
Yang terbaru adalah mengenai Ketua Pegawai Operasi (COO) Tabung Haji yang ditahan SPRM kerana dituduh menyalahgunakan kedudukan untuk mendapat habuan (melalui kerja-kerja menaiktaraf rumah).
Saya berharap siasatan dijalankan dengan adil dan memberi sepenuh ruang kepada beliau.
Saya pernah mempersoalkan tindakan Tabung Haji menaikkan pangkat beliau tahun lalu, kerana beliau pernah menjadi wakil Tabung Haji di dalam pelaburan-pelaburan Tabung Haji yang mengalami kerugian demi kerugian.
Saya tidak ada maklumat mengenai kes yang beliau kini didakwa (dan saya berharap siasatan berlaku adil kepada semua), tetapi saya pernah mempersoalkan prestasi beliau yang tidak pernah diambil tindakan, walaupun beliau mewakili Tabung Haji dalam pelaburan-pelaburan yang merugikan itu.
Saya juga mengikuti perkembangan kes melibatkan pinjaman RM450 juta yang diberikan oleh Bank Pembangunan kepada Tan Sri Kenneth Eswaran (yang dikaitkan dengan Datin Seri Rosmah Mansor sebelum ini) untuk mengusahakan syarikat TV kabel bernama ABN (Asian Broadcasting Network).
ABN kini sudah jatuh muflis dan bersamanya, tersangkutlah RM450 juta wang rakyat yang diberikan melalui Bank Pembangunan.
Kes pinjaman Bank Pembangunan kepada ABN ini ada nostalgia tersendiri, kerana ini antara kes pertama yang saya bahaskan di Parlimen dalam sidang Jun 2013, selepas dipilih.
Baca laporan: http://www.theedgemarkets.com/article/abn-loan-was-subject-debate-dewan-rakyat-two-years-ago
Kalau-lah wang RM450 juta itu diberikan sebagai pinjaman mudah kepada usahawan-usahawan muda untuk mengusahakan perniagaan. Kalau seorang diberikan RM1 juta sahaja, kita mungkin telah berjaya melahirkan sekurang-kurangnya 200 orang usahawan bertaraf jutawan kini.
Saya yang mengusahakan perniagaan sendiri sekarang, cukup masak dengan susahnya mendapatkan modal.
Sebab itu bila saya ditanya, apa yang saya dapat dengan terus bersuara dan menegur, sebenarnya saya tidak dapat apa-apa setakat ini. Banyak yang maki, ada yang memuji, ada yang diam dan hadam sendiri.
Saya tidak peduli sangat dengan komen atau pandangan orang kerana saya telah melalui semuanya: ada masa dipuji melambung-lambung, ada masa dihina.
Namun, saya juga telah melihat sendiri bagaimana satu demi satu kes-kes yang saya pernah siasat dan suarakan sebelum ini – walaupun pada ketika itu saya dimaki – sekarang disiasat dan ada tindakan diambil.
Lain orang, lain pandangan mengenai kebaikan menjadi orang politik ini.
Ada yang dapat projek besar, ada yang jadi menteri, ada yang (rasa) disanjung.
Saya bersyukur kerana saya rasa pengalaman saya setakat ini mendekatkan saya dengan Allah. Ia mengajar saya untuk tidak termakan dengan pujian, atau tidak berdendam dengan maki hamun.
Dalam politik – baik yang menjadi orang politik atau orang biasa yang memberi komen mengenai politik – jarang ada yang sederhana. Banyaknya terlebih kuah dari sudu: masa baik atau masa kurang baik.
Maka, nasihat saya kepada yang muda-muda dan berminat dengan politik: betulkan niat anda.
Saya tenang kerana saya mahu bercakap yang benar, walaupun pahit dan dimaki. Bila bercakap benar (dalam dunia sekarang), susah untuk ada orang menyukai kita.
Tetapi kita akan menyukai diri kita sendiri dan tenang dalam kehidupan. Dan harapnya Allah juga menyukai diri kita.
Semoga lebih banyak kes-kes dibuka dan disiasat seadilnya selepas ini.
@rafiziramli , saya mohon siasat juga anak-anak syarikat (subsidiaries) LTH terutamanya yang berurusan dengan LTH berkaitan Haji & Umrah. Kebanyakan top management subsidiaries ini adalah anggota pinjaman (Pengurus Besar dan ke atas) dari LTH di mana most of the adalah kroni/orang kepada Dato Adi Azuan & Tan Sri Ismee. Kalau disiasat juga, banyak subsidiaries ini melantik 2 top dog di atas sebagai BOD ataupun Chairman. Banyak aduan salah guna kuasa & kedudukan (agihan wang zakat & agihan bonus yang melampau) yang diketahui tetapi tidak diambil tindakan sbb kami diugut akan ditukarkan ke tempat lain serta merta.