Perletakan Jawatan Saudari Nurul Izzah Anwar

Saya menerima panggilan yang tidak putus-putus dari kalangan pendokong KEADILAN, wartawan dan orang ramai mengenai berita perletakan jawatan Saudari Nurul Izzah dari jawatan kepimpinan.

Berikut adalah pandangan saya:

1. Saudari Nurul ada berkongsi pandangan dengan saya secara berterusan, terutamanya yang bersabit komitmen reformasi kepada rakyat. Beliau sangat komited dengan idealisme reformasi dan sudah tentu ada beberapa perkembangan yang perlu diperhalusi dari semasa ke semasa.

2. Beliau bukan mengundurkan diri dari politik. Beliau kekal memainkan peranan penting di Parlimen dan persada politik tanahair. Beliau hanya mengundurkan diri dari jawatan kanan parti.

3. Saya ingin mengambil sudut positif dari keputusan tersebut. Saya membacanya sebagai satu tindakan berprinsip untuk membolehkan beliau kekal bersuara secara objektif membawa isu-isu rakyat yang selari dengan idealisme reformasi.

4. Saya berharap beliau mempertimbangkan keputusan itu. Beliau tahu saya merasakan beliau boleh mempertahankan idealisme reformasi dengan kedudukan kanan beliau di dalam kepimpinan KEADILAN.

5. Saya juga menghormati keputusan beliau. Kami sudah melalui masa muda membina KEADILAN, sejak kali pertama kami sepentas dari tahun 1999 lagi (di London), maka saya juga faham pandangan beliau. Oleh itu, saya akan menyokong segala keputusan yang dibuat oleh Saudari Izzah kerana saya percaya itu datang dari hasrat beliau untuk memainkan peranan dengan lebih berkesan.

6. Saya berharap anggota KEADILAN menerima keputusan Saudari Izzah itu dengan memberi sepenuh galakan dan sokongan. Ia juga menjadi bukti bahawa idealisme reformasi tetap segar di dalam KEADILAN.

7. Jawatan kanan di dalam parti hanyalah satu jalan untuk menyumbang. Saudari Izzah telah dan akan buktikan bahawa idealisme perjuangan itu lebih penting dari jawatan, pangkat atau kuasa. Maka, keputusan beliau pada hari ini, walaupun mengejutkan, adalah sesuatu yang wajar kita teladani mesejnya.

Rafizi Ramli

 

One thought on “Perletakan Jawatan Saudari Nurul Izzah Anwar”

  1. Agree. Nurul & RR are assets to PKR. H/ever certain people wth rooted hatred & jealousy out to create uneasiness twds comradeship especially those wth own or group interest. Hope they realise wht good to hv a bad intentions jst to create chaos & bad apple.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.