Perbelanjaan Besar MAS Mencecah RM50 Bilion Beli Pesawat Baru, Gugurkan Datuk Habibur Rahman Kadir Shah Dari Lembaga Pengarah MAS

Saya telah membuat beberapa kenyataan media sejak dua minggu lalu mengenai risiko campur tangan Dato’ Seri Najib Tun Razak di dalam keputusan-keputusan komersil yang melibatkan berpuluh bilion ringgit berhubung rancangan MAS untuk membeli pesawat-pesawat baru. Sehingga kini, tidak ada sebarang reaksi dari Dato’ Seri Najib sendiri mengenai perkara ini, atau pun pengesahan atau penafian dari pengurusan MAS mengenai rancangannya membeli pesawat-pesawat baru ini.

Saya bukanlah mahu menghalang atau mempolitikkan pelan perniagaan MAS. Walau bagaimana pun, sebarang keputusan MAS yang membabitkan perbelanjaan besar adalah isu awam yang mesti dikaji oleh ahli-ahli parlimen seperti saya atas sebab-sebab berikut:

i. MAS kini dimiliki sepenuhnya oleh rakyat Malaysia melalui Khazanah Nasional Berhad, iaitu badan pelaburan negara yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan. Sebarang perbelanjaan besar oleh MAS akan menggunakan dana Khazanah dan oleh itu satu pelaburan awam, samalah seperti dana awam digunakan di dalam 1MDB dan pelaburan lain sebelum ini. Rakyat berhak tahu bahawa sebarang perbelanjaan besar akan mendatangkan pulangan;

ii. Pelan rasionalisasi MAS sebelum ini menyaksikan seramai 6,000 orang kakitangan MAS hilang pekerjaan atas alasan saiz MAS terlampau besar dan kakitangannya terlalu ramai. Kerajaan kemudiannya membentangkan satu akta khas untuk membolehkan MAS dikecilkan sehingga menyebabkan 6,000 orang kakitangan MAS. Oleh itu, sebarang pelan perniagaan baru yang melibatkan penambahan saiz operasi MAS secara besar-besaran perlu berlaku adil kepada pekerja-pekerja MAS yang telah dibuang kerja.

Saya telah mengulangi berkali-kali bahawa MAS dilaporkan akan membeli 75 pesawat baru yang boleh mencecah perbelanjaan sehingga RM53 bilion, berdasarkan laporan-laporan berikut:

i. Laporan Bloomberg bertarikh 15 November 2016 bertajuk “Malaysia Airlines Mulling Purchase of 25 Widebody Jets Next Year” https://www.bloomberg.com/news/articles/2016-11-15/malaysia-airlines-mulling-purchase-of-25-widebody-jets-next-year

ii. Laporan FlightGlobal bertarikh 27 Julai 2016 bertajuk “Malaysia Airlines orders up to 50 737 Max jets” https://www.flightglobal.com/news/articles/malaysia-airlines-orders-up-to-50-737-max-jets-427882/

Maklumat dari kedua-dua laporan itu jelas.

Laporan Bloomberg menyebut bahawa CEO MAS, Peter Bellew dalam satu temu ramah tahun lepas mengesahkan bahawa MAS bercadang untuk menggantikan 15 pesawat sedia ada dengan pesawat-pesawat baru dari kelas “widebody”. MAS juga bercadang untuk membeli 10 pesawat baru dari kelas “widebody”.

CEO MAS itu juga menyebut bahawa pesawat-pesawat yang dipertimbangkan dari kelas “widebody” ini adalah A330 dan A350 dari Airbus dan 787 dari Boeing.

Saya sertakan spesifikasi pesawat-pesawat tersebut untuk lebih difahami oleh orang ramai:

 

A330

A350

Boeing 787

Pesawat-pesawat “widebody” ini adalah bagi penerbangan jarak jauh di antara 12,000 km ke 15,000 km yang boleh memuatkan kapasiti penumpang di antara 240 hingga 300 orang setiap penerbangan.

Harga purata 2017 seperti yang diterbitkan secara rasmi oleh Airbus dan Boeing bagi pesawat-pesawat ini adalah seperti berikut:

i. Airbus (dari http://www.airbus.com/newsroom/press-releases/en/2017/01/2017-price-adjustment-for-airbus-modern-fuel-efficient-aircraft.html) – A330 (dari USD234 juta untuk A330-200 ke USD291 juta untuk A330-900neo) dan A350 (dari USD275 juta untuk A350-800 ke USD359 juta untuk A350-1000)

ii. Boeing (dari https://www.flightglobal.com/news/articles/malaysia-airlines-orders-up-to-50-737-max-jets-427882/) – A787 (dari USD220 juta dan boleh mencecah USD306 juta untuk 787-10 seperti transaksi dilaporkan http://247wallst.com/aerospace-defense/2017/02/09/how-much-does-a-boeing-787-10-cost-2/)

Pada anggaran harga purata USD275 juta (iaitu harga pertengahan di antara julat paling murah ke paling mahal), 25 buah pesawat baru “widebody” dianggarkan akan menelan belanja RM27.5 bilion.

Laporan Flightglobal itu juga secara jelas mengesahkan bahawa MAS telah pun menempah 25 pesawat baru Boeing 737 MAX dengan kontrak pilihan untuk menempah 25 lagi pesawat yang sama. Harga yang dilaporkan adalah USD5.5 bilion untuk 50 buah pesawat yang telah dan akan ditempah, menjadikan harga sebuah pesawat Boeing 737 MAX adalah USD110 juta sebuah.

Harga bagi 50 buah pesawat Boeing 737 MAX pada tukaran RM4 kepada USD1 adalah RM22 bilion.

Oleh itu, jumlah perbelanjaan yang telah diumumkan oleh CEO MAS di dalam laporan antarabangsa atau pun tempahan yang telah dibuat bagi membeli pesawat-pesawat kelas 737 dan kelas “widebody” adalah RM49.5 bilion pada anggaran semasa.

Sebab itu kehadiran Datuk Habibur Rahman Kadir Shah di dalam Lembaga Pengarah MAS sejak Mei 2017 menimbulkan tanda tanya apakah keperluan seorang penasihat kanan Dato’ Seri Najib yang mempunyai reputasi yang tidak baik dilantik menjadi ahli Lembaga Pengarah ketika MAS dijangka akan membelanjakan sehingga RM50 bilion untuk membeli pesawat-pesawat baru.

Saya juga menyeru supaya pengurusan Khazanah dan MAS mengesahkan secara rasmi bahawa ia bercadang untuk membeli 75 pesawat baru yang menelan belanja sehingga RM50 bilion dalam masa 2 tahun ini dan bagaimanakah MAS bercadang untuk membiayai pembelian ini?

Saya akan menghantar satu usul ke Parlimen bagi sidang dewan akan datang supaya satu kertas putih dibentangkan oleh Dato’ Seri Najib untuk menerangkan bagaimanakah Khazanah dan MAS bercadang memastikan perbelanjaan RM50 bilion ini tidak akan sia-sia dan sekaligus mendesak Dato’ Seri Najib menggugurkan Datuk Habibur Rahman Kadir Shah dari Lembaga Pengarah MAS dengan serta-merta.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

One thought on “Perbelanjaan Besar MAS Mencecah RM50 Bilion Beli Pesawat Baru, Gugurkan Datuk Habibur Rahman Kadir Shah Dari Lembaga Pengarah MAS”

  1. Salam Tuan Rafizi. Saya semestinya menentang sekeras2nya sebarang penyelewangan dan salah urus tadbir dari kerajaan DS Najib. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara dalan coretan diatas yang tidak memberikan gambaran sebenar tentang situasi di MAB. Pertama sekali, kebanyakan pesawat yang digunakan oleh MAB bukanlah dimiliki sepenuhnya tetapi disewa dengan pelbagai jenis pembiayaan pesawat seperti “sale-and-operating leaseback” atau “simple operational lease”. Pembelian pesawat 737 Max adalah satu keperluan kerana pesawat 737-800NG yang ada sekarang akan mula mencecah tamat tempoh sewaan “end-of-lease”. Pesawat-pesawat ini perlu digantikan dengan pesawat baru yang lebih menjimatkan minyak, dan mempunyai kos penyelenggaraan yang lebih rendah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.