1MDB Melanggar Syarat Sukuk RM2.4 Bilion: Tabung Haji Dan KWAP Wajib Minta 1MDB Lunaskan Hutang Sekarang

Saya telah menyatakan minggu lepas bagaimana 1MDB telah melanggar perjanjian terbitan sukuk sebanyak RM2.4 bilion yang dilanggan oleh Tabung Haji dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP). Setakat ini, 1MDB atau Tabung Haji atau KWAP masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan menjawab atau menafikannya walaupun 1MDB selalunya memberi jawapan balas dalam tempoh kurang dari 24 jam.

Oleh kerana 1MDB sendiri tidak menafikan perkara ini seperti kebiasaannya, saya percaya perkara-perkara yang saya dedahkan sebelum ini ada asas yang kuat.

Perjanjian terbitan sukuk mempunyai peruntukan yang jelas bila mana-mana fasal perjanjian itu telah dilanggari oleh 1MDB. Saya sertakan fasal-fasal berikut:

i. Fasal 2(v) mukasurat 27 menyenaraikan perkara-perkara yang dikira melanggar perjanjian (“events of default”) yang diperincikan dari perenggan 1 (mukasurat 27) hingga perenggan 13 (mukasurat 30)

default1

ii. Fasal 2(v)(5) mukasurat 28 menyatakan bahawa kegagalan mematuhi mana-mana terma di dalam perjanjian dikira sebagai melanggar perjanjian

default2

iii. Perenggan terakhir Fasal 2(v) mukasurat 30 menyatakan hak pemegang sukuk (Tabung Haji dan KWAP) apabila perjanjian telah dilanggari, iaitu pemegang sukuk berhak menuntut semua baki sukuk dan bayaran keuntungan dilunaskan serta merta oleh 1MDB.

default3

Download (PDF, 1.47MB)

Jawapan Perdana Menteri di Parlimen sebelum ini mengesahkan bahawa Tabung Haji telah melanggan sebanyak RM920.8 juta dari terbitan sukuk oleh 1MDB ini. Baki selebihnya dipercayai dilanggani oleh KWAP sebanyak RM579.2 juta. Ini bermakna, terbitan sukuk 1MDB berkaitan Bandar Malaysia setakat ini telah mencecah RM1.5 bilion yang diberikan oleh Tabung Haji dan KWAP kepada 1MDB.

Mengambil kira segala pendedahan saya setakat ini tentang bagaimana dana dari sukuk ini tidak digunakan sepenuhnya untuk membiayai kos memindahkan dan menaiktaraf pengkalan-pengkalan tentera udara, saya mendesak supaya Tabung Haji dan KWAP menggunakan haknya mengikut perjanjian untuk menuntut 1MDB membayar kembali semua baki tertunggak dari terbitan sukuk ini kepada Tabung Haji dan KWAP secara serta-merta.

Kegagalan berbuat demikian akan menimbulkan kemarahan rakyat terhadap Tabung Haji dan KWAP yang akan menjatuhkan lagi kredibilit Dato’ Seri Najib Tun Razak.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.