Siapa Mengkhianati Melayu?

SAIFUDDIN ABDULLAH

21 Disember 2015

PERSIDANGAN Agung Umno pada 9-11 Disember lalu berlangsung ketika parti itu berada dalam krisis besar. Presidennya Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dan Umno sendiri, berhadapan dengan defisit keyakinan yang paling teruk dalam sejarah.

Seperti biasa, Umno tidak melakukan apa yang sepatutnya, tetapi sebaliknya, menyalahkan orang lain. Dalam ucapannya, Najib dilaporkan menggambarkan kalau Umno kalah PRU14, negara akan ditadbir oleh Pakatan Harapan yang menentang perjuangan Islam, Melayu dan Bumiputera. 

Dalam reaksinya, Pakatan Harapan mengeluarkan kenyataan bersama yang ditandatangani ketiga-tiga pemimpinnya, iaitu Presiden Keadilan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu, mengutuk keras kenyataan itu sambil menyatakan bahawa ia tidaklah mengejutkan kerana setiap kali Umno berhadapan dengan krisis, ia akan menggunakan helah menakut-nakutkan rakyat dengan isu perkauman dan penjajahan asing. 

Pakatan Harapan menegaskan bahawa ia menjunjung sepenuhnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuklah yang berkaitan dengan perkara-perkara penting berhubung kedudukan Bumiputera, agama Islam, institusi Raja-raja Melayu dan bahasa Melayu.

Umno masih terperangkap dalam strategi lama, iaitu menakut-nakutkan rakyat. Ia menuduh pihak lain mengkhianati Melayu sambil mendakwa ia adalah satu-satunya yang melindungi Melayu.

Tetapi, adakah dakwaannya benar? Apakah makna khianat? Melayu mana yang dikhianati?

Ini menyebabkan saya merujuk kembali buku Muhammed Abdul Khaled (2014), The Colour of Inequality (2014). Menurut penulis, mutakhir ini, pertumbuhan ekonomi yang sepatutnya beransur-ansur menarik setiap orang ke tahap kesejahteraan yang lebih baik, telah tidak melibatkan semua orang, lalu menghasilkan fenomena berbahaya, iaitu kesenjangan yang semakin meluas. 

Jurang pendapatan relatif antara bandar dan luar bandar adalah sama seperti masa merdeka pada 1957. Jurang antara yang kaya dan miskin tidak bertambah baik. Dalam kalangan Bumiputera, pada 2013, 72 peratus pelabur Amanah Saham Bumiputera memiliki purata pelaburan RM554, manakala 0.2 peratus pelabur terkaya memiliki 1,308 kali ganda, iaitu RM725,122.

Tentang pendapatan, pasca-2009, wujud jurang lebih luas dari segi pendapatan relatif antara Bumiputera dengan Cina. Ia melonjak sebanyak 10 peratus dalam tempoh 2009-2012, iaitu jurang paling tinggi sejak DEB diperkenalkan pada 1970. Dengan kata lain, jurang tersebut meningkat semasa pentadbiran Perdana Menteri Najib. 

Dari segi kegagalan pelaksanaan dasar-dasar untuk kebaikan Bumiputera, beliau menyatakan bahawa satu daripada faktornya ialah kerana kegagalan ahli-ahli politik Bumiputera dalam penguatkuasaan dan pemantauannya.

Menurutnya, kegagalan itu boleh diatasi sekiranya ahli-ahli politik Bumiputera, terutamanya parti pemerintah terbesar, iaitu Umno, memainkan peranan penting dalam memastikan objektif-objektif tersebut tercapai. Tetapi, ini tidak berlaku. 

Dalam konteks ini, Muhammed memetik temu bualnya dengan seorang bekas Perdana Menteri, seorang bekas Timbalan Perdana Menteri dan seorang bekas Naib Presiden Umno, yang antara lain, dilaporkan menyatakan: 

Majlis Tertinggi Umno tidak pernah membincangkan dengan teliti agenda ekonomi Bumiputera. 

Kajian yang lengkap tentang pelaksanaan dasar-dasar tersebut tidak dibuat. Sebabnya ialah dapatannya akan mendukacitakan kerana menunjukkan kerajaan gagal.

Kebanyakan Ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno dan menteri-menteri lebih berminat dengan apa yang diraih melalui politik untuk dirinya sendiri.

Tentang pelaksanaan dasar-dasar, sekiranya ahli-ahli politik tidak mendesaknya, kemungkinan besar kakitangan awam tidak akan melakukannya sendiri, walaupun majoritinya Melayu.

Hari ini, semakin ramai bersuara tentang skandal 1MDB dan RM2.6 bilion, iaitu ketika rakyat berhadapan dengan tingginya kos kehidupan, kurangnya pekerjaan dan rendahnya pendapatan. 

Jadi, siapa, sebenarnya, yang mengkhianati Melayu?  

* Datuk Saifuddin Abdullah ialah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd

One thought on “Siapa Mengkhianati Melayu?”

  1. Jawapan dari soalaan yang menjadi tajuk itu sebenar nya ramai yang sudah tahu. Dek kerana I.Q mereka longgar di tambah dengan dodoian media cetak dan elektronik yang di kuasai oleh UMNO-ngok maka mereka buat tak kesah aja walau pun terpaksa mengemis. Ada nya orang ME-layu yang memiliki U.Q sedemikian maka sampai kiamat pun kalau UMNO-ngok masih di beri kuasa kaedaan ekonomi orang orang ME-layu tidak akan berubah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.