Kenaikan Harga Petrol & Diesel Dari Pelaksanaan GST Dan Rombakan Subsidi

Perancangan Barisan Nasional untuk melaksanakan rombakan sistem subsidi petrol dan diesel seperti yang dilaporkan minggu ini akan membawa kesan kenaikan harga barang berganda terutamanya apabila GST dilaksanakan kelak.

Barang keperluan awam yang paling terkesan dengan keputusan melaksanakan GST dan merombak sistem subsidi ini tidak lain dan tidak bukan adalah petrol dan diesel; yang akan mengundangkan inflasi yang mendadak ke atas harga barang dan perkhidmatan yang lain.

Sehingga kini, Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak menafikan bahawa GST akan dikenakan ke atas petrol dan diesel.

Semakan ke atas Senarai Pembekalan Berkadar Sifar dan Senarai Pembekalan Dikecualikan seperti yang diisytiharkan oleh Jabatan Kastam dan Eksais (senarainya disertakan bersama) menunjukkan bahawa petrol dan diesel tidak termasuk di dalam senarai pembekalan (iaitu barang atau perkhidmatan) yang berkadar sifar atau dikecualikan.

Download (PDF, 3.35MB)

Download (PDF, 1.25MB)

Ini bermakna petrol dan diesel akan dikenakan GST seperti barang dan perkhidmatan yang lain.

Walau bagaimana pun, saya mengesyaki Barisan Nasional akan berselindung di sebalik kurangnya pengetahuan rakyat mengenai pelaksanaan GST untuk mengelirukan rakyat seolah-olah harga petrol dan diesel tidak naik setelah pelaksanaan GST.

Ini boleh dilakukan oleh Barisan Nasional dengan cara berikut:

1. Mengekalkan harga petrol bersubsidi pada RM2.10 seliter dan harga petrol tidak bersubsidi pada RM2.80 seliter TANPA GST. Dengan cara ini, tidak ada sebarang perubahan harga petrol dan diesel yang perlu diumumkan; dan

2. Menetapkan peraturan supaya resit pembelian petrol dan diesel yang dikeluarkan pam minyak menyenaraikan harga TERMASUK GST

Ini bermakna pengguna akan mendapat isipadu petrol atau diesel yang lebih sedikit pada harga yang sama walaupun tiada sebarang kenaikan harga minyak akan diumumkan oleh Barisan Nasional.

Perbandingan ini boleh ditunjukkan di dalam jadual berikut (mengambil kira perbandingan bagi setiap pembelian RM50 petrol):

 

SEBELUM GST SELEPAS GST
Harga petrol bersubsidi setiap liter RM2.10 RM2.10
Jumlah bayaran kepada stesen minyak RM50.00 RM50.00
Bahagian cukai GST yang dibayar dari pembelian pada kadar 6% Tiada RM2.83
Bayaran bersih harga petrol bagi setiap RM50 pembelian(TIDAK TERMASUK cukai GST) RM50.00 RM47.17
Isipadu petrol bagi setiap RM2.10 yang dibayar 1 liter 0.94 liter
Harga sebenar petrol setiap liter (TERMASUK cukai GST)  RM2.10 setiap liter  RM2.23 setiap liter

Jelas bahawa pelaksanaan GST sudah pasti akan menyebabkan kenaikan harga petrol dan diesel (seperti yang ditunjukkan di atas tanpa perlu mengumumkan kenaikan harga) oleh kerana petrol dan diesel tidak dikenakan kadar sifar atau dikecualikan.

Oleh sebab itulah saya menggesa supaya semua butiran mengenai rombakan sistem subsidi petrol dan diesel diumumkan dan dibentangkan secepat mungkin kepada rakyat supaya kesan sebenar pelbagai tindakan Barisan Nasional ini dapat ditentukan.

Saya yakin sekiranya rombakan sistem subsidi yang menyebabkan satu golongan rakyat tidak lagi layak membeli petrol dan diesel bersubsidi dilaksanakan serentak dengan pelaksanaan GST – kesannya kepada rakyat adalah sangat besar.

Maka, saya menggesa supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak mengesahkan secepat mungkin sama ada GST akan dikenakan ke atas petrol dan diesel seperti mana yang saya terangkan di atas. Keengganan beliau mengesahkan perkara ini bakal memberi gambaran bahawa pentadbiran beliau sedang merancang untuk menaikkan harga petrol dan diesel secara mengejut melalui pelaksanaan serentak GST dan rombakan sistem subsidi petrol dan diesel.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

4 Jun 2014

Sistem Subsidi Baru Petrol & Diesel: Risiko Penyelewengan Dan Kesan Berganda Kenaikan Harga Barang

Laporan-laporan berita yang mengesahkan bahawa Barisan Nasional sedang memuktamadkan satu sistem subsidi baru petrol dan diesel sudah tentu menimbulkan kegelisahan dan kebimbangan di kalangan rakyat.

Setakat ini, laporan-laporan berita memberi gambaran bahawa sistem subsidi baru petrol dan diesel itu akan beroperasi seperti berikut:

1. Subsidi petrol dan diesel hanya akan diberikan kepada golongan tertentu mengikut kadar pendapatan. Setakat ini, laporan menyebut jumlah pendapatan yang dipertimbangkan ialah RM5,000 ke bawah (bermakna bagi mereka yang berpendapatan RM5,000 ke bawah, mereka masih boleh membeli petrol dan diesel pada harga subsidi);

2. Bagi mereka yang berpendapatan di antara RM5,000 hingga RM10,000, pengguna hanya diberikan kuota bulanan tertentu untuk membeli petrol dan diesel bersubsidi. Sekiranya jumlah penggunaan melebihi kuota bulanan, pengguna perlu membayar harga pasaran;

3. Bagi mereka yang berpendapatan lebih RM10,000 sebulan, pengguna perlu membeli pada harga pasaran.

Saya kerap kali memberi amaran kepada Barisan Nasional supaya sebarang keputusan yang melibatkan kebajikan rakyat perlulah dibincangkan dan mengambil pandangan umum supaya keputusan itu tidak membelakangkan hasrat rakyat.

Rombakan sistem subsidi petrol dan diesel adalah satu keputusan besar yang akan mempunyai kesan mendalam kepada rakyat. Dalam keadaan harga barang terus meningkat dan tangga gaji masih belum berjaya dilonjakkan, sebarang perubahan yang drastik terhadap harga petrol dan diesel sudah tentu akan mempunyai kesan berganda kepada harga barang.

Oleh sebab itu, Barisan Nasional wajar membentangkan cadangan rombakan sistem subsidi petrol dan diesel ini ke Parlimen terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Rakyat perlu diberikan masa yang secukupnya, sekurang-kurangnya satu tahun untuk memberi pandangan sebelum sistem baru subsidi petrol dan diesel ini berkuatkuasa, mengambil kira kesusahan yang telah pun dialami rakyat akibat kenaikan harga petrol, elektrik, gula dan barang-barang keperluan lain.

Berdasarkan maklumat yang dilaporkan setakat ini, saya khuatir sistem subsidi baru petrol dan diesel ini akan mewujudkan pasaran gelap yang menjual petrol dan diesel seperti berikut:

1. Kumpulan yang dibenarkan membeli petrol dan diesel pada harga subsidi boleh membeli secara kerap dan menyimpan petrol dan diesel ini;

2. Mereka kemudian menjual kepada ejen pasaran gelap yang membeli petrol dan diesel ini pada harga yang lebih tinggi;

3. Ejen pasaran gelap kemudian menjual petrol dan diesel ini pada harga yang lebih rendah dari harga pasaran kepada syarikat, pengusaha atau pun orang persendirian yang mahu mendapatkan harga petrol dan diesel pada harga yang lebih rendah.

Misalnya, jika harga subsidi satu liter petrol adalah RM2.10 dan harga pasaran adalah RM2.80 satu liter, pasaran gelap berikut boleh berlaku:

1. Kumpulan yang dibenarkan membeli petrol dan diesel pada harga subsidi menjualnya pada harga RM2.30 satu liter kepada ejen pasaran gelap;

2. Ejen pasaran gelap menjualnya pada harga RM2.50 satu liter kepada syarikat, pengusaha dan orang persendirian yang membeli dari pasaran gelap.

Jelas bahawa sistem subsidi baru yang dilaporkan mempunyai risiko ketirisan subsidi yang tersendiri, seperti mana sistem sekarang yang sering dipersalahkan oleh Barisan Nasional sebagai punca berlakunya penyeludupan.

Saya khuatir sekiranya sistem baru subsidi ini tidak diperhalusi dan dibincangkan secara terbuka, apabila dilaksanakan kelak ia mewujudkan pasaran gelap petrol dan diesel yang menimbulkan masalah baru yang lebih besar dari masalah penyeludupan sedia ada kerana ia melibatkan lebih ramai orang dan rakyat biasa.

Ini sudah tentu tidak berbaloi apabila dibandingkan dengan kepayahan yang dihadapi oleh rakyat akibat kenaikan harga petrol dan diesel serta kesan kenaikan berganda kepada harga barang, sedangkan ketirisan subsidi petrol dan diesel yang dijadikan alasan untuk menukar sistem makin berleluasa.

Oleh yang demikian, saya menggesa supaya Barisan Nasional membentangkan secepat mungkin segala butiran sistem baru subsidi petrol dan diesel ini serta dibahaskan di Parlimen dalam sidang yang bermula minggu depan, sebelum sebarang keputusan diambil.

Saya akan terus mengeluarkan kenyataan media dan menyemak keputusan Barisan Nasional mengenai rombakan sistem subsidi petrol dan diesel ini bermula hari ini.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

3 Jun 2014