Hapuskan Monopoli Gula Dan Benarkan Import Gula Untuk Turunkan Harga Gula

YB Dato’ Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) telah mengesahkan di dalam Dewan Rakyat pada sidang hari Khamis (21 November 2013) bahawa Kerajaan Malaysia telah memeterai kontrak jangka panjang untuk membeli gula mentah pada harga yang kini lebih tinggi dari harga pasaran (rujuk Hansard Parlimen).

Keadaan ini menimbulkan beberapa tanda tanya seperti berikut:

1. Kenapa Kerajaan Malaysia memasuki kontrak pembelian gula mentah jangka panjang bagi pihak syarikat swasta sedangkan segala keuntungan adalah milik hak swasta?

2. Siapakah yang bertanggungjawab meluluskan kontrak pembelian gula mentah jangka panjang yang tidak dirunding dengan baik sehingga harganya lebih rendah dari harga pasaran semasa di dunia yang mempunyai kesan terus kepada harga gula bertapis di Malaysia?

Saya telah pun menanyakan kedua-dua soalan ini kepada YB Timbalan Menteri dalam sidang hari Khamis lalu tetapi tidak pun berjawab.

Umum mengetahui bahawa industri gula di Malaysia dimonopoli oleh beberapa syarikat sejak berdekad-dekad. Dulunya oleh syarikat yang dikuasai Tan Sri Robert Kuok, kini ia dikuasai pula oleh syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary dan Felda. Monopoli gula ini diberikan kepada syarikat-syarikat ini melalui satu sistem permit import (approved permit) gula mentah yang hanya diberikan kepada syarikat-syarikat ini. Dalam keadaan Malaysia langsung tidak mempunyai ladang atau perusahaan yang mengeluarkan gula mentah, industri gula di Malaysia bergantung sepenuhnya kepada import gula mentah dari pasaran antarabangsa. Oleh itu, hanya syarikat yang diberikan permit import atau AP yang boleh mengimport gula mentah dan memonopoli pengilangan dan pembekalan gula bertapis.

Monopoli industri gula yang kini dipegang oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary sudah tentu satu perniagaan yang cukup menguntungkan. Sudah menjadi lumrah perniagaan bahawa harga bekalan turun naik. Bagi industri gula, apabila harga bekalan gula mentah naik, keuntungan syarikat pengilang gula bertapis akan turun dan sebaliknya apabila harga bekalan gula mentah turun, keuntungan syarikat pengilang gula bertapis akan meningkat.

Oleh sebab itulah, saya mempersoalkan kenapakah dalam keadaan harga bekalan gula mentah tidak menguntungkan syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary akibat rundingan kontrak jangka panjang yang tidak sempurna, kerajaan juga dilibatkan kerana kontrak itu dimeterai oleh kerajaan. Risiko untung rugi pembelian gula mentah perlulah ditanggung oleh syarikat pemegang AP gula mentah yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary kerana mereka diberikan monopoli industri gula di Malaysia.

Oleh kerana Kerajaan Malaysia terus mahu menanggung kerugian hasil dari kontrak pembelian gula mentah jangka panjang ini, maka monopoli gula yang diberikan kepada syarikat yang dikuasai Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary perlulah ditarik balik kerana syarikat itu tidak menanggung risiko untung rugi pembelian gula mentah.

Untuk menurunkan harga gula dengan serta merta supaya meringankan bebanan rakyat, saya mencadangkan supaya permit import (AP) untuk membeli gula mentah pada harga yang lebih rendah dibuka dan permit import (AP) untuk membeli gula bertapis juga dibuka untuk mewujudkan persaingan harga. Dalam keadaan harga gula mentah pasaran dunia adalah lebih rendah, dengan lebih banyak syarikat diberi peluang untuk membawa masuk gula mentah dan gula bertapis sudah tentu ia lebih murah dari harga yang ditentukan oleh syarikat monopoli.

Keengganan Barisan Nasional melunturkan monopoli gula yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary mengesahkan mereka lebih mementingkan beberapa kroni berbanding rakyat terbanyak.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

25 NOVEMBER 2013

SPRM Acuh Tak Acuh Menyiasat Rasuah Membabitkan Ahli Politik

YB Dato’ Senator Paul Low menjawab soalan lisan saya mengenai jumlah laporan rasuah yang diterima terhadap ahli politik di antara 2010 hingga kini dan jumlah siasatan yang dibuka. Saya juga bertanyakan dari jumlah itu, berapa kes yang dihantar kepada Peguam Negara dan berapa kes yang berakhir dengan pendakwaan.

Jawapan yang diberikan Menteri adalah pendek dan mengelak dari menjawab soalan yang sebenarnya. Jawapan ringkas itu hanya berbunyi:

“Sepanjang tahun 2010 hingga Ogos 2013, SPRM telah menangkap 9 orang ahli politik dan dari jumlah itu, 5 orang telah didakwa di mahkamah”.

Soalan yang saya ajukan cuba mengesahkan bahawa SPRM ada melakukan siasatan terhadap ahli-ahli politik tetapi kertas pendakwaan ditolak oleh Peguam Negara. Oleh itu, statistik berapa siasatan yang ditolak oleh Peguam Negara adalah penting untuk mengesahkan dakwaan SPRM selama ini bahawa Peguam Negaralah yang bertanggungjawab melindungi SPRM.

Walau bagaimana pun, keengganan SPRM dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengesahkan berapa siasatan yang dibuka terhadap ahli politik dan berapa kertas siasatan yang dihantar kepada Peguam Negara menunjukkan bahawa SPRM pun acuh tidak acuh dalam memerangi kegiatan rasuah di kalangan ahli politik. Dari jawapan di Parlimen ini, saya boleh merumuskan bahawa SPRM pun turut sama melindungi ahli politik yang rasuah seperti mana Peguam Negara.

Lebih merunsingkan adalah bilangan ahli politik yang disiasat dan didakwa. Dalam tempoh hampir 4 tahun, hanya 5 orang didakwa iaitu bersamaan seorang ahli politik setahun sedangkan masyarakat umumnya berpendapat ahli politik adalah golongan yang paling kuat mengambil rasuah di samping pegawai penguatkuasa undang-undang. Saya pasti lebih ramai pegawai penguatkuasa undang-undang yang didakwa di mahkamah dalam tempoh yang sama berbanding ahli politik.

Merujuk kepada jawapan menteri yang sama kepada soalan YB Azmin Ali pada 14 November 2013, statistik kes rasuah yang diselesaikan di peringkat perbicaraan awal dan disabitkan kesalahan adalah seperti berikut:

Tahun

Diselesaikan di peringkat perbicaraan awal

Disabitkan kesalahan

2011

520

388 (75%)

2012

401

339 (85%)

Jun 2013

162

144 (89%)

 

Jika dibandingkan dengan hanya 1 orang ahli politik setiap tahun yang disabitkan dengan kesalahan berbanding dengan jumlah keseluruhan, jelas menunjukkan bahawa SPRM tergesa-gesa dan takut-takut untuk menyiasat dan mendakwa ahli politik.

Kadar kejayaan mensabitkan kesalahan yang tinggi (antara 75% hingga 89%) juga menunjukkan bahawa SPRM ada keupayaan untuk mengumpul bukti yang secukupnya untuk mensabitkan kesalahan rasuah. Jika SPRM berjaya mencatat kadar pensabitan yang begitu tinggi dengan rakyat biasa, kenapa SPRM memberi alasan tidak mendapat cukup bukti untuk mensabitkan kesalahan ahli politik?

Oleh sebab itu, saya yakin bahawa kadar pensabitan kesalahan rasuah yang melibatkan ahli politik sebanyak satu orang setiap tahun sejak 2010 itu adalah kerana SPRM tidak mahu menyiasat ahli politik, sedangkan ahli politik dipandang umum sebagai golongan yang paling banyak bergelumang dengan rasuah.

 

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
20 NOVEMBER 2013 

Menteri Sahkan Rancangan Laksanakan Had Jangka Hayat Kereta, Motif Kutip Cukai

Dato’ Seri Hishamuddin Hussin semalam dipetik sebagai berkata “kerajaan mungkin perlu menggunakan cadangan yang sedia ada di samping mencari mekanisme untuk tidak membebankan rakyat” menguatkan lagi spekulasi bahawa keputusan untuk melaksanakan had jangka hayat kereta sudah hamper dibuat.

Alasan bahawa dasar ini perlu dilaksanakan demi keselamatan rakyat di jalanraya nampak dangkal tanpa bukti yang kukuh bahawa majoriti kemalangan yang berlaku adalah disebabkan kenderaan yang berusia lebih 12 tahun. Tidak ada satu keterangan saintifik dan empirikal pun setakat ini yang menunjukkan risiko kereta yang berusia 12 tahun naik mendadak berbanding kereta yang berusia 11 tahun.

Malah, dalam keadaan pelbagai faktor lain yang mempengaruhi kemalangan seperti keadaan jalanraya yang tidak selamat, papan tanda yang mengelirukan, sikap pemandu yang tidak berwaspada, sistem penggajian pemandu bas yang tidak mementingkan keselamatan dan lain-lain – alasan untuk memperkenalkan had jangka hayat kereta demi keselamatan jalanraya nampak remeh dan tidak ikhlas.

Saya mengesyaki bahawa alasan sebenar Barisan Nasional mahu melaksanakan had jangka hayat kereta adalah untuk mengutip cukai GST yang bakal dilaksanakan. Setiap urusniaga pembelian dan penjualan kereta (baru atau terpakai) akan dikenakan GST, maka lebih kerap rakyat bertukar kereta lebih banyaklah GST yang akan dikutip.

Rakyat yang majoriti mengundi PR (52%) terus dihukum oleh kerajaan minoriti BN melalui dasar-dasar yang menambahkan beban sara hidup demi membiayai keborosan dan ketirisan BN.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

20 NOVEMBER 2013

Jangan Laksanakan Had Jangka Hayat Kereta Selagi Cukai Eksais Kereta Tidak Dihapuskan

Saya terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi bahawa kerajaan akan menimbangkan untuk melaksanakan had jangka hayat kenderaan berikutan saranan oleh Ketua Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bahawa kereta berusia 12 tahun ke atas adalah tidak selamat.

Lebih membimbangkan apabila Datuk Abdul Aziz Kaprawi turut dilaporkan sebagai berkata bahawa keputusan menetapkan had jangka hayat kenderaan “perlu dibuat segera demi keselamatan rakyat”.

Pelaksanaan had jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun akan memangsakan beratus ribu rakyat Malaysia. Kebanyakan pembeli kereta dari keluarga berpendapatan sederhana dan rendah membuat pinjaman selama sembilan tahun untuk melangsaikan hutang. Dengan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan ini, selepas tiga tahun keluarga-keluarga di Malaysia terpaksa membuat hutang baru untuk membeli kereta.

Keadaannya lebih parah bagi pembeli dari keluarga berpendapatan rendah. Kebanyakan mereka hanya mampu membeli kereta terpakai yang sudah pun berusia. Bagi mereka yang meminjam untuk membeli kereta-kereta ini, pelaksanaan had jangka hayat kenderaan bermakna kereta mereka dikira haram di sisi undang-undang dan tidak boleh digunakan sedangkan hutang masih belum dilangsaikan.

Cadangan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan adalah rentetan dari tindakan-tindakan yang menekan rakyat sejak Barisan Nasional menang (dengan tipu helah) dalam PRU13. Setelah memungkiri janji untuk menurunkan harga kereta, Barisan Nasional menaikkan pula harga minyak. Kini dengan cadangan menghadkan jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun, ini akan menindas keluarga-keluarga berpendapatan sederhana dan rendah serta menutup banyak perniagaan kereta terpakai.

Masalah utama bersabit pemilikan kereta di Malaysia yang pernah dilaporkan sebagai kedua termahal di dunia ialah struktur cukai dan pasaran domestik yang menyebabkan harga naik melambung. Wujudnya cukai eksais yang melebihi 100% ke atas kereta-kereta yang digunakan oleh keluarga berpendapatan sederhana dan rendah menyebabkan harga kereta terlalu mahal dan menenggelamkan keluarga dengan hutang kereta yang terlalu tinggi.

Cukai eksais yang terlalu tinggi ini juga memberi ruang kepada syarikat-syarikat pengeluar dan pengedar kereta untuk bersembunyi di sebalik struktur cukai ini untuk mengambil keuntungan yang lebih tinggi berbanding di negara-negara lain. Oleh kerana pelaksanaan cukai eksais dan pemberian rebat cukai eksais adalah tidak telus, maka struktur margin keuntungan di atas setiap kereta yang dibeli juga tidak telus.

Akibatnya harga kereta di Malaysia terus kekal menjadi antara yang tertinggi di dunia.

Oleh sebab itulah, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa menggariskan dasar-dasar automotif KEADILAN telah menegaskan bahawa langkah pertama merombak struktur harga kereta yang mahal di Malaysia perlulah bermula dengan menghapuskan cukai eksais yang melampaui batas itu. Apabila cukai eksais sudah tiada, barulah rakyat tahu bahawa jika harga tetap kekal tinggi bila dibandingkan dengan model yang sama di negara-negara lain, perbezaan harga itu berpunca dari tindakan mengambil untung yang berlebihan oleh pengeluar dan pengedar kereta. Hanya dalam keadaan pasaran kereta seperti ini barulah wujud persaingan sihat di antara pengeluar dan pengedar kereta yang boleh menurunkan harga kereta supaya setanding dengan negara-negara lain bagi model yang sama.

Maka, sebarang usaha untuk memperkenalkan had jangka hayat kereta sebelum cukai eksais dihapuskan akan ditentang habis-habisan. Dasar had jangka hayat kereta hanya boleh dilaksanakan setelah harga kereta di Malaysia turun setanding dengan model yang sama di negara lain.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

18 NOVEMBER 2013

Turunkan Harga Kereta Dulu Sebelum Naikkan Harga Minyak

Laporan The Edge yang menyebut bahawa Malaysia mempunyai harga kereta yang kedua tertinggi di dunia tidaklah mengejutkan. Struktur cukai kereta yang melampau tingginya menyebabkan rakyat Malaysia terpaksa membayar harga lebih kurang satu kali ganda lebih mahal berbanding rakyat negara lain.

Sebab itu rakyat tidak boleh berkompromi apabila Barisan Nasional menaikkan harga minyak kerana ia tidak adil di kala cukai yang dikenakan ke atas kereta adalah antara yang tertinggi di dunia.

Barisan Nasional sering mengungkit kononnya rakyat Malaysia tidak membayar harga pasaran bagi seliter petrol atau diesel, lalu dijadikan alasan untuk menaikkan harga minyak. Sebaliknya Barisan Nasional tidak pula mahu menurunkan harga kereta supaya rakyat Malaysia juga membayar harga pasaran bagi sebuah kereta, seperti mana rakyat negara lain.

Sebenarnya, sebuah isirumah purata rakyat Malaysia (keluarga berpendapatan bawah RM5,000 sebulan yang dianggarkan membentuk 70% dari keluarga Malaysia) membayar lebih banyak cukai dan tol berbanding
jumlah subsidi minyak yang diperolehi.

Secara purata sebuah isirumah menggunakan 300 liter petrol sebulan. Dengan subsidi sebanyak 63 sen setiap satu liter, ini bermakna sebuah isirumah menerima subsidi minyak sebanyak RM189 sebulan.

Bagi sebuah kereta berharga RM60,000 yang dibayar secara ansuran selama 7 tahun (seperti amalan biasa sebuah isirumah), duti eksais kereta dan bayaran faedah ke atas duti eksais kereta dianggarkan
sebanyak RM3,565 setahun, bersamaan sekitar RM300 sebulan.

Ini bermakna, Barisan Nasional mencukai rakyat Malaysia dalam bentuk duti eksais kereta sebanyak RM300 sebulan sedangkan subsidi minyak yang diterima hanyalah RM189 sahaja bagi setiap isirumah purata.

Ini adalah ketidakadilan yang nyata dan jelas menindas rakyat. Lebih teruk apabila Barisan Nasional enggan pula mengakui hakikat bahawa ia mencukai rakyat lebih banyak dari subsidi minyak yang diwar-warkan.

Saya akan terus bersuara menentang sebarang usaha menaikkan harga minyak selagi harga kereta tidak diturunkan, kalau benar Barisan Nasional mahu harga minyak mengikut pasaran dunia.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi PKR
Ahli Parlimen Pandan