Category Archives: Tabung Haji

Rizab Tabung Haji Negatif Sejak Tahun Berakhir 31 Disember 2014

Saya merujuk kepada kenyataan Tan Sri Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Urusan Tabung Haji berhubung isu kelemahan dana rizab Tabung Haji yang ditimbulkan oleh Bank Negara Malaysia.

Antara lain, beliau memberi alasan perkara yang ditimbulkan oleh Bank Negara Malaysia itu tidak menggambarkan kedudukan kewangan sebenar Tabung Haji kerana aset-aset anak syarikat Tabung Haji adalah lebih besar. Saya petik kenyataan beliau:

Sepanjang tahun kewangan 2014 dan 2015, nilai keseluruhan aset Tabung Haji adalah lebih tinggi dari nilai liabiliti Tabung Haji, di mana ia mengambil kira kesemua nilai saksama portfolio pelaburan Tabung Haji

Sebagai Ahli Parlimen, saya berpeluang meneliti sendiri Penyata Kewangan Tabung Haji yang diserahkan kepada Ahli Parlimen setiap tahun. Penyata Kewangan Tabung Haji terkini yang diaudit adalah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014. Penyata Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2015 hanya akan diperolehi di akhir tahun ini.

Saya rujuk kepada Penyata Kedudukan Kewangan (“Statements of Financial Position”) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 seperti di bawah:

th-asset2014

Bagi mereka yang kurang mahir membaca penyata kewangan, kepala “TH” merujuk kepada aset, liabiliti dan rizab pendeposit Tabung Haji. Kepala “Group” merujuk kepada aset, liabiliti dan rizab Tabung Haji dan keseluruhan kumpulan yang merangkumi anak syarikat dan syarikat bersekutu. Contoh-contoh anak syarikat ialah Bank Islam Malaysia Berhad dan Tabung Haji Plantations. Contoh-contoh syarikat bersekutu ialah TH Heavy Engineering Berhad.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, aset Tabung Haji adalah sebanyak RM54.751 bilion dengan simpanan tunai sebanyak RM7.0 bilion.

th-liability2014

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, jumlah dana terkumpul Tabung Haji ialah RM54 bilion. Dana terkumpul adalah dana-dana yang digunakan oleh Tabung Haji dalam menjalankan aktivitinya. Dari dana inilah maka ia dilaburkan atau dibuka anak syarikat untuk menjana keuntungan kepada Tabung Haji.

Dana terkumpul sebanyak RM54 bilion ini terdiri dari jumlah dana dari pendeposit Tabung Haji sebanyak RM54.358 bilion dan rizab terkumpul iaitu kerugian sebanyak RM351 juta. Secara umumnya, rizab terkumpul adalah jumlah keuntungan terkumpul sejak Tabung Haji melaksanakan perniagaan. Jika Tabung Haji mempunyai keuntungan terkumpul, maka jumlah rizab adalah positif. Jika Tabung Haji mempunyai kerugian terkumpul, maka jumlah rizab adalah negatif.

Jumlah rizab ini adalah penting kerana ia melambangkan 2 perkara:

1. Rizab terkumpul yang positif melambangkan Tabung Haji berjaya menjana keuntungan yang baik dan bermakna keputusan pelaburannya adalah tepat
2. Dari rizab terkumpul inilah bonus (atau dividen) boleh dibayar kepada pendeposit. Jika rizab terkumpul itu besar, maka lebih besarlah bonus boleh dibayar kepada pendeposit

Oleh yang demikian, saya ingin menegur Tan Sri Ismee Ismail yang nampaknya cuba mengelirukan rakyat dengan kenyataan beliau semalam seolah-olah Tabung Haji tidak mengalami apa-apa masalah kewangan.

Penyata Kewangan Tabung Haji bagi tahun kewangan 31 Disember 2014 yang diaudit telah menunjukkan bahawa rizab terkumpul Tabung Haji telah pun negatif iaitu kerugian terkumpul sebanyak RM351 juta. Ini bermakna, jika semua pendeposit Tabung Haji mahu mengambil kembali simpanan sebanyak RM54.358 bilion, semua aset-aset Tabung Haji tidak cukup untuk membayar simpanan tersebut dan kekurangan dana sebanyak RM351 juta.

Kedudukan kewangan ini berlaku sebelum tahun 2015 yang menyaksikan kejatuhan pasaran saham dan nilai matawang ringgit yang mendadak. Ini bermakna bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, Tabung Haji akan mengalami kerugian yang jauh lebih besar.

Maka nilai rizab terkumpulnya akan menunjukkan kerugian terkumpul yang jauh lebih besar dari RM351 juta.

Dalam keadaan ini, seluruh rakyat Malaysia wajar mengetahui bahawa:

1. Tabung Haji tidak mempunyai aset yang mencukupi untuk membayar kembali simpanan pendeposit sejak tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 dan dijangka makin teruk bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015

2. Tabung Haji tidak mempunyai rizab keuntugan terkumpul untuk membayar bonus kepada pendeposit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 kecuali ia meminjam wang atau mencairkan asetnya

Ini bukan perkara yang kecil dan saya akan terus meneliti perkara-perkara lain mengenai prestasi kewangan Tabung Haji.

Pun begitu, sebagai permulaan untuk memperbaiki keadaan, saya menuntut supaya Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meletak jawatan serta merta di atas kegagalan beliau memastikan prestasi kewangan Tabung Haji tidak menjejaskan simpanan pendeposit.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN