Category Archives: Tabung Haji

Prestasi Kewangan Tabung Haji Merudum 36%, Kadar Keuntungan Seperti Menyimpan Deposit Tetap Di Bank

Berikutan dengan pengumuman kadar keuntungan (hibah) sebanyak 4.25% (semua pendeposit) dan tambahan 1.5% kepada pendeposit yang belum menunaikan haji, saya mengumpulkan maklumat dari sumber-sumber berikut untuk membuat analisa awal prestasi kewangan Tabung Haji:

1. Laporan The Sun mengenai pecahan perolehan mengikut jenis pelaburan http://www.thesundaily.my/news/2151541

2. Laporan The Star mengenai jumlah aset boleh dicairkan oleh Tabung Haji untuk memenuhi tuntutan pengeluaran deposit oleh penabung http://www.thestar.com.my/business/business-news/2016/11/02/tabung-haji-refutes-allegations-of-inability-to-pay-depositors/

3. Laporan NST mengenai sebab kenapa jumlah dividen diterima adalah rendah bagi tahun 2016 berbanding 2015 http://www.nst.com.my/news/2017/02/209241/tabung-haji-distribute-rm288b-hibah-depositors

4. Laporan Kosmo mengenai jumlah 5.5 juta pendeposit yang belum menunaikan haji

Berdasarkan semua angka-angka ini, saya membandingkan prestasi kewangan Tabung Haji bagi tahun 2016 berbanding tahun-tahun sebelumnya berdasarkan 3 kayu ukur utama:

i. Prestasi Tabung Haji menguruskan simpanan pendeposit yang diukur menggunakan kadar % untung bersih berbanding jumlah deposit yang disimpan di Tabung Haji

ii. Prestasi Tabung Haji mengagihkan keuntungan hasil dari pelaburan kepada pendeposit yang diukur menggunakan kadar % keuntungan yang diagihkan berbanding jumlah deposit yang disimpan di Tabung Haji

iii. Kesan prestasi Tabung Haji di dalam (i) dan (ii) kepada keupayaan kewangan pendeposit warga emas dan kurang berpendapatan untuk menunaikan ibadah haji

Analisa ini saya tunjukkan di dalam Lampiran A, Lampiran B dan Lampiran C yang saya sertakan bersama.

Download (PDF, 39KB)

 

Download (PDF, 30KB)

 

Download (PDF, 25KB)

Kesimpulan yang boleh dibuat mengenai prestasi kewangan Tabung Haji yang baru diumumkan bagi tahun 2016 adalah seperti berikut:

1. (Rujuk Lampiran A) Prestasi Tabung Haji Menguruskan Simpanan Pendeposit
Prestasi tahun kewangan 2016 adalah yang terburuk sejak 2012 dengan menyaksikan kadar % untung bersih hasil dari pelaburan Tabung Haji menggunakan wang pendeposit merudum sebanyak 36% dari 5.96% (2015) kepada 3.83% (2016).

Pada kadar keuntungan bersih 3.83% dari pelaburan menggunakan wang pendeposit sebanyak RM64.74 bilion , ia tidak banyak berbeza dengan kadar keuntungan yang diberikan dari pelaburan simpanan tetap di bank (sekitar 3.2% ke 3.6%). Maksudnya, sesiapa sahaja boleh memberikan kadar pulangan sekitar 3.83% tanpa membelanjakan ratusan juta wang penabung dengan menyimpan kesemua RM64.74 bilion itu di dalam simpanan tetap di bank.

2. (Rujuk Lampiran B) Pelaburan Tabung Haji Di dalam Kertas Hutang
Menggunakan maklumat seperti yang dilaporkan media, saya mengunjurkan perincian perolehan dari portfolio pelaburan Tabung Haji seperti Lampiran B.

Bagi mereka yang memberi alasan bahawa Tabung Haji lebih banyak membuat untung dari rugi hasil pelaburan saham-sahamnya, unjuran menunjukkan bahawa walaupun rakyat memerhatikan prestasi pelaburan Tabung Haji secara dekat sejak 2015, ia tetap mengalami penurunan perolehan (bermakna keuntungan dari saham tidak setinggi 2015).

Keuntungan dari jual beli saham yang lebih rendah ini adalah selepas kejatuhan harga saham-saham seperti FGV, THHE dan lain-lain telah pun diambil kira dalam tahun kewangan yang lepas mengikut piawai perakaunan.

Lebih membimbangkan, perincian portfolio menunjukkan perolehan dari Tabung Haji memberi hutang kepada pihak lain (melalui jual beli kertas hutang) meningkat sebanyak 19% bagi tahun 2016. Ia memberi gambaran Tabung Haji meningkatkan risiko di dalam pasaran hutang, lalu timbul persoalan: kertas-kertas hutang mana yang dibeli? Ada risiko Tabung Haji terus membeli kertas hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia atau agensi atau syarikat yang dikawal Kerajaan Persekutuan seperti mana ia memberikan pinjaman kepada 1MDB satu ketika dahulu.

3. (Rujuk Lampiran A) Prestasi Tabung Haji Mengagihkan Keuntungan Kepada Pendeposit
Agihan keuntungan sebanyak RM2.88 bilion berbanding wang pendeposit sebanyak RM64.74 bilion yang digunakan untuk melabur adalah bersamaan dengan kadar agihan 4.45%, iaitu hanya 1% lebih baik dari kadar keuntungan di simpanan tetap yang tidak datang dengan risiko pelaburan seperti yang ditunjukkan oleh Tabung Haji kebelakangan ini.

Sebab itu saya mengulangi kritikan saya supaya menteri-menteri yang bertanggungjawab cuba memahami kegelisahan rakyat yang mengeluarkan wang dari Tabung Haji kerana mereka hilang kepercayaan. Seperti yang saya sebut di atas, adalah tidak susah untuk mencapai pulangan sekitar 4% dari pelaburan iaitu dengan menyimpan dana itu di simpanan tetap.

4. (Rujuk Lampiran C) Agihan bonus pendeposit belum menunaikan haji yang lebih rendah melewatkan tempoh mengumpul wang selama 1 tahun
Oleh kerana kadar bonus kepada mereka yang belum menunaikan haji turun dari 3% (2015) kepada 1.5% (2016), ia ada kesan besar kepada keupayaan kewangan pendeposit berpendapatan rendah atau warga emas untuk menunaikan haji.

Kiraan saya menunjukkan purata baki simpanan pendeposit yang belum menunaikan haji ialah RM2,500 seorang. Jika seorang pendeposit menyimpan RM50 sebulan di dalam akaun yang berbaki RM2,500 – pengurangan bonus naik haji dari 3% (2015) ke 1.5% (2016) adalah bersamaan dengan kelewatan mencapai syarat keupayaan kewangan (iaitu baki di dalam akaun melebih RM10,000) selama satu tahun.

Maka saya pulangkan kepada Tabung Haji dan menteri yang bertanggungjawab bahawa sebenarnya, prestasi Tabung Hajilah yang boleh melambat-lambatkan rakyat yang susah dari mengerjakan ibadah haji, bukannya kenyataan-kenyataan saya.

Saya akan menumpukan minggu ini untuk membentangkan lebih banyak analisa mengenai prestasi kewangan Tabung Haji dan kos menunaikan haji bagi rakyat terbanyak.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Pendakwaan Terhadap Bekas CEO Anak Syarikat Tabung Haji Bukti Pengurusan “Pembangunan Perniagaan Dan Pelaburan Strategik” Tabung Haji Perlu Rombakan

Hari ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) beberapa buah anak syarikat Tabung Haji, Dato’ Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah semasa beliau mengetuai pengurusan TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

Saya berharap dengan pendakwaan yang dibawa oleh beliau, menteri-menteri yang bertanggungjawab iaitu Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhenti mengulangi permainan politik kononnya Tabung Haji menjadi mangsa fitnah ahli politik seperti saya.

Sejak tahun lalu, saya secara berterusan menumpukan perhatian kepada kes-kes penyelewengan dan kerugian yang berlaku di Tabung Haji kerana saya berasa terpanggil untuk membela pendeposit Tabung Haji yang kebanyakannya golongan berpendapatan rendah. Salah satu kes yang saya paling lantang mengkritik ialah pelaburan Tabung Haji di dalam Ramunia Holdings Berhad yang kemudiannya dikenali sebagai THHE.

Maka, pendakwaan ke atas Dato’ Nor Badli hari ini membuktikan bahawa pendedahan saya mengenai penyelewengan dan salah tadbir pelaburan Tabung Haji ada asasnya dan bukannya fitnah seperti yang menteri-menteri Umno mahu rakyat percaya.

Malah, sejak setahun lalu saya juga telah buktikan bahawa penyelewengan dan ketirisan bukan sahaja berlaku di THHE, tetapi melibatkan banyak pelaburan besar Tabung Haji di dalam syarikat-syarikat tertentu (yang diceburi oleh Tabung Haji sebagai pelaburan strategik, bukannya pelaburan biasa) yang lebih banyak rugi dari untung.

Oleh sebab itulah saya secara berterusan menyuarakan keperluan merombak pengurusan fungsi pelaburan dan pembangunan perniagaan (“business development and investment”) di Tabung Haji kerana ternyata pelbagai bidang perniagaan baru yang diceburi oleh Tabung Haji lebih banyak merugikan dari menguntungkan.

Sementara Dato’ Nor Badli akan melalui proses undang-undang yang seadanya, bagaimana pula dengan pimpinan dan pengurusan kanan Tabung Haji yang bertanggungjawab menyemak dan meluluskan keputusan untuk melabur di dalam syarikat-syarikat bermasalah seperti TH Heavy Engineering (dulunya Ramunia Holdings Berhad) sehingga rugi beratus juta wang pendeposit?

Justeru, saya menyeru supaya menteri bertangungjawab dan Pengerusi Tabung Haji, Dato’ Seri Azeez Abdul Rahim berdepan dengan rakyat dengan menjawab soalan-soalan berikut:

1. Siapa yang bertanggungjawab membawa cadangan untuk melabur di dalam syarikat-syarikat ini atau sektor tertentu (yang Tabung Haji tidak ada kepakaran dan pengetahuan perniagaan yang kukuh) sehingga menyebabkan kerugian ratusan juta?

2. Sudahkah individu-individu ini dikenalpasti dan disiasat di peringkat pengurusan kanan Tabung Haji? Sudahkah tindakan diambil terhadap mereka di peringkat dalaman Tabung Haji? Sudahkah laporan kepada pihak berkuasa dibuat terhadap mereka?

3. Apa bentuk rombakan yang telah dilaksanakan untuk memastikan fungsi pembangunan perniagaan dan pelaburan strategik (“business development and strategic investment”) tidak mengulangi kesilapan lalu?

Malangnya, saya percaya selagi Lembaga Pengarah Tabung Haji dipenuhi dengan lantikan politik di kalangan orang kuat Umno, langkah-langkah (1) hingga (3) di atas tidak akan dibuat. Akibatnya, Tabung Haji akan terus berdepan dengan risiko kerugian yang mungkin akan keluar satu persatu.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Tabung Haji Terdedah Kepada Kerugian Lebih RM700 Juta Akibat Pelaburan Dalam Sektor Berisiko Seperti Minyak Dan Gas

Saya telah tunjukkan semalam bagaimana pelaburan Tabung Haji di dalam kaunter minyak dan gas Perisai Petroleum telah menyebabkan kerugian yang dianggarkan berjumlah RM64 juta setelah syarikat itu jatuh ke status PN17 yang memerlukan penstrukturan kewangan untuk mengekalkan status penyenaraiannya.

Malah, ini bukan kali pertama Tabung Haji melabur di dalam sebuah syarikat yang berasaskan industri minyak dan gas yang terjerumus ke status PN17 setelah Tabung Haji membeli pegangan yang besar.

Kegagalan Tabung Haji di dalam pelaburan sektor minyak dan gas yang paling diperkatakan ialah di dalam syarikat Ramunia Holdings Berhad yang ditukar nama kepada TH Heavy Engineering Berhad setelah disuntik dana oleh Tabung Haji.

Tujuan saya menimbulkan perkara ini pada hari ini ialah untuk menunjukkan bagaimana pengurusan kanan Tabung Haji seolah-olah tidak belajar dari kesilapan lalu sehingga menyebabkan wang pendeposit Tabung Haji hangus begitu sahaja.

Saya sertakan Lampiran A yang menunjukkan kedudukan sebahagian dari pelaburan di dalam syarikat-syarikat berasaskan minyak dan gas di antara tahun 2008 hingga kini. Pelaburan terbesar ialah di dalam TH Heavy Engineering Berhad dalam bentuk saham dan pinjaman yang diberikan.

Download (PDF, 138KB)

Sementara pegangan di dalam Alam Maritim Berhad dibeli sejak tahun 2008, saham-saham di dalam Perisai Petroleum Berhad dan Reach Energy Berhad dikumpulkan masing-masing dalam tempoh Oktober-Disember 2014 dan Jun-November 2016; iaitu semasa industri minyak dan gas telah pun mengalami kemelesetan yang mendadak.

Lebih teruk lagi, pada ketika saham-saham di dalam Perisai Petroleum Berhad dikumpulkan oleh Tabung Haji, kedudukan kewangan pelaburan terpentingnya di dalam sektor itu iaitu TH Heavy Engineering Berhad sudah pun menunjukkan tanda-tanda masalah kewangan. Harga saham TH Heavy Engineering Berhad jatuh mendadak ketika itu; dan ketika itu jugalah Tabung Haji meluaskan lagi risiko pelaburan dengan membeli saham-saham di dalam Perisai Petroleum Berhad.

Kini, wang pendeposit yang dianggarkan RM64 juta besar kemungkinan telah hangus semuanya.

Saya sertakan carta-carta harga saham TH Heavy Engineering Berhad, Alam Maritim Berhad dan Reach Energy Berhad yang semuanya menunjukkan kesan mendalam kemelesetan sektor minyak dan gas ke atas prestasi harga saham mereka:

i. TH Heavy Engineering – walaupun kerajaan telah menganugerahkan kontrak membina kapal peronda pesisir pantai (OPV) berjumlah RM740 juta dalam November 2016, itu tidak mengembalikan keyakinan pelabur dan harga sahamnya kekal rendah

ii. Alam Maritim – agensi penarafan MARC menurunkan penarafannya dan berlatar belakangkan sektor minyak dan gas yang kekal muram, harga sahamanya berkemungkinan kekal rendah

iii. Reach Energy – walaupun mendapat kelulusan untuk membeli lapangan minyak di Kazakhstan, harga sahamnya tetap kekal sama

Download (PDF, 964KB)

 

Saya ingin mempersoalkan strategi pelaburan Tabung Haji dalam kaunter-kaunter minyak dan gas ini yang nampaknya tidak keruan dan mendedahkan pendeposit kepada kerugian besar. Berdasarkan harga semasa saham dalam keempat-empat kaunter itu sahaja, anggaran terkini kerugian bagi empat pelaburan itu sahaja telah mencecah RM680 juta.

Malangnya, Tabung Haji mempunyai saham yang besar di dalam syarikat-syarikat perkhidmatan minyak dan gas yang lain termasuklah Dayang Enterprise Holdings Berhad (pegangan 8.89%), Uzma Berhad (pegangan 9.63%) dan Icon Offshore Berhad (pegangan 8.43%).

Sementara pelabur persendirian bebas mempertaruhkan wang simpanan mereka dalam pelaburan yang berisiko begini, wajarkah Tabung Haji yang telah terbukti mengalami kerugian demi kerugian terus mendedahkan wang pendeposit kepada risiko kerugian dalam sektor yang berisiko tinggi seperti minyak dan gas?

Jika dicampur dengan semua pelaburan Tabung Haji dalam kaunter minyak dan gas, saya menganggarkan kerugian yang telah dicatatkan di dalam penyata kewangan telah melebihi RM700 juta.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Tabung Haji Rugi RM64 Juta Akibat Pelaburan Di Dalam Perisai Petroleum Teknologi Berhad

Saya masih menunggu saman dari Dato’ Seri Jamil Khir Baharom atau Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dua orang pemuka Umno yang berlatar belakangkan pengajian Islam dan diberi tanggungjawab memberi imej Islam kepada Umno. Kedua-dua mereka telah menuduh saya secara terbuka bahawa saya telah memfitnah Tabung Haji, malah menyebabkan ramai pendeposit hilang kelayakan untuk menunaikan haji kerana termakan dengan fitnah saya itu.

Selagi saya tidak mendapat surat saman daripada mereka untuk berjumpa di mahkamah agar perkara ini diselesaikan di mahkamah, saya akan terus mendedahkan satu persatu kerugian yang ditanggung oleh pendeposit akibat pelaburan-pelaburan Tabung Haji.

Pada 29 Disember 2016, secara senyap-senyap Tabung Haji telah melupuskan sebanyak 10.3 juta saham dalam sebuah syarikat minyak bernama Perisai Petroleum Teknologi Berhad (“PERISAI”). Sehari sebelum itu pada 28 Disember 2016, Tabung Haji telah pun menjual 8.8 juta sahamnya di dalam PERISAI.

PERISAI adalah sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan menyewakan sistem carigali minyak (“rigs”) kepada syarikat-syarikat minyak yang terlibat di dalam aktiviti carigali minyak.

Penjualan pada 29 Disember 2016 itu penting kerana akibat dari penjualan tersebut, jumlah saham yang dipegang Tabung Haji jatuh ke bawah paras 5% lalu menjadikan pegangan Tabung Haji sebagai pegangan kecil di dalam PERISAI. Pelaburan yang tidak dikategorikan sebagai pelaburan penting (seperti ini) tidak perlu dilaporkan kepada Bursa Kuala Lumpur jika ada sebarang urusan jual beli.

Tabung Haji mula menjual saham-saham PERISAI secara bertubi-tubi akibat pelbagai masalah kewangan yang berlaku di PERISAI yang menyebabkan nilai pelaburan Tabung Haji susut dan mengalami kerugian besar.

Semakan berita-berita perniagaan memberikan kedudukan kewangan berikut mengenai PERISAI:

i. Pada 4 Oktober 2016, pemegang kertas hutang PERISAI (“bondholders”) menolak permohonan PERISAI untuk menangguhkan pembayaran hutang sebanyak RM377 juta

ii. Akibatnya, pada 13 Oktober 2016, PERISAI mengisytiharkan kedudukan kewangannya telah mencapai status PN17 (bagi kategori syarikat-syarikat yang disenaraikan tetapi tidak tidak mampu melangsaikan tanggungan hutang atau berhadapan masalah kewangan lain)

iii. Saham PERISAI terus jatuh menjunam pada sekitar harga 8 sen sahaja sesaham

Sudah tentu, Tabung Haji yang merupakan salah satu dari pemegang saham terbesar PERISAI sebelum itu mula menjual sahamnya secara agresif seperti yang saya tunjukkan di atas. Tabung Haji mula mengumpul saham-saham ini secara agresif di antara Oktober 2014 ke Disember 2014 sehingga menjadi salah satu pemegang saham terbesar di dalam PERISAI.

Mengikut anggaran The Edge yang disiarkan pada 25 Oktober 2016 (sebaik sahaja PERISAI diisytiharkan sebagai syarikat berstatus PN17), saham-saham PERISAI dikumpul oleh Tabung Haji pada nilaian purata 83 sen sesaham. Pada kemuncak pembelian Tabung Haji, jumlah terkumpul saham-saham PERISAI yang dipegang Tabung Haji adalah 79.88 juta saham yang melibatkan penggunaan wang pendeposit Tabung Haji sebanyak RM66.3 juta.

Sebenarnya Tabung Haji telah membeli saham-saham ini (sekitar Oktober ke Disember 2014) pada kala harga sahamnya telah jatuh menjunam dan telah ada tanda-tanda sektor minyak dan gas mengalami kemelesetan yang teruk (rujuk carta harga saham di bawah):

 

 

Sejak awal tahun 2015, harga saham PERISAI terus menjunam. Ini dijangka kerana kemelesetan yang berlaku di dalam sektor minyak dan gas.

Malangnya, pengurusan pelaburan di Tabung Haji terus memegang saham-saham ini dan hanya ada 2 penjualan di antara tarikh saham-saham ini dibeli secara agresif (Oktober ke Disember 2014) dan tarikh PERISAI diisytiharkan sebagai syarikat berstatus PN17, seperti berikut:

i. 7 Oktober 2015, Tabung Haji menjual sebanyak 600,000 saham pada harga sekitar 25 sen sesaham, iaitu kerugian yang dianggarkan sebanyak 58 sen sesaham atau RM348,000

ii. 4 Oktober 2016, Tabung Haji menjual sebanyak 1.75 juta saham pada harga sekitar 8.5 sen sesaham, iaitu kerugian yang dianggarkan sebanyak 74.5 sen sesaham atau RM1.3 juta

Saham-saham yang dlupuskan diantara 28 dan 29 Disember 2016 sebanyak 19.1 juta dianggarkan diniagakan sekitar 5 sen sesaham, menyebabkan kerugian 78 sen sesaham atau RM15 juta.

Baki saham-saham PERISAI yang masih dipegang Tabung Haji selepas 1 Januari 2016 yang dianggarkan sebanyak 60 juta saham mungkin telah dilupuskan secara diam-diam tanpa perlu dilaporkan kepada Bursa Kuala Lumpur. Pada anggaran harga 5 sen sesaham iaitu kerugian 78 sen sesaham, kerugian yang tidak dilaporkan akibat dari baki saham-saham yang telah ditanggung oleh Tabung Haji adalah RM47 juta.

Maka, jumlah kerugian yang telah ditanggung oleh pendeposit Tabung Haji atas pelaburan ini sahaja dianggarkan (berdasarkan harga saham semasa) mencecah RM64 juta (dari pelaburan asal sebanyak RM66.3 juta).

Wang RM64 juta ini adalah milik pendeposit yang sewajarnya digunakan untuk mengurangkan kos menunaikan ibadah haji atau pun dikembalikan kepada pendeposit dalam bentuk dividen yang lebih tinggi.

Kenapa pengurusan kanan Tabung Haji tidak mengambil langkah lebih berhati-hati dengan melupuskan saham-saham PERISAI lebih awal kerana ketika Tabung Haji mula membeli saham-saham itu, harganya memang pun telah jatuh merudum kerana kemelesetan sektor minyak dan gas yang telah berlaku?

Apa tindakan yang telah diambil terhadap pegawai-pegawai kanan dan Ahli Lembaga Pengarah yang bertanggungjawab ke atas kerugian ini? Apa tindakan yang telah diambil terhadap Dato’ Seri Jamil Khir Baharom sendiri yang diberi amanah untuk mengawalselia perjalanan Tabung Haji?

Rakyat hilang keyakinan dengan Tabung Haji akibat pengurusan pelaburan yang menyebablan kerugian beribu juta wang pendeposit, bukannya kerana saya mereka-reka cerita. Esok saya akan tunjukkan lagi pelaburan-pelaburan lain yang merugikan Tabung Haji.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Amanah Dato’ Seri Jamil Khir Baharom Adalah Pulihkan Keyakinan Rakyat Kepada Tabung Haji, Saman Di Mahkamah Kalau Saya Fitnah

Saya ada membaca laporan media yang memetik luahan Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri kononnya “RM500 juta dikeluarkan oleh orang ramai kerana fitnah”. Beliau dilaporkan mengeluh bagaimana jika aset Tabung Haji dilaburkan dalam bentuk bangunan, kilang dan tanah, Tabung Haji akan menghadapi kesukaran untuk memulangkan wang pendeposit.

Seluruh dunia tahu bahawa walaupun Dato’ Seri Jamil Khir Baharom tidak berani menyebut nama saya, beliau maksudkan sayalah ahli parlimen pembangkang yang kononnya “memfitnah” Tabung Haji itu.

Masalahnya, sehingga kini Tabung Haji belum mengambil tindakan saman terhadap saya sekiranya benar saya memfitnah Tabung Haji. Saya faham sekiranya Tabung Haji tidak mahu ke mahkamah untuk membuktikan dakwaan saya telah memfitnah institusi milik rakyat itu kerana saya sudah tentu akan memanggil ramai saksi, termasuklah Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Gabenor Bank Negara yang mula-mula sekali mengingatkan Tabung Haji bahawa rizabnya telah menjadi negatif.

Sebaliknya, Tabung Haji telah membuat laporan polis supaya saya disiasat di bawah kanun jenayah yang pertimbangannya sangat berbeza dan Tabung Haji tidak perlu mengemukakan bukti kenapa ia menuduh saya telah memfitnahnya. Setelah saya didakwa di bawah kanun jenayah dalam bulan April 2016, sehingga sekarang pendakwaraya belum memulakan kes itu. Sudah beberapa kali pendakwaraya yang memohon penangguhan dan terkini saya difahamkan perbicaraan (kalau pun bermula) hanya akan bermula dalam bulan Mei 2017 (setahun selepas saya didakwa).

Hakikatnya, sehingga kini Tabung Haji belum memberi jawapan yang memuaskan mengenai segala kerugian yang telah saya dedahkan. Tabung Haji juga terpaksa diam apabila bekas pengurusan terkanannya yang pernah mengetuai TH Heavy Engineering Berhad ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai tuduhan penyelewengan di syarikat bersekutu Tabung Haji itu, seperti yang saya pernah dakwa.

Malah, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom juga lupa bahawa beliau telah kalah dalam kes saman malunya terhadap rakan saya di Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Akmal Nasir semasa kami membongkarkan keborosan yang melibatkan beliau (menteri) sendiri menggunakan dana YaPEIM.

Oleh kerana Dato’ Seri Jamil Khir Baharom memetik nama saya malah menuduh saya memfitnah Tabung Haji, maka saya akan kembali memberi fokus kepada isu-isu kerugian dan ketirisan di Tabung Haji yang merugikan jemaah haji (yang sebahagian besarnya golongan berpendapatan rendah). Minggu depan, selain isu Felda dan MRT yang kini saya sentuh, saya akan juga akan memulakan siri pendedahan baru mengenai Tabung Haji.

Jika pendedahan-pendedahan baru ini tidak dijawab dengan ikhlas dan telus, lebih ramai yang akan mengeluarkan simpanan mereka dari Tabung Haji kerana hilang keyakinan dengan pengurusannya yang dilihat diperkudakan oleh ahli politik. Dato’ Seri Jamil Khir Baharom perlu sedar bahawa adalah menjadi tanggungjawab dan amanah beliau menyelesaikan kepincangan pengurusan di Tabung Haji untuk mengembalikan keyakinan rakyat; bukannya bermain politik dengan cuba menimbulkan kebencian rakyat terhadap saya apabila gagal menjawab isu-isu yang saya timbulkan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN