Category Archives: Skandal @ NFC

Tender Semula NFC: Umumkan Syarat Dan Butiran Perjanjian

Saya memandang berat kenyataan yang dibuat Dato’ Seri Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 13 Ogos 2012 bahawa proses tender semula NFC sedang berjalan memandangkan kekusutan dan liabiliti kewangan membabitkan NFCorp yang dimiliki keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil masih belum diselesaikan.

Sehingga kini, Dato’ Seri Najib Tun Razak masih belum mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. Bahawa pembekuan aset yang diumumkan pada 14 Januari 2012 dahulu telah berjaya mengutip kembali semua perbelanjaan yang melanggar tujuan asal pemberian dana oleh kerajaan dari NFCorp, termasuklah memindahmilikkan aset-aset kondominium yang dibeli;

2. Dapatan dari audit oleh sebuah pasukan audit bebas yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga kini masih belum dibentangkan kepada rakyat;

3. Bahawa NFCorp akan membayar setiap satu sen dari RM250 juta dana rakyat yang digunakan sebelum ini apabila projek tersebut diberikan kepada kontraktor baru yang dilantik kerajaan.

Saya berkeras bahawa kerajaan tidak boleh melantik kontraktor baru sehinggalah ketiga-tiga perkara yang disenaraikan di atas telah dilaksanakan, terutamanya perkara (3).

Adalah menjadi tanggungjawab ketiga-tiga orang menteri, iaitu Dato’ Seri Najib Tun Razak (sebagai individu yang mempengerusikan jawatankuasa tender yang menganugerahkan kontrak kepada NFCorp), Tan Sri Muhyiddin Yassin (sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada ketika itu) dan Dato’ Seri Noh Omar (sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika skandal dibongkar) untuk mendapatkan jaminan peribadi (personal guarantee) setiap anggota keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil bahawa dana awam RM250 juta akan dikembalikan sepenuhnya.

Melalui jaminan peribadi ini, sekiranya mereka gagal membayar dana awam RM250 juta itu apabila lantikan mereka sebagai kontraktor kepada projek ini ditamatkan, maka kerajaan wajarlah menyita apa-apa harta mereka untuk membayar balik dana tersebut.

Saya tidak yakin bahawa ketiga-tiga menteri terbabit komited untuk mengutip kembali dana awam tersebut melihatkan tindakan mereka selama ini yang berdolak-dalih.

Oleh sebab itu, saya berpendapat tindakan menjalankan proses tender kali kedua untuk melantik kontraktor baru adalah satu muslihat untuk melupuskan hutang NFCorp sebanyak RM250 juta tanpa disedari oleh rakyat Malaysia melalui satu lantikan kontraktor baru.

Saya menyeru Dato’ Seri Najib Tun Razak mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. Bahawa tidak akan ada sebarang hutang NFCorp yang akan dilupuskan dan NFCorp perlu membayar sepenuhnya RM250 juta melalui jaminan peribadi;

2. Bahawa tidak akan ada suntikan dana baru ke dalam projek NFC ini walaupun kontraktor baru dilantik kerana dana sedia ada sebanyak RM250 juta perlu digunakan dan diperolehi dari NFCorp terlebih dahulu; dan

3. Bahawa tidak ada sebarang lantikan baru akan dibuat sehinggalah dana RM250 juta dikutip sepenuhnya.

Kegagalan Dato’ Seri Najib Tun Razak melaksanakan ketiga-tiga perkara ini mengukuhkan lagi pandangan rakyat bahawa Umno/Barisan Nasional cuba sedaya upaya melindungi Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan keluarganya.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

15 OGOS 2012

Kes Dato’ Seri Sharizat Jalil-NFC Dan Dakwaan Terhadap Azmin Ali: Keputusan SPRM Menimbulkan Lebih Banyak Tanda Tanya

Kami berasa kesal dengan dua keputusan penting yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari ini berhubung kes NFC/penglibatan Dato’ Seri Shahrizat Jalil serta tuduhan terhadap Saudara Azmin Ali.

Sungguh pun rata-rata rakyat Malaysia sudah menjangkakan bahawa SPRM akan melepaskan Dato’ Seri Shahrizat Jalil dari tuduhan rasuah bersabit NFC, keputusan SPRM membuka siasatan terhadap Saudara Azmin Ali benar-benar mendedahkan wajah sebenar SPRM.

Rakyat boleh menilai tindakan tangkas SPRM berhubung tuduhan terhadap Saudara Azmin Ali walaupun laporan dan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR, pada ketika itu) telah menyatakan bahawa tidak ada unsur rasuah ketika siasatan dibuat dalam tahun 1995.

Berbeza pula dengan pelbagai dolak dalih yang diberikan SPRM dalam kes NFC dan Dato’ Seri Shahrizat Jalil, walaupun NFC dan menteri bertanggungjawab membuat keterangan di Parlimen mengenai proses pemberian tender kepada sebuah syarikat milik keluarga beliau.

Kami bentangkan fakta-fakta berikut agar rakyat boleh menghakimi sendiri tindak-tanduk SPRM dalam dua kes ini:

KES SAUDARA AZMIN ALI

1. Dato’ Shafee Yahaya, bekas Ketua Pengarah BPR telah membuat kenyataan hari ini dan semalam bahawa siasatan mendapati tidak ada unsur rasuah yang mewajarkan dakwaan ketika siasatan dibuat terhadap Saudara Azmin Ali dalam tahun 1995;

2. Beliau menyatakan bahawa SPR mengesyorkan agar tindakan disiplin dikenakan terhadap Saudara Azmin Ali bertepatan dengan peraturan jabatan kerajaan;

3. Insiden dan fakta kes ini telah dinyatakan secara jelas di dalam bukunya “The Shafee Yahaya Story” mukasurat 306, 326 dan 356.

KES NFC-DATO’ SERI SHAHRIZAT JALIL

1. Dato’ Seri Noh Omar telah menyatakan di Parlimen bahawa tender NFC dibuat secara tertutup dengan menjemput hanya enam buah syarikat, antaranya NFCorp dan Felda Farm Products Sdn Bhd. Hanya Felda Farm Products Sdn Bhd yang mempunyai pengalaman dalam industri penternakan, sedangkan NFCorp hanya baru ditubuhkan;

2. Berdasarkan peraturan umum perolehan dan tender mana-mana badan (apatah lagi projek besar kerajaan), tindakan menganugerahkan tender kepada sebuah syarikat yang tidak berkemampuan untuk melaksanakannya adalah satu tindakan rasuah;

3. Ini bermakna, Jawatankuasa Tender Berimpak Tinggi yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri telah melakukan perbuatan rasuah dengan menganugerahkan projek bernilai RM250 juta kepada NFCorp yang langsung tidak mempunyai pengalaman mengendalikannya;

4. Satu-satunya hubungkait (atau pertalian) di antara Dato’ Seri Najib Tun Razak (sebagai pengerusi Jawatankuasa Tender) dan NFCorp adalah Dato’ Seri Shahrizat Jalil melalui hubungan kekeluargaan beliau (dengan NFCorp) dan hubungan politik (dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak).

Rakyat sudah tentu dapat membezakan bagaimana SPRM berhempas pulas membuka fail siasatan baru terhadap Saudara Azmin walaupun tiada fakta, tetapi melepaskan sahaja Dato’ Seri Shahrizat Jalil walaupun jelas satu perbuatan pecah amanah telah berlaku.

Kami yakin SPRM tidak pun memanggil Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk disoalsiasat walaupun beliau saksi utama yang perlu ditemuramah untuk memahami kenapa tender RM250 juta dianugerahkan kepada NFC.

Malah, kami sendiri pelik kenapa kami tidak dipanggil untuk disoalsiasat sedangkan kamilah yang paling ke depan membongkarkan penyelewengan NFC?

Kami yakin bahawa rakyat telah memutuskan ada perlakuan rasuah di dalam kes NFC.

Tugas SPRM sekarang bukanlah menjadi kuda tunggangan Barisan Nasional untuk membuka fail menyiasat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat di kala pilihanraya begitu dekat. Tugas SPRM ialah menjawab persoalan-persoalan mengenai kes pecah amanah besar seperti NFC.

Soalan kami mewakili rakyat Malaysia kepada SPRM:

Jika Dato’ Seri Shahrizat Jalil tidak terlibat, apakah ini bermakna Dato’ Seri Najib Tun Razak yang pecah amanah kerana beliau (tanpa dipengaruhi dan diminta oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil) menganugerahkan tender RM250 juta kepada NFCorp yang tidak layak?

HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
KETUA WANITA KEADILAN

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

31 MEI 2012

Perintah Soalsiasat Di Bawah Akta Bank Dan Institusi Kewangan (BAFIA) Berkenaan Kes NFC

Saya menerima notis yang diserahkan secara peribadi untuk hadir memberi keterangan di Bank Negara di bawah Seksyen 87 (1)(a), Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989.

Saya telah bersetuju untuk hadir memberi keterangan pada hari ini jam 230 petang di Bank Negara.

Sementara saya menghormati tanggungjawab Bank Negara dan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan, saya juga khuatir jika tekanan yang berterusan yang cuba dikenakan terhadap saya dan En Johari Mohamad bertujuan untuk menutup skandal NFC.

Saya juga hairan kenapa Bank Negara tidak pula menyiasat hatta mengambil tindakan terhadap Dato’ Seri Salleh Ismail dan keluarga beliau yang secara terang-terangan memindahkan wang rakyat secara tidak sah ke syarikat-syarikat milik keluarga beliau di Singapura dan Kazakhstan. Perkara ini diakui oleh mereka dan bukankah ini perlu disiasat juga oleh Bank Negara di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (Anti Money Laundering Act)?

Tindakan memanggil saya untuk soalsiasat memberi gambaran seolah-olah pihak berkuasa seperti SPRM dan Bank Negara tidak mengalu-alukan tindakan proaktif rakyat biasa seperti saya untuk mendedahkan penyelewengan dan rasuah yang berleluasa di Malaysia. Kenyataan kepimpinan SPRM kebelakangan ini contohnya, secara jelas memusuhi rakyat kebiasaan yang mengambil tindakan berani mendedahkan perlakuan rasuah.

Fenomena ini membimbangkan saya kerana ia boleh mewujudkan suasana takut di kalangan rakyat Malaysia dan menghalang mereka dari tampil membuat pendedahan.

Saya mendesak satu kenyataan dari Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri untuk menafikan bahawa pentadbiran beliau tidak memangsakan pemberi maklumat dan melindungi perasuah. Apatah lagi apabila SPRM sehingga kini tidak mengambil sebarang tindakan ke atas seorang pun yang menganggotai jawatankuasa tender yang menganugerahkan kontrak RM250 juta kepada keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, sedangkan jelas NFC yang dikuasai keluarga beliau langsung tidak ada pengalaman untuk mengendalikan projek tersebut.

Walaupun umum mengetahui bahawa saya berhadapan dengan tekanan dari pihak berkuasa, sehingga kini masih ramai individu dan kumpulan yang tampil untuk memberikan maklumat mengenai penyelewengan dan rasuah.

Saya akan terus membuat siasatan dan pendedahan sehinggalah kredibiliti pihak berkuasa yang bertanggungjawab terutamanya SPRM dipulihkan di mata rakyat.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

30 MEI 2012

Tindakan NFC Memburu Rakyat Yang Disyaki Menjadi ‘Whistleblower’ Memalukan

Saya kesal dengan tindakan NFC dan Dato’ Ser Mohamad Salleh Ismail yang terus menerus memburu rakyat yang tidak bersalah untuk dikenakan hukuman berat kerana disyaki membantu pendedahan segala penyelewengan yang berlaku di NFC.

Terbaru, beliau secara bertubi-tubi membuat aduan dan memberi tekanan kepada Public Bank dan Bank Negara Malaysia untuk mengambil tindakan terhadap Encik Johari Mohamad yang dituduhnya membocorkan maklumat pembelian harta mewah di KL Eco City kepada saya.

Akibat tekanan ini, tindakan telah diambil oleh Public Bank dan Bank Negara Malaysia terhadap Encik Johari Mohamad. Beliau yang sudah tidak tahan dengan tekanan dan tindakan selama sebulan akhirnya membuat keputusan meletakkan jawatan dari Public Bank setelah berkhidmat berbelas tahun.

Tidak cukup dengan merosakkan periuk nasi rakyat yang tidak berdosa, Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail dan NFC terus memburu dengan mengenakan tekanan kepada Bank Negara pula. Hari ini, Encik Johari Mohamad akan disiasat dibawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) yang boleh dikenakan hukuman penjara 5 tahun.

Tindakan yang bersifat dendam kesumat ini sudah tentu dibincangkan dan mendapat restu Dato’ Seri Shahrizat Jalil, Ketua Wanita Umno. Sebelum ini, apabila ditanya apa tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang mendedahkan penyelewengan NFC, Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail sendiri mengatakan bahawa beliau akan berbincang dengan keluarga.

Tindakan dendam kesumat ini juga bertentangan dengan kenyataan Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail bahawa beliau tidak berdendam dengan sesiapa kecuali saya dan beliau tidak akan mengambil tindakan terhadap sesiapa pun kecuali saya.

Jelasnya, beliau sedang berusaha untuk mengenakan tindakan terhadap semua yang beliau syaki membantu mendedahkan penyelewengan dan kekayaan peribadi keluarga beliau.

Beliau tidak sedar bahawa tindakan dendam kesumat itu memberi imej yang buruk terhadap Umno. Ahli Umno sendiri menolak penyelewengan yang dilakukan oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, maka sudah tentu mereka pun muak dengan sikap penting diri keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil yang akan terus mengheret Umno ke dalam skandal NFC yang tiada penghujungnya.

KEADILAN akan membantu sepenuhnya Encik Johari dari aspek bantuan guaman dan berusaha mendapatkan kerja baru supaya beliau tidak terus dimangsakan oleh dendam kesumat keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Saya mendesak Bank Negara Malaysia supaya tidak tunduk kepada tekanan Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan keluarganya. Sungguh malang apabila semua institusi negara – dari PDRM, SPRM dan kini BNM – diheret oleh beliau semata-mata untuk menutup penyelewengan yang telah berlaku.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

14 MEI 2012

KENYATAAN ENCIK JOHARI MOHAMAD

Saya, Johari Mohamad, adalah seorang kakitangan Public Bank yang bertugas di cawangan Jinjang.

Pada 24 April 2012, saya menerima sepucuk surat dari majikan saya menyatakan saya didakwa melanggar tatacara dan disiplin tempat kerja berikutan satu aduan yang dibuat oleh Dato’ Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Aduan itu juga menuduh saya melanggar peruntukan Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) 1989 yang boleh disabitkan hukuman berat.

Saya telah melalui proses perbicaraan disiplin (domestic inquiry) di Public Bank. Akibat tekanan di tempat kerja dan pelbagai tindakan yang diambil terhadap saya, saya telah membuat keputusan untuk berhenti kerja. Saya telah pun menyerahkan surat perletakan jawatan ekoran aduan yang dibuat oleh Dato’ Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Hari ini pula, saya telah diarahkan untuk melaporkan diri bagi tujuan siasatan di bawah Akta BAFIA di Bank Negara jam 2 petang nanti. Saya kini disiasat pula oleh Bank Negara Malaysia di bawah BAFIA yang boleh membawa hukuman berat.

JOHARI MOHAMAD
PUBLIC BANK, CAWANGAN JINJANG

14 MEI 2012

Hartanah Di Mont Kiara: Keluarga Dato’ Seri Shahrizat Terus Dapat Manfaat Kewangan Dari Dana Rakyat

Walaupun Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa aset NFC telah dibekukan, hakikatnya keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil masih lagi mendapat bayaran bulanan yang lumayan dari harta-harta yang dibeli menggunakan dana NFC.

Selain dari pelbagai kondominium yang telah didedahkan kini, keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil juga mendapat kutipan sewa dari hartanah-hartanah yang dibeli dengan dana NFC dan kemudiannya disewakan kembali kepada NFC dan syarikat-syarikat bersekutu yang lain.

Bukti yang paling kukuh ialah dua premis utama operasi NFC iaitu pejabatnya di alamat L-3A, No. 2, Jalan Solaris, Solaris Mont Kiara dan restoran mewah Meatworks di alamat 2G 3A, Jalan Solaris 5, Solaris Month Kiara.

KEADILAN berjaya mendapatkan rekod hakmilik dan nilaian kedua-dua hartanah dari carian rasmi dengan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (sila rujuk dokumen carian harta JPPH yang disertakan bersama).

4 unit ruang pejabat yang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutu di Tingkat 3A, Jalan Solaris dimiliki bersama oleh Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail dan anaknya Wan Izanur Izran. Salah satu unit iaitu Unit L-3A-3A berjaya dipadankan dengan carian harta di JPPH atas nama Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail yang dibeli pada harga RM814,550.

Semakan pembayaran dari rekod kewangan NFC pula menunjukkan bahawa pada setiap bulan, NFC akan membuat dua pembayaran sewa pejabat seperti berikut:

RM28,000 setiap bulan kepada Wan Shahinur Izran
RM8,240 setiap bulan kepada Dato’ Seri Mohamad Salleh

Ini menimbulkan beberapa kesimpulan dan persoalan besar seperti berikut:

1. Dua orang pengarah NFC telah menyalahgunakan wang syarikat dengan mendapatkan pinjaman bank bagi hartanah yang kemudiannya disewakan kembali kepada syarikat;

2. Adakah urusniaga pembelian hartanah atas nama peribadi tetapi dibayar menggunakan kutipan sewa dari NFC dan syarikat bersekutu ini mendapat kelulusan Lembaga Pengarah? Jika tidak, Dato’ Seri Salleh Ismail dan Wan Shahinur Izran perlu disiasat atas kemungkinan pecah amanah wang syarikat;

3. Bayaran sewa yang dikutip oleh Dato’ Seri Salleh Ismail iaitu RM8,240 sebulan bagi ruang pejabat bernilai RM814,550 adalah terlalu tinggi. Jika pembelian ini dibiayai dengan pinjaman selama 25 tahun pada kadar faedah semasa, bayaran bulanan dianggarkan sekitar RM4,800 sebulan. Ini bermakna Dato’ Seri Salleh Ismail membuat keuntungan 72% setiap bulan; iaitu kadar keuntungan yang terlalu tinggi dari wang rakyat.

4. Jika ini keadaannya dengan unit L-3A-3A yang dimiliki oleh Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail, sudah tentu kadar keuntungan serupa juga dibayar oleh NFC kepada Wan Shahinur Izran bagi ruang-ruang pejabat lain yang dimiliki beliau.

Kaedah membeli hartanah atas milikan peribadi dan dibiayai oleh bayaran sewa oleh NFC dan syarikat bersekutu turut digunapakai dalam hartanah-hartanah lain.

Ruang niaga restoran yang disewa oleh RFC bagi operasi Meatworks di Mont Kiara pula dimiliki oleh Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh.

Carian rasmi di JPPH menunjukkan beliau mempunyai dua ruang kedai iaitu unit 2 dan 3. Unit 2 berharga RM8.4 juta sementara unit 2 berharga RM5.7 juta. Ruang ini disewakan kepada RFC yang membayar sewa bulanan kepada Wan Shahinur Izran menggunakan dana RM250 juta yang dibiayai oleh rakyat.

Walaupun saya tidak mempunyai rekod kewangan terperinci bagi RFC dan syarikat-syarikat bersekutu yang lain, saya percaya Wan Shahinur Izran turut mendapat bayaran sewa yang lumayan dari dua ruang restoran yang dimilikinya. Saya menganggarkan beliau memperolehi pendapatan sewa RM150,000 sebulan dari dua unit hartanah bernilai RM14.1 juta ini, mengambil kira kadar keuntungan sama yang diperolehi Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail.

Ini membuktikan sekali lagi bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghentikan penyelewengan wang rakyat walaupun pelbagai pendedahan telah dibuat. Beliau berharap dengan pengunduran sementara Dato’ Seri Shahrizat Jalil dari jawatan kabinet, skandal ini akan reda sementara beliau membiarkan keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil terus bermewah dengan wang rakyat sebanyak RM250 juta.

KEADILAN akan membuat laporan polis susulan berikutan pendedahan ini agar Wan Shahinur Izran dan Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail disiasat atas kemungkinan pecah amanah dalam urusan sewa beli hartanah-hartanah yang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutunya di Mont Kiara.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

24 APRIL 2012