Category Archives: Pilihanraya

Papagomo @ Wan Muhammad Azri Wan Deris Adalah Pengundi Hantu

Pasukan KEADILAN telah memulakan siasatan untuk mengenalpasti individu yang mengendalikan laman Papagomo yang bertindak sebagai ruang menabur fitnah dan didokong sepenuhnya oleh Umno.

Siasatan menunjukkan individu yang bernama Wan Muhammad Azri Wan Deris ini adalah seorang bekas anggota polis trafik berpangkat koperal yang telah dijatuhkan hukuman penjara kerana bersalah memeras ugut seorang yang disyaki penagih dadah untuk mendapat suapan rasuah.

(Maklumat lanjut pertuduhan dan kesalahan ada dilampirkan di Lampiran A, hasil semakan dengan pengkalan data SPRM)

Semakan tersebut mengesahkan nombor pengenalan polis Papagomo yang bernombor RF142863.

Dengan nombor tersebut, pasukan KEADILAN telah menyemak pula rekod Papagomo dengan sistem semakan daftar undi SPR. Hasil semakan sangatlah mengejutkan kerana Papagomo yang telah pun tidak lagi berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia kerana kesalahan rasuah masih lagi tersenarai sebagai pengundi pos di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Ampang. Bukti paparan skrin bahawa Papagomo masih disenaraikan sebagai pengundi pos di IPD Ampang disertakan dalam Lampiran B.

papagomospr1

Kami kemudiannya menyemak pula status pendaftaran undi Papagomo sebagai pengundi biasa di sistem yang sama. Seperti yang dijangka, Papagomo juga turut tersenarai sebagai pengundi biasa dengan menggunakan kad pengenalan 830121-03-5019. Dengan menggunakan kad pengenalan itu, Papagomo disenaraikan sebagai pengundi di Parlimen Wangsa Maju seperti paparan skrin dalam Lampiran B.

papagomospr2

Oleh kerana tarikh lahir yang berbeza digunakan di dalam sistem semakan daftar undi SPR, pasukan KEADILAN kemudiannya menyemak pula alamat-alamat yang pernah digunakan oleh Papagomo dalam dokumen-dokumen rasmi.

Saya mengesahkan bahawa kami ada dokumen yang membuktikan bahawa Papagomo memang menggunakan dua alamat yang berbeza secara seiringan di dalam dokumen-dokumen rasmi bersabit peguam dan mahkamat seperti berikut:

Alamat Pertama dalam Parlimen Wangsa Maju yang kini didiami:
F-1-9, Villa Danau Apartment, Jalan 5/23E, Taman Danau Kota, 53300 Kuala Lumpur

Alamat Kedua dalam Parlimen Ampang:
SD6, Jalan Nilam, Taman Bukit Ampang, Ampang, Selangor

Penemuan ini membuktikan bahawa pengundi hantu memang wujud di dalam daftar pengundi apabila Papagomo dibenarkan mengundi dua kali. Kehadiran pengundi-pengundi hantu seperti Papagomo ini perlu dijawab sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana rakyat mahu tahu berapa ramai lagi petugas Umno seperti Papagomo yang mempunyai pendaftaran berganda di dalam daftar pemilih?

Saya juga menyeru rakyat Malaysia supaya menolak individu yang bankrap moral dan akhlak seperti Papagomo yang bukan sahaja seorang penerima rasuah, tetapi menjadi penyebar fitnah utama di dalam masyarakat kita. Rakyat Malaysia juga perlu menolak budaya Umno yang mendokong dan menggunakan individu seperti Papagomo untuk menyebarkan fitnah terhadap musuh politik kerana Umno tidak berani berdepan dalam isu rakyat seperti ekonomi, pendidikan, keselamatan dan lain-lain.

Sekiranya SPR tidak menjawab pertuduhan ini, ia hanya menguatkan persepsi masyarakat bahawa SPR sedang bertungkus lumus cuba memastikan kemenangan Umno/BN melalui daftar undi yang tidak bersih.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

22 MAC 2013

LAMPIRAN A – MAKLUMAT DARI PENGKALAN DATA SPRM

No Pengenalan Diri : RF 142863
Nama : Wan Muhammad Azri bin Wan Deris
No Kes : B-06B-68-2011
Mahkamah :
Hakim : Y. A. Linton Albert [HMR], Y. A Datuk Wira Mohtarudin bin Baki [HMR] & Y. A Datuk Mohad Zawawi b
Pendakwaan : TPR Nik Azrin Zairin bt Nik Abdullah
PeguamBela : Samsul Sulaiman
Kesalahan : Seksyen 10(a)(bb) dan seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575)
Jantina : Lelaki
Warganegara : Malaysia
Negeri : Selangor
Kategori : Penjawat Awam
Majikan : Polis Di Raja Malaysia
Jawatan : Koperal
Tarikh sabitan : 06/09/2012
Pertuduhan : “Pertuduhan Pertama: Bahawa kamu pada 29.11.2004, di antara jam 1.00 petang dan 3.00 petang, di Pandan Indah, di dalam Daerah Ampang, dalam Negeri Selangor, sebagai ejen kerajaan Malaysia iaitu anggota Polis Trafik yang bertugas di Balai Polis Trafik Ampang, telah secara rasuah telah meminta suatu suapan untuk diri kamu iaitu wang tunai RM1000.00 daripada seorang yang bernama Mohd Rahyudi bin Mokhtar sebagai dorongan bagi melakukan suatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipal kamu iaitu tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Mohd Rahyudi bin Mokhtar yang dikatakan memiliki jarum suntikan untuk menagih dadah dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang di bawah seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum di bawah seksyen 16 Akta yang sama.

Pertuduhan Kedua: Bahawa kamu pada 30.11.2004, di antara jam 11.40 pgai di lorong tidak bernama di belakang sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ampang, di dalam Daerah Ampang, dalam Negeri Selangor, sebagai ejen kerajaan Malaysia iaitu anggota Polis Trafik yang bertugas di Balai Polis Trafik Ampang, telah secara rasuah telah menyetuju-terima suatu suapan untuk diri kamu iaitu wang tunai RM400.00 daripada seorang yang bernama Mohd Rahyudi bin Mokhtar sebagai dorongan bagi melakukan suatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipal kamu iaitu tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Mohd Rahyudi bin Mokhtar yang dikatakan memiliki jarum suntikan untuk menagih dadah dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan yang di bawah seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum di bawah seksyen 16 Akta yang sama. ”

Hukuman : “Keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Pertuduhan pertama: Penjara 5 bulan dan denda RM10,000 (tidak bayar, penjara 8 bulan) Pertuduhan kedua: Penjara 5 bulan dan denda RM10,000 (tidak bayar, denda 8 bulan). Hukuman penjara berjalan berasingan. Keputusan Mahkamah Tinggi: Mahkamah telah menolak rayuan Perayu terhadap sabitan. Keputusan Hakim Mahkamah Sesyen dikekalkan. Mahkamah Rayuan: Rayuan OKT ditolak. Mahkamah telah mengurangkan hukuman penjara dari 5 bulan kepada 14 hari dan denda RM10,000.00 id 8 bulan penjara adalah dikekalkan bagi kedua-dua pertuduhan. Hukuman penjara adalah berjalan secara serentak”

Pengesahan Agbimudin Kiram Kakitangan Kerajaan Timbulkan Persoalan Berapa Ramai Pemegang Kad Pengenalan Biru Terlibat

Pengesahan oleh jurucakap kumpulan yang menggelarkan diri mereka Kesultanan Sulu yang dibuat di Manila bahawa Agbimudin Kiram pernah menjadi pegawai kerajaan di negeri Sabah terus menimbulkan persoalan mengenai latar belakang sebenar konflik pencerobohan di Lahad Datu.

Pengesahan itu mengiyakan kerisauan banyak pihak bahawa kumpulan bersenjata di Lahad Datu turut melibatkan rakyat Malaysia berasal dari Filipina yang memegang kad pengenalan biru. Perkara ini mendedahkan kemungkinan ancaman keselamatan yang timbul akibat dari tindakan pihak tertentu yang dituduh berkait dengan Tun Mahathir Mohamad memberikan kerakyatan tanpa melalui proses yang sah.

Pendirian KEADILAN adalah jelas bahawa perkara ini memerlukan siasatan segera untuk menentukan perkara-perkara berikut:

1. Apakah Agbimudin Kiram adalah rakyat Malaysia yang telah diberikan kad pengenalan biru?
2. Berapa ramai dari kalangan penceroboh bersenjata yang mempunyai kad pengenalan biru?
3. Berapa ramai dari kalangan mereka yang mempunyai kad pengenalan biru mendapat kad pengenalan biru di bawah Projek IC?

Ini adalah soalan-soalan asas yang wajib dijawab oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak, memandangkan beliau seharusnya berterus terang mengenai latar belakang konflik ini dengan rakyat.

Pengesahan mengenai kedudukan Agbimudin Kiram itu juga membayangkan banyak perkara yang masih belum dibongkarkan oleh Suruhanjaya Diraja Mengenai Kerakyatan yang terhenti seketika.

Oleh itu, saya mencadangkan supaya pertimbangan diambil untuk memulakan serta merta prosiding Suruhanjaya Diraja Mengenai Kerakyatan yang tergendala bagi memastikan semua aspek berhubung pemberian kad pengenalan di Sabah tanpa melalui proses yang sah diteliti dan dibongkar sepenuhnya.

Sementara itu, KEADILAN masih lagi menunggu jawapan dari Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tun Mahathir Mohamad bagi menjawab ketiga-tiga soalan yang dilontarkan.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

21 MAC 2013

Raja Muda Sulu, Agbimudin @ Azzimuddie Kiram Adalah Rakyat Malaysia & Kakitangan Awam

Sejak pencerobohan di Lahad Datu berlaku, pelbagai spekulasi timbul akibat maklumat yang samar-samar yang diberikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak, sebagai penjawat awam tertinggi yang bertanggungjawab kepada rakyat.

Salah satu persoalan yang paling besar ialah latar belakang kumpulan bersenjata ini. Walaupun secara rasminya mereka diisytiharkan sebagai orang asing dari satu kumpulan yang mewakili Kesultanan Sulu, banyak spekulasi timbul apabila ada tokoh-tokoh pimpinan tertentu dari kumpulan itu yang dikatakan rakyat Malaysia.

Perkara ini penting kerana ia membayangkan kesan sampingan Projek IC yang dikaitkan dengan Tun Mahathir Mohamad dan setakat ini disahkan oleh keterangan-keterangan kepada Suruhanjaya diRaja Mengenai Kerakyatan di Sabah. Wujudnya tokoh-tokoh dari kumpulan bersenjata Sulu ini dari kalangan rakyat Malaysia mengesahkan keresahan rakyat bahawa pemberian kerakyatan bagi tujuan politik tanpa melalui proses yang sah mengundang ancaman keselamatan.

Sejak tercetusnya pencerobohan di Lahad Datu, KEADILAN telah mengadakan pertemuan dengan penduduk tempatan untuk cuba mendapat maklumat lanjut mengenai latar belakang tokoh-tokoh ini. Salah seorang yang sering disebut ialah ketua kumpulan itu sendiri yang menggelarkan dirinya Raja Muda Sulu, bernama Agbimudin @ Azzimuddie Kiram.

Maklumat awal penduduk tempatan menyatakan bahawa dia pernah bertugas sebagai pegawai kerajaan di Pejabat Daerah Kudat dan mengesahkan bahawa dia adalah rakyat Malaysia setelah diberikan kad pengenalan.

Dari maklumat tersebut, Timbalan Setiausaha Agong KEADILAN, Sdr Darell Leiking telah menjejaki maklumat kakitangan Kerajaan Negeri Sabah di beberapa tempat termasuklah di Jabatan Arkib Negara Sabah.

Dari maklumat Senarai Kakitangan 1975, Perkhidmatan Awam Sabah seperti yang disimpan di Jabatan Arkib Negara Sabah, disahkan bahawa Datu Agbimudin Kiram tersenarai sebagai Pegawai Pentadbir Muda di Pejabat Daerah Kudat dengan lantikan bermula 1 Mac 1974 bergaji RM610 sebulan.

(Sila rujuk dokumen Senarai Kakitangan 1975 yang disertakan bersama)

Download (PDF, 1.4MB)

SenaraiKakitangan1

SenaraiKakitangan2

Dengan maklumat ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak lagi boleh bersembunyi disebalik alasan keselamatan nasional untuk mengelak dari menjawab soalan-soalan yang berlegar di pemikiran rakyat:

1. Berapa orang setakat ini dari kalangan penceroboh bersenjata merupakan rakyat Malaysia yang berasal dari Filipina yang diberikan kad pengenalan biru seperti Agbimudin Kiram?
2. Berapa orang setakat ini dari kalangan penceroboh bersenjata rakyat Malaysia itu adalah ahli Umno?
3. Kenapa Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak berterus terang dengan rakyat bahawa ketua kumpulan bersenjata ini adalah rakyat Malaysia berasal dari Filipina yang diberikan kad pengenalan biru?

Penemuan ini membuka dimensi baru mengenai pencerobohan ini yang jelasnya mengesahkan hubung kait di antara pencerobohan bersenjata dengan Projek IC yang dikaitkan dengan Tun Mahathir Mohamad dan Umno.

Untuk mengupas perkara ini dengan lebih lanjut, KEADILAN akan meganjurkan Bicara Kedaulatan dan Keselamatan Negara (BKKN) dalam bentuk forum yang disertai oleh Leftenan Jeneral (B) Dato’ Abdul Ghafir Abdul Hamid (mantan Timbalan Panglima Tentera Darat) dan Tuan Yusuf Barji (mantan Penolong Pesuruhjaya Polis/ACP dan Pengarah Cawangan Khas PDRM Sabah) di Kuala Lumpur, Sungai Petani dan Johor Bahru.

BKKN yang pertama akan berlangsung di Dewan Dato’ Ahmad Razali Ampang pada hari Khamis, 21 Mac 2013 jam 9 malam dan akan dipengerusikan oleh saya sendiri. Melaui BKKN, persoalan hubungkait Projek IC dan ancaman keselamatan akibat dari semborono Umno itu akan dikupas dengan sejelasnya, selain dari isu-isu kedaulatan dan keselamatan negara yang lain.
KEADILAN menunggu jawapan dari Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tun Mahathir Mohamad agar perkara sebenarnya dapat dijelaskan kepada rakyat.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

DARELL LEIKING
Timbalan Setiausaha Agong

20 MAC 2013

Apps “PRU13 PKR” Senjata Kempen Media Sosial

Mengambil kira ruang maklumat yang disekat akibat media perdana yang tidak bebas, KEADILAN menumpukan usaha untuk menggunakan sepenuhnya gabungan telefon pintar (smartphone) dan media social seperti Facebook dan Twitter. Oleh itu, KEADILAN menjadi parti politik pertama yang membangunkan Apps bersepadu untuk menyebarkan maklumat sepanjang kempen Pilihanraya Umum ke-13 melalui media sosial.

Apps ini mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Membawa berita terkini
2. Kemudahan semakan daftar pengundi di hujung jari
3. Bank infografik yang penuh dengan data mengenai isu-isu besar
4. Video ceramah, sidang media dan aktiviti kempen
5. Twitter pimpinan utama
6. Jadual aktiviti dan ceramah Dato’ Seri Anwar Ibrahim
7. Bank profail calon-calon KEADILAN (selepas penamaan calon)

Apps yang dinamakan “PKR” ini dibangunkan untuk platform Apple dan Android buat masa ini. Ia boleh mula dimuat turun di iTunes dan Market Place dari minggu bermula 25 Mac 2013 dengan jangkaan Dewan Rakyat dibubarkan selewat-lewatnya dalam minggu tersebut.

KEADILAN akan mempromosikan Apps ini bermula dari hari ini melalui preview video yang boleh didapati di Youtube.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

20 MAC 2013

UMNO Menjadi Dalang Menggalakkan Keganasan, Ambil Kesempatan Dari Peristiwa Lahad Datu

Mewakili kepimpinan KEADILAN, saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas Umno dalam beberapa insiden terkini yang mengancam keselamatan orang ramai dan pimpinan KEADILAN.

Rusuhan yang diadakan oleh pengikut-pengikut Umno berniat jahat dan berunsur ganas dari awal, apabila mereka membaling telur, kayu dan kon lalulintas ke arah ibupejabat KEADILAN yang turut mengenai beberapa anggota KEADILAN yang berada di tempat yang sama. Keganasan ini adalah terancang kerana mereka membawa telur, kayu dan kon lalulintas semata-mata bagi tujuan ini.

Selain bertindak ganas, pengikut-pengikut Umno ini juga mengugut untuk membakar bangunan yang merupakan satu ancaman jenayah.

Sepanjang kejadian ini berlaku, tidak ada seorang anggota polis pun yang campur tangan untuk menghentikan perlakuan ganas yang melanggar undang-undang. Sangatlah memalukan apabila Balai Polis Tropicana hanyalah terletak dua pintu dari ibupejabat KEADILAN dan anggota polis hanya berpeluk tubuh sahaja.

Perkara yang sama berlaku di Melaka (yang melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim) dan di depan pejabat Saudara Tian Chua di Jalan Ipoh (termasuk ugutan untuk mencederakan Saudara Tian Chua); kedua-duanya berlaku minggu lepas. Dengan perlakuan ganas yang mencederakan orang ramai, anggota polis tidak pun diberi arahan oleh ketua mereka untuk bertindak menahan pengikut-pengikut Umno yang biadap, melanggar undang-undang dan menjejaskan keselamatan awam.

Sebab itu KEADILAN meletakkan sepenuh tanggungjawab ekoran insiden-insiden keganasan ini di atas bahu Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Umno/Barisan Nasional kerana ia sudah tentu mendapat restu dari pimpinan Umno/Barisan Nasional. Sehingga kini tidak ada seorang pun pimpinan Umno/Barisan Nasional yang tampil mengutuk kejadian keganasan ini.

Siri keganasan ini dipertingkatkan kebelakangan ini bersempena kempen fitnah yang cuba mengaitkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan KEADILAN yang lain kononnya sebagai dalang peristiwa pencerobohan di Lahad Datu. Selain propaganda di media perdana yang dimainkan saban hari, kumpulan-kumpulan samseng Umno digerakkan untuk mengugut dan menimbulkan kebencian melalui cara keganasan.

Saya yakin ini adalah perancangan tersusun Umno/Barisan Nasional yang mengambil kesempatan dari peristiwa pencerobohan di Lahad Datu sebagai modal politik untuk menimbulkan kebencian terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Politik kebencian yang dimainkan Umno/Barisan Nasional ini dijadikan alasan untuk mengancam keselamatan pimpinan KEADILAN melalui siri keganasan yang berterusan.

Malah, saya tidak menolak kemungkinan politik kebencian atas kesempatan peristiwa pencerobohan di Lahad Datu mungkin digunakan oleh anasir tertentu di dalam Umno untuk memastikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri ditahan, disiasat dan seterusnya didakwa di bawah undang-undang keselamatan.

Saya menasihati pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengambil berat kejadian-kejadian keganasan yang makin meningkat dan mengenakan tindakan keras terhadap mereka yang terlibat dan menjadi dalang. Pimpinan tertinggi PDRM juga wajiblah menolak sebarang anasir yang cuba mengambil kesempatan dari peristiwa pencerobohan di Lahad Datu untuk menekan lawan politik seperti yang berlaku sekarang.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI

12 MAC 2013