Category Archives: Pilihanraya

Janji Mewujudkan 3.3 Juta Peluang Pekerjaan Baru Dalam Manifesto BN Tidak Realistik

Salah satu janji utama yang dimuatkan di dalam Manifesto BN adalah untuk mewujudkan sejumlah 3.3 juta peluang pekerjaan dengan sasaran 2 juta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi. Tawaran peluang pekerjaan ini menjadi antara tawaran ekonomi paling utama di dalam Manifesto BN kepada rakyat Malaysia.

Sebelum ini, Barisan Nasional selalu ghairah menuduh bahawa program ekonomi yang dibawa oleh Pakatan Rakyat sebagai tidak realistik, walaupun mereka tidak berkemampuan untuk menyanggah pembentangan angka-angka yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.

Untuk menyuburkan amalan demokrasi dan persaingan dasar menjelang PRU13 ini, KEADILAN mengambil langkah membandingkan janji-janji di dalam Manifesto BN dengan rekod pencapaian mereka setakat ini, untuk menilai sama ada janji yang dibawa itu benar-benar boleh ditepati seperti yang selalu dilaungkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Setiap tahun, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri menerbitkan jumlah pekerjaan keseluruhan dan guna tenaga buruh rasmi di dalam negara kita. Angka ini adalah tepat untuk menganggarkan jumlah pekerjaan baru yang dihasilkan setiap tahun.

Perangkaan Unit Perancang Ekonomi[1] menunjukkan bahawa Barisan Nasional hanya berjaya mewujudkan sekitar purata 300,000 pekerjaan baru sahaja setiap tahun sejak Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, seperti berikut:

Tahun

Jumlah Pekerjaan

Bilangan Pekerjaan Baru

2009

11.6 juta

2010

11.9 juta

300,000

2011

12.2 juta

300,000

2012

12.5 juta

300,000

Untuk mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan baru seperti yang dijanjikan di dalam Manifesto BN, ini bermakna Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu menambah pekerjaan sebanyak 650,000 setahun secara purata, iaitu lebih dari satu kali ganda dari jumlah sedia ada.

Angka ini tidak munasabah, terutamanya apabila tidak ada apa-apa rancangan di pihak Barisan Nasional untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing seperti yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat. Di dalam Manifesto Rakyat, Pakatan Rakyat mensasarkan untuk mewujudkan tambahan 1 juta peluang pekerjaan baru dengan tumpuan khusus untuk mengurangkan pekerja asing dan melatih pelajar lepasan SPM, bagi mengelakkan pengangguran di kalangan mereka.

Saya mohon Dato’ Seri Najib Tun Razak mempertahankan angka 650,000 peluang pekerjaan baru setiap tahun yang dijanjikannya, apabila jelas rekodnya dalam mewujudkan peluang pekerjaan tidak ditepati.

 

RAFIZI RAMLI

Pengarah Strategi

Ahli Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat

 

9 APRIL 2013

 

Hanya 14% Dari Manifesto Barisan Nasional Adalah Idea Baru

Cabaran mentadbir negara adalah lebih rumit kini. Ekonomi yang lebih global, persaingan yang sengit, kesenjangan pendapatan (income disparity) yang meruncing di dalam negara dan kebebasan maklumat melalui media sosial, adalah contoh-contoh cabaran yang merumitkan pentadbiran Malaysia.

Oleh itu, keupayaan sesebuah parti mentadbir negara dengan baik boleh dinilai dari keaslian (originality) idea-idea baru yang dibawa untuk berdepan dengan cabaran-cabaran ini. KEADILAN menganalisa Manifesto Barisan Nasional untuk menilai tahap keaslian idea-idea yang dibawa supaya dapat dibandingkan oleh rakyat.

(Sila rujuk Lampiran A yang merumuskan analisa).

Setiap janji yang dimuatkan di dalam Manifesto BN disemak dengan program-program sedia ada dan Manifesto Rakyat, untuk menentukan sama ada janji itu adalah idea baru, program sedia ada ataupun diciplak dari Manifesto Rakyat.

Dari 157 janji yang dimasukkan di dalam Manifesto BN, 15% (atau 23 janji) diciplak hidup-hidup dari Manifesto Rakyat. Sebahagian besar dari janji BN iaitu 71% adalah program sedia ada atau sasaran umum yang memang menjadi tanggungjawab kerajaan dan diketahui umum.

Oleh itu, hanya 14% atau 22 janji adalah idea baru yang belum diumumkan atau dilaksanakan.

Setelah menjadi kerajaan persekutuan selamsa 56 tahun, Barisan Nasional tidak mampu pun mengenengahkan idea-idea baru yang boleh menarik perhatian rakyat. Mengitar semula program sedia ada dalam keadaan persekitaran pentadbiran yang lebih rumit bermakna keberkesanan program sedia ada menyelesaikan masalah rakyat juga semakin merudum.

Sebab itu, akhirnya Barisan Nasional terpaksa menciplak idea-idea radikal Pakatan Rakyat yang popular dan menjadi harapan rakyat, sehinggakan 15% dari Manifesto BN dimuatkan dengan idea Pakatan Rakyat.

Tindakan menciplak ini terutamanya berhubung perkara-perkara besar seperti menurunkan harga kereta, menghapuskan tol, memberi permit teksi individu, peranan kerajaan membina rumah rakyat supaya tidak ditinggalkan kepada swasta, membina rumah untuk pekerja estet dan bantuan yang adil kepada sekolah menggambarkan bahawa Barisan Nasional akhirnya menerima hakikat Manifesto Rakyat adalah baik, mampu dilaksanakan dan menepati harapan rakyat.

Oleh yang demikian, KEADILAN bakal memasuki PRU13 dalam keadaan Barisan Nasional terpaksa mempertahankan Manifesto BN yang tidak asli dan disadur dari Pakatan Rakyat.

Memilih Barisan Nasional bermakna mengekalkan program sedia ada yang sudah terbukti tidak mampu mengubah nasib rakyat, memilih Pakatan Rakyat bermakna melaksanakan idea baru yang lebih asli dan radikal untuk menyelesaikan masalah rakyat.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
Ahli Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat

9 APRIL 2013

 

LAMPIRAN A – ANALISA KEASLIAN JANJI-JANJI BARISAN NASIONAL

 

BAHAGIAN

IDEA BARU BN

IDEA SEDIA ADA

CIPLAK PR

Menangani Kos Sara Hidup 1 janji:

Menurunkan yuran jalur lebar

8 janji:

BR1M, BB1M, bantuan persekolahan, Klinik 1Malaysia, Pusat Jagaan 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia & produk bertemakan 1Malaysia (2 janji)

2 janji:

Menurunkan harga kereta, menyeragamkan harga barang seluruh negara

Kehidupan Warga Bandar 1 janji:

Mengambil alih penyenggaraan prasarana perumahan awam

8 janji:

Janji selebihnya adalah perkara biasa yang memang menjadi tanggungjawab kerajaan & sedang dijalankan

 
Rumah Mampu Milik 2 janji:

Memastikan harga rumah PR1MA sekurang-kurangnya 20% di bawah harga pasaran, pemansuhan duti setem untuk pembelian rumah pertama di bawah RM400,000

4 janji:

Memulihkan rumah terbengkalai, ambil alih penyenggaraan perumahan awam (dimuatkan dua kali), bantu golongan miskin membaiki rumah, menggantikan kawasan setinggan dengan perumahan tetap

3 janji:

Menggunakan dana kerajaan melalui penglibatan terus kerajaan untuk menambah rumah mampu milik sebagai usaha mengawal harga rumah,

Memperbaiki perumahan estet dan memastikan perumahan selesa bagi bekas pekerja estet,

Memperkenalkan skim sewa dan milik untuk perumahan rakyat

 

Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti 2 janji:

Penubuhan Pusat Kanser & Pusat Janutng di hospital utama, sistem kad prihatin untuk diskaun harga

3 janji:

Jaminan kesihatan berkualiti, kemudahan dialisis, sokongan kepada rumah penjagaan golongan tua & sakit kronik

 
Pengangkutan Awam   3 janji:

Mengembangkan Sistem Bas Rapid ke ibu negeri, perluas sistem rel MRT, LRT dan Komuter, membina Terminal Bas, Rel dan Teksi Bersepadu

3 janji:

Menambahbaik perkhidmatan bas untuk digunakan secara bersepadu untuk mengurangkan penggunaan kenderaan awam,

Memberikan permit teksi individu,

Melaksanakan rangkaian rel berkelajuan tinggi (high speed rail)

Infrastruktur dan Transformasi Luar Bandar 2 janji:

Memperbanyak susur keluar di Lebuhraya Utara Selatan, Menyambung Lebuhraya Pantai Timur dari Kuala Krai-Kota Bharu & Gambang-Segamat

7 janji:

Lebuhraya Pantai Barat Baru, Kampung Abad ke-21, menurap jalan, masalah air di Selangor, perluas bekalan air , tingkat bekalan elektrik, tingkat kualiti perkhidmatan telefon bergerak

2 janji:

Membina Lebuhraya Pan Borneo,

Mengurangkan bayaran tol secara berperingkat-peringkat

 

Ekonomi Mapan, Dinamik dan Inovatif 3 janji:

Pelaburan RM1.3 trilion & 3.3 peluang pekerjaan, Dana saham amanah RM500 juta untuk komuniti India, Unit Khas komuniti India

9 janji:

Janji yang selebihnya adalah program sedia ada yang telah diumum dan sedang dilaksanakan, sebahagiannya tidak pun berjaya dilaksanakan kini

2 janji:

Reformasi percukaian untuk mengurangkan beban cukai pendapatan kepada golongan bawahan

Meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana mengikut peratusan perolehan minyak

 

Kecemerlangan Pendidikan Negara 4 janji:

Merombak institut perguruan & menaikkan syarat pengambilan guru terlatih, Insentif kewangan RM100,000 untuk sekolah yang menawarkan pendidikan khas, Jalur lebar WIFI percuma di semua kampus IPTA, Skim pemilikan laptop di sekolah

10 janji:

Janji yang selebihnya adalah program sedia ada yang telah diumum dan sedang dilaksanakan, sebahagiannya tidak pun berjaya dilaksanakan kini

4 janji:

Peruntukan khas kepada semua jenis sekolah,

Menawarkan status sekolah bantuan penuh kerajaan bagi sekolah-sekolah Tamil,

Penekanan kepada pendidikan kemahiran dengan menaiktaraf sekolah vokasional menjadi kolej,

Menyediakan bantuan kewangan dan peluang pendidikan untuk golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum

 

Keselamatan dan Ketenteraman Awam 1 janji:

Program SafeCam

10 janji:

Janji yang selebihnya adalah program sedia ada yang telah diumum dan sedang dilaksanakan, sebahagiannya tidak pun berjaya dilaksanakan kini

 
Memperkasa Penyertaan Wanita   6 janji:

Semua janji adalah janji umum tanpa satu pun program khusus, janji umum ini adalah sasaran bergerak (moving target) yang telah pun diketahui umum selama ini

 
Memenuhi Aspirasi Belia 2 janji:

Menyediakan ruang komersil sehari sebulan untuk belia memasarkan produk kreatif, mengkaji undang-undang berkaitan hiburan & promosi seni

5 janji:

Tabung untuk belia, Inkubator belia, Program 1M4U, Lebih banyak lokasi wifi percuma, Melahirkan atlet berprestasi tinggi

 
Jaringan Keselamatan Sosial 1 janji:

Menjadikan Brickfields zon mesra golongan buta

4 janji:

Semua janji selebihnya adalah program sedia ada yang telah dan sedang dilaksanakan, malah sebahagian pelaksanaannya gagal

2 janji:

Mewujudkan mahkamah khas untuk menangani isu-isu tanah pribumi,

Mewartakan semua tanah adat

 

Promosi Agama Islam, Kebebasan dan Keharmonian Agama   8 janji:

Semua janji selebihnya adalah program sedia ada yang telah dan sedang dilaksanakan, malah sebahagian pelaksanaannya gagal

4 janji:

Menjana pendapatan dari pembangunan tanah wakaf,

Mempromosikan kebajikan imam, pegawai masjid dan guru KAFA dengan menyediakan pakej penggajian yang lebih baik,

Meningkatkan kualiti Sekolah Agama Rakyat,

Menyediakan bantuan kewangan kepada Sekolah Pondok

Memerangi Gejala Rasuah 2 janji:

Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM, Menaiktaraf kedudukan Ketua Pesuruhjaya dan pegawai kanan SPRM

5 janji:

Tingkat ketelusan kontrak awam, Penekanan sama rata siasatan & tindakan, Akses yang lebih cepat kepada Laporan Audit Prestasi Ketua Audit Negara, Mahkamah Khas untuk urus kes rasuah, Akujanji integriti wakil rakyat

 
Perkhidmatan Awam dan Tadbir Urus   9 janji:

Semua janji selebihnya adalah proses penambaikan biasa tanpa idea baru, yang kini sedang dilaksanakan dan diragui keberkesanannya

1 janji:

Memastikan keseimbangan kaum yang lebih adil di dalam perkhidmatan awam

 

Gerakan Kesederhanaan Global   7 janji:

Semua janji adalah dasar luar sedia ada atau program yang telah diumumkan kepada rakyat dan sedang dilaksanakan

 
Memulihara Sumber Semulajadi 1 janji:

Insentif bagi premis komersil yang melabur daam sumber tenaga hijau/bolehbaru

6 janji:

Ruang hijau di bandar, Memulihara sungai, Program pendidikan alam sekitar, Memulihara hutan, Pelaksanaan undang, Teknologi hijau dalam pengurusan sisa pepejal

 
JUMLAH (157 janji) 22 janji baru  (14%) 112 program sedia ada (71%) 23 ciplak idea PR (15%)

 

Maklumbalas Dan Analisa Manifesto Barisan Nasional

Apabila politik nasional lebih banyak berkisar kepada persoalan dan perdebatan dasar (bukannya politik perkauman, kebencian dan cacian peribadi), rakyat berpeluang untuk menilai sendiri perbandingan program ekonomi dan kerajaan yang ditawarkan oleh parti-parti politik.

Justeru, saya menyambut baik peluncuran Manifesto Barisan Nasional dan ingin mengambil kesempatan ini untuk membentangkan analisa perbandingan di antara Manifesto Rakyat dan Manifesto Barisan Nasional.

TEMA

• Manifesto Barisan Nasional yang bertemakan “Menepati Janji, Membawa Harapan” secara jelas dan tanpa segan silu menciplak tema “Pakatan Harapan Rakyat” yang telah lama diluncurkan oleh Pakatan Rakyat.

• Saya mengambil pendekatan positif dan berpendapat bahawa pemikir Barisan Nasional pun menerima hakikat bahawa agenda ekonomi rakyat yang bersabit dengan penurunan harga barang, kempen #Turunkanhargakereta, pendidikan percuma, hapuskan tol dan lain-lain yang dibawa oleh Pakatan Rakyat akhirnya diterimapakai oleh Barisan Nasional.

• Ini kerana mereka juga sedar bahawa agenda ekonomi rakyat ini telah menjadi harapan rakyat yang bakal digalaskan kepada kerajaan baru yang dipilih.

• Oleh itu, PRU13 adalah persoalan parti manakah yang lebih wibawa dalam mengotakan harapan rakyat ini – sebab itu Barisan Nasional tidak ada pilihan kecualilah menggunakan perkataan “harapan” seperti mana Pakatan Rakyat, untuk memberi isyarat mereka juga faham dengan harapan yang telah disuarakan rakyat.

PENDEKATAN DASAR

• Barisan Nasional kontang idea dan tidak berjaya membawa program baru. Manifesto Barisan Nasional ditulis secara umum, tanpa sasaran khusus yang boleh meyakinkan rakyat berbeza dengan Manifesto Rakyat yang jelas mekanisme, tempoh masa dan sasarannya.

• Contohnya, apabila Barisan Nasional berjanji untuk menarik pelaburan bernilai RM1.3 trilion dan mencipta 3.3 juta peluang pekerjaan baru – mekanisme dan pelan khusus untuk mencapai sasaran ini tidak dinyatakan, berbeza dengan Manifesto Rakyat yang secara jelas menumpukan usaha menambah kemahiran pelajar lepasan SPM yang tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi untuk mengambil alih 1 juta pekerjaan yang kini diusahakan oleh pekerja asing. Strategi mewujudkan peluang pekerjaan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat adalah lebih jelas, berbanding janji kabur yang dibawa Barisan Nasional.

• Semakan ke atas keseluruhan Manifesto Barisan Nasional menunjukkan bahawa tidak ada sebarang perubahan dasar ekonomi, politik dan sosial yang akan dilaksanakan untuk mengotakan janji-janji Barisan Nasional.

• Ini bermakna Barisan Nasional masih menggunakan kaedah dan pendekatan yang sama tetapi berharapkan keadaan menjadi lebih baik.

• Tanpa perubahan dasar yang merubah struktur ekonomi, politik, pendidikan dan sosial negara, Malaysia akan terus bergelumang dengan rasuah, ketirisan, ketidakcekapan ekonomi, penguasaan monopoli kroni, harga barang yang ditentukan oleh pihak tertentu dan mutu pendidikan yang semakin merosot.

• Manifesto Barisan Nasional akhirnya hanyalah senarai janji-janji tanpa membentangkan kaedah dasar dan pelaksanaan untuk merealisasikan janji-janji itu.

PERBANDINGAN PROGAM: KONTANG IDEA BARU, CIPLAK IDEA PAKATAN RAKYAT

• Analisa terhadap janji-janji Barisan Nasional menunjukkan bahawa sebahagian besar dari janji-janji yang dimasukkan bukanlah idea baru, tetapi diciplak dari Pakatan Rakyat atau adalah idea yang sama yang kini digunakan di oleh Barisan Nasional.

• Janji-janji berikut diciplak dari Pakatan Rakyat (walaupun pelaksanaannya tidak akan memenuhi harapan rakyat kerana tidak dilaksanakan sepenuhnya):

1. Menurunkan harga kereta dengan penurunan 20% – 30% secara berperingkat
2. Menyeragamkan harga barang keperluan asas di antara Semenanjung dan Sabah Sarawak
3. Menggunakan dana kerajaan melalui penglibatan terus kerajaan untuk menambah rumah mampu milik sebagai usaha mengawal harga rumah
4. Memperbaiki perumahan estet dan memastikan perumahan selesa bagi bekas pekerja estet
5. Memperkenalkan skim sewa dan milik untuk perumahan rakyat
6. Menambahbaik perkhidmatan bas untuk digunakan secara bersepadu untuk mengurangkan penggunaan kenderaan awam
7. Memberikan permit teksi individu
8. Melaksanakan rangkaian rel berkelajuan tinggi (high speed rail)
9. Membina Lebuhraya Pan Borneo
10. Mengurangkan bayaran tol secara berperingkat-peringkat
11. Reformasi percukaian untuk mengurangkan beban cukai pendapatan kepada golongan bawahan
12. Meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana mengikut peratusan perolehan minyak
13. Peruntukan khas kepada semua jenis sekolah
14. Menawarkan status sekolah bantuan penuh kerajaan bagi sekolah-sekolah Tamil
15. Penekanan kepada pendidikan kemahiran dengan menaiktaraf sekolah vokasional menjadi kolej
16. Menyediakan bantuan kewangan dan peluang pendidikan untuk golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum
17. Mewujudkan mahkamah khas untuk menangani isu-isu tanah pribumi
18. Mewartakan semua tanah adat
19. Menjana pendapatan dari pembangunan tanah wakaf
20. Mempromosikan kebajikan imam, pegawai masjid dan guru KAFA dengan menyediakan pakej penggajian yang lebih baik
21. Menaikkan bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Pondok
22. Memastikan keseimbangan kaum yang lebih adil di dalam perkhidmatan awam

• Tindakan Barisan Nasional menciplak idea-idea asal yang sudah pun sinonim dengan Pakatan Rakyat seperti menurunkan harga kereta, menghapuskan tol dan lain-lain mengesahkan bahawa negara mempunyai kewangan yang kukuh selama ini untuk melaksanakan program-program ini.

• Alasan yang diberikan selama ini hanyalah dolak-dalih politik, tetapi oleh kerana tekanan yang kuat dari rakyat akhirnya Barisan Nasional tidak ada pilihan lain kecuali menciplak idea-idea ini.

PERBANDINGAN KEBERKESANAN PROGAM: PENDEKATAN BARISAN NASIONAL TIDAK AKAN MERUBAH KEDUDUKAN RAKYAT

• Keseluruhan kempen Barisan Nasional kini disandarkan kepada pemberian BR1M yang selepas ini akan dibuat setiap tahun pada kadar yang lebih tinggi, iaitu RM1,200 untuk keluarga dan RM600 untuk individu bujang.

• Jumlah ini bersamaan dengan RM100 setiap bulan untuk keluarga dan RM50 sebulan untuk individu bujang, pada ketika Barisan Nasional tidak mengemukakan apa-apa cadangan untuk menurunkan harga barang.

• Akhirnya, inflasi dan kenaikan harga barang akan melunturkan kesan pemberian wang terus ini kepada rakyat yang dijangka akan menelas belanja RM7.2 bilion dalam tahun pertama. Mengambil kira pertumbuhan penduduk sebanyak 2% secara purata dan inflasi pada kadar purata 2% untuk tempoh sedekad dari sekarang, menjelang tahun 2023 jumlah pembayaran BR1M akan mencecah RM11 bilion.

• Pendekatan ini kurang bijaksana kerana ia menelan belanja yang besar tanpa mengubah struktur ekonomi, sedangkan peruntukan RM7 bilion hingga RM11 bilion setahun itu lebih berkesan jika digunakan untuk menurunkan harga barang, menghapuskan tol, menurunkan harga kereta dan lain-lain.

PERBANDINGAN JANJI-JANJI UTAMA PAKATAN RAKYAT DAN BARISAN NASIONAL

• Membantu meredakan tekanan sara hidup – Pakatan Rakyat mencadangkan reformasi menyeluruh untuk merubah struktur ekonomi dengan menghapuskan monopoli yang akan menurunkan harga barang keperluan, berbanding Barisan Nasional yang menawarkan RM100 sebulan

• Menurunkan harga kereta – Pakatan Rakyat berjanji menghapuskan terus cukai eksais secara berperingkat supaya harga kereta adalah separuh dari harga sekarang dalam tempoh 5 tahun, berbanding Barisan Nasional yang hanya akan memotong cukai sebanyak 20% – 30% sahaja secara berperingkat tanpa disebut jangka masanya

• Menghapuskan tol – Pakatan Rakyat berjanji menghapuskan tol bermula dengan lebuhraya yang sudah mendapat pulangan modal, berbanding dengan Barisan Nasional yang hanya akan menurunkan tol secara berperingkat tanpa disebut jumlah dan tempoh masanya

• Menghapuskan PTPTN dan menawarkan pendidikan percuma – Pakatan Rakyat akan menghapuskan PTPTN dan menawarkan pendidikan percuma, berbanding Barisan Nasional yang tiada cadangan balas

• Caruman Wanita Malaysia untuk surirumah tidak bekerja – Pakatan Rakyat akan mewujudkan skim caruman seperti KWSP untuk surirumah tidak bekerja dengan caruman minima RM720 setahun, berbanding Barisan Nasional yang tiada cadangan balas

• Menurunkan harga minyak – Pakatan Rakyat komited untuk menurunkan harga minyak, berbanding Barisan Nasional yang tiada cadangan balas

• Memberikan royalti 20% kepada negeri pengeluar minyak – Pakatan Rakyat berjanji mengembalikan royalti 20% kepada negeri pengeluar minyak, berbanding Barisan Nasional yang meneruskan pendekatan membelanjakan wang minyak sebagai peruntukan pusat

Saya akan terus mengemukakan analisa khusus terhadap isu perumahan, ekonomi dan lain-lain sepanjang minggu ini melalui penulisan dan video agar rakyat dapat membandingkan kedua-dua manifesto.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
Ahli Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat

8 APRIL 2013

Dakwaan Defisit Melonjak Akibat Manifesto Rakyat Cuba Menyembunyikan Kegagalan Barisan Nasional

Tuduhan oleh Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa pelaksanaan Manifesto Rakyat akan melonjakkan defisit ke paras 11.5% dan hutang kerajaan ke paras 62.1% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah tidak berasas dan membelakangkan fakta ekonomi mengenai prestasi pengurusan ekonomi di bawah Umno/Barisan Nasional.

Selain itu, beliau juga menambah bahawa Manifesto Rakyat akan menyebabkan kerajaan terpaksa berhutang untuk membayar gaji, berbanding pendekatan hutang Umno/Barisan Nasional yang kononnya hanya berhutang untuk membiayai perbelanjaan pembangunan.

Ketiga-tiga dakwaan ini dibuat tanpa membentangkan sebarang data atau perkiraan, berbeza dengan disiplin Pakatan Rakyat yang senantiasa mempertahankan rancangan ekonominya menggunakan fakta dan data yang jelas. Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah masih lagi berada dalam kepompong politik lama yang beranggapan rakyat akan menerima bulat-bulat sebarang angka yang disebut oleh seorang menteri, walaupun ia tidak masuk akal.

Mutakhir ini, rakyat menuntut mana-mana parti politik yang membentangkan dasarnya turut menyertakan analisa yang lengkap sebagai bukti. Ini telah dibuat secara terperinci oleh Pakatan Rakyat – sejurus selepas Manifesto Rakyat dibentangkan, analisa lengkap kos setiap program dan bagaimana membiayainya telah dibentangkan kepada rakyat agar ia boleh dikaji dan dikritik.

Sehingga kini Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah masih belum mampu menampilkan satu analisa yang menunjukkan bahawa kira-kira kewangan yang dibuat Pakatan Rakyat di dalam Manifesto Rakyat tidak tepat. Saya percaya Umno/Barisan Nasional bukan sahaja tidak mampu menghasilkan analisa kewangan yang lengkap, mereka juga cuba menyembunyikan kegagalan pengurusan ekonomi di bawah pentadbiran mereka.

Ketiga-tiga tuduhan yang dibuat oleh Datuk Seri Husni Hanadzlah – mengenai defisit, jumlah hutang negara dan pergantungan kepada hutang untuk menampung operasi kerajaan – sebenarnya berpunca dari kegagalan pengurusan ekonomi Umno/Barisan Nasional sendiri, seperti yang dihuraikan di dalam bidasan-bidasan berikut:

DEFISIT NEGARA

  • Masalah defisit negara yang berpanjangan sejak tahun 1998 ini sebenarnya dimulakan dan diwariskan oleh pengurusan ekonomi Umno/Barisan Nasional.
  • Walaupun hasil negara bertambah mendadak terutamanya dengan kenaikan harga minyak mentah sejak tahun 2008, Umno/Barisan Nasional tidak menggunakan peluang itu untuk memotong defisit. Sebaliknya pertambahan pendapatan itu dijadikan alasan untuk berboros sehinggakan defisit kekal tinggi walaupun hasil negara meningkat:

Tahun

Hasil Negara (RM Juta)

% Kenaikan Tahunan

2000

61,864

5.4%

2001

79,567

28.6%

2002

83,515

5.0%

2003

92,607

10.9%

2004

99,396

7.3%

2005

106,305

7.0%

2006

123,547

16.2%

2007

139,885

13.2%

2008

159,794

14.2%

2009

158,639

-0.7%

2010

159,653

0.6%

2011

185,419

16.1%

Jadual 1: Hasil Negara (mengikut data Perbendaharaan)

  • Secara purata, kadar pertumbuhan hasil negara adalah 16% di antara tahun 2000 hingga 2011 terutamanya kerana hasil minyak mentah yang naik mendadak. Sekiranya Umno/Barisan Nasional menguruskan kewangan negara dengan menghalang ketirisan dan rasuah, masalah defisit negara sudah lama dapat diselesaikan kerana Malaysia mempunyai pertumbuhan hasil negara yang tinggi pada kadar 16% setahun.

 

JUMLAH HUTANG NEGARA AKIBAT MANIFESTO RAKYAT

  • Hutang negara melonjak naik kerana perbelanjaan Umno/Barisan Nasional yang tidak terkawal walaupun hasil negara meningkat. Akibatnya, saban tahun Umno/Barisan Nasional terus terpaksa menambah hutang, sehinggakan hutang negara sudah mencecah paras tertinggi dalam sejarah pada 54.6% dari KDNK (iaitu hanya 0.4% dari had hutang yang dibenarkan).
  • Perbelanjaan tidak terkawal ini dapat dibuktikan dengan rekod buruk Umno/Barisan Nasional yang berbelanja melebihi belanjawan yang diluluskan setiap tahun seperti berikut:

Tahun

Belanjawan Diluluskan (RM Bilion)

Perbelanjaan Akhir (RM Bilion)

Belanja Melampaui Kelulusan (RM Bilion)

2008

176.9

195.0

18.1

2009

206.0

207.9

1.9

2010

191.5

203.0

11.5

2011

212.0

228.0

16.0

Jumlah

47.5

Jadual 2: Perbelanjaan melampaui kelulusan belanjawan oleh Umno/Barisan Nasional

  • Jika perbelanjaan melebihi kelulusan belanjawan Umno/Barisan Nasional bagi tahun 2008 hingga 2011 dijumlahkan, angka RM47.5 bilion perbelanjaan tanpa perancangan mengatasi jumlah RM45.75 bilion yang diperlukan oleh Pakatan Rakyat untuk membiayai Manifesto Rakyat.
  • Dicampur pula dengan pembaziran, ketirisan dan rasuah yang berlaku setiap tahun, sasaran penjimatan untuk mendapatkan jumlah RM45.75 bilion setiap tahun tanpa perlu menambah hutang sudah tentu dapat dicapai.
  • Pakatan Rakyat hanya perlu menghentikan amalan berbelanja tanpa kelulusan, menghentikan ketirisan dan memacu ekonomi supaya hasil negara meningkat untuk mencapai sasaran itu.

 

PERGANTUNGAN KEPADA HUTANG UNTUK MENAMPUNG KOS OPERASI

  • Kenyataan Datuk Seri Husni Ahmad Hanadzlah bahawa Umno/Barisan Nasional tidak berhutang untuk membayar kos operasi kerajaan adalah tidak tepat. Ini hanya dapat dilakukan kerana Umno/Barisan Nasional menggunakan dana PETRONAS secara tidak terkawal.
  • Tanpa dana PETRONAS, Umno/Barisan Nasional terpaksa berhutang untuk menampung kos operasi bermula dari tahun 2005 seperti yang ditunjukkan di dalam jadual berikut:

Tahun

Hasil Negara

Dividen PETRONAS

Hasil Tanpa Dividen PETRONAS

Perbelanjaan Mengurus

2000

61,864

4,100

57,764

56,547

2001

79,567

5,910

73,657

63,757

2002

83,515

5,390

78,125

68,699

2003

92,607

5,100

87,507

75,224

2004

99,396

9,100

90,296

91,298

2005

106,305

11,000

95,305

97,744

2006

123,547

18,000

105,547

107,694

2007

139,885

24,000

115,885

123,084

2008

159,794

30,000

129,794

153,499

2009

158,639

30,000

128,639

157,067

2010

159,653

30,000

129,653

151,633

2011

185,419

30,000

155,419

182,594

Jadual 3: Perbandingan Hasil & Perbelanjaan Mengurus (Sumber: Perbendaharaan)

 

Ketiga-tiga bidasan awal dengan jelas menunjukkan bahawa pengurusan ekonomi di bawah Umno/Barisan Nasional mewariskan hutang dan defisit yang tinggi kepada rakyat. Bukanlah tempat Datuk Seri Husni Ahmad Hanadzlah untuk menuding jari kepada Pakatan Rakyat, sebaliknya beliau harus menjelaskan rekod pengurusan ekonomi yang buruk ini kepada rakyat.

 

RAFIZI RAMLI

Pengarah Strategi

1 APRIL 2013 

Kembali Kepada Perbincangan Dasar, KEADILAN Hasilkan Video Jelas Manifesto

Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) yang sepatutnyanya dipanggil bila-bila masa adalah pilihanraya terpenting yang akan menentukan arah tuju politik, ekonomi dan sosial negara dan masyarakat Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Sejak tahun 2008, Pakatan Rakyat telah mengemukakan pelbagai program reformasi dan dasar-dasar baru yang diyakini dapat mengembalikan keupayaan Malaysia bersaing sebagai kuasa ekonomi serantau yang menjamin keadilan untuk semua rakyatnya.

Sewajarnya, PRU13 perlu menjadi medan yang menawarkan pilihan kepada rakyat – di antara program-program sedia ada di bawah Barisan Nasional yang mengundang pelbagai kesan politik, ekonomi dan sosial selama ini; dibandingkan dengan program-program yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat sekiranya menang.

Sebab itu, semua parti-parti politik mestilah kembali kepada persoalan dan perbincangan dasar untuk berlaku adil kepada rakyat. Cubaan untuk membawa politik keganasan, mempolitikkan insiden di Lahad Datu, politik fitnah/lucah dan bermacam-macam lagi helah akhirnya akan dihukum oleh rakyat, yang menuntut supaya PRU13 ditumpukan kepada persoalan dasar, program anti-rasuah dan kredibiliti kerajaan.

Oleh itu, KEADILAN mengambil langkah membawa perbincangan dasar terus kepada pengundi-pengundi, melalui penghasilan 8 buah video penerangan ringkas mengenai Manifesto Rakyat seperti berikut:

1. Turunkan Harga Kereta
2. Turunkan Harga Minyak
3. Pendidikan Percuma & Hapuskan PTPTN
4. Hapuskan Tol
5. Sasaran Pendapatan Isurumah Minima RM4,000 Sebulan
6. Caruman Wanita Malaysia
7. Skim Perantis Rakyat
8. Kos Kewangan Program Pakatan Rakyat

Video-video ringkas ini menjelaskan pelaksanaan dan pembiayaan program-program ekonomi penting yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.

Setakat ini, dua video sudah dilancarkan melalui laman sosial Facebook, Twitter dan diterbitkan secara selari di laman Youtube, iaitu video Turunkan Harga Kereta dan Turunkan Harga Minyak.

Sambutan yang diberikan oleh rakyat Malaysia yang menggunakan laman sosial Facebook (yang menjadi tumpuan KEADILAN) adalah sangat baik, sehinggakan video Turunkan Harga Kereta mencecah capaian (atau reach) berjumlah 1,102,848 pengguna Facebook sehingga pagi ini (iaitu 3 hari selepas ia mula dimuatkan). Mengikut takrifan Facebook, capaian bermakna jumlah pengguna Facebook yang telah melihat sesuatu berita yang muncul di laman sosialnya.

(Sila lihat petikan skrin dari laman yang disertakan bersama).

fbpagevideoturunhargakereta

Statistik ini meyakinkan KEADILAN bahawa isu yang paling mendapat tempat di hati rakyat adalah isu bersabit masalah ekonomi seharian seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kesan rasuah kepada kehidupan rakyat. Perkara ini juga perlu dihayati oleh Umno/Barisan Nasional bahawa mereka juga perlu berdepan dengan KEADILAN dalam isu-isu ini kerana inilah kehendak rakyat.

KEADILAN akan menyiarkan video-video penerangan ini setiap 2-3 hari dalam membina momentum menjelang PRU13. Ia adalah lebih baik dari helah video lucah yang hebat dimainkan oleh Umno/Barisan Nasional untuk berdepan dengan kami.

Video-video sedia ada boleh didapati di capaian berikut:

Turunkan Harga Kereta
https://www.facebook.com/photo.php?v=554525511248627&set=vb.145165568851292&type=2&theater
atau
http://www.youtube.com/watch?v=nxjmGrkLVBM

Turunkan Harga Minyak
https://www.facebook.com/photo.php?v=555282911172887&set=vb.145165568851292&type=2&theater
atau
http://www.youtube.com/watch?v=gEIEm3t4EG0&feature=youtu.be

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

28 MAC 2013