Jawapan FIC Bertentangan Dengan Penyata Kewangan Dan Geran Hakmilik

Setelah hampir seminggu saya menimbulkan isu bagaimana bayaran yang diisytiharkan sebagai harga tanah di dalam penyata kewangan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) berbeza dengan harga di geran hakmilik tanah-tanah berkenaan, barulah FIC memberi jawapan.

Jawapan FIC bahawa £34 juta yang dibayar adalah bagi dua bidang tanah iaitu tanah bagi Felda House (di alamat 575 North End Road) dan tanah bagi Dexion/Howerine House (di alamat 2-4 Empire Way, Wembley) dilaporkan oleh Berita Harian dan The Star, seperti di bawah:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/11/344794/dakwaan-rafizi-tidak-tepat-mengelirukan
https://www.thestar.com.my/business/business-news/2017/11/01/fic-rm190mil-paid-for-two-plots-of-land/

Semakan saya di laman-laman berita dan laman web FIC (http://fic.net.my/) tidak menunjukkan apa-apa dokumen yang disertakan bagi menyokong kenyataan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah FIC itu.

Sudah tentu itu tidak membantu menenangkan orang ramai terutamanya keluarga peneroka Felda apabila maklumat-maklumat sahih di dalam dokumen-dokumen yang disediakan di bawah peruntukan undang-undang memberi gambaran yang berbeza.

Persoalan bayaran £34 juta ini timbul kerana jumlah yang diisytiharkan di dalam penyata kewangan FIC yang diaudit oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) adalah berbeza dari jumlah yang diisytiharkan kepada Jabatan Pendaftaran Tanah Diraja UK (HM Land Registry) untuk didaftarkan di dalam geran-geran hakmilik tanah berkenaan.

Saya sertakan kembali petikan dokumen-dokumen berkenaan:

FIC Global - Note 37 FICorp 2014 FS

Nota 37 dari penyata kewangan FIC yang diaudit bagi tahun 2014 dengan secara jelas menyatakan bahawa nilai £34 juta itu adalah bayaran bagi tanah untuk pembangunan penginapan pelajar swasta di atas tapak yang sebelum itu dikenali sebagai Dexion House 1 dan Dexion House 2. Kedua-dua bangunan itu dirobohkan untuk membina sebuah bangunan baru yang bernama Grand Felda House. Penyata kewangan diaudit FIC langsung tidak menyebut bahawa £34 juta itu juga adalah untuk bayaran satu lagi tanah iaitu Felda House di alamat yang berlainan iaitu 575 North End Road, bukannya di Dexion House 1 dan Dexion House 2 (atau Howerine House) seperti yang dinyatakan di dalam penyata kewangan tersebut.

Lebih teruk lagi, penyata kewangan diaudit FIC secara jelas merujuk kepada perjanjian yang ditandatangan pada 13 Oktober 2014 yang ditandatangani di antara FIC Global dengan Town Estates Limited dan Tide Construction Limited. Maka, kos £34 juta yang diisytiharkan adalah merujuk kepada pembinaan Grand Felda House di atas tapak Dexion House 1 & 2, bukannya Felda House di 575 North End Road.

Ini disahkan oleh geran hakmilik Felda House di alamat 575 North End Road yang tidak mengisytiharkan baki £14 juta (yang dipersoalkan) sebagai harga pembelian oleh Felda, seperti lazimnya di dalam geran hakmilik tanah di United Kingdom (rujuk petikan geran hakmilik di bawah):

Title - Felda House - Price Not Available

Soalan-soalan yang saya tanya adalah berasaskan dokumen-dokumen rasmi yang diperakukan di bawah perakuan bersumpah oleh pengurusan FIC dan diaudit oleh PwC (iaitu penyata kewangan) dan merupakan geran rasmi di United Kingdom. Jika ada berlaku sebarang pengisytiharan palsu atau maklumat yang salah, pegawai-pegawai terbabit boleh didakwa kerana melanggar undang-undang di Malaysia dan United Kingdom.

Masalahnya, sedang saya memberikan dokumen yang lengkap dan terperinci, FIC hanya membuat penafian dan menyerang saya tanpa menunjukkan dokumen rasmi yang lain yang menunjukkan saya telah tersilap. Oleh itu, untuk memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat, saya mencabar FIC untuk mendedahkan dokumen-dokumen rasmi berikut:

i. Perjanjian jual beli di antara FIC Global Limited dan pihak yang menjual tanah-tanah yang digunakan untuk membangunkan Felda House dan Grand Felda House

ii. Dokumen-dokumen penubuhan syarikat yang membuktikan bahawa FIC Global Limited dimiliki oleh FIC

iii. Dokumen pendaftaran hakmilik tanah-tanah yang digunakan untuk membangunkan Felda House dan Grand Felda House untuk melihat sendiri maklumat yang diisytiharkan kepada Jabatan Pendaftaran Tanah Diraja UK untuk menukar hakmilik kepada FIC Global Limited

iv. Penyata kewangan diaudit FIC Global Limited bagi tahun 2014 dan 2015 untuk menunjukkan bahawa segala pengisytiharan FIC di dalam penyata kewangannya mengenai harga yang dibayar, nilaian harta dan pendapatan yang diterima adalah tepat

Jika FIC enggan untuk membuktikan penafian mereka dengan dokumen seperti yang saya senaraikan di atas, saya akan mengambil satu lagi tindakan undang-undang terhadap pegawai-pegawai FIC sendiri yang terlibat dalam penyediaan dokumen-dokumen ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

One thought on “Jawapan FIC Bertentangan Dengan Penyata Kewangan Dan Geran Hakmilik”

  1. Salam YB, sy telah mengikuti pc dan jg video2 YB beberapa bln yg lepas dn sy masih lg terus mengikuti pc2 yg akan dtg. Utk makluman yb sy adalah merupakn ahli umno yg telah tidak aktif sejak thn 2013 krn sy tlh mual dn perjuangan umno yg kian lari dr matlamat penubuhannya. Lebih2 lg isu 1mdb dn gst serta byk isu2 lain yg masih blm terjawab. Sebab nila setitik rosak susu sebelanga. Sy amat berharap pd pru 14 ni PH akan dpt memewaskn BN. Krn bg sy ini shj jalan yg ada bg menyelamatkan negara malaysia yg sy junjung ini. Sy yakin dn percaya ada ramai lg silent protest diluar sana spt sy dan akn diterjemahkan dlm pilihanraya akan dtg. Sy tidak lg yakin pd pimpinan najib dn umno. InsyaAllah jika diizinkn sy jg bole membantu PH berkempen bg mengecap kemenangan. Sy berhrp andai PH berjaya mentadbir negara lihat2 ttg bantuan anak2 bg melanjutkn pengajian. Sdgkn anak sy yg kini dlm thn 3 jurusan medic di tanta universiti mesir masih blm mndpt apa2 bantuan wlpun keputusan anak sy yg agak cemerlang.
    Sy ada pertanyaan buat YB dn sy menhrpkn jawapan yg tulus dn ikhlas.
    Soalan sy, andai PH menang pru14 ni, apakah tindakan atau layanan YB kpd ahli2 umno yg mnjadi rakyat marhaen. Adakah mrk akan didikriminasikm atas fahaman politik yg berasingan atau dilyn spt rakyat yg lain?
    Akhir sekali sy doakan kesihatan dan kesejahteraan yb utk terus berjuang memerangi kemelut yg di hadapi negara yg kita cintai.
    Sekian wassalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.