Felda Gunakan Putra Star Investments Sebagai Orang Tengah Untuk Dapat Dana Dari China?

 

Saya telah tunjukkan semalam bahawa Felda telah menandatangani satu perjanjian pendanaan dengan sebuah syarikat Singapura yang tidak mempunyai rekod dalam bidang kewangan. Syarikat bernama Putra Star Investments Holdings Pte Ltd ini dilaporkan akan memberi dana melebihi RM1 bilion untuk membolehkan Felda membina rumah-rumah generasi baru Felda seperti yang dijanjikan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Walaupun Felda belum memberi sebarang maklumbalas, Malaysiakini semalam memetik wakil dari Putra Star Investments Holdings Pte Ltd mengesahkan perkara itu dan memaklumkan sebarang reaksi kepada pendedahan saya diserahkan kepada Felda.

Sudah tentu persoalan yang paling besar ialah: siapa sebenarnya Putra Star Investments Holdings Pte Ltd ini dan kenapa syarikat yang tiada rekod kukuh di dalam industri kewangan ini yang memeterai perjanjian pendanaan dengan Felda?

Saya telah menunjukkan semalam bahawa individu utama di belakang syarikat ini ialah seorang warga negara Singapura bernama Ng Peter Titan. Beliau adalah pemegang saham dan juga pengarah di dalam syarikat ini. Pemegang saham lain dipercayai mempunyai pertalian keluarga dengan beliau.

Oleh itu, mengetahui latar belakang perniagaan dan rangkaian perniagaan Ng Peter Titan akan memberi gambaran mengenai urusniaga pendanaan yang dimeterai oleh Felda dan syarikat milik Ng Peter Titan ini.

Saya akan tunjukkan bagaimana saya menyelidik menggunakan Google dan memaparkan setiap bukti yang saya perolehi di skrin agar senang diikuti oleh orang ramai, seperti berikut:
1. Semakan mudah dengan menaip “ng peter titan” menunjukkan dua carian teratas.

 

2. Seterusnya saya melawat capaian di laman www.zpec.com yang memberikan laporan berikut. Walaupun keseluruhan berita di dalam bahasa Cina, nama “NG Peter Titan” dieja dengan jelas.

 

3. Saya menggunakan Google Translate untuk menterjemah berita ini. Ia melaporkan lawatan oleh Ng Peter Titan, pengerusi Titan Petrotrade dari Singapura, dengan disertai pegawai-pegawai di China Everbright Bank, yang melawat kilang syarikat itu di Manchukun.

Berita itu juga memberi gambaran mengenai perniagaan Ng Peter Titan: syarikat pertamanya ditubuhkan dalam tahun 1978, banyak terlibat di dalam pelaburan bermodal besar, dan mengenali beberapa syarikat pembuat besi dan peralatan China yang terkenal.

Berita ini membayangkan bahawa Ng Peter Titan adalah seorang ahli perniagaan yang mempunyai jaringan perniagaan (“networking”) yang luas dengan industri berat dan perbankan China.

 

4. Dari senarai carian Google bagi nama “ng peter titan” tadi, carian kedua tertinggi ialah dari satu blog pelancongan yang memuatkan satu komen dari seorang bernama “Pok Jak” berkenaan perkara berikut: Ng Peter Titan (dari Singapura, yang dianggap sebagai mentor oleh penulis) mengenali seorang wanita bernama Michelle Liu (digambarkan sebagai “teman tapi mesra”). Michelle Liu adalah pengurus perhubungan pelanggan (“relationship manager”) di China Construction Bank (atau Bank Pembinaan China).

Komen-komen sebegini selalunya bersifat benar kerana ia melibatkan testimoni peribadi seseorang yang mengenali seorang yang lain. Semasa saya membongkar skandal NFC, saya mengumpul banyak maklumat dari komen-komen di “Notice Board” di internet seperti ini.

Dari dua carian ini, ia memberi gambaran bahawa Ng Peter Titan mempunyai jaringan perniagaan yang luas dengan bank dan industri di China.

 

5. Saya seterusnya menyemak laman rasmi pihak berkuasa pendaftar syarikat di Singapura (Accounting and Regulatory Authority atau ACRA) untuk mengetahui perniagaan lain yang dimiliki oleh Ng Peter Titan. Carian tersebut menunjukkan Titan Petrotrade (2007) Pte Ltd, mengesahkan bahawa Ng Peter Titan dan Titan Petrotrade benar-benar wujud.

 

6. Saya juga menyemak carian di Google untuk mengetahui apa sebenarnya perniagaan yang dijalankan oleh Titan Petrotrade ini. Secara umumnya, Titan Petrotrade memasarkan syarikat itu sebagai syarikat yang menjual beli bahan mineral, minyak dan produk-produk lain. Satu carian memberi gambaran yang lebih jelas: “our company acts as agent and commission agent for the supply of minerals, clean petroleum product…..”

Ia mengesahkan tekaan saya bahawa Ng Peter Titan adalah seorang jurujual yang menjadi orang tengah kepada urusan jual beli pelbagai produk di rantau Asia ini.

 

7. Saya seterusnya menyemak secara keseluruhan semua syarikat-syarikat yang pernah ditubuhkan atau terlibat dengan Ng Peter Titan. Saya juga menyemak pemegang saham Titan Petrotrade (2007) Pte Ltd, pengarah-pengarahnya serta rekod pemfailan laporan-laporan wajib kepada ACRA untuk mengenalpasti sama ada ia masih lagi aktif dalam perniagaan.

Rujuk laporan-laporan berikut yang saya edarkan kepada wartawan dan akan paparkan ke blog saya di rafiziramli.com: “People Profile”, “Business Profile” dan “Register of Company Documents”.

Download (PDF, 122KB)

Download (PDF, 110KB)

Download (PDF, 109KB)

 

Laporan-laporan ini menunjukkan bahawa Ng Peter Titan mempunyai (atau terlibat) dengan 11 syarikat sejak tahun 1977. Kebanyakan syarikat-syarikat ini telah ditutup atau tidak aktif. Secara umumnya syarikat-syarikat beliau terlibat di dalam urusan jual beli sebagai ejen. Beliau juga pernah mempunyai syarikat yang menjalankan aktiviti kewangan tetapi tidak diketahui statusnya sama ada masih lagi aktif (iaitu Putra Star Credit), sementara dua lagi perniagaan kewangannya telah ditutup (iaitu Crown Credit Entreprise ditutup tahun 1982 dan Japan Trade-Link ditutup tahun 2008). Beliau juga mempunyai syarikat yang menganjurkan konsert dan mengendalikan acara bernama Love Entertainment Group.

Laporan Titan Petrotrade menunjukkan ada jarak masa yang besar di antara kali terakhir rekod perniagaan difailkan ke ACRA (iaitu tahun 2010) dengan pemfailan baru bertarikh 22 Ogos 2016, sekitar sebulan sebelum perjanjian pendanaan ditandatangani. Ia memberi gambaran syarikat ini tidak aktif selama 6 tahun sebelum dihidupkan semula.

8. Saya juga menyemak nama syarikat Titan Petrotrade di pengkalan data syarikat-syarikat pesisir luar pantai yang didedahkan oleh Panama Papers. Ada satu syarikat bernama Titan Petrotrade International Pte Ltd yang sahamnya dimiliki oleh Sino Swiss Energy Ltd. “Sino” adalah rujukan kepada syarikat China. Salah seorang pemegang saham Sino Swiss bernama Celin Tanardi, seorang warga negara Indonesia.

 

Maka, dengan dokumen-dokumen ini, jelas bahawa Ng Peter Titan yang memiliki Putra Star Investments Holding Pte Ltd tidak mempunyai sebarang bank atau syarikat kewangan besar yang mampu memberikan pinjaman RM1 bilion kepada Felda. Namun, terbukti bahawa Ng Peter Titan mempunyai rangkaian perniagaan yang baik dengan bank-bank dari China dan sudah biasa menjadi ejen kepada urusniaga bagi pihak penjual dan pembeli.

Saya mahu Dato’ Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shahri Samad dan Tan Sri Isa Samad menjawab soalan-soalan berikut:

1. Adakah Felda merancang untuk mengambil pinjaman dari bank-bank China dengan menggunakan Putra Star Investments sebagai orang tengah, untuk mengelakkan dari menjadi satu lagi kontroversi baru yang melibatkan urusniaga bersabit tanah dan anak syarikat kerajaan China?

2. Adakah Ng Peter Titan yang berkemungkinan menjadi orang tengah ini mempunyai kaitan dengan Titan Petrotrade International Pte Ltd yang dinamakan di dalam Panama Papers?

3. Adakah Felda telah melakukan semakan menyeluruh melalui “due diligence” untuk memastikan Felda dan peneroka tidak terpalit dengan rangkaian pengubahan wang haram (“money laundering”) yang menggunakan syarikat pesisir luar pantai seperti yang didedahkan oleh Panama Papers?

Jika segala kepincangan sebelum ini mengejutkan, jika benar Kerajaan Malaysia dan Felda berurusan untuk mendapatkan dana dari pihak ketiga dengan menggunakan sebuah syarikat kecil sebagai ejen, itu adalah sesuatu yang mencemaskan yang memerlukan tindakan segera Bank Negara Malaysia untuk memulakan siasatan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

One thought on “Felda Gunakan Putra Star Investments Sebagai Orang Tengah Untuk Dapat Dana Dari China?”

  1. I had listened to RR INVOKE & we await wht BNM, Finance Mins, Felda & Ptrjya response to tht. Whtever dubious on the transactions will be known one way or another. The truth will surely prevail.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.